Sabtu, 14 September 2019

Talam Keladi Sukatan Cawan

Warna ungu yang menggoda di atas kulit putih bersih yang lembut. Ohhh.. Sedapnya!




Ini adalah hasil kali kedua. Hasilnya adalah menjadi dengan cemerlang. Rasanya pun sedap. Tekstur juga lembut elok. Pendek kata Mak Hencik sangat berpuas hati. Rasa seronok sekali.



Kata orang.. Perkara yang baik ni elok untuk kita kongsikan dengan orang lain juga.  😜😜😜




RESEPI KUIH TALAM KELADI
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Blog Sinar Kehidupan ku (blog kuih talam paling best)

Bahan-bahan

Lapisan bawah

2 cawan tepung beras
3 sudu besar tepung ubi
6 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 cawan ubi keladi, dipotong kiub kecil, direbus.

(untuk lebih tepat, campuran air dan santan tu jadikan 1 liter atau 1000ml)

Lapisan atas

1 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
3 biji telur
1 sudu kecil perisa keladi, optional
1 sudu kecil pewarna ungu

(untuk lebih tepat, jadikan campuran air dan santan tu 750ml)

Cara-cara membuatnya

Hari ini kita menalam.. Ajommm..



Seketul ubi keladi ni kita guna 1/4 sahaja. Kopek kulitnya, potong dadu dan basuh bersih. Kemudian rebus dengan sedikit air sehingga ubi keladi empuk.



Ubi keladi yang telah empuk ditoskan. Biarkan seketika.



Sediakan loyang 10"X10". Oles bahagian bawah dan tepi loyang dengan minyak masak dan alas dengan plastik. Biar plastik melekat di loyang.

Masukkan loyang beralas plastik ke dalam pengukus. Mak Hencik guna pengukus elektrik. Biarkan dahulu. Suis pun jangan on dulu.



Langkah 1
Di dalam bekas, masukkan semua bahan A. Kacau sehingga rata menggunakan whisk.



Langkah 2
Masukkan bancuhan bahan A ke dalam periuk dan kacau selalu. Masak sehingga naik wap.



Langkah 3
Tuang adunan ke dalam loyang yang telah tersedia di dalam pengukus.



Langkah 4
Taburkan ubi keladi yang telah ditoskan tadi ke semua bahagian.



Langkah 5
Balut tudung pengukus dengan kain dan tutup pengukus. Kukus selama 25 minit atau sehingga lapisan bawah masak.

Sambil itu kita sediakan lapisan atas pula.



Langkah 6
Di dalam periuk, masukkan gula.

Di dalam bekas, masukkan tepung gandum, tepung ubi, air dan santan. Kacau sehingga sebati dan tapiskan serta masukkan ke dalam periuk berisi gula tadi.



Kacau sebentar supaya gula hancur sedikit. Kemudian baharulah buka api. Kacau selalu dan masak sehingga naik wap.

Bila sudah naik wap, tutup api dan biarkan dahulu.



Langkah 7
Kembali kepada pengukus. Bila Lapisan bawah sudah masak, buka tudung kukusan. Ambil garpu dan cakar atau gores di bahagian atasnya.



Langkah 8
Bila sudah siap menggores, ambil adunan ungu tadi dan tuang ke atas lapisan putih.



Tuang semua sekali 👆👆



Langkah 9
Kukus semula selama 25 minit atau sehingga lapisan atas atau lapisan ungu masak.



Langkah 10
Bila lapisan atas sudah masak, buka tudung pengukus dan kukus lagi 5 minit. Kali ini kita kukus tanpa ditutup.

Tujuannya supaya bahagian atas tu kering dan kuih talam lambat basi.



Langkah 11
Bila sudah masak, biarkan dahulu sehingga kuih talam kita betul-betul sejuk, lebih kurang 2-3 jam gitu. Kemudian baharulah keluarkan dari loyang.



Potonglah kuih talam dengan pisau plastik apabila kuih betul-betul sejuk untuk hasil yang cantik.

Jemput makan kenkawan semua..

Bismillah .

Jumaat, 13 September 2019

Sotong Masak Sambal yang ringkas

Sotong oh sotong! Encik Sotong ke.. Puan Sotong ke.. Tak kisah.. Ada apa dengan title korang tu ya. Asalkan namanya sotong, kau tetap jadi lauk untuk santapan.. 

😅😅😅



Sambal sotong ni sedap kalau kita makan dengan nasi putih. Kalau makan dengan nasi lemak pun sedap terangkat!


