Ahad, 31 Disember 2017

Cucur Sayuran yang Ringkas dan cepat

Begitu ringkas.. begitu mudah.. begitu cepat. Tepung dibancuh dan ditambah sedikit sayur-sayuran.




Sambil menonton tv waktu petang, mulut rasa nak mengunyah pula. Terus sahaja ke dapur dan melihat bahan-bahan dalam peti ais. Teringat pula dekat Mak Cik yang jual pasembor berhampiran rumah lama.



Sambil berbual, cepat pula tangannya mencampur bahan cucur udang. Bahannya biasa sahaja tetapi kenapa rasanya sedap? Mungkin kerana minyak goreng yang sama.. Korang rasa kenapa..?



CUCUR SAYURAN YANG RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
Sedikit garam
Sedikit udang kecil - dibuang kulit
Sedikit karot - disagat
Sedikit tauge
Sedikit daun bawang - dipotong halus
Sedikit daun sup - dipotong halus
Sedikit bawang merah besar
Sedikit pewarna kuning jika suka

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom



Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung, tauge, daun sup, daun bawang, bawang merah, karot, udang, telur dan air. Kacau sehingga sebati.

Oh lupa pulak, masukkan garam sekali.



Nampak pucat pula cucur sayuran ni. Baik Mak Hencik masukkan warna kuning. Tapi tengok-tengok habis pula pewarna kuning. Mmm... Ambil warna oren pun jadilah. Hehe



Kacau sehingga sebati.

Sementara itu kita sudah boleh mula panaskan minyak dalam kuali.



Apabila minyak sudah panas, bolehlah kita menggoreng cucur sayuran kita. Balik-balikkan dan angkat apabila sudah masak. Toskan minyak.

Goreng lagi cucur sayuran sehingga habis adunan.



Sudah masak!




Sangat sedap dicicah dengan sos cili Thai. Makan pula semasa masih panas. Jemput makan kawan-kawan semua.

Bismillah..

Khamis, 28 Disember 2017

Gulai Lemak Udang Tiga Langkah yang Ringkas dan Sedap

Hidangan yang enak dan lazat siap dalam satu, dua dan tiga langkah mudah. Oh mudahnya..!


Si dia hari ini kurang sihat dan tiba-tiba teringin makan nasi dengan gulai udang. Gulai yang macam mak buat tu.. katanya. Adusss..


Gulai lemak sedap tu.. yang macam mak buat tu.. Adusss apa perlu dibuat nih. Berpeluh rasanya..

Jangan bubuh apa-apa, bubuh udang jer.. pot pet pot pet pot pet.. yang macam mak buat tu.. Adusssss.. tiba-tiba rasa nak ketawa pula..


GULAI LEMAK UDANG YANG RINGKAS DAN SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

12 ekor udang saiz besar
3 cawan santan (Mak Hencik guna 1 cawan santan kotak + 2 cawan air)
1 keping asam gelugur atau asam keping
2 biji lada hijau atau lada merah

*1/2 biji bawang merah besar
*1 biji bawang putih
*3 tangkai cili kering - dibuang biji, dipotong kecil dan direndam dalam air sekejap
*1/2 inci kunyit
*1 hiris halia
*1 hiris lengkuas
Bahan bertanda* dikisar halus

Cara-cara membuatnya

Meh ler kita ke dapur


Udang laut rasanya ni kan. Dibuang muncungnya. Entah apalah orang panggil. Janggut misai semua dibuang. Jangan guna pencukur sudah ya adik-adik.. Nak buang banyak, nak buang sikit, nak buang muncung tinggal mata pun terpulang. Suka hati kita la kan. La la la la la


Cili kering, bawang putih, bawang merah, kunyit, lengkuas, dan halia dikisar halus.

Cili kering dibuang biji dan direndam dalam air untuk melembutkannya. Kalau ada air panas, rendam dalam air panas. Lagi cepat dia lembut. Kalau nak pedas, boleh tukar dengan cili padi. Ikut suka kita la kan. La la la la la


Lada hijau. Boleh ganti dengan lada merah atau cili akar. Ikut suka kita la kan. La la la la la

Langkah 1
Sediakan bahan-bahan untuk memasak.



Langkah 2
Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar, asam keping dan cili hijau. Buka api dulu.  Kadang-kadang terlupa, pastu hairan kenapalah tak mengelegak nih. Hehe

Kacau selalu supaya tidak berketul-ketul santannya. Kacau sehingga mendidih.


Kuah nampaknya sudah mendidih


Langkah 3
Bila kuah sudah mendidih, masukkan udang. Masukkan garam secukupnya.Kalau biasa masak bubuh gula, bubuhlah sedikit. Kalau tak biasa, tak usah bubuh gitew. Terus dikacau ya. 

Apabila sudah mendidih, udang pun sudah masak dan rasa pun sudah sedap, bolehlah ditutup api.


Udang sudah separuh masak. Kacau lagi.


Udang sudah masak. Tak Tahula cara korang. My mom bagitahu Mak Hencik kalau ekor udang tu dah bertemu kepala dia, haaaa sudah masaklah udang tu. Hihi


Sang udang terbaring seksi di dalam periuk. Merayu-rayu minta dimasukkan ke dalam mangkuk hidangan.


Gulai lemak udang kita sudah sedia untuk dijadikan lauk hidangan. Jom kenkawan.. 
Jemput makan..

Bismillah..

Ahad, 24 Disember 2017

Ikan Singgang Enam Ringgit Tiga Puluh Lima Sen

Mudahnya masak singgang. Masakan yang menggamit kenangan lalu.. teringat kat mak di kampung.


Pergi pasaraya kecil berhampiran rumah nak cari bahan masak. Dari pagi tadi lagi dok sibuk memotong baju uniform sekolah anak. Seminggu lagi nak buka sekolah dah.


