Rabu, 30 September 2020

Resepi Bihun Sup Utara yang Sedap

Untuk penggemar bihun sup utara, ini cara untuk membuatnya. Senang dan sangat sedap!



Trademark bagi bihun sup utara sudah tentulah bihunnya yang berwarna kuning serta sambal merah untuk rasa pedas yang ummphhh!


BIHUN SUP UTARA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg daging lembu + tulang
2 liter air

10 ulas bawang putih - diketuk
3 biji bawang merah besar ,- dihiris halus
(Bawang putih dan bawang merah hiris ditumis sehingga garing)
1 inci halia - diketuk
Rempah empat sekawan seperti:
1 batang kulit kayu Manis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1/2 sudu kecil bunga cengkih-ditumbuk kasar
1 sudu kecil Lada hitam - ditumbuk halus
4 pohon daun sup - bahagian bawah dipotong. Bahagian atas dihiris halus untuk ditabur dalam bihun

Bahan bihun

1 bungkus bihun - direndam dengan air yang dimasukkan dengan 1 sudu kecil pewarna kuning, kemudian dicelur.

Bahan sambal merah

15 tangkai Lada kering - dibuang biji, dipotong kasat dan direndam dengan air panas.
2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah besar
Semua bahan di atas dikisar halus

Cara-cara membuatnya

Jom..jom..kita memasak!


Rebus daging dan tulang sehingga daging empuk.


Bila daging sudah empuk, asingkan daging dan air rebusan.

Daging dihiris nipis, ketepikan.


Panaskan air rebusan daging.


Masukkan bahagian bawah daun sup, Bahan tumis, rempah 4 sekawan, halia, lada hitam yang ditumbuk halus dan bahan perasa. Didihkan kuah.

 
Bila dah cukup rasa. Matikan api.

Mari kita sediakan bihun pula. Boleh jer tukar bihun dengan kuew tiaw ke.. mee gemuk ke..Janji yang kita suka makan. Hihihi



Rendam bihun di dalam air yang diletakkan dengan sedikit pewarna kuning. Kalau tak nak letak kaler kuning tu pun boleh jer..


Panaskan air secukupnya untuk mencelur bihun dan masukkan satu sudu kecil pewarna kuning telur.

Bila air sudah mendidih, masukkan bihun. Biarkan berapa minit sehingga bihun lembut kemudian baharulah matikan api.


Angkat bihun dan toskan. Ketepikan.

Cara masak sambal merah.

Nak bagi rasa pedas pada bihun kita tu, haruslah letak cili. Ya dak?


Kisar cili kering, bawang putih dan bawang merah sehingga hancur bersama sedikit air.


Panaskan sedikit mintak Dan tumiskan bahan kisar tadi sehingga garing.

Masukkan sedikit air dan bahan perasa seperti garam dan gula.

Masak sehingga hampir kering kemudian bolehlah tutup api.


Masukkan dalam mangkuk hidang. Siaplah sudah..



Jom ler ambik mangkuk. Jom kita makan.

Bismillah...

Ahad, 16 Ogos 2020

Telur Mata Sos Lada Hitam

 Sedap ke telur ni? Cuba la buat. Gerenti sedap!

Kalau tak ada masa nak masak lauk untuk dimakan dengan nasi, kita pun goreng telur mata. Curah kicap sikit. Tahap paling sempoi lah tu. Hahaha


Tahap lebih rajin sikit, kita hiris bawang besar Holland dan lada hijau ke.. lada merah ke.. Atau untuk yang suka pedas depa hiris cili api. Kemudian goreng sampai layu. Tabur atas telur mata goreng tadi. Curah kicap.. Dappp! 


Masakan hari ini pula sama macam masak telur kicap juga cuma kita gantikan kicap dengan sos lada hitam. Masakan ini adalah hasil idea rakan facebook dalam grup masakan Bila Dapurku Berasap. 

Jom cuba! 


