Ahad, 5 April 2020

Puding Karamel Tanpa Telur

Mmmmm.. Sedap bagai nak gila! Hahahaha


Ya betul, Mel. Aku gilakan kau. Sekali jer ku rasa kemanisanmu buat aku teringat-ingat dan rindu pada mu selalu. Mel.. Mel.. Jangan habis...



Adoiii. Begitulah dialog drama Puding Karamel yang sedap giler katanya.
 😂😂😂

Asal terjadinya puding karamel tanpa telur ni ialah apabila terjumpa sepaket agar-agar. Mak Hencik pun tak tau bila Mak Hencik beli. Tambah lagi warna agar-agar tu hijau. Hairan pula rasanya kenapa laa dibeli kaler hijau.




Nasib baik ada PKP ni, sempatlah buat stock take kat dalam stor kering. Ada beberapa barang tu nampaknya dah expired, terpaksalah dengan berat hatinya dibuang. Mak Hencik cepat-cepat buang takut Pak Hencik nampak tentulah kena bebel nanti. 
😂😂😂


RESEPI PUDING KARAMEL TANPA TELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan karamel

1 cawan gula
1  cawan air panas

Bahan-bahan  puding

1 paket agar-agar serbuk
1 liter air
1 tin susu sejat
1/2 cawan susu pekat (saya tambah 2 sudu besar susu pekat) 
3 sudu besar tepung kastard
Secubit garam


Cara-cara membuatnya.

Mula-mula kita buat karamel dia dulu.



🍥Ambil pan, buka api. Masukkan 3/4 cawan gula. Biarkan gula cair.



🍥Kacau menggunakan whisk sehingga gula cair sepenuhnya.



🍥Bila gula sudah cair sepenuhnya, tutup api.

🍥Dengan cermat dan perlahan-lahan masukkan secawan air panas. Kacau sehingga rata.

🍥Buka api dapur semula dan masak sehingga gula hancur sepenuhnya.

🍥Bila gula dah hancur sepenuhnya, tutup api dan sejukkan.



🍥Bila sudah sejuk, masukkan ke dalam bekas kecil.



🍥Inilah dia sebungkus serbuk agar-agar



🍥Di atas dapur, letakkan periuk. Masukkan satu liter air.

🍥Masukkan 3 sudu besar tepung  dan kastard dan kacau rata. 



🍥Kemudian masukkan pula bahan-bahan lain seperti serbuk agar-agar, 1 tin susu sejat, 1/2 cawan susu pekat manis dan secubit garam. Biarkan sehingga mendidih dan serbuk agar-agar hancur.



🍥Biarkan mendidih  sekejap, kemudian  bolehlah tutup api



🍥Kemudian bolehlah ambik senduk dan tuang puding ke dalam bekas yang mengandungi karamel tadi.



🍥Tuang sampai habis.

🍥Biarkan ia sejuk sedikit baharulah kita boleh masukkan ke dalam peti sejuk.



🍥Puding karamel ni sedap dimakan sejuk-sejuk.

🍥Jemput makan kawan-kawan.

🍥Bismillah..

Sabtu, 4 April 2020

Lempeng Pandan yang Sedap

Bau daun pandan yang wangi membangkitkan rasa lapar di pagi hari.


Walaupun hanya sekadar lempeng biasa, tapi bersyukurlah. Ini sahaja lah rezeki yang ada untuk kita nikmati pada pagi yang indah ini.

Lempeng pandan ini kita padankan dengan kuah kari jimat-cermat. Kenapa ya dipanggil kari jimat-cermat? 😀😀😀

Bertemankan lempeng pandan dan kari jimat-cermat ini pula ialah secawan teh O suam, melengkapkan lagi hidangan pagi pada hari yang bermakna ini.

Semoga Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berakhir dengan segera.. Aamiin ya Rab.


RESEPI LEMPENG PANDAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air daun pandan
1 biji telur
2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Sedikit minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali

Cara-cara menyediakannya. Semudah ABC!



Sediakan air daun pandan. Caranya ialah kita ambil 5 helai daun pandan, potong kasar dan kisar bersama 2 setengah cawan air.

Lepas tu kita tapiskan dia. Ketepikan.


