Rabu, 6 Februari 2019

Kek Cawan Buahan @ Fruity Pastry Cup Cake sukatan cawan

Ada banyak biji buah kiwi dalam peti sejuk. Alang-alang ada buah tu, jom ler kita buat kek yang famous dan viral tu..


Kalau ada buah strawberi mesti lagi cantik, tapi ku tak derr.. 😅😅😅


Mudah gilos nak buat kek ni rupanya. Bahan-bahan pun simple, cuma perlu ada buah-buahan segar seperti kiwi, berry, strawberi dan lain-lain. Boleh juga guna buah-buahan dalam tin seperti peach.


KEK CAWAN FRUIT PASTRY
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi: FB Azlina Ina

Bahan-bahan

125gm mentega
3 biji telur
1 cawan gula (Mak Hencik kurangkan sikit)
2 1/2 cawan tepung gandum diayak dengan 1 sudu kecil baking powder
*1/4 cawan susu segar
*1 sudu kecil cuka
*1 sudu besar oren sunquick
Bahan-bahan bertanda * dicampur dan dikacau sebentar. Biarkan 5 minit
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit pewarna kuning
Sedikit snow powder, untuk hiasan
Sedikit buah kiwi atau strawberi atau buah-buahan kegemaran, untuk hiasan

Cara-cara menyediakannya.

Jom kita sediakan bahan-bahannya dahulu.


Campuran susu segar, cuka dan oren sunquick. Kacau sebentar dan biarkan 5 minit. Campuran ini akan menjadi pekat.


Tepung gandum diayak dengan baking powder.


Telur sebanyak 3 biji.


Buah kiwi, dikupas kulit dan dihiris nipis. Kemudian salut dengan gula halus.

Jom kita membuatnya.


Putar gula dan mentega sehingga kembang.


Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil diputar.


Kemudian masukkan campuran susu segar, cuka dan oren sunquick sedikit demi sedikit sambil diputar lagi.


Masukkan pula sedikit pewarna kuning. Kacau menggunakan sudip kayu.


Selepas itu, masukkan tepung gandum yang diayak tadi sedikit demi sedikit sambil dikaup balik dengan sudip kayu.

Wow.. Teruknya gambar-gambarku. 🙈🙈


Kaup balik adunan sehingga rata.


Masukkan ke dalam cawan kertas atau loyang saiz 8"X 8".

Sambil itu boleh panaskan oven pada suhu 180°C selamat 10 minit.


Letakkan kiwi atau buahan segar pilihan.


Bakar pada suhu 180°C selama 30 minit, atau sehingga masak. Nak tahu dah masak ke belum, boleh cucuk bahagian tengah kek dengan cake tester atau lidi atau pisau bersih. Kalau licin jer batangnya, haaa masaklah tu.


Bila sudah masak, keluarkan dari oven.


Taburkan dengan snow powder.


Boleh dimakan!


Hurm...

Jemput makan semua kawan-kawan..

Bismillah..

🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️

Selasa, 5 Februari 2019

Spaghetti Goreng Putih

Jom kita bersarapan dengan spaghetti goreng putih. Saper suka spaghetti goreng gaya gini, cer angkat tangan. 🙋‍♀️🙋‍♀️🙋‍♀️


Eh eh eh.. I sorang jer ker.. 😂😂😂


Berbanding mi atau bihun goreng, anak-anak lebih menggemari hidangan pasta goreng putih ni. Masakan ini tidak akan berbaki. Mereka akan ulang makan sampai licin! 🤣🤣🤣


SPAGHETTI GORENG PUTIH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 paket spaghetti, dicelur sehingga lembut kemudian toskan airnya.
1 ketul isi ayam, dipotong dadu saiz kecil kemudian digaul dengan sedikit garam dan serbuk lada sulah.

2 sudu besar butter
2 biji bawang putih, dicincang
1/2 biji bawang besar Holland, dicincang
1 biji cili hijau, dicincang

2-3 keping cheese
1/2 batang karot, dipotong dadu
1 ketul kiub ayam
1 cawan air
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
Sedikit minyak zaitun
Garam dan gula secukupnya.

Cara-cara memasak.

Jom sediakan bahan-bahan.


Spaghetti dicelur bersama satu sudu besar minyak zaitun sehingga lembut. Bila sudah lembut, angkat dan toskan airnya.


Isi ayam dipotong dadu saiz kecil, digaul dengan sedikit garam dan serbuk lada sulah.

Isi ayam boleh di tukar dengan sumber protein lain yang menjadi kegemaran. Misalnya udang, sotong, kupang dan lain-lain lagi.


Bawang putih dicincang, bawang besar Holland dicincang, lada hijau dicincang dan karot yang dipotong dadu.

Boleh bubuh capsicum warna merah, kuning atau hijau yang disukai. Boleh letak cili padi jika suka pedas.


Kiub ayam dan cheese keping.

Jom kita mulakan memasak.


Mula-mula kita cairkan butter. Kemudian tumis bawang putih, bawang besar Holland dan lada hijau sehingga kekuningan.


Lepas tu, masukkan isi ayam. Kacau sehingga ayam masak.


Lepas tu masukkan pula karot yang dipotong dadu tadi. Kacau sehingga rata.


Lepas tu, masukkan air.


Masukkan kiub ayam, serbuk lada hitam kasar dan sedikit garam. Boleh bubuh sedikit gula jika suka.


Bila air telah mendidih, masukkan spaghetti yang telah dicelur tadi.


Gaul sehingga rata dan sebati.


Sambil itu, renjiskan pula sedikit minyak zaitun. Gaul lagi.


Akhir sekali, carik-carikkan cheese keping dan masukkan ke dalam kuali. Kacau lagi sehingga rata.


