Jumaat, 18 Mei 2018

Pulut Bangkok atau Pulut Pisang

Lama sangat dah nak buat pulut Bangkok ni. Tapi itu la.. bila nak buat pisang tak ada laa. Beras pulut habis laa. Santan tak cukup laa. Kelapa parut tak beli laa. Uihhh banyaknya kau punya laaa.. 😂😂😂




Nampak keadaan bentuk badan dia.. dengan warna dia.. tengok pun rasa macam dah sedappp jer. Menggoda you.. hahaha. Sangat sesuai sekali untuk sesiapa yang gemarkan menu pulut. 👍👍




RESEPI PULUT BANGKOK @ PULUT PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 biji pisang, kukus separuh masak
*2 cawan beras pulut
*1 keping asam gelugur
*2 cawan air atau secukupnya
*1 sudu kecil pewarna hijau 
Bahan bertanda * direndam kurang lebih 30 minit.

1 cawan santan
1/2 cawan santan
1 sudu kecil garam
2 helai daun pandan - dipotong 3 inci panjang atau disimpul

Kelapa parut manis untuk disalut pada pulut pisang

1/2 biji kelapa parut
1/2 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 helai daun pandan - dipotong 3 inci panjang atau disimpul
sedikit air atau 1/8 cawan air

Cara-cara membuatnya

Marilah kita membuat kuih hari ini.. Jom..



Rendam beras pulut dengan air dan asam gelugur selama lebih kurang 30 minit.


Bila warna hijau sudah melekat cantik kat beras pulut, buang air rendaman dan masukkan beras pulut ke dalam periuk untuk ditanak. Mak Hencik tanak atas gas sahaja.

Kalau nak kukus pun boleh, lagi cantik kejadiannya.


Masukkan 1 cawan santan dan daun pandan yang telah dipotong.
.

Tutup periuk dan buka api perlahan. Tanak pulut sehingga separuh masak.


Bila sudah hampir kering, buka tudung periuk. Tutup api.


Tuang ke dalam periuk 1/2 cawan santan lagi. Gaul rata menggunakan sudip kayu.



Kemudian tutup lagi periuk dengan tudung periuk dan buka api perlahan. Tunggu sehingga pulut masak sempurna.


Bila sudah masak, tutup api dan sejukkan sekejap. 


Alas dengan plastik, letakkan pulut, tekan-tekan dan ratakannya untuk memuatkan sebiji pisang. Pisang hendaklah yang masak tetapi jangan ranum. Pilih pisang yang manis.


Gulung elok-elok, biar pulut tu padat. Lepas tu letak dalam bekas dan ulangi lagi sehingga pisang habis.

Seeloknya ikat kiri dan kanan plastik tu. Dan kalau ada daun pisang, lebih baik guna daun pisang. Semulajadi dan aroma yang sedap. 


Panaskan pengukus dan kukus pulut pisang yang dibalut dengan plastik lebih kurang 30 minit atau agak-agak pisang tu masak. Bila dah masak, tutup api dan sejukkan.

Biarkan dulu bab kukus-mengukus ni sambil kita buat kelapa parut manis untuk disalut pada pulut pisang.


Di dalam kuali, masukkan 1/2 cawan gula, sedikit garam, daun pandan dan air. Sebelum tu sediakan kelapa parut di dalam bekas yang sesuai.


Buka api dan kacau sehingga gula hancur, kemudian tutup api.


Tuangkan air gula panas itu ke dalam bekas kelapa parut.


Gaul sehingga rata dan sebati.


Ambil sebatang pulut pisang yang sudah disejukkan terlebih dahulu dan salutkan dengan kelapa parut manis.


Macam gitulah lebih kurang gayanya..Salutlah kesemua pulut pisang kita tu. Lepas tu bolehlah kita potong dan hidangkan. Mak aihhh banyak pulalah jadinya bila dipotong ni..


Letak dan susun di dalam pinggan hidang untuk dinikmati.. 

Jemput makan semua..

Bismillah..

Tapi hari ni first day puasa.. mana boleh makan lagi ni. Tunggu azan maghrib dulu. Hihihi. Okebai..!

Isnin, 14 Mei 2018

Sayur Lemak Putih Labu

Ada sebiji labu tergolek kat tepi tangga dapur. Bentuk lonjong pula. Budak-budak ni yang taburkan biji labu bulan Jan hari tu, sekarang bulan lima, sudah boleh dipetik buahnya.




Diorang ni pun main-main sahaja tabur benih. Tak sangka pula, menjadi juga.
Kalau berbudi pada tanah, adalah hasilnya.



RESEPI SAYUR LEMAK PUTIH LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/4 biji labu saiz sederhana - dikopek kulit dan dipotong kiub
7 tangkai pucuk labu - dipotong
1/2 biji bawang merah - ditumbuk
1/2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
4 cawan santan
1 ekor ikan kembung kecil - dipanggang dan diasingkan isi dengan tulang
2 sudu kecil garam atau secukupnya
2 sudu kecil gula, jika suka

Cara menyediakannya

Marilah kita ke dapur..



Inilah rupanya labu bentuk lonjong.