TELUR MATA MASAK SOS BLACK PEPPER
Oleh Dapur Cempakasari 
Sumber resepi : Encik Asik Abdullah

Bahan-bahan

3 biji telur ayam
3 biji bawang putih - diketuk
1/2 biji bawang besar Holland - dihiris kasar
1 biji lada hijau - dipotong serong
1 biji tomato 🍅  - dipotong wedges
1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
1/3 cawan sos lada hitam
1/2 cawan air
Minyak secukupnya untuk menumis dan menggoreng

Cara-cara membuatnya. 

Mula-mula kita buat persediaan awal sebelum memasak. 


Telur 3 biji untuk 3 orang makan. 


1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air untuk dijadikan sebagai bahan pemekat. 


Bawang besar Holland dihiris besar, tomato 🍅 dipotong wedges dan lada besar hijau dipotong serong besar-besar juga. 😁😁😁

Sebenarnya ikut korang ler nak potong macamana pun.. Memasak ni kan satu seni 😂 😂 😂 

Cara memasak. 💃


Panaskan minyak. Pecahkan sebiji telur ke dalam minyak panas. Biarkan sebentar sebelum dilipat dua. 

Bila bahagian bawahnya sudah kekuningan, balikkan telur supaya kedua belah sama kaler. 

Dah masak, angkat dan toskan minyak. 
Buat sampai habis. 


Ini hasilnya.. Eh buruk pula rupanya. Takper.. Seni tu.. 😂😂😂


Keluarkan minyak lebihan goreng telur tadi dan masukkan 2 sudu besar minyak. 

Panaskan 2 sudu besar minyak masak, masukkan bawang putih yang diketuk dan tumis sehingga bawang berubah warna kekuningan

Kepada orang yang alah kepada bau hanyir telur disarankan supaya basuh kuali sehingga bersih dan guna minyak baharu untuk proses menumis. 


Lepas tu masukkan bawang besar Holland dan lada besar hijau. Kacau sehingga hampir layu. 


Lepas tu masukkan sos lada hitam dan kacau sebentar. 


Kemudian masukkan pula air diikuti oleh tomato 🍅 yang dipotong wedges. Kacau sebati. Biarkan sehingga kuah pekat. 

Oh ya.. Mak Hencik tak tambah garam dan gula dah sebab sos lada hitam tu dah secukup rasa. Tapi kalau korang nak tambah pun boleh.. Ikut citarasa masing-masing ya. 😉😉😉


Akhirnya curahkan sos lada hitam tadi ke atas telur yang telah tersedia di dalam pinggan. 

Sedia untuk dihidangkan. 

Bismillah.. 🌷



Sabtu, 4 Julai 2020

Masak Lemak Kuning Jantung Pisang

Kalau suka masak lemak, letak apa-apa pun sedap. Kali ni kita cuba masak jantung pisang pula..

Kisahnya.. Balik dari hantar anak sulung, abe, ke Kolej Profesional Mara, Seri Iskandar, Perak tu kami laki-bini meninjau-ninjau halaman rumah. Maklum ler rindu ler katakan pada rumah sebab dah tinggalkan dia 2 hari satu malam.. 😂 😂 😂

Dalam dok tinjau-meninjau tu ler kami nampak jantung pisang dah terjulur-julur ni.. Tanpa fikir panjang Mak Hencik pun ambil sabit dan pangkas jantung pisang tuu. Zappp! Terus putus.

Kalau buat kerabu pun sedap, tapi dah nak cepat maka kita buatkan masak lemak kuning. Sedap juga tau!


