Isnin, 21 Oktober 2019

Biskut Tat Nenas

Gebu, tidak berderai, lembut dan lemak. Oh! Saya suka.

Adakah awak sama macam saya? 


Rasa masam manis jem nenas pun punyalah sedap. Padahal jem nenas tu bukan kubuat.. ku beli jer.

Alamak! Tercakap pula. Bocor rahsia.. 😂😂😂



Kebetulan petang tadi singgah di kedai bakeri sebab nak beli bread improver. Tiba-tiba ternampak jem nanas. Dan tiba-tiba I rasa teringin nak makan tat nanas. Ish! Mengidam ker I ni?! 😜😜😜



RESEPI TAT NENAS
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : FB Azlina Ina Fan

Bahan-bahan

250 gm mentega
3 sudu besar susu pekat manis
3 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar minyak sapi
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanila
Sedikit pewarna kuning

Hiasan

1 biji putih telur dicampur dengan beberapa titis pewarna kuning

Cara-cara membuatnya

Jom kita buat tat nanas..  Sekejap nenas.. Sekejap nanas.. Yang mana satu betul nih?!



Jem nenas tu kita gentel siap-siap supaya mudah dan cepat proses membuatnya nanti.



Dalam bekas yang sesuai, masukkan satu ketul mentega, 3 sudu besar susu pekat manis, 1 biji kuning telur, 2 sudu besar minyak sapi dan 1 sudu kecil esen vanila. Kacau sehingga rata. Guna sudip ya. Tak payah susah-susah pakai mixer bagai.



Bila sudah rata, masukkan pula 2 sudu besar tepung jagung dan 2 sudu besar tepung kastard. Kacau rata.

Kemudian masukkan 3 1/2 cawan tepung gandum sedikit demi sedikit. Kacau lagi sehingga rata. Bila sudah berat, guna jari pula untuk mengadun.



Adunan Mak Hencik tadi lembik sikit,  Jadi Mak Hencik tambah sedikit tepung gandum. Kalai dah elok adunan, jangan tambah dah ya. Adunan jangan keras ya nanti bengkak pula jari nak menekan.



Acuan yang digunakan. Acuan plastik jer. Itu pun kakak yang bagi. 😁😁😁



Ambil sikit adunan, masukkan dalam acuan dan tekan. Buat panjang-panjang sikit agak-agak boleh gulung. Heeeee

Lepas tu letak jem nenas yang digentel di atasnya dan gulung.



Dapatlah dua dulang tapi satu penuh dan satu lagi suku penuh jer.



Telur putih dicampur dengan pewarna kuning sebagai hiasan.

Masa ni boleh panaskan oven 180 C selama 10 minit.



Sapu putih telur tadi di atas tat nenas.



Bakar dalam oven 180 C selama 20 minit atau ikut oven masing-masing



Bila sudah masak, keluarkan dari oven.



Sejukkan sebentar sebelum di masukkan ke dalam balang.



Simpan dalam balang atau bekas kedap udara.

Jom menikmatinya sambil tengok TV.

Bismillah..

Ahad, 20 Oktober 2019

Kerabu Jantung Pisang yang Sedap

Sedap sungguh kata orang. Kita? Kita pun kata sedap sungguh juga!


Masakan kerabu ni adalah masakan kegemaran mak. Kalau ada lauk kerabu, dia akan berselera untuk makan.

Banyak jenis kerabu yang biasa mak buat semasa mak masih sihat. Antaranya kerabu pucuk beko, buah beko, kerabu bunga nipah, kerabu buah nipah, kerabu pucuk paku dan kerabu jantung pisang.

Petang semalam mak ada menyebut nak makan kerabu jantung pisang. Jadi kami telah pergi ke pasar untuk mencari jantung pisang. Mak Cik yang jual tu beri harga rm3. 00 untuk sebiji jantung pisang. Katanya jantung pisang gegala. Betul ke namanya pisang gegala? Huhuhu


RESEPI KERABU JANTUNG PISANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji jantung pisang - dihiris, direbus sehingga lembut, ditoskan dan diperah airnya.

3 ekor ikan sardin - dipanggang dan diasingkan isi dengan tulang, ditumbuk halus

1/3 cawan kelapa parut - disangai dan ditumbuk halus

1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk

3 biji bawang merah kecil - ditumbuk

1 cawan santan pekat - dididihkan

Garam, gula dan jus limau nipis secukupnya.


Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Masuk dapur.


Jantung pisang dihiris dan direbus sehingga lembut.


Bila sudah lembut, toskan airnya dan bila sudah sejuk bolehlah kita perah untuk buang airnya.


Kelapa parut yang telah disangai sehingga perang dan garing kemudiannya ditumbuk sehingga halus tetapi tidak perlu keluar minyak seperti yang kita buat kerisik tu.