Sediakan sebuah bekas. Masukkan air daun pandan tadi, 2 cawan tepung gandum, pecahkan sebiji telur, masukkan 2 sudu besar minyak masak, 1 sudu besar gula dan 1 sudu kecil garam. Gaul sebati.


Nak bagi cantik, masukkan 1/2 sudu kecil pewarna hijau.

Kacau lagi sehingga tidak ada tepung yang berbintil.


Sediakan minyak masak atau mentega untuk dilengser pada kuali leper.

Panaskan kuali leper. Lengserkan dengan minyak masak atau mentega.


Ambil 1 senduk bancuhan lempeng dan masukkan ke dalam pan leper.


Pegang tangkai kuali dan pusingkan supaya bancuhan tepung mengalir ke serata pan.


Tunggu sehingga lempeng bertukar warna sepenuhnya seperti di atas☝️.

Kemudian, balikkan dia.

Tunggu lagi sehingga lapisan bertukar ke warna perang-perang sikit, barulah boleh diangkat.


Masukkan ke dalam pinggan.

Buatlah sampai habis.

Kemudian kita buat kuahnya pula. Walaupun kuah kari ni hasil jimat-cermat, tetapi rasanya sedap juga sebab kita bubuh serbuk cukup rasa Maggi. Jangan kata Mak Hencik tak payung!! 😀😀

Jom teruskan.


KARI DAGING JIMAT-CERMAT
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 ketul kecil daging lembu (sebab tu lah namanya jimat cermat, guna 3 ketul jek 😀😀😀)
1 biji bawang putih
3 biji bawang merah kecil
1/2 inci halia
1 biji lada besar hijau - dipotong serong
3 cawan air
3 sudu besar serbuk tempah kari daging - dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu kecil serbuk cukup rasa maggi
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
(garam, gula bubuh secukup rasa)
1 biji ubi kentang dipotong dadu
1 tangkai daun kari
Sedikit air asam jawa

Cara-cara membuatnya.


Daging dibasuh bersih. Ambil 3 ketul jer. Daging yang selebihnya tu nak dibuat lauk untuk tengahari nanti.

Bukan apa.. Musim ni kena hadkan nak keluar ke pasaraya. Kadang-kadang daging habis pun ada juga.


Kentang dipotong dadu.


Bawang putih, bawang merah dan halia.


Tumbuk bawang putih dan halia, diikuti oleh bawang merah sehingga hancur.


Sediakan 3 sudu besar serbuk rempah kari daging yang dibancuh dengan 1/2 cawan air.


Sediakan air asam jawa secukupnya.

Cara memasak.


Panaskan 3 sudu besar minyak dan tumiskan bahan tumbuk bersama lada besar yang di potong serong.

Tumis sehingga layu dan berwarna kekuningan.


Lepas tu masukkan bancuhan rempah kari. Kacau sehingga kering.


Apabila telah kering, masukkan daging dan kentang yang dipotong dadu.

Masukkan daun kari dan air asam jawa secukupnya.
Kacau sehingga sebati dan rata.


Masukkan pula 2 cawan air.


Masukkan pula bahan perasa sesedap rasa. Kalau tak salah, Mak Hencik bubuh 1 sudu kecil garam, 1 sudu kecil serbuk perasa Maggi dan 1 sudu besar gula. 


Biarkan kuah mereneh dan menjadi pekat sedikit.


Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.


Bolehlah dihidangkan bersama lempeng pandan.

Sedia untuk dinikmati.

Bismillah..

Jumaat, 3 April 2020

Cornflakes Pedas

Rangup. Rasa pedas-pedas manis. Bila makan takleh berhenti.. 😂 😂 😂


My best friend, Maswani lah yang mula perkenalkan kerepek cornflakes sambal ni. Sedap sangat dia buat. Resepi ni dia la yang bagi, Iols ikut jer.


Mujur juga menjadi. Sebab nak membuatnya sangat senang. Kalau nak buat berniaga pun boleh, cuma kena cuba dululah untuk dapatkan rasa yang sedap. Lepas tu praktis supaya rasa tak lari. Quality control mesti ada, baharulah customer asyik repeat order jer.

