Sabtu, 17 Mac 2018

Nasi Lemak Kukus Ayam Goreng Rangup

Kelebihan memasak nasi lemak kukus atau nasi kukus ialah ia tidak berkerak. Jadi, nasi boleh dimakan sehingga ke butir yang terakhir. Perghhh..




Set nasi lemak untuk makan tengahari hari ini ialah nasi lemak kukus, sambal ikan bilis, ayam goreng rangup, telur goreng nipis, kacang tanah dan ikan bilis goreng serta timun. Perghhh..



RESEPI NASI LEMAK KUKUS AYAM GORENG RANGUP
oleh Dapur cempakasari

Bahan-bahan nasi lemak kukus

3 cawan beras basmathi
3 1/2 cawan santan
2 sudu kecil garam
2 helai daun pandan - dipotong sepanjang 4 inci

Cara-cara memasak nasi lemak kukus



Langkah 1
Basuh beras sehingga bersih dan rendam selama sekurang-kurangnya 15 minit. Kemudian toskan airnya.



Langkah 2
Di dalam bekas yang sesuai untuk mengukus, masukkan beras yang ditoskan tadi. Sukat santan secukupnya dan masukkan ke dalam bekas berisi beras. Masukkan garam dan daun pandan. Kacau sedikit supaya santan dan garam bergaul mesra dengan beras.

Itu sahajalah bahan yang Mak Hencik letak kalau masak nasi lemak kerana Mak Hencik sukakan aroma daun pandan tu. Kalau korang suka letak bawang putih dan halia ketuk, letaklah. Apa-apa pun kita yang nak makan dia, jadi kita buat ikut citarasa kita.. 😘😘



Langkah 3
Letakkan bekas tadi ke dalam pengukus dan letak timer 40 minit. Biarkan sahajalah dia di situ sehingga masak. Kita boleh masak yang lain pula.

IKAN BILIS DAN KACANG TANAH GORENG

bahan-bahan

1/2 cawan ikan bilis
1/2 cawan kacang tanah



Ikan bilis dan kacang tanah




Basuh bersih dan toskan


Panaskan minyak, kemudian goreng ikan bilis dan kacang tanah bersama-sama. Kacau-kacau selalu supaya masak sekata. 



Bila dah masak angkat.Ikan bilis dan kacang tanah yang telah siap digoreng dimasukkan ke dalam mangkuk hidangan. 💝💝

SAMBAL IKAN BILIS

bahan-bahan

10 sudu besar cili kisar
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji bawang merah besar - dihiris
2 biji lada hijau - dipotong serong
1/2 cawan ikan bilis
2 biji buah keras - ditumbuk lumat
1 cawan air
1/2 biji bawang besar Holand - dihiris
1/3 cawan gula merah
air asam jawa secukupnya
garam dan gula secukupnya

Cara masak sambal ikan bilis






bawang merah hiris, bawang putih hiris dan lada hijau hiris


air asam jawa




buah keras



Tumbuk buah keras sehingga lumat


Langkah 1
Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan cili kisar. Kacau sehingga cili kisar masak. Kalau cili tumis tak cukup masak, mungkin akan menyebabkan sakit perut memulas nak ke tandas. Orang kata laa. Tak tau betul ke tidak.



Langkah 2
Masukkan ikan bilis yang telah dibasuh bersih. Kacau sehingga sebati dengan bahan tumis kemudian masukkan air asam jawa dan air.

Masukkan juga garam, gula dan gula perang. Gula perang ni akan mencantikkan rupa sambal ikan bilis kita.

Masukkan juga buah keras yang ditumbuk lagi.



Langkah 3
Akhir sekali masukkan lada hijau dan bawang besar Holand. Kacau sedikit dan biarkan kuah sambal mereneh dan memekat.



Langkah 4
Sudah pekat sambal kita, tutup api dan masukkan ke dalam mangkuk hidangan.



Ni diaaa sambal ikan bilis. Siappp!!

AYAM GORENG RANGUP

bahan-bahan

10 ketul ayam sederhana besar
tepung goreng ayam secukupnya
air secukupnya
minyak untuk menggoreng secukupnya





Ayam dibersihkan dan ditoskan



Bancuh 1/2 cawan tepung goreng ayam dengan air, macam kita bancuh tepung goreng pisang.



Masukkan ayam ke dalam bekas bancuhan tepung goreng ayam dan gaul sebati. Perap seketika. Makin lama diperap semakin sedap jadinya.

Sementara itu boleh panaskan minyak untuk menggoreng.



Sediakan satu bekas yang mengandungi 1 cawan tepung goreng ayam. Masukkan ayam ke dalam bekas tepung tadi dan pastikan ia bersalut dengan tepung.




Ayam yang bersalut tepung.