Secawan santan tu kita didihkan sekejap supaya kerabu lambat basi.


Panggang ikan sardin atau ikan lain pun boleh juga kemudian kita asingkan isi dan tulang. Tumbuk isi ikan sehingga lumat.


Bawang merah kecil dan lada hitam.


Tumbuk lada hitam dan bawang merah sehingga lumat. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan tumbuk sehingga halus.

Di dalam bekas, masukkan jantung pisang yang diperah tadi, santan yang telah dididihkan, isi ikan tumbuk, segala bahan tumbuk tadi dan kelapa parut sangai yang juga telah ditumbuk tadi. (gambar hilang pula)

Perah jus limau nipis ke dalamnya. Kalau ada asam kerat lintang tu lagi baik ya kerana asam kerat lintang ni menghasilkan aroma limau yang sangat memukau.

Gaullah sehingga sebati. Lepas tu rasa kan dulu kesedapannya. Tambah lah rasa yang mana kurang tu ya.


Siaplah kerabu jantung pisang hari ni. Bolehlah dihidangkan.

Saya hidangkan untuk mak hari ni. Semoga mak segera sembuh seperti sediakala. Aamiin ya Rab.

Jemput kawan-kawan..

Bismillah..

Sabtu, 19 Oktober 2019

Maggi Kari Goreng Telur

Sedapnya maggi goreng mamak. Maggi goreng mamak satu!



Amboiii.. Awak order dengan saya ke? Tapi saya ni bukan mamak ya.. Walau bagaimana pun saya ambil order awak ni.

Tapi tak tau ler jadi ke tidak macam yang awak selalu makan tu.

Selesai makan.

Tak cakap apa-apa pun.. Tak nak puji ke..? Atau beri komen membina..? Tapi Maggi goreng dah tambah dua tiga kali.

Sabau jer laa.. 😂😂😂



RESEPI MAGGI KARI GORENG TELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 bungkus maggi kari - dicelur dan ditoskan
4 bungkus perencah kari maggi
3 biji bawang putih - diketuk
3 biji telur
1 biji lada hijau - dipotong serong
Bebola seaweed atau sumber protein yang sesuai
Sedikit minyak untuk menumis

Hiasan
Daun sup - dihiris
Bawang goreng

Cara-cara menyediakannya.

Jom kita masuk ke dapur.



Empat bungkus maggi.



Perencah Maggi. Untuk 4 paket Maggi, Mak Hencik guna 3 paket perencah sahaja untuk kurang kan sikit rasa masin. 

Kalau korang nak bubuh 4 bungkus perencah untuk 4 bungkus maggi pun boleh.. Just go on.. Ikut citarasa dan selera memasing.. 



Bawang putih ketuk, lada hijau dipotong serong, tiga biji telur, perencah kari Maggi dan produk seaweed dipotong kecil.



Maggi yang sudah dicelur dan ditoskan airnya.

Jom kita memasak pula.



1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih ketuk dan lada hijau yang dipotong serong.



2. Bila bawang putih sudah kekuningan, masukkan bebola seaweed dan kacau sehingga masak. Lepas tu tolak semuanya ke atas kuali sikit. Kemudian tambahkan sedikit minyak masak.



3. Masukkan maggi diikuti oleh perencah kari maggi dan telur.



Kacau sehingga rata dan sebati. Ingat! Sehingga rata dan sebati tau! Ini arahan. 🤣🤣🤣



Bila maggi dan semua bahan telah bergaul rata dan sebati, tutup api.



5. Hidangkan dalam mangkuk hidangan dan taburkan dengan bawang goreng dan daun sup.



Bersorak anak-anak melihat hidangan pada malam ni. 😆😆😆 Si ayah senyap-senyap duduk mengadap meja.

Jom makan..

Bismillah..

Jumaat, 18 Oktober 2019

Masak Lemak Ikan Tilapia

Pebret! Pebret! Pebret! Siapakah penggemar masak lemak? Siapakah penggemar ikan talapia. Mari sini dekat-dekat.. Nah! Rasai kelazatannya..

Beberapa tahun lepas, ikan talapia ni adalah ikan yang murah sahaja. Lebih kurang RM5 sahaja sekilogram. Namun, selepas lebih 10 tahun, harganya telah meningkat lebih 50%. Harga ikan tu sekarang kalau yang besar saiznya boleh mencecah RM15 sekilogram. Kalau saiz biasa pun lebih kurang RM11 ke RM12 sekilogram.. Naik darjat kau ya, si ikan talapia. Dan aku pulak nih macam penganalisis harga ikan pulak dahhh..


Dah.. Dah.. Hentikan dulu buat analisis harga. Sekarang kita kena gi dapur. Apa lagi.. Marilah..


