Selasa, 12 Disember 2017

Mee Tom Yam Stail Rebus yang Sedap dengan langkah bergambar

Boleh hirup kuah yang sedap dari sudu sampai ke mangkuk. 

 

Patriot ialah peluru berpandu US manakala Scud ialah peluru berpandu Iraq. Kami semua sebulat suara, sehati sejiwa memilih Scud. Kenapa? Hahaha. Kenapa?


Scud ialah sebuah gerai  tom yam kecil yang bertempek dekat dengan kolej kediaman pusat matrikulasi kami. Petang-petang selepas habis kelas, kami akan ke sini untuk membeli makanan masakan panas Thai. Beli bungkus dan bawa balik untuk di makan di asrama.

Selalunya bila nak ke gerai ni, banyaklah order dari kawan-kawan juga. Jadi, kiri dan kanan tangan ni penuh membimbit plastik yang berisi makanan yang dibungkus dengan kertas berlilin. Zaman tu belum ada polisterina lagi. Kalau Scud tutup susah betul hati kami. Susah untuk cari makan. Hihihi


MEE TOM YAM CAMPUR
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg mee kuning - dicelur dan ditos

1 ketul isi ayam - dipotong kecil
9 ekor udang
3 sudu besar pes tom yam
5 biji cili padi - diketuk
2 batang serai - diketuk 
3 tangkai daun ketumbar - Mak Hencik gantikan dengan daun sup 
5 helai daun limau purut
3 hiris kulit limau purut - optional
2 sudu besar jus limau nipis
5 cawan air atau secukupnya
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

1 biji tomato - dipotong 6
sedikit batang seleri - dipotong serong
sedikit bunga kobis - dipotong kecil
sedikit karot - dipotong memanjang
sedikit kobis - dipotong kecil

Untuk hiasan
sedikit daun sup dan daun bawang
sedikit bawang goreng



Daun limau purut, serai, cili padi, daun sup dan buah limau purut untuk diambil kulitnya guna peeler. Ambil kulit yang hijau sahaja.

Isi ayam dan udang

Pes tom yam yang Mak Hencik guna

Pes tom yam

kobis, bunga kobis, karot, seleri dan tomato

Jus limau nipis

Langkah 1
Sediakan bahan-bahan yang akan digunakan dalam masakan.


Langkah 2
Sediakan sebuah periuk. Masukkan air. Buka api dapur. 
Masukkan pes tom yam, serai, cili padi, dan hirisan daun ketumbar. 
Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan sehingga mendidih.

Sayang sungguh dapur Mak Hencik kehabisan daun ketumbar. Pergi pasar raya petang semalam pun, kehabisan stok daun ketumbar. Jadi Mak Hencik gantikan dengan daun sup. Daun ketumbar ni akan membangkitkan lagi bau keenakan tom yam. Tapi tak apa, gunakan yang mana ada, mak redha..


Langkah 3
Bila sudah mendidih, masukkan binatang kita iaitu ayam. Biar isi ayam masak.


Langkah 4
Kemudian masukkan pula seleri dan tomato.


Langkah 5
Masukkan juga daun limau purut yang diramas sedikit. Mmm bau limau purut pun dah keluar. Masukkan juga kulit limau purut kalau ada. Kalau tak ada tak payah bubuh pun tak apa.

Bubuh kulit limau purut ni kakak tukang masak yang kerja dekat kantin di pusat matrikulasi Mak Hencik dulu. Sembang-sembang dengan dia.. sambil dok tunggu makanan siap, sambil dia memasak. Hehe


Langkah 6
Masukkan jus limau nipis.


Langkah 7
Masukkan udang. Kacau sekejap dan biarkan udang masak.


Langkah 8
Akhir sekali, masukkan sayur-sayuran seperti kobis, bunga kobis dan karot.


Langkah 9
Biarkan seketika dan boleh tutup api.Tak payah lama-lama sebab nanti sayur jadi lembik pulak. Sebelum tutup api tu rasalah dulu sedap ke tidak. Mmm.. sedap!


Langkah 11
Masukkan tom yam campur ke dalam mangkuk besar. Sediakan juga daun sup dan daun bawang yang dihiris halus serta bawang goreng.


