Resepi pisang goreng ini saya dapat dari mak. Zaman dulu mana ada tepung goreng pisang segera macam yang ada pada hari ini. Yang paling saya suka adalah kupingnya. 😍😍 Krup krup apabila dimakan. Sedap...
Suami Mak Hencik juga hantu goreng pisang. Jadi kerap jugalah Mak Hencik buka gerai goreng pisang di rumah. 😀😀 Kadang-kadang petang, kadang-kadang malam. Bila dia dah beli pisang tu, maknanya kena buka gerailah tu.. 😂😂
RESEPI PISANG GORENG BERKUPING
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
10 biji pisang nangka
2 1/2 cawan tepung beras
1 1/3 cawan air
1 biji telur ayam
1 sudu kecil kapur - dicampur dengan 1/2 cawan air
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
Beberapa titis pewarna kuning
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Cara-cara mebuatnya
Jom jom jom
Antara bahan yang digunakan, tepung beras, air kapur, air dan telur itik. Bahan yang tidak berselfie ialah gula, garam dan pewarna kuning.
Caranya mudah sangat. Campur jer semua bahan tu dan kacau sampai sebati. Jangan ada yang berketul-ketul tu. Mak Hencik guna whisk.
Telur itik tu boleh jer tukar ke telur ayam. Kebetulannya Mak Hencik ada stok telur itik, jadi Mak Hencik pun gunakanlah.
Kalau rasa cair sangat, tambahlah tepung sikit. Kalau rasa pekat sangat pula, boleh tambah air sikit. Ketepikan dulu.
Masa ni dah boleh panaskan minyak dalam kuali.
Pisang dibuang kulit dan dibelah dua. Oleh kerana pisang ni panjang, Mak Hencik potong lagi dua. Korang potonglah ikut suka korang ya. Mohon jangan dilenyek pula. Kita nak goreng, bukan nak buat cekodok.
Selepas tu bolehlah kita merendam beberapa ketul pisang ke dalam adunan yang kita buat tadi.
Apabila minyak sudah betul-betul panas, bolehlah kita mula menggoreng.
Balikkan apabila sudah garing.
Apabila sudah masak, angkat dan toskan minyak.
Gorenglah sampai habis. Lepas tu bolehlah dimakan. Ada pula air teh O. Ooo la la
Jemput makan jom.
Bismillah..