Bolehlah digoreng di dalam minyak yang panas dengan kaedah menggoreng minyak penuh.



Sudah masak angkat dan toskan minyak. Bolehlah masukkan ke dalam pinggan hidangan. Siap!!

Telur Goreng Nipis

Bahan-bahan

2 biji telur
Sedikit minyak untuk menggoreng

Cara-cara



Pecahkan telur, godek dengan whisk.



Panaskan sedikit minyak dalam kuali, masukkan telur. Sudah garing, balikkan telur. Bila masak, angkat dan masukkan dalam pinggan.



Dah siap telur goreng nipis kita. 💖💖
Eh nasinya mana.. nasi lemak kita tadi. Dah masak ke belum?


Ni diaaaa nasi lemak kukus tadi. Mmm.. wangi asli daun pandan memberi aroma yang menyelerakan.

Jadi, apa ditunggu lagi..


Inilah set nasi lemak kukus kita pada hari ini. Haa.. ni kena tunggu anak-anak balik sekolah hari ini.

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Makan tepung bungkus,
Bela ikan kelisa;
Makan nasi lemak kukus,
Ayam goreng rangup penyedap rasa.

Jumaat, 16 Mac 2018

Nasi Goreng Segera

"Hari ni saya balik lambat, meeting belum habis."

Alamak!
Terkejut pula bila baca wassap dari suami. Kalau dia balik lambat, biasanya dia lapar. Mesti dia nak makan. Kebetulan hari ni aku tak masak pula. Harunya.. harunya..

Apa perlu dibuat ni, ya Allah? Tetiba teringat ada nasi baki pagi tadi. Kalau nak masakan yang cepat, nasi gorenglah jawapannya. 

"Nak nasi goreng tak?"
"Nak. Saya otw balik."
Alamak!



NASI GORENG DAGING BURGER 
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

3 cawan nasi sejuk
1 keping daging burger - dicincang
2 batang sosej - dipotong serong
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji bawang merah - dihiris
2 biji lada hijau - dipotong serong
2 inci karot - dihiris halus
3 sudu besar kicap manis
Sedikit serbuk lada sulah
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jomlah kita memasak...




Bahan utama, nasi putih




Antara bahan-bahannya seperti bawang putih, bawang merah, lada hijau, karot, daging burger cincang dan sosej yang telah dipotong serong.




Mula-mula kita panaskan kuali. Masukkan sedikit minyak masak dan tumis bawang putih serta bawang merah. Kacau sedikit. Bila sudah layu, masukkan pula lada hijau. Kacau lagi.



Masukkan pula daging burger cincang. Renjiskan serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam. Kacau sehingga daging burger separuh masak.




Seterusnya masukkan pula sosej. Kacau lagi sehingga sosej masak.




Selepas itu masukkan pula karot. Kacau lagi.



Akhir sekali masukkan nasi. Masukkan juga garam dan gula secukupnya. Renjis sedikit lagi serbuk lada  sulah dan serbuk lada hitam. Masukkan sedikit kicap untuk memeriahkan warna nasi goreng kita. Kacau lagi. Lagi. Lagi dan lagi sehingga semuanya bergaul rata dan mesra.



Yeaaaaa.. ini dia hasil masakan kita. Bolehlah kita hidangkan bersama telur goyang, timun dan tomato 🍅🍅. Sedapnya nikmat Allah ini.

Jemput makan kawan-kawan..

Makan sosej makan burger,
Nak makan apa lagi mak bertanya;
Biarpun nasi goreng hanya bubuh daging burger,
Rezeki Allah, tetap sedap rasanya.

Bismillah..

Khamis, 15 Mac 2018

Masak Lemak Putih Cendawan Santan Berketul huhu

Cendawan atau dalam bahasa omputehnya mushroom 🍄🍄 ni memang sedap apabila dimasak lemak putih. Ada juga cendawan yang tak sedap iaitu cendawan yang tak dimasak. Kalau tak dimasak memang ler tak sedap cik kak oii.


Hari ini masak lemak putih Mak Hencik berketul-ketul santannya kerana masalah hilang ingatan.. ku pos juga masakan ini sebagai kenangan.. huhuhu. Siapalah yang sempurna, kecuali Dia..


RESEPI MASAK LEMAK PUTIH CENDAWAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya
  
250gm cendawan - disiat
1 biji bawang merah - ditumbuk
1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
3 cawan santan
2 biji cili hijau - dipotong serong
2 inci karot - dihiris halus
Segenggam ikan bilis
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom ke dapur.. sediakan bahan-bahan dulu


Bahan utama, cendawan disiat.


Bawang merah, lada hitam, ikan bilis, karot hiris, lada hijau dan santan.


Mula-mula tumbuk lada hitam sehingga lumat. Kemudian masukkan bawang dan tumbuk pula bawang sehingga lumat. Ketepikan.

