Ahad, 12 Mei 2019

Mashed potato Homemade @ Kentang putar buat sendiri.

Segar dari dapur.. 😍😍


Ini adalah menu berbuka puasa kami pada 2 Ramadan 2019. Anak-anak tidak mahu makan nasi. Jadi mereka sendiri pilih menu yang luar biasa ni. 😁😁😁

Oleh kerana Mak Hencik pun balik lewat sikit pada hari tersebut, maka cadangan anak-anak diterima dengan hati yang terbuka. 😀😀😀


Mashed Potato @ Kentang putar home made
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

6 biji kentang, dikupas dan direbus sehingga empuk
1/3 cawan susu segar
Sedikit garam

Bahan untuk sos gravy

1 sudu besar mentega
3 sudu besar tepung gandum
3 cawan air
1 ketul kiub ayam
1 sudu kecil serbuk lada hitam kasar
2 sudu besar sos tiram
Sedikit serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah
Sedikit garam dan gula jika suka.
Sedikit kicap manis, jika suka

Cara-cara membuatnya.


Rebus kentang sehingga empuk. Bila sudah empuk, angkat dari dapur dan toskan airnya.

Kemudian lenyek kentang sehingga hancur.


Bila kentang sudah hancur, masukkan sedikit garam, diikuti oleh susu segar yang dimasukkan sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga sebati.

Kalau kentang yang digunakan bersaiz besar, mungkin kita perlukan lebih sedikit sudu segar. Sebaliknya jika kita guna kentang yang kecil saiznya, maka mungkin kita gunakan kurang susu.


Bila sudah sebati campuran susu segar dan kentang lenyek, adunannya lembut jer. Biar kan jer dulu. Kita buat sos gravy pula.

Cara buat sos gravy


Antara bahan-bahan yang digunakan. Mentega, tepung gandum dan serbuk lada hitam kasar.


Mula-mula panaskan pan dan masukkan mentega.


Bila mentega sudah cair, masukkan tepung gandum dan cepat-cepat kacau. Kacau sehingga tepung bertukar ke warna keperangan.


Lepas tu masukkan air. Kacau sehingga sebati. Kuah yang pada awalnya cair, akan bertukar menjadi pekat sedikit. Jadi, selalulah kacau.


Bila kuah sudah mendidih, masukkan kiub ayam. Kalau boleh hancurkan dulu ya supaya cepat larut dalam air. Hehehe. Teruskan mengacau dengan jayanya.


Sambil itu, masukkan sedikit garam dan sedikit gula jika suka, diikuti oleh serbuk lada hitam kasar.


Kacau perlahan-lahan sehingga sos pekat.


Bila sos gravy sudah memekat, tutup api.


Boleh dihidangkan bersama kentang lenyek tadi.

Hari ni kami makan burger buat sendiri letak cheese keping, kentang goreng dan kentang putar homemade.


Jom.. Jom kita menikmatinya pula.

Bismillah..

Isnin, 29 April 2019

Cara buat vadey yang sangat mudah

Makan panas-panas. Rangup dan sedap! ❤️


Resepi Vadey yang mudah
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan kacang dal
3 tangkai cili kering, digunting halus
1 tangkai lada hijau, dihiris halus
1 biji bawang besar, dicincang halus
1 hiris halia, dimayang.
3 tangkai daun kari, dihiris halus
1 sudu besar jintan manis, ditumbuk halus
1 sudu besar jintan putih, ditumbuk halus
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar air
Garam secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom..


Kacang dal direndam semalaman. Kacang dal akan jadi lembut.
Toskan air.


Ambil pengisar kering, masukkan kacang dal secukupnya dan kisar sehingga lumat.


1/3 daripada kacang dal itu dikisar kasar sedikit. Biar ada kacang dal yang dikisar lumat dan kacang dal yang dikisar kasar sedikit.


Masukkan dalam bekas yang berkenan di hati.


Gunting halus cili kering. Hiris bawang merah besar, lada hijau, halia dan daun kari.

Jintan putih dan jintan manis ditumbuk kasar.


Seterusnya masukkan semua bahan yang telah ditumbuk dan bahan yang telah dihiris ke dalam bekas yang mengandungi kacang dal kisar tadi. Masukkan garam secukupnya. Gaullah sehingga rata.


Ambil adunan sebesar bola ping pong dan leperkan di atas tapak tangan.