Tilik-tilik ikan beraneka jenis sambil tu mata meliar tengok harga ikan. Udang besar rm35, sotong rm29, ikan patin rm6, ikan tongkol rm12, ikan kerisi rm15, ikan mambong rm19, ikan selar rm19 setiap sekg. Wahh boleh tahan juga harganya.


Oleh kerana perut dah terasa sangat laparnya, maka Mak Hencik pun ambillah seekor ayam dan dua ekor ikan mambong. Ikan mambong dua ekor tu harganya rm6.35 sen. Huhu


SINGGANG IKAN 6 ringgit 35 sen
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan mambong - dikerat 2
3 cawan air
4 ulas bawang putih - dimayang
1/2 biji bawang merah besar - dimayang
1/2 inci lengkuas - dihiris nipis
1 biji lada merah - dipotong serong
1 keping asam gelugur
6 biji bendi
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya


Cara-cara membuatnya


Bahan-bahan untuk memasak

Ikan mambong dikerat dua. Korang boleh gantikan dengan ikan-ikan lain seperti ikan selar, tongkol, selayang, sardin atau mana-mana ikan laut yang sesuai.


Di dalam periuk, masukkan ikan diikuti dengan air, bawang merah, bawang putih, lengkuas, lada merah dan asam gelugur.

Lada merah tu boleh digantikan dengan lada hijau atau cili padi atau cili kering pun boleh.

Masukkan juga garam, gula (optional) dan serbuk perasa (optional). Biarkan sampai mendidih.


Sementara itu, basuh bendi. Potong bendi dan masukkan di dalam bekas berisi air supaya tidak berlendir.


Apabila kuah tengah mendidih, masukkan bendi tersebut. Kacau sedikit dan tunggu bendi masak.


Apabila bendi telah masak, bolehlah rasa dulu sebab kita nak masakan kita sedap. Tambahlah mana yang kurang..


Bila dah sedap segala, bolehlah tutup api.


Hidangkanlah ikan singgang kita di dalam mangkuk. Ikan singgang sangat sedap dimakan dengan budu atau sambal belacan dan ulam-ulaman.

Bawa mari pinggan nasi tu...

Jemput makan kawan-kawan.

Bismillah..

Sabtu, 23 Disember 2017

Mee Kuah Bebola Daging yang Sedap Terangkat

Rasa sedap mee kuah ini terletak pada bebolanya dan cip cip cip lada sulahnya..




Apabila pulang dari sekolah, rasa terliur sangat untuk makan mee kuah yang dijual di kedai mee. Kedai mee tersebut dimiliki oleh Kak Dah dan Abang Mat. Abang Mat ni merupakan askar pencen dan membantu isterinya Kak Dah. Kak Dahlah tukang masaknya. Mee kuah pun orang panggil mee kuah Kak Dah. Mee kuah yang paling popular di kampung ketika itu.


Kak Dah membuat kuah meenya dari rebusan daging dan tulang lembu. Daging dan tulang lembu direbus lama sehingga lembut. Daging tersebut akan Kak Dah hiris nipis dan diletakkan di dalam mee. Sedapnya mee kuah daging Kak Dah ni.


Kak Dah juga letakkan kobis yang dihiris halus memanjang. Hirisan kobis menjadi lembut apabila direndam dengan kuah daging mee kuah. Kemudian dia akan taburkan sedikit bawang goreng dan daun sup. 


Cip cip cip. Cip cip cip. Bunyi lada sulah yang direnjis ke dalam mee. Akhirnya dia akan tanya nak pedas ke tidak. Kalau nak pedas, dia akan masukkan sesudu kecil air lada, iaitu cili yang dikisar dengan sedikit cuka. Mmm..sedapnya. Pada ketika itu,tahun 80 an, harga yang dijual adalah serendah 30 sen.


RESEPI MEE KUAH BEBOLA DAGING YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

800 gm mee kuning - dicelur dan ditoskan airnya

2 liter air
20 biji bebola daging - dibelah dua
Sedikit ayam bertulang - dipotong kecil

6 ulas bawang putih - diketuk
1 biji bawang merah besar - dimayang

1 sudu kecil lada putih - ditumbuk halus
1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk halus

sedikit kobis - dipotong kecil
sedikit karot - dipotong halus memanjang
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

sedikit daun sup dan daun bawang 
sedikit bawang goreng
Kicap pedas kalau suka


Cara membuatnya

Jomlah kita memasak di dapur..


bebola daging


tulang ayam


Langkah 1
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih serta bawang merah.


Langkah 2
Bila bawang sudah layu dan berwarna kekuningan, masukkan isi ayam. Kacau seketika. Biarkan ayam separuh masak.



Langkah 3
Masukkan bebola daging. Kacau seketika.


Langkah 4
Masukkan air. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa.
Masukkan juga lada hitam dan lada sulah yang ditumbuk. Kacau sebati.
Tunggu sehingga kuah mendidih. Sehingga ayam dan bebola daging masak sempurna.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan sayur-sayuran. Mak Hencik guna kobis dan karot. Lada hijau yang dipotong serong pun dimasukkan sekali. Pastu tutup api.

Korang boleh pilih nak sayur apa. Sawi ke, tauge ke, terpulanglah...


Kuah mee kuah bebola daging yang sudah siap. Bersedia untuk berkhidmat mengisi perut makhluk yang kelaparan.


Hidangan untuk mee kuah bebola daging. Jangan lupa cip cip cip lada sulah tu..


Semangkuk mee kuah bebola daging


Gaul dulu sikiiittt


Jemput makan semua..  lagi sedap ya kalau kita letak kicap pedas.. mmm.. terangkat!

Bismillah..