Menumbuk sekali-sekala ni.. hadoii lemah longlai tubuh badan Mak Hencik.. bertabahlah.


Di dalam periuk ke kuali ke.. kalau banyak boleh guna kawah hu hu, masukkan santan dan bahan tumbuk tadi. Buka api.


Masukkan ikan bilis. Masukkan juga garam dan gula kalau suka secukupnya. Kacau selalu supaya santan tak berketul. Biarkan sehingga santan mendidih.


Sambil tu hiris lada hijau. Tapi ingat, santan tu kena kacau selalu.


Bila sudah mendidih, masukkan lada hjau dan karot. Kacau lagi.

Tapi tengoklah santan Mak Hencik. Tak ingat tadi, asyik dok mengelap dapur, terlupa akan santan tu.. sesak dada ni nengoknya. Huhuhu.


Kemudian masukkan pula cendawan yang telah disiat tadi. Kacau lagi.


Biarkan sehingga mendidih lagi. Sambil tu terus kacau supaya santan tidak berketul. As for me.. huhuhu..

Bila cendawan sudah masak, bolehlah ditutup api.


Wahhh mudahnya menyediakan masak lemak putih ni.

Jom makan kawan-kawan.

Bismillah..

Roti Gulung Sardin Celup Tepung

Kalau inti sambal sardinnya sedap, maka sedaplah roti gulung kita ini. 💓💓💓 Apa kata kita bubuh mayonaise dalam sambal sardin kita?




Apabila menggunakan bancuhan tepung untuk menggoreng, ia akan jadi rangup. Kalau tak nak guna bancuhan tepung, boleh salut dengan telur yang dipukul sedikit. Kita yang nak makan, kan. Boleh ajer tukar-tukar ikut selera kita.. 😎😎



RESEPI ROTI GULUNG SARDIN CELUP TEPUNG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus roti sandwich
1 tin sardin
2 biji bawang putih - dihiris
1/2 biji bawang Holand - dicincang
2 sudu besar cili giling
3 sudu besar mayonaise
Sedikit air asam jawa

2 sudu besar tepung dibancuh dengan sedikit air - sebagai pelekat
1 cawan air dibancuh dengan 2 sudu besar tepung gandum - untuk dicelup roti gulung dan digoreng.

Cara-cara membuatnya

Jommmmmmmm




Bawang putih hiris, bawang besar Holand cincang dan cili kisar


Air asam jawa


Sardin, sos diambil separuh sahaja


Buang tulangnya dan hancurkan ia.

Cara menyediakan sambal sardin



Mula- mula tumis bawang putih, bawang besar Holand dan cili kisar. Kacau sehingga bawang layu dan cili kisar masak.

Kalau nak pedas, tambah cili api. Haaa.. biar berapi mulut kita.



Kemudian masukkan sardin hancur dan air asam jawa. Kalau rasa kering sangat, masukkan sedikit air. Kacau sehingga sebati.



Lepas tu masukkan pula mayonaise. Kacau lagi sehingga rata. Kacau sekali sekala sehingga air kering.



Bila air sudah kering, bolehlah tutup api. Mak Hencik tidak tambah sebarang perasa seperti garam dan gula. Pada Mak Hencik rasanya sudah ok. Kalau korang nak tambah, bolehlah tambah garam-gula ikut selera ya..



Sambal sardin yang sudah siap dimasukkan ke dalam bekas untuk proses seterusnya.

Cara-cara buat roti gulung



Mula-mula kena buat bancuhan tepung dan air ni pekat sikit. Berfungsi untuk melekatkan roti.



Nipiskan roti keping menggunakan torak.



Letak dan sapukan sambal sardin di atas roti yang dinipiskan.



Gulung roti dan lekatkan tepinya menggunakan bancuhan tepung.



Buat sampai habis.



Mak Hencik suka saiz yang kecil, jadi Mak Hencik potong dua.



Biarkan seketika.

Jom kita bancuh tepung untuk menggoreng pula.



Masukkan air dan tepung gandum dalam bekas adunan. Kacau menggunakan whisk sehingga tidak berbintil. Bancuhan agak cair juga.

Sementara itu, sekarang boleh panaskan minyak untuk menggoreng.



Celupkan roti gulung ke dalam bancuhan tepung.



Bila minyak sudah betul-betul panas, bolehlah mula menggoreng.



Balikkan roti gulung kita bila sudah garing. Pastikan tepungnya garing untuk menghasilkan rasa yang rangup.



Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak. Hidangkan dan sedia untuk dinikmati..

Pergi kenduri rumah Pak Din,
Pakai baju banyak butang;
Roti gulung sambal sardin,
Buat hidangan minum petang.

Jemput makan kawan-kawan

Bismillah..