Boleh hirup kuah yang sedap dari sudu sampai ke mangkuk.
Patriot ialah peluru berpandu US manakala Scud ialah peluru berpandu Iraq. Kami semua sebulat suara, sehati sejiwa memilih Scud. Kenapa? Hahaha. Kenapa?
Scud ialah sebuah gerai tom yam kecil yang bertempek dekat dengan kolej kediaman pusat matrikulasi kami. Petang-petang selepas habis kelas, kami akan ke sini untuk membeli makanan masakan panas Thai. Beli bungkus dan bawa balik untuk di makan di asrama.
Selalunya bila nak ke gerai ni, banyaklah order dari kawan-kawan juga. Jadi, kiri dan kanan tangan ni penuh membimbit plastik yang berisi makanan yang dibungkus dengan kertas berlilin. Zaman tu belum ada polisterina lagi. Kalau Scud tutup susah betul hati kami. Susah untuk cari makan. Hihihi
MEE TOM YAM CAMPUR
oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
1 kg mee kuning - dicelur dan ditos
1 ketul isi ayam - dipotong kecil
9 ekor udang
3 sudu besar pes tom yam
5 biji cili padi - diketuk
2 batang serai - diketuk
3 tangkai daun ketumbar - Mak Hencik gantikan dengan daun sup
5 helai daun limau purut
3 hiris kulit limau purut - optional
2 sudu besar jus limau nipis
5 cawan air atau secukupnya
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
1 biji tomato - dipotong 6
sedikit batang seleri - dipotong serong
sedikit bunga kobis - dipotong kecil
sedikit karot - dipotong memanjang
sedikit kobis - dipotong kecil
Untuk hiasan
sedikit daun sup dan daun bawang
sedikit bawang goreng
Daun limau purut, serai, cili padi, daun sup dan buah limau purut untuk diambil kulitnya guna peeler. Ambil kulit yang hijau sahaja.
Isi ayam dan udang
Pes tom yam yang Mak Hencik guna
Pes tom yam
kobis, bunga kobis, karot, seleri dan tomato
Jus limau nipis
Langkah 1
Sediakan bahan-bahan yang akan digunakan dalam masakan.
Langkah 2
Sediakan sebuah periuk. Masukkan air. Buka api dapur.
Masukkan pes tom yam, serai, cili padi, dan hirisan daun ketumbar.
Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan sehingga mendidih.
Sayang sungguh dapur Mak Hencik kehabisan daun ketumbar. Pergi pasar raya petang semalam pun, kehabisan stok daun ketumbar. Jadi Mak Hencik gantikan dengan daun sup. Daun ketumbar ni akan membangkitkan lagi bau keenakan tom yam. Tapi tak apa, gunakan yang mana ada, mak redha..
Langkah 3
Bila sudah mendidih, masukkan binatang kita iaitu ayam. Biar isi ayam masak.
Langkah 4
Kemudian masukkan pula seleri dan tomato.
Langkah 5
Masukkan juga daun limau purut yang diramas sedikit. Mmm bau limau purut pun dah keluar. Masukkan juga kulit limau purut kalau ada. Kalau tak ada tak payah bubuh pun tak apa.
Bubuh kulit limau purut ni kakak tukang masak yang kerja dekat kantin di pusat matrikulasi Mak Hencik dulu. Sembang-sembang dengan dia.. sambil dok tunggu makanan siap, sambil dia memasak. Hehe
Langkah 6
Masukkan jus limau nipis.
Langkah 7
Masukkan udang. Kacau sekejap dan biarkan udang masak.
Langkah 8
Akhir sekali, masukkan sayur-sayuran seperti kobis, bunga kobis dan karot.
Langkah 9
Biarkan seketika dan boleh tutup api.Tak payah lama-lama sebab nanti sayur jadi lembik pulak. Sebelum tutup api tu rasalah dulu sedap ke tidak. Mmm.. sedap!
Langkah 11
Masukkan tom yam campur ke dalam mangkuk besar. Sediakan juga daun sup dan daun bawang yang dihiris halus serta bawang goreng.
Langkah 12
Mee kuning jangan dilupa. Mula-mula basuh mee kuning beberapa kali. Kemudian celur sekejap di dalam air panas dan toskan.
Langkah 13
Ambil satu mangkuk kecil.. Masukkan mee kuning. Masukkan kuah tom yam beserta dengan udang, ayam dan sayuran kegemaran. Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Sudah siap masakan kita. Jemput makan semua..
Bismillah..