Bila sudah masak, tutup api. Bolehlah kita mula menghidang.


Jom sarapan bersama. Hidangan seadanya.

Bismillah...

🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒🍒

Isnin, 4 Februari 2019

Gulai Lemak Ikan Keli dengan Daun Kesum dan Belimbing Buluh

Rasanya memang memukau habis!


Masakan gulai lemak yang sedap adalah terletak pada santannya. Gunakan santan segar untuk mendapatkan rasa lemak yang asli. 💖💖💖



Aroma daun kesum menghilangkan bau hanyir ikan darat seperti ikan keli. Kuah gulai lemak juga akan berbau wangi daun kesum.



GULAI LEMAK IKAN KELI DENGAN BELIMBING BULUH DAN DAUN KESUM
Oleh Dapur Cempakasari

2 ekor ikan keli, disiang, dibasuh bersih dan dikelar kemudian dilumur dengan garam dan kunyit. 
*1 biji bawang merah besar
*1 biji bawang putih
*1 hiris lengkuas
*1 inci kunyit
*3 biji cili padi, jika nak pedas tambah lah ikut suka
Bahan bertanda * dikisar sehingga hancur.
1 cawan santan pekat + 2 cawan air
7 biji belimbing buluh, atau secukupnya (kalau tak ada, boleh masukkan sekeping asam keping) 
5 tangkai daun kesum
Garam secukupnya

Cara-cara menyediakannya

Jom kita menggulai. Kita sediakan bahan-bahan dahulu ya.. 


Ikan keli disiang dan dibasuh menggunakan air asam jawa dan satu sudu kecil garam sehingga ikan keli tidak lagi berlendir. Kemudian, bilas dengan air sehingga bersih.



Lumur badan ikan dengan garam dan serbuk kunyit sehingga rata.



Selepas itu, ambil kuali non stick dan panaskan atas dapur. Ikan keli yang dilumur kunyit pun kita masukkan sekali. 😉😉



Kita panggang sampai masak. Ala-ala salai lah konon. 😂😂😂

Dah masak, angkat dan biarkan seketika.



Untuk ramuan, kita kisar sampai lumat bawang merah besar, bawang putih, kunyit, lengkuas dan cili padi.

Belimbing buluh dibelah dua. Daun kesum tu boleh diceraikan daun dan batang atau boleh juga dibiarkan begitu sahaja.

Jom mulakan memasak.



Langkah 1
Di atas dapur, tenggekkan periuk yang sesuai. Masukkan santan, bahan-bahan kisar dan belimbing buluh. Kacau selalu sehingga mendidih.



Langkah 2
Bila sudah mendidih, masukkan garam dan daun kesum. Kemudian, masukkan pula ikan keli ala salai tadi. Kacau dengan cermat.



Kacau sehingga mereneh dan kuah jadi pekat sedikit. Lepas tu bolehlah tutup api.



Langkah 3
Bila sudah masak, bolehlah dimasukkan ke dalam bekas hidangan.



Hidangan untuk hari ini seadanya. Jemput makan semua..

Bismillah..


Isnin, 28 Januari 2019

Petua Ikan Bilis Kekal Rangup

Selalu kita goreng ikan bilis untuk pelbagai jenis masakan. Paling koman pun tentulah untuk melengkapkan hidangan nasi lemak!


Masalahnya... Ikan bilis goreng tu cepat lemau. Jadi, macamana ya cara untuk mengatasinya?


Cuba kita basuh dengan air dan sesudu cuka. Kemudian, bilas sehingga bersih. Selepas tu bolehlah digoreng dengan minyak yang panas seperti biasa.


Sesudah siap digoreng, toskan minyak sebelum dihidangkan.

Golap pulak e gambar ikan bilis eden. 😂😂😂

Isnin, 21 Januari 2019

Gulai Udang Belimbing Buluh

Seminggu dua ni tak tahu nak masak apa. Budak-budak ni pun tak berapa nak makan nasi. Termenung panjang tepi peti ais sambil dok memikir nak masak apa lah pula hari ni.. 🤔🤔🤔



Ooo ooo.. Baru dua tiga hari lepas Mak Cik Hajjah jiran Mak Hencik telah memberi buah belimbing buluh. Jadi, marilah kita gunakannya hari ini. Kita masak gulai udang dengan belimbing buluh.

GULAI UDANG BELIMBING BULUH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

8 ekor udang saiz besar

*1 biji bawang merah besar
*1 biji bawang putih
*1/2 inci kunyit atau 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
*3 tangkai cili kering, buang biji, gunting, basuh dan rendam air panas.
*1 hiris lengkuas
Bahan bertanda * dikisar halus

8 biji buah belimbing buluh, dibelah dua.
1 biji cili hijau
1 cawan santan pekat dicampur dengan 2 cawan air.
Garam dan gula secukupnya.

Cara-cara menyediakannya

Jom.. Jom.. Jom kita menggulai hari ini..


Udang dibuang muncung dan dibersihkan.


Buah belimbing buluh.


Buah belimbing buluh yang telah dibelah dua.

I

Didihkan santan bersama bahan kisar dan buah belimbing buluh. Kacau selalu supaya santan tidak berketul.


 Bila sudah mendidih, masukkan udang. Kacau lagi dengan rajin ya!


Masukkan juga cili hijau, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi ya. 😂😂😂


Bila ekor udang dah bertemu dengan kepala, maksudnya udang tu dah masak.

Bila sudah masak, bolehlah diangkat dan dihidangkan.


Jom makan! Gulai udang belimbing buluh, ayam masak kicap dan ayam goreng celup tepung.

Bismillah..