MASAK LEMAK JANTUNG PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji jantung pisang, saiz kecil
1 biji bawang merah sederhana besar
1 inci kunyit hidup
3 hiris lengkuas
1 sudu besar cili kering kisar. Kalau suka pedas letak jer cili padi banyak-banyak sikit
1 tangkai lada hijau, dibelah dua
1 keping asam gelugur
3 cawan santan sederhana pekat
Segenggam ikan bilis
Garam dan gula secukupnya.
1 sudu besar cuka, untuk merebus jantung pisang

Persediaan awal sebelum memasak


Ni la rupa jantung pisang untuk sesaper yang tak kenal. 😁😁


Jantung pisang tu dibelah dua  dan dihiris sebesar 1 inci. Kemudian direbus dengan air. Masukkan 1 sudu besar cuka. Katanya ni petua supaya jantung pisang tak lebam warnanya selepas direbus.

Rebus sehingga masak ya.


Bila sudah masak, tuangkan ke dalam pengetus dan toskan airnya. Bila sudah sejuk sedikit, ramas jantung pisang untuk buang air. Ketepikan. 


Sediakan bawang merah, kunyit dan Lengkuas.


Tumbuk bahan di atas sehingga lumat. Akhir sekali tumbuk juga ikan bilis biar kasar-kasar jer.


Di atas dapur, tenggekkan periuk. Masukkan santan, bahan tumbuk, cili kering kisar sikit, asam keping dan lada hijau.

Buka api dan kacau selalu sehingga kuah mendidih.


Bila kuah sudah mendidih, masukkan jantung pisang. Masukkan juga garam dan gula secukup rasa. Kalau tak suka bubuh gula, bubuh garam jer la sesedap rasa ya.


Kacau sehingga rata dan biarkan sehingga mendidih lagi sekali sambil dikacau selalu.


Bila sudah masak, tutup api dan bolehlah dihidangkan.


Menu untuk hari ini. Singgang ikan kembung, ayam masak hijau dan paling istimewa tentunya masak lemak jantung pisang.

Jemput makan semua..

Bismillah.

Isnin, 22 Jun 2020

Roti Jala Tanpa Telur

Nampak warna pun dah menarik. Jalinan kasih antara jalur kuning dan merah jambu..

Macam mana..? Awak tak suka ke? Takkan saya ajerr yang jatuh cinta.. 😅😅😅


ROTI JALA TANPA TELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar atau santan
2 cawan air
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar minyak masak
Pewarna merah jambu dan kuning
Sedikit minyak untuk melengser pada kuali

Cara-cara membuatnya.

🌷Dalam mesin pengisar, masukkan 1 cawan susu segar dan 2 cawan air. Masukkan pula 3 cawan tepung gandum, 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil esen vanilla dan 2 sudu besar minyak masak, kisar sehingga rata dan tiada tepung gandum berbintil.

🌷Kalau tak ada susu segar atau santan, boleh jer gantikan dengan air.


🌷Bila adunan sudah rata, bahagian kepada dua bahagian. Satu warna kuning dan lagi satu warna merah jambu.

🌷Mak Hencik buat 2 cawan kaler kuning dan 1 cawan kaler merah jambu.

🌷Masukkan ke dalam bekas berasingan mengikut warna.


🌷Seterusnya panaskan kuali leper dan sapu sedikit minyak. Seeloknya guna kuali non stick.

🌷Kiraikan roti jala. Mula-mula kirai dahulu adunan warna kuning kemudian kirai pula adunan warna pink kat atasnya.

🌷Bila roti jala dah lekang dari pan, tandanya roti jala sudah masak maka bolehlah diangkat.


🌷Letakkan atas pinggan yang rata. Mak Hencik letak atas chopping board supaya saiz untuk Mak Hencik lipat jadi sama. Sebab Mak Hencik lipat ikut garisan tu. Ermmm.
Abaikan ya chopping board yang antik tu. Hi3. Inilah realiti sebenar di dapur.. Ha3

🌷Lepas tu kirai lagi roti jala sehingga masak dan sehingga habis adunan.


🌷Lipat dan gulung roti jala sehingga kemas.


🌷Masukkan ke dalam mangkuk hidang dan buatlah sampai habis.


🌷Roti jala sedap dimakan dengan kuah durian atau kuah kari.

