Isnin, 1 Januari 2018

Asam Pedas Rebus Ikan Siakap yang Sempoi tapi Sedap

Sempoi bahannya, sempoi caranya, sedap hirup kuahnya.. lain orang lain pula nama panggilannya. Masakan ni awak panggil apa?



Subuh subuh tadi si Mamat sudah beritahu si Minah, isterinya yang dia nak makan gulai masin pedas. Ternganga mulut Minah. Mamat ni orang pantai timur, Minah pula orang pantai Barat. Tak pernah didengar nama masakan gitu.

Mimpi apalah si Mamat malam tadi. Biasa nak makan telur mata kerbau goreng kicap jer. Maka, bergegaslah Minah menelefon mak mentua di kampung. Mujurlah Mak Mentuanya sporting dan memberi kerjasama.. ala-ala wonderpet gitu. Apa yang penting? Kerjasama..


ASAM REBUS IKAN SIAKAP YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping ikan siakap
3 cawan air
3 tangkai cili kering
1/2 biji bawang merah sederhana besar
1 biji bawang putih
5 hiris lengkuas
1 keping asam gelugur
1/2 inci kunyit - Mak Hencik kehabisan stok, Mak Hencik gantikan dengan 1/2 sudu teh serbuk kunyit.
6 biji bendi
Sedikit daun kesum
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom masuk dapur



Antara bahan-bahan yang digunakan. Tiada bergambar bersama ialah asam keping dan cili kering. Hehe

Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering, lengkuas dan kunyit kalau bubuh kumyit hidup. Kisar sampai hancur lumat.



Di dalam periuk, masukkan kepingan ikan siakap, tuangkan bahan kisar, serbuk kunyit, asam keping dan air. Buka api.

Ikan tu hangpa boleh tukar ikut selera tau. Ikan kembung, selar, keli, sembilang, kerisi, ikan merah, jenahak, tongkol dan lain-lain yang sesuai. Terpulanglah ya..



Masak sampai mendidih. Boleh masukkan bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk perasa.



Masukkan tomato dan daun kesum. Mmm.. wangi daun kesum menusuk hidung.



Masak sampai mendidih.



Sambil itu, kita potong bendi. Buang kepala ke ekor ke, potong dua ke.. sukahati hangpa ler..hihi.

Selepas potong tu masukkan dalam air supaya tidak berlendir.



Bila kuah sudah mendidih, masukkan bendi tadi. Kacau-kacau sikit.

Bila bendi sudah masak, rasala dulu kuahnya dah cukup asam garamnya. Mmm.. sedapnya.



Asam pedas rebus kita sudah masak. Rasa pun sudah sedap. Jadi boleh tutup api.



Mana nasi ni.. mana ikan masin goreng ni.. mana sambal belacan ni..
Jom jom kita menjamu selera. Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan