Selasa, 25 September 2018

Kuih Kaswi Pandan yang Gedik

Kuih kaswi pandan ini disedia menggunakan tepung gandum sebagai bahan utama, sedikit tepung ubi dan sedikit tepung beras. Ada yang pernah cuba?




Mak Hencik pernah terbaca mengenai petua membuat kuih kaswi yang sedap ialah dengan memasukkan kapur makan. Kapur makan tau bukan air kapur. Jadi Mak Hencik pun apa lagi.. cubalah..

Bila dah masak, sejukkan dan potong cantik-cantik, salut dengan kelapa bagai diri pun rasa sangat teruja kerana rupanya yang cantik. Bila masuk dalam mulut, alamak!!! Pahit dan rasa kapur yang kuat. Taubat tak nak buat lagi. 😭😭😭

Tapi resepi ni memberi penawar kepada hatiku yang kecewa. Rasa dan aroma pandan yang sedap, lembut secukupnya cuma termanis sedikit. Tapi itu masalah yang boleh ditambah baik. Lain kali kita boleh kurangkan sukatan gula.



RESEPI KUIH KASWI PANDAN
oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Blog Sinar Kehidupanku

Bahan-bahan

1 cawan tepung gandum
1 sudu makan tepung beras
1 sudu makan tepung ubi
2 cawan air pandan (ambil 10 helai daun pandan, potong kecil dan kisar bersama 2 cawan air. Tapis)
1 cawan gula ( akan datang Mak Hencik akan kurangkan sukatan gula kepada 3/4 cawan kerana 1 cawan gula ni terlalu manis bagi Mak Hencik)
1 sudu besar air kapur
1 sudu kecil pandan paste
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam

Bahan salut

1/2 biji kelapa parut putih dicampur dengan sedikit garam

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom



Langkah 1
Ambil acuan yang sesuai, oles dengan minyak masak di dalamnya serta masukkan dalam pengukus. Panaskan acuan dalam pengukus terlebih dahulu supaya kuih mudah dikeluarkan. Mak Hencik tak tutup ya.



Langkah 2
Ambil pengisar, masukkan air daun pandan, tepung gandum, tepung ubi, tepung beras, air kapur, gula, garam, pewarna hijau dan pandan paste. Kisar sehingga sebati.



Langkah 3
Tuang bahan kisar ke dalam acuan di dalam pengukus.



Langkah 4
Letak aluminium foil di atasnya supaya wap air tidak menitis ke dalam kuih.



Kemudian barulah tutup dengan penutup. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak.


Langkah 5
Apabila kuih sudah masak, buka penutup dan kukus lagi dalam keadaan terbuka selama 10 minit. Tujuannya supaya kuih kaswi kering dan cantik. Yang keduanya supaya tahan lama.


Langkah 6
Apabila permukaan kuih kaswi sudah kering, keluarkan dari acuan dan sejukkan dulu sebelum dipotong dengan pisau plastik. Guna pisau potong kek tu jer.
πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚



Langkah 7
Sementara menunggu kuih kaswi sejuk, kita kukus kelapa parut putih yang telah digaul dengan sedikit garam dalam keadaan tidak ditutup lebih kurang 10 minit.

Lepas tu angkat.



Langkah 8
Apabila sudah sejuk bolehlah dipotong mengikut bentuk yang disukai.



Langkah 9
Masukkan kepingan kaswi ke dalam kelapa parut dan gaul rata supaya kuih kaswi disalut dengan kelapa parut.



Sudah sedia untuk disajikan bersama keluarga tersayang.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Isnin, 24 September 2018

Ikan Keli Goreng Berlada

Ikan keli goreng disiram dengan sambal tumis berlada yang pedas-pedas manis. Sedap sekali dimakan dengan nasi putih. Ada yang suka?




