Rabu, 9 Oktober 2019

Chicken Chop Bread Crumb yang Rangup

Orang kampung macam den ni pun kadang-kadang teringin nak makan chicken chop jugak laa.. 😋😋😋


Korang pun sama kan.. Kadang-kadang teringin nak merasa makanan Western. Kan.. Kan.. Kan.. 😁😁😁



Kelebihan menggunakan isi ayam yang disalut dengan breadcrumb ni ialah rangup di luar dan lembut di dalam.

Sedap!

Mak Hencik tidak menggunakan telur tetapi cukup lah dengan perapan dari bancuhan tepung goreng ayam yang sudah basah.

Sambil menulis menggunakan kapur,
Sambil makan buah kuini;
Jom lah kita masuk ke dapur,
Memasak hidangan yang istimewa ini.

Jom.. Jom.. Jom..



RESEPI CHICKEN CHOPPED BREADCRUMB YANG RANGUP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan ayam rangup

2 kg isi dada ayam
2 cawan tepung goreng ayam
2 cawan air
Bread Crumb atau serbuk roti secukupnya.

Bahan-bahan Brown Sauce

2 biji bawang putih - dicincang
1/2 biji bawang besar Holland - dicincang
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
4 cawan air
2 cawan susu
1/2 cawan sos lada hitam
3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis
1 sudu besar gula
1 sudu besar serbuk lada sulah
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1/3 cawan demi glaze - optional
1 ketul kiub ayam


Bahan-bahan coleslaw

1/2 biji kobis - disagat
1 biji karot saiz sedang - disagat
1/3 cawan mayonaise
4 sudu besar susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1/2 biji lemon - ambil jusnya

Bahan-bahan jejari kentang goreng

1/2 bungkus jejari kentang atau French fries
Minyak untuk menggoreng penuh
Sedikit garam - untuk ditabur selepas digoreng.

Cara-cara menyediakannya


Mula-mula kita buat coleslaw dulu.



Sagat 1/2 biji kobis dan 1 batang karot.



Basuh bersih dan toskan air.



Masukkan 1/3 cawan mayonnaise, 4 sudu besar susu pekat manis, garam dan jus lemon dari 1/2 biji lemon.



Gaul sehingga rata. Rasa dahulu. Tambah lah mana yang kurang. Dah siap tu bolehlah simpan dalam peti sejuk.


Cara-cara menyediakan ayam bread crumb crispy.





Mak Hencik guna dada ayam. Kalau kau kata keras, kau gi la cari paha ayam dan deboned. Mak Hencik ni malas, jadi pasal itu laa Mak Hencik guna dada ayam. 😝😝😝

Okey, basuh bersih dada ayam tersebut. Segala kulit dan lemak sila buang.


Dada ayam yang besar tu dibelah dua kemudian potong melintang nipis-nipis.

Kalau dada ayam tu besar, boleh dapat tiga keping. Kalau kecil boleh dapat dua. Yang pasti kepingan ayam tu kita tak nak tebal sangat dan tak nak nipis sangat. Nak yang sedang-sedang jer.

Lepas tu ketuk sedikit isi ayam guna pengetuk khas.


Dapatlah 20 keping. Ada kecil dan ada juga yang besar.


Seterusnya bancuh 1 cawan tepung bestari dengan 1 cawan air. Godek sampai rata. Macam kita buat goreng pisang tu laa.

Dah habis buat round yang kedua pula. Maklumlah.. Ayam kita banyak juga tuh.


Tepung goreng ayam yang digunakan.


Lepas tu ambillah isi ayam tadi dan celup ke dalam adunan tepung.


Masukkan dalam  bekas. Buatlah sampai habis.


Yeayyy.. Dapat 2 bekas. Tutup dan peraplah sejam dua. Dalam masa tu bolehlah buat brown sauce.

Kalau tak nak perap pun tak per. Boleh jer kita teruskan proses seterusnya. Jom ler..

Keluarkan satu bekas jer. Satu bekas lagi kita masukkan dalam peti sejuk.


Sediakan serbuk roti.


Salut dengan ayam elok-elok.


Siap satu.


Buatlah sampai habis.


Panaskan minyak untuk menggoreng terendam dan goreng sehingga masak dan warnanya kuning keemasan.


Dah siap goreng toskan minyak. Masukkan dalam mangkuk hidang dan letak bawah saji dulu. 😁😁


Cara buat brown sauce atau sos perang.




1. Cairkan 2 sudu besar mentega. Masukkan bawang putih dan bawang besar Holland cincang. Tumis sehingga keperangan.



2. Bila bawang sudah keperangan, masukkan 2 sudu besar tepung gandum. Cepat-cepat kacau sehingga rata menggunakan whisk. 


3. Bila sudah rata dan keperangan, masukkan 4 cawan air dan kacau sehingga rata.



4. Masukkan juga 2 cawan susu segar. Kacau sehingga rata.



5. Sediakan kiub ayam, 1 sudu besar serbuk lada sulah, serbuk lada hitam dan 1 sudu besar serbuk lada hitam kasar.



Masukkan ke dalam kuah tadi.



6. Masukkan juga 1/2 cawan sos lada hitam, 3 sudu besar sos tiram, 1 sudu besar gula dan 3 sudu besar kicap manis. Kalau suka kaler hitam, letak lah kicap lebih sikit.



7. Sediakan demi glaze. Kacau dahulu dengan air panas sikit sehingga ia tidak berketul dan tuang ke dalam sos perang tadi.

Kalau tak letak demi glaze pun tak apa. Tapi kalau letak lebih sedap rasanya.



8. Kacau seketika sehingga sos perang menjadi elok kepekatannya. Lepas tu bolehlah tutup api. Bolehlah masukkan ke dalam mangkuk hidang dan letakkan bawah saji. 😁😁

Jom goreng  french fries pula.. 



1. Panaskan minyak secukupnya.
2. Goreng French fries sehingga garing.



3. Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak
4. Taburkan dengan sedikit garam.

Masa untuk menghidang.



Jom ambil pinggan. (saper ler cucuk brown sauce aku tuuu.. 😜)



Jemput menjamu selera semua..

Bismillah.. 😋😋😋

Tiada ulasan:

Catat Ulasan