Laksam yang sangat enak dimakan dengan kuah lemak putih. Perghhh..!
Resepi ini Mak Hencik simpan lamaaaaaa sangat. Sehinggakan penyumbang resepi pun sudah tak tahu siapa. Anyway, syukran kepada penyumbang resepi ni.. Ia memang menjadi dengan jaya sekali.
Resepi Laksam
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil tepung ubi (Mak Hencik tak letak sebab tak ada stok. He he)
4 cawan air suam
Secubit garam
Sedikit minyak masak untuk disapu pada loyang
Cara-cara membuatnya
Jom.. Jom.. Jom..
Mula-mula sekali campur semua bahan dan gaul sebati.
Perap sekejap, dalam 30 minit. Biar ajee gitu ya. Tapi tutup la.
Sementara tu, sediakan loyang untuk mengukus laksam. Dulu-dulu mak selalu guna tudung periuk. Tapi sekarang Mak Hencik guna loyang buat kek jer senang. So uols boleh guna jer laa mana-mana loyang yang sesuai.
Sapu minyak dulu supaya laksam mudah dikeluarkan nanti.
Letak loyang dalam pengukus dan biarkan sekejap supaya loyang panas sikit.
Tuang dua senduk rata atau sehingga menutup dasar loyang.
Kukus sampai masak. Mak Hencik letak timer 10 minit sahaja.
Bila sudah menggelembung gitu ππtandanya sudah masaklah dia.
Keluarkan dari pengukus dan terus digulung.
Inilah hasil masak laksam hari ni. Dapat 5 gulung.
Laksam ni dimakan dengan kuah lemak putih. Jom masak kuah pula yang semudah ABC!
Kuah Laksam
Bahan-bahan
5 ekor ikan selayang atau sardin,direbus kemudian diasingkan isi dengan tulang dan dikisar sehingga halus. (nak guna ikan kembung ke ikan seluar ke.. Pun boleh. Terpulang ya)
3 cawan santan sederhana pekat
1 1/2 biji bawang merah besar
1 ulas bawang putih
1 hiris halia
1 keping asam keping
1/2 sudu kecil lada hitam, ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Bawang merah, bawang putih dan halia dikisar halus.
Di dalam periuk, masukkan santan, isi ikan rebus kisar, bahan kisar, asam keping, serbuk lada hitam dan kacau sehingga mendidih. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
Bila kuah sudah mendidih dan pekat, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.
Laksam boleh dihidangkan bersama ulam-ulaman pilihan dan sambal lada.
Ulam-ulaman
Daun kesum, dihiris halus
Bunga kantan, dihiris halus
Kacang panjang, dihiris halus
Timun, dibuang empulur dan disagat halus
Tauge
Sambal lada
10 tangkai cili kering, dipotong dibuang biji dan direbus. Apabila sudah lembut, kisar bersama sedikit garam.
Gambar lengkap tak dapat di sediakan kerana masa tu dah sibuk nak berbuka puasa. Hu hu hu