RESEPI MASAK LEMAK IKAN TILAPIA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan tilapia - disiang dan dibasuh bersih

*1 biji bawang merah besar saiz sederhana
*1 biji bawang putih
*10 biji cili padi - tambah atau kurang ikut kepedasan masing-masing.
*1 inci kunyit hidup
*2 hiris lengkuas
Bahan bertanda * dikisar sehingga halus
1 cawan santan pekat
1 cawan air
7 biji belimbing buluh - dibelah dua (kalau tiada, gantikan dengan sekeping asam gelugur atau asam keping)
1 batang serai - diketuk
5 tangkai daun kesum
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Mari buat persiapan awal memasak dahulu. Ajommm...


Siang ikan, basuh bersih dan toskan.

Tips : basuh ikan dengan air basuh beras dan air asam jawa untuk hilangkan hanyir.


Belimbing buluh dipotong hujung ya atas dan bawah kemudian belah dua.


Bahan untuk dikisar seperti bawang putih, bawang merah, cili padi, kunyit dan lengkuas. Bahan lain ialah daun kesum dan serai yang diketuk sedikit.


Kisar bahan-bahan kisar sehingga hancur.

Jom kita menggulai pula..


Masukkan santan dan air ke dalam periuk yang sesuai. Masukkan bahan kisar, serai yang diketuk dan belimbing buluh. Buka api. 

Kacau selalu supaya santan tidak berketul dan tunggu sehingga kuah mendidih. 


Bila kuah sudah mendidih, bolehlah masukkan ikan. Masukkan garam gula sekali ikut citarasa.


Masukkan daun kesum. 

      

Gulai lemak sedang mendidih. Biarkan sehingga kuah pekat elok.


Rasa dulu sedap ke tidak. Tambah lah bahan perasa supaya sedap gulai masak lemak kita.


Dah masak bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk. Bolehlah makan dengan nasi putih.

Jemput makan

Bismillah..

Selasa, 15 Oktober 2019

Popia Ringkas

Rangup di luar, lembut di dalam. Pekena pulak panas-panas waktu hujan renyai.. Fuhhh.. Meletop!


Tak cuba, tak tau.. Dah cuba dan rasa, barulah makan tak berhenti. 😁😁😁 Gurau jer..


Dah beberapa hari goreng karipap, hari ni kita goreng popia pula.

Dalam peti sejuk kita ni ada karot dan sengkuang sahaja. Kita guna bahan tu jer laa. Boleh kan.. Boleh kan.. Boleh kan.. 😝😝😝


Resepi popia mudah
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus kulit popia

2 biji bawang putih - dicincang
1/2 biji bawang merah besar - dicincang
1 batang karot - disagat
1/2 biji sengkuang - disagat
1 sudu besar serbuk ikan bilis tumix
1 sudu besar gula
Sedikit garam

Bahan pelekat
2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan sedikit air

Cara-cara menyediakannya

Jom kita ke dapur.. Sediakan inti popia. Hari ni kita guna sengkuang dan karot sahaja. Sayur lain boleh juga. Ikut suka sendiri la ya.


Sagat karot dan sengkuang menggunakan penyagat.


Tumis bawang putih dan bawang merah besar yang telah dicincang.


Masukkan karot dan sengkuang sagat.  Taburkan serbuk ikan bilis Tumix dan gula. Masukkan sedikit garam jika perlu. 

Gaul sehingga rata. Bila sayur sudah layu sedikit, tutup api.


Bila sudah masak, Angkat dan toskan air. Pastikan sayuran ni tidak basah untuk menjamin kerangupan kulit popia. 

Tips: kalau tak masak pun tak apa. Just campur dan gaul sayuran sagat dengan serbuk ikan bilis dan sedikit gula. Gaul sehingga rata. 


Bancuhan tepung gandum dan air sebagai pelekat.


Kulit popia

Jom kita lipat dan gulung


Hampar sehelai kulit popia. Letakkan sayuran di atasnya.


Gulung sedikit dan lipat bahagian kiri tengah dan lipat bahagian kanan ke tengah.


Sapu hujungnya dengan tepung pelekat dan gulung sampai habis.


Masukkan ke dalam bekas.


Untuk menggoreng, sediakan kuali dan panaskan minyak. Goreng popia sehingga keperangan.


Angkat dan toskan minyak.


Goreng jumlah bilangan yang hendak dimakan.

Bakinya digoreng sekejap dan masukkan dalam bekas bertutup lalu disimpan dalam peti sejuk.


Hidangan dengan sos pilihan sama ada sos cili, sos cili Thai atau sos pencicah keropok. Terpulanglah pada pilihan masing-masing.

Jemput makan semua..

Bismillah.. 😋😋😋