SOTONG MASAK SAMBAL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

10 ekor sotong saiz besar, disiang dan dibasuh bersih serta ditoskan

3 ulas bawang putih
1/2 biji bawang merah besar
5 sudu besar cili kering kisar
1/2 biji bawang besar Holland, dihiris
1 biji lada hijau besar, dipotong serong.
Sedikit minyak untuk menumis

Cars-cara membuatnya

Persediaan bahan atau mise en place


Sotong disiang. Biji di kepala dia tu kita huang. Tulang dia kita buang. Kantung hitam dia pun kita buang. Lepas tu kita potong bulat ke.. Potong memandang ke.. Ikut suka korang.

Begitu juga dengan kulit. Ada orang buang. Ada juga orang yang tak buat. Jadi ikut suka korang laa..


Kisar bawang putih, bawang merah dan masukkan sekali cili kering kisar. Hah..! Kisar lagi sekali.

Jom memasak pula.


Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan garing.


Bila bahan tumisan sudah garing, masukkan sotong. Kacau sehingga sebati.

Air dari badan sotong akan mengalir keluar. Teruskan sahaja mengacau.


Kemudian masukkan pula sedikit air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.


Akhir sekali masukkan bawang besar Holland dan lada hijau. Kacau lagi sehingga rata. Biarkan kuah menjadi sedikit kering dan pekat.


Bila kuah sudah pekat dengan rasanya yang aummm sedap.. Bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Hiasan dengan daun sup dan tangkap gambar. 😬😬😬

Jemput makan wahai sahabat..

Bismillah.. 😋😋😋

Khamis, 12 September 2019

Pancake Popia K-Pop

Pancake Popia K-Pop? Hmmm.. Sedap apabila dimakan semasa panas.



Percubaan pertama. Yang paling sedap ialah rasa intinya. Campuran telur dan isi ayam tu sedap betul bila dicicah dengan sos pencicah.

Lepas tu ada pula rasa rangup di tepinya, rangup kulit popia.

Apa lagi.. Marila kita buat sendiri..


RESEPI PANCAKE POPIA K-POP
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Majalah Rasa

Bahan-bahan

Kulit popia

1 ketul dada ayam, dicincang
2 biji telur ayam
4 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecil lada sulah
5-6 helai daun sup, dihiris halus
1 biji lada hijau atau merah, dicincang
1 biji bawang merah besar, dicincang
Sedikit garam
Minyak secukupnya untuk menggoreng jeluk

Bahan pelekat

*1 sudu besar tepung gandum
*2 sudu besar air
Bahan beranda * dibancuh sehingga sebati untuk dijadikan gam

Cara-cara menyediakannya


Isi ayam dicincang, digaul dengan serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam kemudian digoreng dengan sedikit minyak. Bila isi ayam sudah masak, angkat dan sejukkan sebentar.

Resepi asal letak udang tetapi ada antara anak Mak Hencik tidak makan seafood. Jadi, Mak Hencik gantikan dengan isi ayam.


Kulit popia. Ceraikan siap-siap supaya senang untuk digunakan. 


Tepung gandum dibancuh dengan sedikit air untuk dijadikan sebagai gam. 


Lima enam tangkai daun sup. Sebiji lada hijau kemerahan dan sebiji bawang merah besar.


Bawang merah besar, lada merah kehijauan besar dan daun sup dicincang halus.

Resepi asal letak daun kucai tapi Mak Hencik tidak letak.


Dalam mangkuk adunan, masukkan semua bahan cincang, serbuk lada sulah, telur dan tepung jagung. Jangan lupa bubuh sedikit garam.


Kacau sehingga rata dan sebati.


Untuk buat popia K-Pop, kita bentangkan sekeping kulit popia dan sapu bancuhan tepung di tepinya.

Sudukan bancuhan telur tadi kat sebelah kulit popia.


Lipat kulit popia menutupi bancuhan telur tadi.

Bahagian tepinya akan melekat kerana tadi kita sudah sapu bancuhan tepung.


Panaskan minyak masak dan goreng popia K-Pop sehingga keperangan. Balikkan popia K-Pop supaya masak sekata.


Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak.

Goreng sehingga selesai.


Hidangan bersama sos cili Thai atau sos pencicah keropok dari Kelantan.

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Rabu, 11 September 2019

Ketam Masak Lemak

Sedap sungguh rasanya. Apa lagi nak kata.. Sedap sungguh!



