Isnin, 27 November 2017

Kek Cawan Karot Cheese yang Sedap dan Gebu

Tak menyesal mencuba.. mudah, sedap dan gebu-gebas!


Mak Hencik tengok kartun dalam tv, si bunny sangat suka makan karot. Mak Hencik tengok ramai pulak orang yang berkongsi makan makanan kegemaran si bunny ni.. 

Dimasukkan dalam sayur lemak.. boleh digoreng.. boleh dibuat kuih.. boleh dijadikan isi sebelum dilipat-lipat dan digulung.. Macam-macam kegunaan kau ni karot! Mak Hencik kagum dengan hang nih. Banyak kegunaan.. Banyak manfaat. 

Katanya boleh mencerahkan biji mata kalau banyak makan ni sebab dia ada vitamin A. Yang terkini Mak Hencik baca ia dapat membantu mengurangkan kanser. lagi satu karot ni boleh mengurangkan tahap kolestrol dalam jantung, mengurangkan risiko stroke, mencantikkan kulit dan anti penuaan. Eh eh banyak pula faedah kamu ya si karot! Gigi pun boleh jadi cantik dengan amalan makan karot. Kamu banyak bagus!!

Tapi... tapi.. tapi...  Mak Hencik tak makan karot.. Mak Hencik makan lobak merah..

Hihihi


Resepi Kek Karot Cheese Cawan
oleh Dapur Cempakasari
resepi asal Nuriz Ibrahim

Bahan-bahan

250g mentega
1 1/2 cwn gula halus
4 biji telur 
1 st esen vanila
2 cawan tepung naik sendiri
(kalau tiada tepung naik sendiri, campurkan 2 cawan tepung gandum dengan 1 st soda bikarbonat dan 1 st baking powder. Kemudian ayak)
1 cwn walnut 
2 1/2 cawan karot yang diparut
1 1/2 st serbuk kayu manis - mak Hencik tak letak.
secubit garam

Cara-cara membuatnya

Jom ler kita buat sama-sama... 


Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan mentega dan gula halus. Pukul sehingga kembang. Mesti sampai kembang ya. Kembang setaman ke kembang sekampung ke sedaerah ke.. terpulang..


Langkah 2
Apabila sudah kembang, masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar. Telur tu opkoslah dipecahkan dahulu yea.. Putih dan kuning sekali arung masuk. 

Masukkan juga esen vanila dan sedikit garam. Putar lagi sampai kembang.


Langkah 3
Masukkan tepung sedikit demi sedikit, sambil diputar perlahan. Putar sampai rata.


Langkah 4
Apabila adunan sudah rata, masukkan walnut yang diramas sedikit. Kacau menggunakan sudip. Mak Hencik gunakan sudip kayu yang berusia belasan tahun dah. Sama usia dengan anak Mak Hencik yang tingkatan 1.


Langkah 5
Pastu masukkan karot yang diparut. Kacau lagi sehingga sebati.


Langkah 6
Gitulah rupa adunan kek karot kita. Berurat-urat dengan parutan karot. Perghhh. Harap-harap jadi eloklah kek karot Mak Hencik nih. Doakan ya.. Kenang daku dalam doamu..


Langkah 7

a. Sementara kita nak cedok-mencedok ni, kita boleh mula panaskan oven. 180 selama 10 minit.

b. Sediakan cawan kek yang diinginkan. Bolehlah cedok adunan kek dan masukkan ke dalam cawan kek. Masukkan 3/4 penuh sahaja. Kalau bubuh penuh takut nanti kek akan melimpah keluar apabila kembang. Mak Hencik guna scoop eskrem jer.


Langkah 8
Masukkan kek cawan karot kita ke dalam oven selama 25 minit, ikut ragam oven masing-masing. Oven hangpa, hangpa lebih tau noooo...


Langkah 9
Ini kejadian kek cawan karot kita selepas 15 minit. Nampak macam nak jadi jer ni.. Aamiin..



Langkah 10
Kek cawan karot kita yang sudah masak. Canner Mak Hencik tau? Hihihi. Tadi Mak Hencik sudah cucuk dengan mata  pisau. Licin jer dia bila ditarik. Hurmmmm.. jadi jugak kek cawan Mak Hencik ni. Syukur.. syukur.. Alhamdulillah..