Langkah 12
Mee kuning jangan dilupa. Mula-mula basuh mee kuning beberapa kali. Kemudian celur sekejap di dalam air panas dan toskan.


Langkah 13
Ambil satu mangkuk kecil.. Masukkan mee kuning. Masukkan kuah tom yam beserta dengan udang, ayam dan sayuran kegemaran. Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Sudah siap masakan kita. Jemput makan semua..

Bismillah..

Isnin, 11 Disember 2017

Ikan patin masak tempoyak kampungku

Hidangan zaman kanak-kanak yang tetap ku gemari dari dahulu sehingga kini..



Pada ketika itu, asam pedas tempoyak nenek panggil, selalu dimasak menggunakan ikan-ikan sungai seperti ikan kelah, ikan jelawat, baung dan patin. Ada banyak jenis ikan sungai lagi yang aku pun tidak ingat namanya.


Masak tempoyak tu biasanya ditemani oleh pelbagai jenis daun pula. Antaranya daun yang paling kuingat ialah daun pepijat. Kenapa agaknya aku tidak dapat melupakannya? Kerana baunya seakan-akan bau pepijat di bawah tilam. Biar betik? Yuppp! Memang betik. Itulah antara menu masakan nenekku dahulu.


Namun begitu, aromanya apabila dimasukkan dalam masak tempoyak ni memang terangkat bertingkat-tingkat. Hehe.. Malangnya daun pepijat ni sukar didapati kerana hidup di kawasan hutan pedalaman dan tidak hidup pula bila ditanam di kawasan kediamanku.


IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ketul ikan patin
*2 inci kunyit hidup
*5 biji cili padi
Bahan bertanda * dikisar halus

1 keping asam gelugur
5 sudu besar tempoyak
4 cawan air
4 tangkai daun kesum
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom masak sama-sama

 Air beras, garam dan asam jawa


Langkah 1
Basuh ikan patin menggunakan air beras, garam dan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Basuh sehingga bersih dan tos kan airnya. Ketepikan.

Mymum yang ajar Mak Hencik begitu caranya basuh ikan darat yang berbau hanyir. Mak Hencik ikut jer cakap mak. Saaaaayang mak.

 Tempoyak

 Daun kesum

 Kunyit hidup dan cili padi secukupnya


Langkah 2
Kisar cilipadi dan kunyit sehingga hancur berkecai seperti kaca terhempas ke batu.. Mmm.. frust sangat bunyinya terr.. Kalau nak pedas, tambahlah cili padi tu. Kalau tak nak pedas, kurangkan sahaja cili tu ya..

Sediakan juga tempoyak dan daun kesum. Daun kesum tu boleh diceraikan daun dengan batang. Kalau nak masukkan sekali dengan batangnya pun tidak menjadi masalah. Suka hati kau lah.. Kau yang nak masak.. Tapi kalau masak dengan MIL (mother in law)  kau kena ikut cara dia tau. Tu cara nak bagi MIL sayang kau tu tau.. Mak Hencik dah payung tu..


Langkah 3
Sediakan periuk. Masukkan ikan patin. Masukkan bahan kisar tadi.

Sebenarnya ikan patin tu boleh ditukar ikut selera anak tekak kita tau. Mana tau ada yang tak makan ikan patin, boleh tukar pada ikan keli ke, ikan kembung ke, ikan selar ke.. Terpulanglah ya. Ikut selera anak tekak masing-masing.


Langkah 4
Masukkan air dan sekeping asam gelugur. Sementara tu buka api dapur tu. Masukkan juga garam, gula (optional) dan serbuk perasa (optional). Biarkan sehingga mendidih.

Ada yang panggil asam gelugur tu asam keping. Benda alah yang sama tu ya nak oii.


Langkah 5
Selepas itu, masukkan juga tempoyak. Kacau sikit supaya tempoyak bergaul mesra dengan kuah.


Langkah 6
Masukkan juga daun kesum.

Kalau ada daun pepijat tu bubuhlah, tukar dengan daun kesum tu ya. Mak Hencik ada daun kesum jadi bubuh daun kesum jer la. Bau sedap juga nanti ni...