Rasanya ikan keli goreng berlada ni sesuai diregukan dengan gulai tempoyak pucuk ubi. Tambah dengan sambal belacan. Untuk anak yang tidak makan ikan keli, Mak Hencik goreng ayam. Untuk Mak Hencik yang tak makan ikan keli dan ayam pun tak makan, Mak Hencik sediakan ikan belanak masin goreng. πŸ˜‰πŸ˜‰πŸ˜‰



IKAN KELI GORENG BERLADA
oleh Dapur Cempakasari

Bahab-bahan

5 ekor ikan keli, saiz sederhana

*15 tangkai cili kering, potong, buang biji dan rendam air panas sekejap
*2 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah besar
Bahan bertanda * dikisar halus

1/2 biji bawang besar Holand, dipotong wedges
1/2 cawan air
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Serbuk perasa secukupnya, jika suka
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

Cara-cara memasak

Jom.. jom.. jom..



Langkah 1
Ikan keli disiang, dibasuh bersih dan dikelar. Mak Hencik potong kepala ikan keli tu. Jangan terkejut pula. πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

Untuk hilangkan hanyir, Mak Hencik tabur garam halus dan perah dua biji limau kasturi. Mak Hencik gaul-gaul rata dengan ikan dan biarkan seketika.

Selepas itu, bilas ikan dengan air dan toskan.. Sapu ikan dengan garam dan serbuk kunyit secukupnya.


Langkah 2
Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak. Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak. Biarkan dulu. 



Langkah 3
Kisar bawang merah besar, bawang putih dan cili kering sehingga hancur.



Langkah 4
Seterusnya panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan pecah minyak. Kacau selalu untuk elakkan daripada hangit.



Langkah 5
Apabila bahan tumis sudah kering, masukkan air asam jawa dan sedikit air, dalam setengah cawan. Jangan lupa untuk masukkan garam dan gula.

Kacau sekali-sekala sehingga bahan tumis hampir kering.



Langkah 6
Bila bahan tumis sudah hampir kering, masukkan bawang Holand yang dihiris wedges.



Kacau selalu sehingga sambal tumis tu pekat. Rasakan dulu sedap ke idak.. Kemudian baharulah tutup api.



Langkah 7
Susun ikan keli goreng di dalam pinggan hidang. Kemudian curahlah sambal tumis berlada tadi ke atas ikan-ikan tersebut. Hiaskan dengan daun sup.



 Inilah dia hasilnya..



Hidangan untuk tengahari ini.. jemput makan kawan-kawan. 🌺🌺🌺🌺🌺

Bismillah..




Ahad, 23 September 2018

Gulai Tempoyak Pucuk Ubi

Gunakan tempoyak yang segar baharulah rasa sedapnya sentiasa segar di ingatan!




Setelah empat hari menggantung periuk kerana pergi berkursus di Bandar Tenggara, Kulai, Johor Darul Takzim, hari ni kita dah tak sabar memasak.

Pagi-pagi lagi selepas bersarapan di medan selera Desa Cempaka, ajak suami pergi ke pasar Nilai. Nak beli santan segar untuk stok minggu ini. Santan di situ tak campur air..



Bila sampai di pasar, santan, beli ikan keli untuk buat lauk, beli ikan sardin nak buat laksa dan sedikit sayur-sayuran kampung, termasuklah pucuk ubi. Stok tempoyak sudah ada di rumah lagi pula baru lepas musim durian. Segar lagi.

Gulai ni Mak Hencik buat stail bubuh bawang. Ada yang satu lagi jenis tak bubuh bawang. Jangan bergaduh pula kata tak payah bubuh bawang. Ikut sukalah ya. Stail masing-masing..kata orang, kita raikan persamaan, kita raikan juga perbezaan..
πŸ€—πŸ€—πŸ€—



GULAI TEMPOYAK PUCUK UBI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ikat pucuk ubi
1 cawan tempoyak

*3 biji cili padi, kalau nak pedas tambahlah lagi ikut selera
*1 biji bawang putih
*1/2 biji bawang besar merah saiz sederhana
*2 inci kunyit
*1 cawan air
Bahan bertanda * dikisar halus

Sedikit ikan bilis
1 cawan santan pekat
1 biji cili merah, dipotong serong
Garam secukup rasa
Kalau korang suka gula bubuhlah
Kalau korang biasa letak serbuk perasa pun letaklah

Cara-cara menyediakannya..

Jom..



Pucuk ubi beli di pasar tadi. Satu ikat lima puluh sen sahaja. Mak Hencik beli empat.