Isi labu yang telah dipotong kiub.



Pucuk labu yang baru dipetik tadi.



Kobis tu tumpang ajer yea.. nak tunjuk gambar si pucuk labu yang segar dari ladang ni..



Ikan kembung diasingkan isinya. Nak guna ikan lain pun boleh contohnya ikan sardin atau selayang, pealing dan lain-lain. 



Tumbuk lada hitam sehingga lumat. Kemudian, masukkan bawang merah dan isi ikan. Tumbuk lagi sehingga lumat.



Di atas dapur, masukkan santan dan bahan tumbuk. Kacau selalu supaya santan tidak berketul. Kacau sehingga kuah mendidih.

Sambil itu masukkan garam secukupnya dan gula jika suka.



Apabila kuah sudah mendidih, masukkan buah labu. Kacau selalu sambil menantikan buah labu empuk.



Kemudian, masukkan pula pucuk labu. Biarkan sehingga ia layu.



Bila sudah layu, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api.



Masukkan dalam mangkuk hidang. Bolehlah dinikmati dengan nasi dan lauk-lauk lain yang mana ada..

Jemput makan..

Bismillah..

Ahad, 13 Mei 2018

Asam Pedas Rebus Ikan Kerisi

Semalam sudah goreng dua ekor ikan kerisi. Ada lagi dua ekor ikan kerisi ni kita masak berkuah pula. 🎏 🎏 🎏


Inilah masakan mak yang paling aku sukai. Kalau mak yang masak, rasa masam, masin, pedas dan manis seimbang. Tiada orang boleh challenge masakan mak. Selamat hari ibu, mak.


RESEPI ASAM PEDAS REBUS IKAN KERISI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan kerisi - disiang, dibersihkan dan ditoskan
*1 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah
*1/2 inci kunyit
*2 hiris lengkuas
*2 tangkai cili kering - kalau nak pedas, boleh tambah cili padi
Semua bahan bertanda * dikisar halus dengan sedikit air

4 cawan air
5 tangkai daun kesum
1 biji tomato - dibelah empat
1 keping asam gelugur
2 sudu kecil garam atau secukupnya
3 sudu kecil gula, jika suka
1/2 sudu kecil serbuk perasa, jika suka.

Cara-cara menyediakannya

Mari kita ke dapur..


Sepasang ikan kerisi dua sejoli, duduk bersanding di atas pinggan.


Daun kesum yang dipetik di belakang rumah, asam keping, lengkuas, kunyit, bawang merah, bawang putih dan cili kering.

Cili kering, bawang putih, bawang merah, kunyit dan lengkuas dikisar halus.


Tuang bahan kisar dalam periuk dan masukkan air. Buka api. Kemudian masukkan gula, garam, serbuk perasa dan asam keping. Biarkan sehingga mendidih.

Ish ish ish.. kalau mak mentua tengok aku kisar lada kering cam gitu 👆👆, kena menyorok dalam almari. 😂😂😂


Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan seekor demi seekor ke dalam periuk.


Biarkan mereka berenang di situ seketika.


Sambil itu kita masukkan dengan lemah lembut, sopan santun dan dengan penuh gaya, mutu dan keunggulan. Eh masuk apa ni? Dok berbahasa pujangga sampai hilang ingatan nih!!

Masukkan daun kesum dan tomato 🍅 yang dibelah empat tadi. Bukan madu empat tauuu.. 🙊🙊🙊


Biarkan ia mendidih seketika, kemudian bolehlah tutup api.


Akhirnya masukkan ke dalam pinggan. Er er er pasangan ikan di atas tu memang suami-isteri ke? 😎😎😎


Jemput menjamu selera dengan rezeki yang dikurniakan seadanya.

Bismillah..

Ikan Bawal Kipas Rebus Ketuk Serai

Misi minggu ini ialah mengurangkan masakan berlemak dalam masakan. Masak rebus guna air sahaja. Rasanya sesuai dah masakan ni dengan tema, kan. 😂😂😂


Bila dimasak, rupa ikan ni tak berapa nak cantik pulak. Tapi tak apa lah ikan, beauty is in the eyes of the beholders. 😁😀😁😀


RESEPI REBUS KETUK SERAI IKAN BAWAL KIPAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan bawal kipas - disiang, dibersihkan dan ditoskan
*1/2 biji bawang merah besar
*1/2 sudu kecil lada hitam
Bahan bertanda * ditumbuk halus
4 cawan air
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur
2 sudu kecil garam atau secukupnya
2 sudu kecil gula atau secukupnya
1/2 sudu kecil serbuk perasa

Cara-cara membuatnya

Jom.. jom kita ke dapur..


Ya ke ikan ni namanya bawal kipas? Ya la kot sebab nama tu ler yang tertulis kat pelekat harga. Hehe


Ikan yang telah disiang dan dibersihkan. Kita toskan dia.


Bawang merah, lada hitam, serai dan asam gelugur. Serai tu kita ketuk sikit.


Tumbuk lada hitam sehingga lumat diikuti dengan bawang merah. Tumbuk lagi sehingga lumat.