Masa pergi Kuching hari tu, iols tengok ramai yang jual kerepek cornflakes pedas ni. Memang famous agaknya kat sana kan. Tapi memang sedap!


RESEPI CORNFLAKES PEDAS MANIS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250 gm cornflakes
1/3 cawan minyak masak
8 sudu makan cili kering kisar
8 sudu makan gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu teh serbuk perasa
1/2 cawan kacang tanah goreng
1/2 cawan ikan bilis goreng

Cara-cara menyediakannya

Jom.. Jom..

Sediakan bahan-bahan dahulu


Bahan utama iaitu cornflakes


Ikan bilis yang telah digoreng


Kacang tanah yang telah digoreng


Cili kering kisar. 

Cara-cara menyediakannya.


🌷Panaskan 1/3 cawan minyak

🌷Tumis lada kering kisar sehingga wangi.


🌷Masukkan 1/2 sudu kecil garam, 1 sudu kecil serbuk perasa dan 8 sudu besar gula.


Kacau sehingga gula jadi cair dan likat.


🌷Bila dah likat tutup api.

🌷Biarkan suam sebenar. Jangan sampai sejuk.


🌷Masukkan cornflakes diikuti dengan kacang tanah goreng dan ikan bilis goreng.


🌷Gaullah sehingga sebati.

🌷Lepas tu bolehlah dimasukkan ke dalam bekas kedap udara.

🌷Sedia untuk dikunyah sambil tengok TV..

Bismillah..

Khamis, 2 April 2020

Ayam Masak Thai

Rasa yang sangat sedap. Tak boleh nak move on! 😋😋😋



Ramai pula yang share masakan ayam masak Thai di Wall facebook. Kebetulan hari ini, tak ada idea pula nak masak apa. 

Pagi tadi kami sekeluarga sarapan pagi dengan pau sahaja. Masing-masing dah tanya menu untuk tengahari ni. 

Nampak resepi ni pun mudah sahaja. Bahan-bahan yang digunakan pun yang basic sahaja. Tak ada bahan yang pelik-pelik. Jadi, baik kita cuba. 

Apabila sudah dirasa..ya ampunn sedapnya. Berbaloi-balik sangat uols. Trust me!! 


RESEPI AYAM MASAK THAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

🎈10 ketul ayam
🎈Sedikit garam
🎈Sedikit serbuk kunyit
Bahan bertanda 🎈 digaul sehingga sebati

👒5 biji bawang merah kecil
👒5 biji bawang putih
👒5 tangkai lada hijau
👒3 tangkai lada merah
👒5 biji cili padi
Bahan bertanda 👒 dikisar hingga hancur.

2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 cawan air
1/2 biji bawang besar Holland - dipotong besar
2 batang serai - diketuk
5 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit mi

Cara-cara menyediakannya

Jom kita masuk ke dapur kita yang paling lawa di dunia..

Mula-mula kita buat persediaan bahan dahulu ya.


Ayam dibasuh bersih dan ditoskan. Kemudian lumurkan dengan garam dan kunyit.

Goreng ayam sehingga masak, tetapi tidak perlu garing.


Sudah masak, angkat. Toskan minyak dan masukkan ke dalam pinggan. Ketepikan.


Hiris bawang besar Holland, ketuk serai dan ramas sikit daun limau purut.


Bawang merah, bawang putih, lada besar hijau semua sebab lada Merah besar tak ada, cili api secukupnya. Kalau nak pedas tambah jer cili padi banyak-banyak.


Semua bahan di atas dikisar sehingga hancur lumat.

Cara memasak.


Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing.


Bila sudah garing, masukkan serai, sos tiram dan sos cili. Kacau sedikit.


Kemudian masukkan ayam yang telah di goreng tadi. Gaul sebati.

Lepas tu masukkan secawan air. Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa.

Biarkan kuah mereneh.


Bila kuah sudah hampir kering, masukkan hirisan bawang besar Holland dan daun limau purut.


Gaul hingga rata dan sebati.


Bila bawang besar sudah layu, bolehlah tutup api.


Hidangkan ke dalam mangkuk hidang. Sedia dinikmati bersama nasi putih.

Jom menjamu selera semua..

Bismillah..