Langkah 11
Sediakan topping cheese.
Putar 250g cream cheese, 1 sb mentega dan 1/2 cawan susu pekat manis. Korang rasalah dulu. Kalau nak manis, tambahlah sedikit lagi susu pekat tu ya. kalau dah secukup rasa sedap, bolehlah mula menghias kek cawan karot kita.

Kalau nak berwarna warni, asingkan adunan dan bubuh pewarna yang dikehendaki.


Langkah 12
Anak Mak Hencik yang tingkatan 1 tu tolong hiaskan dengan adunan cheese. Tapi nampak kosong jer. Mak hencik suruh tambah warna sikit. Biar nampak seri.. seri dewi malam...


  Walaupun tak menarik mana, nampak lebih berseri.


Langkah 13
Pestaim decorate cup cake.. Takpo lah anak. janji dapek dimakan, sodap rasonya eyyy. Jemput, jemput semua..


Bismillah..

Sabtu, 25 November 2017

Sup Ayam Mudah yang Sangat Sedap dan cepat dimasak.

Berpeluh ketiak dan seluruh anggota badan Mak Hencik hari ini mengelilingi pokok, mengelilingi bangsal, mengelilingi tangki air demi mengejar cinta seekor ayam jantan yang Mak Hencik bela. Akhirnya Mak Hencik penat dan duduk di birai tangga dapur. Sambil merenung nasib Mak Hencik yang ditolak cintaku ini oleh sang ayam jantan. Aduhh sakitnya tuh di sini di dalam hatiku..

Tiba-tiba Mak Hencik ternampak lori kecil merah yang jual barang basah menghampiri rumah Mak Hencik. Hahhh! Apalagi.. Terus Mak Hencik melompat tangga.

Rasa macam sampai nak tercabut selipar yang disarung. Maafkan Mak Hencik wahai seliparku sayang. Mak Hencik tidak berniat untuk bertindak kejam padamu. Mak Hencik cuma nak kejar sang lori merah itu kerana hari ini Mak Hencik nak beli ayam.. Cintaku beralih arah wahai sang ayam jantan!


Sup Ayam Mudah yang Sangat Sedap
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan
 
*1/4 ekor ayam dipotong sederhana kecil
*1/2 inci halia diketuk
*2 ulas bawang putih diketuk
*2 tangkai daun sup dipotong kasar
*4 cwn air
Semua yang bertanda * direbus

Bahan untuk menumis
 
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1/2 sk lada hitam
 2 ulas bawang putih dihiris halus
1/2 bawang besar merah dihiris halus 
sedikit minyak untuk menumis

Bahan-bahan lain
1 1/2 sb rempah sup serbuk
1 biji tomato
5 inci seleri
2 biji cili padi
1 sb jus limau nipis 
1/2 labu bawang holand
sedikit garam, gula, serbuk perasa
 
sedikit daun sup dihiris untuk hiasan
sedikit daun bawang dihiris untuk hiasan
sedikit bawang goreng untuk hiasan


Langkah 1
Potong ayam kepada bentuk yang kecil. Basuh sehingga bersih. Toskan.


Langkah 2
Ketuk 1/2 inci halia dan 2 ulas bawang putih. Mak Hencik hempuk guna pisau dapur. Pangggg! Terus penyek halia dan bawang putih kegemaran oghang Peghancis nie.


Langkah 3
Sediakan periuk. Masukkan air, ayam dan bawang putih serta halia yang diketuk tadi. Masak di atas api sehingga mendidih. Biarkan jer dia kat situ berenang bersama-sama..


Langkah 4
Sementara itu, sediakan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan lada hitam. Basuh bersih dan tos.


Langkah 5
Sediakan juga hirisan bawang putih dan bawang merah. Jangan lupa ya serbuk sup. 


Langkah 6
Panaskan kuali di atas dapur. Masukkan sedikit minyak, dalam tiga sudu besar.


Langkah 7
Masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan lada hitam.


Langkah 8
Masukkan bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris tadi. Kacau sekali-sekala sehingga kekuningan. Kekuningan ya.. bukan kehitaman..


Langkah 9
Apabila bahan tumisan sudah kekuningan, tuang semuanya ke dalam periuk rebusan ayam yang sedang mendidih. 

Kalau tidak suka berminyak dan berlemak, untuk jaga kesihatan, bubuh bahan tumisan sahaja. Minyak jangan dibubuh.. harap mak long..