Di atas dapur, tenggek periuk dan masukkan air, bahan tumbuk, serai yang diketuk dan asam gelugur.

Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan sehingga kuah mendidih.


Bila kuah sudah mendidih masukkan ikan.


Agak-agak ikan lambat nak masak, ko balikkanlah ikan tu ek. Biar kedua belah masak sempurna.

Bila dah masak, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidang.


Sedia untuk dimakan. Ada daging goreng untuk anak-anak dan sayur kobis serta brokoli. Ini sahaja.

Selamat menjamu selera..

Bismillah..

Sabtu, 12 Mei 2018

Kek Pisang Sukatan Cawan yang Sangat Gebu

9 Mei 2018 adalah PRU14. Dari petang dok tercongok depan tv nak dengar keputusan mengundi. Telefon yang berada di tangan dah berapa kali dah kena cas namun sampai jam 12 malam pun tak sampai separuh keputusan diumumkan. Sabor jer laa.

Pukul 4 pagi barulah tidur apabila ksu umumkan cuti umum 2 hari. Pakatan Harapan menjadi pilihan rakyat dengan majoriti mudah meranapkan dominasi Barisan Nasional selama 60 tahun.

Tun Dr Mahathir @ Tun M yang merupakan perdana menteri ke 4 di bawah BN kini dilantik sebagai PM yang ke 7 di bawah PH, pada usia 93 tahun, bagi kali kedua. Tahniah Tun.

Apa kena mengena dengan kek pisang ni? Hari ni hari cuti umum kedua, kepala dah tak ting tong dah. Jadi bolehlah godek kek pisang. Kalau tak petang-petang gini Mak Hencik buat taik mata la pulak...


Mak Hencik guna loyang 9" X 9". Kalau guna loyang 10" X 10"nipis sikit kot, tapi masih ok rasanya. 



KEK PISANG SUKATAN CAWAN YANG SANGAT GEBU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 cawan pisang yang sudah dilenyek
3 biji telur gred A
3/4 cawan gula kastor
1/4 gula perang atau 2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar ovalette
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil esen pisang atau esen vanilla
*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
*1 sudu kecil soda bikarbonat
Bahan bertanda * diayak
1 cawan minyak masak 

Cara-cara membuatnya

jom kita membaking...!



Langkah pertama mestilah kita lenyek pisang sehingga hancur. Takkan lah nak bubuh sebijik-sebijik, ya dak.. Secawan jer tau jangan lebih. 

Buat kek pisang ni kena jadi bakhil pisang. Kalau jadi pemurah pisang, nanti kek pisang kita akan jadi lembik. Senang cerita.. tak jadi ler nanti..



Di dalam bekas yang sesuai, masukkan telur, gula, garam dan ovalette serta esen vanila. Putar sehingga kembang.

Bila sudah kembang, masukkan pisang dan esen pisang. Putar lagi sehingga sebati.



Kemudian masukkan tepung yang sudah diayak dengan baking powder dan soda bikarbonat sedikit demi sedikit. Putar lagi sehingga sebati.



Akhir sekali masukkan minyak masak dan putar lagi sehingga rata. Bila sudah rata, ketepikan dulu. Kita ambil loyang yang sesuai dan sapu mentega di bawahnya dan alas dengan kertas masakan untuk memudahkan kita keluarkan kek pisang gebus nanti.



Masa ni boleh panaskan oven 180 C selama 10 minit.

Lepas tu bolehlah tuang perlahan-lahan ke dalam loyang. Kalau nak buat belang-belang pun boleh. Bahagikan saja kepada 2 atau tiga bekas dan masukkan warna yang digemari. Warna merah untuk parti Peribumi, hijau untuk PAS dan biru untuk BN. Hihihi. Ok nak tambah warna jingga pun boleh, untuk Amanah. 




Akhir sekali letakkan hirisan pisang sebagai hiasan. Tapi susahlah nak potong kalau letak pisang hiris tu. Kepada penggemar kek yang garing, takyahlah letakkan pisang hiris tu sebab dia tak garing kat bawah tu. Alahaiiii suka hati, ikut selera masing-masinglah ya, Selera tak samo...



Masukkan ke dalam oven 180 C selama 25 minit, atau ikut ragam oven masing-masing.


Kemenjadian kek pisang kita semasa ku mengintai di jendela oven. 😱😱

Jangan dok gatal tangan pergi buka oven tu pula ya, nanti bantat kek kita tu kerana suhu panas telah menurun. Bawak-bawak bersabar dan bertenang.


Setelah berbunyi ting! barulah boleh dibuka oven canggih kita tu. Kena puji oven kita tuuu supaya dia berkhidmat dengan baik. Hihi. Cucuk dengan pencucuk, tengok masak ke tak. Kalau dah licin tu masaklah. kalau kat pencucuk tu masih ada tanda basah atau tepung basah yang melekat, kena masukkan semula ke dalam ovenlah kan. Dah tak masak, nanti tak boleh makan pulakk.
Tapi oven tua Mak Hencik masih ok, dan kek pisang tu telah masak dengan elok dan sempurna..

So, bolehlah kita sajikan untuk minum petang. Jom makan.

Bismillah...