Kuih seri muka adalah kegemaran keluarga saya. Dari suami sampailah kepada anak-anak. Mereka gemar akan kuih yang ada pulut. Jadi gigih sungguhlah saya belajar dan menyediakannya. 😁😁
RESEPI SERI MUKA JAGUNG LEMAK MANIS
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : anymz mykitchen
Bahan-bahan lapisan bawah
2 1/2 cawan santan
2 1/2 cawan beras pulut - basuh dan rendam 15 minit
1 cawan jagung dihiris
Sedikit garam
Bahan lapisan atas
3 cawan santan - Mak Hencik guna 2 kotak kecil santan dan secawan air
1 cawan gula
3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung kastard
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
Sedikit pewarna kuning
Sedikit garam
Cara-cara membuatnya
Jom ler buat kuih hari ni..
Rendam beras pulut sekejap, dalam 15 minit. Kemudian toskan.
Isi jagung yang dileraikan dari batang jagung. Boleh juga guna jagung dalam tin, yang jenis whole corn 🌽🌽🌽, bukan yang cream style.
Langkah 1
Loyang 10"X10" disapu sedikit minyak kemudian di alas dengan plastik. Kemudian barulah masukkan beras pulut yang telah ditoskan. Masukkan juga jagung dan masukkan santan yang telah dicampur dengan sedikit garam. Kacau sedikit biar jagung dan beras pulut serta santan bergaul mesra.
Langkah 2
Kukus selama 20 minit. Balut penutup pengukus dengan kain. Atau tutup loyang dengan aluminium foil. Tujuannya supaya air tidak jatuh ke dalam kuih kita.
Langkah 3
Apabila sudah masak, angkat dan tekan dengan alat yang sesuai. Nak cepat, nampak alat yang masak burger tu.. jadikkk. 😂😂
Papan plastik kecil yang khas tuk tekan-tekan pulut ni ada Mak Hencik beli tapi tak tau simpan kat mana dah. Maklumlah selalu sangat buat kuih. 😂😂
Lepas tekan- tekan tu masukkan loyang ke dalam pengukus. Biarkan dulu sementara kita buatkan lapisan atas.
Langkah 4
Di dalam sebuah mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, tepung kastard, santan, telur, pewarna kuning dan esen vanila. Kacau rata menggunakan whisk sehingga tidak berbintil.
Tapis adunan tadi dan masukkan ke dalam kuali. Masukkan gula dan sedikit garam. Buka api dan kacau seketika sehingga keluar wap. Tutup api. Sekejap jer tau. Tak sampai pekat pun adunan kuning tu tau.
Langkah 5
Tuang adunan kuning ke dalam loyang yang berada di dalam pengukus tadi.
Langkah 6
Selepas itu tutup pengukus dan pasang suis. Mak Hencik letak timer 20 minit.
Langkah 7
Selepas 20 minit, buka penutup dan kukus 5 minit lagi dengan penutup terbuka. Tujuannya supaya bahagian atas tu kering dan cantik serta seri muka kita lambat basi.
Bila sudah siap, keluarkan dari pengukus dan sejukkan sebelum dipotong. Mesti dipotong semasa sejuk menggunakan pisau plastik, kalau tak tak cantik.
Dah sejuk bolehlah dipotong dan dihidangkan. Jemput makan.. jemput..
Bismillah..