Ketam ni adalah masakan kegemaran puteri bongsu Mak Hencik. Kebetulan kami ke pasaraya CS sama-sama untuk membeli bahan basah untuk persiapan sempena BBQ pada malamnya.


Udang saiz besar harganya rm29.90/kg, sotong saiz besar rm25. 90/kg, kerang saiz besar rm15. 00/kg. Ikan cencaru pula rm7. 90/kg. Berpatutan juga harganya. Amboiii macam senarai harga barang pula.
😁😁😁

Tengok harga ketam pun agak Berpatutan juga, rm29. 90 sekilogram. Jadi ambillah 3 ekor. Harga kurang lebih rm15. 00.

Jadi tengahari ni kita masak ketam dan malam nanti pula ada makan- makan BBQ.


KETAM MASAK LEMAK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 ekor ketam, dibasuh bersih dan ditoskan
*1 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah besar
*5 biji cili padi, boleh tambah kalau suka pedas
*5 hiris lengkuas
*1/2 inci Kunyit hidup
Bahan beranda * dikisar hingga lumat

1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 keping asam keping
1 batang serai, diketuk
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom kita sediakan bahan dahulu.


Ketam dibasuh bersih dan ditoskan.


Di dalam periuk, masukkan santan, air, bahan kisar, serai yang di Ketuk dan asam keping.

Kacau sehingga kuah mendidih. Kacau selalu supaya santan tidak berketul.


Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ketam.


Kacau sehingga sebati, sehingga ketam masak, sehingga ketam berubah warna, dari warna kelabu ke warna merah.

Sambil tu, masukkan juga bahan perkasa seperti garam dan gula jika suka secukupnya.


Bila ketam sudah masak, rasa pun sudah sedap maka bolehlah tutup api.
Lepas tutup api tu, boleh terus ambil mangkuk untuk menghidang.


Hidangan ketam masak lemak sedia untuk dinikmati..

Jemput makan semua..

Bismillah..

Selasa, 10 September 2019

Sandwich Sardin yang mudah

Kudapan sarapan pagi dan minum petang atau supper yang pasti memenuhi selera sekeluarga!



Balik dari kerja tadi, perut ni terasa lapar pula. Mulut pun terasa nak mengunyah juga. Jadi Mak Hencik pun menyelongkar kabinet stok simpanan barang kering. Ada la ternampak tin sardin bersandar di dinding kabinet.

Apa yang diterjah di kotak fikiran ialah sandwich sardin. Roti sandwich pun ada tu..

Jadi.. Apa lagi.. Marila mulakan misi membuat sandwich sardin.


SANDWICH SARDIN YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus besar roti sandwich
1 tin besar sardin
2 biji bawang putih
1/2 biji bawang  merah besar
1 biji lada hijau, dicincang
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan sampingan
Sedikit mentega untuk disapu pada roti
Daun salad secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom...

Penyediaan bahan


1 tin besar sardin dibuka dan keluarkan ikan sardin. Buang tulang. Kalau rajin lenyek sikit. Kalau malas biarkan ajer. Sos tu ambil separuh sahaja.


Cincang bawang merah besar, bawang besar Holland dan lada hijau besar.

Langkah-langkah menyediakannya


1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan tumiskan bawang putih, bawang merah dan lada hijau.


2. Bila bahan tumisan sudah kekuningan, masukkan ikan sardin dan kuahnya. Kacau dan lenyekkan sehingga rata dan hancur.


3. Masukkan air asam jawa. Kacau lagi.


Kacau lagi sehingga rata.


4. Sudah siap, tutup api dan sejukkan.

Jom teruskan buat sandwich


Hiris kasar daun salad. Kalau nak letak sehelai-helai pun boleh juga. Ikut citarasa masing-masing.


1. Ambil roti keping dan susun di dalam dulang atau bekas yang sesuai. Sapu mentega di atasnya. ( untuk tutup)

2. Kemudian ambil satu sudu besar rumbu inti sardin tadi dan sapukan di atas kepingan roti sehingga rata.


3. Letakkan salad di atasnya.


4. Tutup roti dengan roti yang disapu mentega tadi.


5. Potong tepi roti dengan pisau yang tajam supaya tepinya cantik.


Siap untuk hidangan. Siap untuk dimakan.

Jadi.. Apa di tunggu lagi. Jemputlah makan.

Bismillah... 😋😋😋