Langkah 7
Tunggu sampai mendidih. Kemudian bolehlah rasa asam garamnya. Rasa tempoyakkah? Rasa ikankah? Hihi


Langkah 8
Bila dah masak, matikan api. Ambilkan mangkuk warna-warni ke, bercorak ke, mangkuk kaca ke, mangkuk plastik ke.. Yang mana yang kita suka.. cedokkan ikan masak tempoyak ke dalamnya.


Langkah 9
Inilah dia hasil dapur berasap kita hari ini. Sedia dimakan dengan nasi. Sediakan nasi putih panas, sambal belacan dan petai. Fuhhh menyengat!! Silakan makan bersama..

Bismillah..

Sabtu, 9 Disember 2017

Donat bunga pintal

Aku terjebak dengan donat bentuk bunga yang dipintal ini. Nampak 'cute'!



Kuih bulat dan berlubang ini Mak Hencik makan pada zaman kanak-kanak dulu. Mak saudara Mak Hencik, Mak Nor selalu membuatnya. 

Mak Nor adalah anak bongsu, adik kepada my mum yang tinggal dengan nenek. Apabila Mak Hencik pergi ke rumah nenek yang jaraknya selang beberapa buah rumah dari rumah Mak Hencik, Mak Nor akan buatkan air teh o dan hidangkan donat. 

Tengok-tengok dalam balang, penuh dengan donat. Donut Mak Nor pun sedap. Lembut sampai ke petang. 

Mak Nor memang suka memasak, sangat pandai dalam seni kraftangan dan gubahan serta sangat mahir menjahit baju. Alfatihah untuk Mak Nor. Semoga diredhai oleh Allah dan diletakkan di kalangan hambaMu yang beriman.



DONUT BUNGA PINTAL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 cawan tepung gandum
4 sudu besar minyak jagung
2 sudu besar gula
2 sudu besar susu pekat manis
2 sudu besar yis segera
1 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil baking powder


Cara-cara membuatnya

Jom kita ke dapur


Langkah 1
Masukkan tepung gandum, telur, yis, esen vanila, baking powder, minyak, garam, gula ke dalam mangkuk adunan. Kacau hingga jadi serbuk roti.

Tips: 
a. Untuk lebih mudah dan cepat, masukkan ke dalam bread maker. Hihi

b. Untuk lebih cepat adunan kembang, campurkan secawan air suam dengan yis, gula dan susu pekat. Tunggu sehingga berbuih barulah dimasukkan ke dalam adunan.




Langkah 2
Apabila tepung sudah menjadi seperti serbuk roti, buatkan bulatan di tengah-tengah. Kemudian, masukkan air yang dibancuh dengan susu pekat.

Langkah 3
Uli hingga sebati, sehingga adunan tidak melekat di tangan. Kalau adunan lembik, tambahlah sesudu dua tepung gandum.

Langkah 4
Adunan akan menjadi seperti di atas.

Langkah 5
Tutup bekas yang berisi adunan dengan penutup.

Mak Hencik tutup guna apa-apa yang sesuai. Hihi. Pastu Mak Hencik pergi mengadap langsir pula. Jadi, Mak Hencik biar beberapa jam.

Langkah 6
Setelah beberapa jam, adunan akan kembang.

Langkah 7
Uli adunan kembang tadi untuk keluarkan angin.

Langkah 8
Bulat-bulatkan sebesar bola ping pong.

Ambil sebiji adunan tadi dan uli bulat memanjang.

Buat seperti rajah di atas.

Hujung sebelah kanan adunan dimasukkan ke dalam lubang dari atas.

Hujung sebelah kiri adunan di masukkan ke dalam lubang dari bawah naik ke atas. Kemudian temukan kedua hujung donat di bahagian bawah.


Langkah 9
Ia akan jadi seperti bentuk bunga, seperti gambar di atas.


Langkah 10
Buat bunga pintal sampai habis.



Langkah 12
Apabila sudah siap membuat bunga pintal, bolehlah panaskan minyak dalam kuali. Guna teknik menggoreng minyak penuh.
Goreng donut sehingga masak dan angkat.

Langkah 13
Toskan minyak.


Langkah 14
Goreng sampai habis. Akhir sekali salut dengan gula kastor. Dah siappp.. Boleh makan sekarang..

Bismillah..