Langkah 10
Masukkan serbuk rempah sup.
Masukkan garam, secubit gula dan serbuk perasa. Kacau rata. 



Langkah 11
Sementara sup kita bercampur sebati, potong tomato kepada 4 bahagian.
Potong serong batang seleri.
Ketuk cili padi.
Sediakan jus limau nipis.
Bawang besar dipotong wedges. (tidak sempat berselpi)

Jus limau nipis ni boleh beli yang dalam botol tu. Senang nak masak, tinggal capai dan sukat dengan sudu. Kalau ada pokok limau nipis laagi baik. Ada aroma asli limau nipis yang wangi menusuk ke rongga hidung.




Langkah 12
Masukkan semua bahan tadi ke dalam periuk rebusan ayam. Kacau rata. Tunggu sehingga mendidih seketika kemudian barulah diangkat.


Langkah 13
Masukkan sup ayam ke dalam mangkuk ayun atau tak ayun. Anggunkan rupa Sup Ayam kita dengan hirisan daun sup dan daun bawang. Hiaskan juga dengan sedikit bawang goreng. Hidangan kita sedia untuk dimakan.

Bismillah...


Jumaat, 24 November 2017

Agar-agar Santan Pandan yang Sangat Sedap

Terbeliak mata Mak Hencik membaca fesbuk semalam. Kisah ular yang mendiami rimbunan pokok pandan. Terus teringat pada pokok pandan di belakang rumah. Entah berapa lama Mak Hencik biarkan diorang hidup sendirian, tanpa bekalan makanan dan minuman. Merempat di tepi longkang..

Dengan rasa sedikit bersalah, Mak Hencik menjengah ke luar pintu dapur. Rimbunan pokok pandan memang subur menghijau. Daun-daunnya melambai mesra pada Mak Hencik. Apalaa aku nak buat dengan kamu ni, bisik hati Mak Hencik.



Tiba-tiba terbayang pula rasa lemak manis agar-gar santan. Teksturnya yang lembut  membasahi anak tekak.Ditambah pula dengan aroma menggoda si daun pandan menambah keinginan untuk menikmati kesedapannya.. Lebih nyaman sekali kalau dimakan sejuk..


RESEPI AGAR-AGAR PANDAN BERSANTAN
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 paket agar-agar tali
1 cwn air daun pandan
5 cwnn air
*2 cwn santan
*3 biji telur
Bahan bertanda * hendaklah dicampur dan dikacau sebati
1 cwn gula
secubit garam
sedikit pewarna hijau

Cara-cara membuatnya:


Langkah 1
Agar-agar dibasuh bersih dengan air. Kemudian, tos. Jangan tambah sabun dan softener tau.


Langkah 2
Kisar daun pandan yang dipotong kecil-kecil, kemudian tapis. Sediakan air daun pandan sebanyak secawan.



Langkah 3
Di dalam periuk, masukkan agar-agar tadi bersama 5 cawan air dan secawan air daun pandan. Buka api dan biarkan agar-agar hancur.


Langkah 4
Sementara menunggu agar-agar hancur, ambil sebuah mangkuk dan masukkan 3biji telur dan 2 cawan santan. Kacau menggunakan whisk  sehingga sebati.



Langkah 5
a. Apabila agar-agar sudah hancur, masukkan secawan gula, secubit garam dan sedikit pewarna hijau. 

b. Kacau sebentar sehingga telur masak dan boleh padamkan api.


Langkah 6
Masukkan ke dalam loyang. Mak Hencik bubuh dalam loyang ukuran 10"X10"
Sejukkan agar-agar kita sehingga beku. Mak Hencik sumbat ke dalam peti ais supaya cepat beku.


Langkah 7
Apabila sudah mengeras, bolehlah kita potong agar-agar kita tadi.


Langkah 8
Ambil piring dan isikan dengan agar-agar. Marilah kita makan agar-agar kita ni di depan tv sambil layan drama. Jangan lupa ambik air sekali..

Bismillah..

Selasa, 21 November 2017

Kentang Goreng Sambal atau Kentang Belado yang Sangat Sedap

Pergi melawat tapak rumah yang sedang dibina, ternampak sebuah bekas plastik bertutup biru berisi makanan. Bekas plastik biru itu memang sentiasa setia di bangsal pekerja binaan. Khabarnya dibawa oleh salah seorang pekerja-pekerja itu. 