🌷Hari ini Mak Hencik sediakan kari ayam. Jom makan roti jala dan kaki ayam

🌷Bismillah..

Sabtu, 20 Jun 2020

Kek Marble Jelita

Rasa lemak, manis dan lembab. Mmm.. Sedap sungguh. Rugi kalau tak cuba.


Hari ni kita tak ke mana-mana. Cuma bergerak ke sana.. bergerak ke sini.. dalam rumah jer.


Sementara menunggu orang tu balik outstation, saya pun baking kek favouritenya, kek mentega. Tapi kali ni kita touch up sikit dengan corak dari tangan kerasku.


Corak ni corak baharu, tak pernah orang buat lagi.. Kira pioneer la ni.. Corak diberi nama corak pokok bunga semalu. Kikiki
#terimakasihAllah❤️


KEK MARBLE JELITA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250 gm mentega - ambil 100gm dan cairkan
6 biji telur Gred B
1 cawan gula kastor
3 sudu besar susu pekat manis
1/4 cawan susu segar atau susu sejat
1 sudu besar ovallete
2 cawan tepung naik sendiri
1 sudu kecil esen vanilla
Pewarna hijau dan merah

Cara-cara membuatnya


Ambik 100gm mentega dan cairkan guna dapur gas. Nak guna microwave pun boleh. Dah cair menteganya, biarkan dahulu.


Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan seperti
150gm mentega
1 cawan gula kastor,
1 sudu besar ovallete,
3 sudu besar susu pekat manis,
1/4 cawan susu segar atau susu sejat,
2 cawan tepung naik sendiri dan
6 biji telur dan
1 sudu kecil esen vanilla.


Putar sehingga kembang dan putih. Mula-mula slow dulu, lepas tu lajukan pemutar.


Bila sudah kembang dan putih, tuang mentega cair tadi. Kaup-balikkan sahaja menggunakan spatula atau sudip kayu.


Lepas tu bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian tidak dibubuh pewarna, satu lagi dibubuh warna merah jambu.

Warna tu ikut korang la nak bubuh kaler apa pun.. Kek korang. Hihihi


Ambil satu sudu besar adunan warna pink dan satu sudu besar adunan tanpa warna diwarnakan pula dengan warna hijau. Masukkan dalam plastik berasingan.


Loyang empat segi 9'X9' terlebih dahulu disapu dengan mentega di bahagian bawah dan tepinya. Kemudian dialas dengan baking paper.

Baking paper tu alas bahagian dasar sahaja. Tepi dinding loyang tu cukup sapu dengan butter jer.

Masa ni dah boleh panaskan oven pada suhu 150 C selama 10 minit.

Kembali kepada kek kita tadi, mula-mula tuang dulu adunan tanpa warna diikuti dengan adunan warna merah jambu. Buat sampai habis secara berselang-seli.

Bila sudah siap, hentak-hentak manja sikit adunan. Adunan akan jadi rata.


Lepas tu bolehlah kita corakkan kek marble kita sejelita yang mungkin. Mak Hencik buat batang pokok dengan kaler hijau. Kaler pink pula untuk bunganya . Hi3

Gitu la jadinya corak dari keras tangan Mak Hencik. Hahaha


Akhirnya masukkan ke dalam oven. Letak loyang di tingkat paling bawah.

Pada tingkat atas pula di letakkan aluminium foil supaya bahagian atas tidak hangus. Kalau hangus, corak yang kita lukis tadi tu akan hilang. Dah jadi tak jelita la nanti. Kikiki

Bakar pada suhu 140 C selama 45 minit.


Bila sudah masak, keluarkan dari loyang dan terbalikkan atas redai. Biar dia sejuk sedikit barulah dipindahkan ke atas dulang kek.


Jangan lama sangat dok atas redai takut permukaan kek melekat pada redai pula.


Pastu bolehlah dipotong. Boleh dinikmati dengan minuman kegemaran.

Bismillah..