Guna sardin di dalam tin, jalan pintas untuk buat kuah laksa penang. Rasanya pun sedap.. tahap gaban nih!
Tak kenal maka tak cinta. Begitulah diibaratkan kisah percintaanku dengan laksa Penang. Biasa makan laksa yang halus lembut tu, tetiba hari tu kena makan laksa besar dan licin pula tu. Adoiii apakah ini? Kupanggil dia laksa gemok sebab besar saiznya. Hehe
Sesudah beberapa kali makan laksa gemuk ni, ditambah pula dengan kuahnya yang sedap, maka tergeraklah hati nak membuatnya sendiri. Tapi lecehnya bab nak asingkan isi ikan dan tulangnya tu.
Terima kasih banyak-banyak kepada Huda yang ajarkan diriku buatkan kuah laksa Penang guna sardin tin ni. Kalau tetamu datang mengejut pun boleh masakkan sebab mudah dan cepat.
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
bahan laksa
2 keping laksa kering - direndam, direbus dan ditoskan
Bahan kuah laksa
1500 ml air
*2 ekor ikan - direbus. Mak Hencik guna ikan sardin atau selayang.
*1 tin besar sardin - dibuang sosnya.
bahan bertanda * dikisar halus
**1 biji bawang merah besar
**2 ulas bawang putih
**7 tangkai cili kering
Bahan bertanda ** dikisar halus
1 sudu besar otak udang
3 keping asam gelugur atau secukupnya
7 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan - dibelah 4
garam secukupnya
ulaman dan aksesori laksa
telur rebus secukupnya
sedikit timun jepun - disagat
sedikit bawang merah besar - dihiris halus
sedikit daun salad - dihiris kasar
sedikit cili padi - dihiris halus
sedikit limau kasturi - dibelah dua.
Cara-cara membuatnya
Jom jom jom kita ke dapur
Langkah 1
Rendam laksa kering di dalam air dan masukkan sekeping asam gelugur. Ini petua dari kawan Raza. Katanya untuk memutihkan laksa. Nanti cantik laksa kita. I follow. Seeloknya rendam semalaman, tetapi Mak Hencik rendam beberapa jam sahaja.
Lepas tu Mak Hencik rebus bersama telur. Sudah masak, toskan airnya.
Langkah 2
Sediakan bahan untuk memasak seperti bawang putih, bawang merah, cili kering, daun kesum dan bunga kantan. Asam keping dan otak udang tidak sempat berselfie.. huhu. Oh ya.. kalau suka boleh juga dimasukkan sedikit belacan.
Langkah 3
Bawang putih, bawang merah, cili kering dikisar halus. Kalau nak pedas, tambahlah cili kering tu ya. Cili padi ke, suka hati uols ya.
Langkah 4
Di dalam periuk, masukkan air, bahan kisar, daun kesum dan bunga kantan yang dibelah empat. Daun kesum tu boleh diceraikan daun dengan batangnya atau boleh jer kalau nak masukkan dengan tangkainya sekali. Kalau ada yang tegur atau marah,tanya kau naper buat gitu, naper buat gini, aku buat gitu.. aku buat gini.. kau hempuk kepala dia dengan senduk. Rasa-rasa dia diam tak?
Masukkan juga asam keping, garam dan serbuk perasa (optional). Lepas tu biar jer mereka berenang-renang dalam periuk sehingga mendidih. Mereka nak bermesra ke, nak berjimba ke, biarkan ajerrr..
Ni ikan yang telah direbus dengan sedikit garam, asam dan air. Mak Hencik nak buat ikan rebus goreng. Mak Hencik kipnap 2 ekor. Kalau tak ada tak apa.
Sardin dalam tin dibuang semua sosnya, dibersihkan. Ikan rebus tu pulak diasingkan isi dengan tulang. Ambil isi sahaja, tulang boleh bagi kucing meow makan.
Boleh buang tulang sardin tu kalau nak. Mak Hencik ni nak ringkas. Hahhh ringkas sungguh lerr Jah oii.
Langkah 5
Kisar sardin dan isi ikan dengan air sehingga hancur lumat. Sehingga tidak dapat membezakan antara isi dengan kulit. Inilah masanya nak jadi kejam. Huhu
Langlah 6
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ikan kisar tadi. Kacau perlahan-lahan jangan sampai tumpah.
Langkah 7
Masukkan juga otak udang. Otak udang ni dibeli siap di kedai. Ada jual. Bagi duit kat tuan kedai, dapatlah benda tu.
Langkah 8
Biarkanlah sehingga mendidih sambil dikacau sekali-sekala. Boleh juga nak menyanyi-nyanyi terutamanya kepada anak-anak dara. Mana tau boleh dapat kahwin dengan datuk you...
Bila dah mendidih rasalah dulu.. kecuali puasa..
Langkah 9
Sementara menunggu kuah laksa mendidih, kita boleh sediakan bahan aksesori laksa seperti telur rebus, bawang merah besar hiris, timun sagat, cili padi dan daun salad. Limau kasturi sekali kalau ada.
Tu diaaaa kuah laksa dah siap.
Masa untuk makan. Masukkan sedikit laksa dalam mangkuk.
Letakkan ulam-ulaman dan telur rebus.
Tuangkan kuah laksa ke dalamnya. Kalau suka kuah sikit, bubuhlah sikit sahaja. Kalau suka kuah banyak sebab suka hirup, bubuhlah banyak kuahnya. Ikut suka, ikut selera.
Inilah hidangan kita hari ni. Kuah laksa penang ni sangat sedap sekali kalau kita biarkan semalaman sebelum makan. Nak makan esok, buatlah malam ni. Pagi esoknya panaskan dan boleh dimakan. Rasa asam garamnya sebati dan sedap jadinya.
Sila.. Sila.. Silakan makan kawan-kawan..
Bismillah..