Pucuk ubi dihiris sederhana halus, basuh bersih, bilas dan toskan airnya. Kalau uols nak potong halus macam bunga rampai pun boleh. Kalau tak nak potong boleh? Boleh aihhh... cuma batang tu jangan ambil ya.. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚



Antara bahan-bahan yang akan digunakan. Ikan bilis, lada merah, santan dan bahan kisar.

Kisar bawang putih, bawang merah, kunyit hidup dan  cili padi sehingga lumat.



Bahan paling istimewa, tempoyak.



Langkah 1
Dalam kuali yang sesuai atau periuk, masukkan santan, bahan kisar, tempoyak dan ikan bilis. Buka api.



Kacau selalu sehingga menggelegak. Sambil itu masukkan garam secukupnya. 



Langkah 2
Bila kuah sudah menggelegak, masukkan pucuk ubi dan cili merah yang dipotong serong tadi.



Kacau sehingga daun pucuk ubi layu. Biarkan kuah menggelegak dan pekat, sebati dengan pucuk ubi.



Langkah 3
Bila kuah sudah pekat, bolehlah tutup api. Ambillah mangkuk hidang untuk menghidang.. Jeng jeng jeng



Inilah rupamu wahai gulai tempoyak pucuk ubi..



Hidangan hari ni menemani gulai tempoyak, ayam goreng bawang putih halia, ikan keli berlada, sambal belacan dan dalam perjalanan ialah ikan belanak masin.

Jemput kawan-kawan..

Bismillah..

Isnin, 17 September 2018

Gulai Kuning Ikan Tongkol dengan Belimbing Buluh

Kesian pula kutengok buah belimbing buluh tergolek-terbaring di atas meja. Nampak sangatlah depa kesunyian dan tidak dipedulikan. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚



Baik ku carikan mereka pasangan.. Maka tengahari tadi, ku singgah di kedai Acheh untuk membeli ikan dan kelapa parut. Dah sampai di sana, banyak pula barang-barang yang ku beli. Ku beli ikan tongkol saiz sedang seekor, ayam seekor, kelapa parut sebiji, daun salad, daun pegaga dan cili padi. Melayang rm30. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†



GULAI KUNING IKAN TONGKOL DENGAN BELIMBING BULUH
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping ikan tongkol (boleh tukar kepada jenis ikan lain yang digemari)
3 cawan santan
*1 biji bawang merah sederhana besar
*1 biji bawang putih
*3 tangkai cili kering, kalau nak pedas boleh tambah cili padi
*7 hiris kunyit hidup
*3 hiris lengkuas
Bahan bertanda * dikisar halus
10 biji buah belimbing buluh, dibelah dua
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom.. jom.. jom..



Belimbing buluh ni jiran yang bagi. Terima kasih daun keladi wahai jiranku..

Bila menggulai bubuh belimbing buluh ni, mak kata tak payah letak asam keping dah sebab belimbing buluh ni akan memberi rasa masam.



Mak Hencik potong kiri kanannya kemudian belah dua. Korang potong macammana?



Ikan tongkol dibersihkan dan ditoskan. Tak payah siang dah ikan ni sebab adik kedai Acheh tadi dah siangkan dan siap potong. Mmm.. senang kerjaku..πŸ’ƒπŸ’ƒπŸ’ƒ



Bawang merah, bawang putih, cili kering, kunyit dan lengkuas. Bahan ni semua dikisar halus.



Bahan-bahan yang telah siap dikisar halus.



Santan, Mak Hencik guna santan segar.



Langkah 1
Panaskan periuk dan masukkan santan diikuti oleh bahan kisar.

Kacau selalu sehingga kuah mendidih.



Langkah 2
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan buah belimbing buluh sambil dikacau supaya kuah gulai tidak berketul.



Langkah 3
Masukkan pula kepingan ikan tongkol. Kacau lagi sambil masukkan garam dan gula jika suka, secukup rasa.



Langkah 4
Kacau sehingga kuah menggelegak dan pekat. Lepas tu bolehlah tutup api.



Kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam mangkuk hidang.



Menu makan tengahari hari ini. Menemani gulai kuning ikan tongkol ialah ayam goreng halia bawang putih, udang goreng dengan sawi pendek, ulam pegaga dan budu.

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..