Apabila ditilik isi di dalam bekasnya didapati terdapat makanan yang sama juga. Dari hari Isnin sampailah ke hari Sabtu. Kalau hari Ahad pun mereka bekerja, maka lauk yang samalah yang dibawa. Ya, itulah dia. Kentang Belado, kata diorang.


Begitulah rezeki dan kehidupan yang Dia telah aturkan. Makan nasi panas berbekalkan lauk kentang goreng sambal sahaja, tanpa anak bilis, tanpa kacang pun boleh membanting tulang mencari rezeki yang halal. Bersyukurlah kita dengan apa sahaja yang ada.. 


Resepi Kentang Goreng Sambal atau Kentang Belado
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 biji kentang
sedikit ikan bilis
1/3 cawan kacang tanah
3 cawan minyak masak untuk menggoreng

3 sb minyak masak untuk menumis 
2 sb cili kisar
2 biji bawang putih - dihiris nipis
1/2 biji bawang besar merah - dihiris nipis 
sedikit halia - dihiris halus (kalau tidak suka rasa halia, jangan masukkan)
2 sb air asam jawa 

1 biji lada hijau atau merah
1/2 biji bawang holand
garam dan gula secukup rasa 

Cara-cara memasak



Bahan utama tergolek-golek dalam sinki. Menyerah diri untuk dimasak hari ini.

Langkah 1
Kupas kulit kentang. Mak Hencik guna peeler lebih senang dan jimat masa. Tapi ada kawan Mak Cik tu memang terer guna pisau. Kalau korang terer guna parang ke, kapak ke, pun boleh juga. Kupas kentang jer pun..


Langkah 2
Potong besar. Tujuannya apabila digigit rasa isi kentang yang lembut tu. Nak potong wedges boleh, nak potong kiub pun boleh. Terpulang kepada kekreatifan masing-masing.


Langkah 3
Basuh bersih dan toskan kentang yang telah siap dipotong.


Langkah 4
Basuh ikan bilis dan kacang tanah. Toskan.


Langkah 5
Ambil kuali dan masukkan minyak. Tunggu bila minyak panas, baru masukkan kentang.


Langkah 6
 a. Kentang yang sedang digoreng. Balik-balikkan supaya masak sekata. Bila dan masak, angkat dan toskan minyak.

b. Goreng ikan bilis dan kacang tanah. Balik-balikkan supaya masak sekata. Bila dan masak, angkat dan toskan minyak.
 



Langkah 7
Sediakan bahan-bahan di atas untuk menumis. Halia tu adalah optional. Mak Hencik bubuh halia kononnya nak keluarkan angin.


Langkah 8
Panaskan minyak masak. Jangan kecam kuali Tepel Mak Hencik nih. Mak Hencik nak guna dia sepuas hati. Pasni Mak Hencik nak pindah rumah, si Tepel ni akan Mak Hencik tinggalkan. Buat masa ini, jangan kau ucapkan selamat tinggal...


Langkah 9
Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan tumis itu tadi.


Langkah 10
Kacau rata sampai cili kisar dan bawang masak. 


Langkah 11
Bila cili dan bawang sudah masak dan hampir garing, masukkan air asam jawa secukupnya. Biar ada rasa masam-masam sikit.


Langkah 12 
Sambil tu potong lada hijau dan bawang holand.

Langkah 13

Masukkan ke dalam kuali. Terus dikacau sekali-sekala. Sambil itu masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa. Mak Hencik suka rasa yang manis-manis pedas, jadi Mak Hencik masukkan lebih gula.


Langkah 14
Bila dah kering airnya, masukkan kentang, ikan bilis dan kacang tanah yang telah digoreng tadi. Kacau sebati. Tutup api.


Langkah 15
Beginilah rupa Kentang Goreng Sambal kita yang telah bergaul mesra di dalam kuali.


Langkah 16
Hidangkan di dalam pinggan  bergaya atau tak bergaya seperti pinggan Mak Hencik di atas. Ramai orang yang ada pinggan macam Mak Hencik tu kan. Hihihi. Tak apalah, janji rasanya sedap dan boleh mengenyangkan perut kita. Kentang Belado ni boleh dijadikan sebagai hidangan sampingan. Sangat enak dimakan dengan nasi panas. Jemput makan.

Bismillah..