Sekirany adunan kacang dal tu pecah apabila dikepal, boleh masukkan sedikit air dan sedikit tepung gandum. Ia akan menyelamatkan vadey dari pecah dan berkecai.


Akhirnya, panaskan minyak dan bolehlah goreng vadey sehingga keperangan. Bila sudah masak, angkat dan hidangkan.

Hidangkan panas-panas.

Bismillah..

Sabtu, 13 April 2019

Puding Roti Warna Warni

Puding roti ni bukan nampak seksi, tapi nampak seksa!



Seksa wehhh. Seksa nampak bintit-bintit tu. Seksa menahan rasa nak merasa puding nih satu hal juga. Seksa weh!
😂😂😂

Seksi ke.. Seksa ke.. Pastikan rasanya sedap terutamanya bila masuk ke dalam mulut sejuk-sejuk. Hahaha
😆😆😀


PUDING ROTI WARNA WARNI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

20 g atau 1 bungkus agar-agar tali
5 cawan air
4 keping roti, dibuang tepi dan dicarik-carikkan
1 tin susu cair
2 sudu besar mentega
1/2 tin susu pekat manis
1/2 cawan gula
2 sudu besar tepung kastard
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna merah dan kuning
1 sudu besar serbuk coklat

Cara-cara membuatnya.

Sediakan bahan-bahan dahulu. Jom..


Antara bahan-bahan yang digunakan.


Agar-agar tali dibasuh dan ditoskan.

Cara-cara menyediakannya.


Agar-agar dimasak bersama 5 cawan air sehingga hancur.


Sementara menunggu agar-agar tali hancur, kita ambil pengisar. Masukkan susu cair, roti yang dicarik, susu pekat manis, tepung kastard, telur dan esen vanilla.


Kisar sehingga hancur.


Apabila agar-agar tali sudah hancur, masukkan gula. Kemudian, tuang bahan kisar tadi sambil dikacau sehingga sebati.


Lepas tu masukkan mentega. Kacau lagi supaya sebati.

Sediakan tiga bekas dan pewarna kegemaran. Mak Hencik pilih warna kuning, merah jambu dan coklat.


Tuangkan agar-agar ke dalam tiga bekas. Letaklah pewarna. Untuk warna coklat, bubuh serbuk koko atau coklat dan cepat-cepat kacau.

Sediakan acuan yang sesuai.


Tuang agar-agar merah, diikuti kuning dan coklat. Ulangi sehingga habis.


Biarkan suam sebentar kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Apabila agar-agar sudah mengeras dan dingin, bolehlah di keluarkan dari peti sejuk.


Nak terbalikkan dulu pun boleh sebelum dipotong.


Atau boleh jer terus potong dari dalam bekas.

Dah boleh makan.
Jom makan..

Bismillah..

💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙

Jumaat, 22 Mac 2019

Gulai Lemak Ayam yang Sedap

Untuk penggemar masak lemak, gulai lemak ayam ni.. Heaven! ❤️❤️❤️



Pagi tadi pergi kedai santan untuk beli santan segar. Santan segar akan menyebabkan gulai lemak kita bertambah sedap dan bertambah nasi nanti.. Lepas tu kalau dibuat selalu, mungkin akan bertambah berat badan juga. Huhuhu


GULAI LEMAK AYAM YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 ketul ayam
1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 biji bawang merah besar saiz kecil
1 biji bawang putih
1 inci kunyit hidup
5 biji cili padi, boleh tambah atau kurangkan ikut kesukaan masing-masing
2 hiris lengkuas
1 keping asam gelugur
1 batang serai, diketuk
1 biji tomato, dipotong wedges
1 biji cili hijau, dipotong serong
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom kita menggulai lemak hari ini..

Mula-mula kita sediakan bahan dahulu..


Ayam lima ketul dibasuh bersih dan ditoskan.


Santan pekat dan asam gelugur atau asam keping.


Serai diketuk manja.


Cili padi, bawang putih, bawang merah, lengkuas dan kunyit hidup. Semua bahan ni dikisar.


Ni dia bahan yang telah dikisar.


Tomato dipotong wedges.

Jom kita memasak pula..


Langkah 1
Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar dan serai yang diketuk. Kacau sentiasa sehingga kuah mendidih.


Langkah 2
Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula ayam dan tomato serta cili hijau. Masukkan juga garam dan gula, jika suka, secukup rasa. 

Kacau sekali-sekala sehingga kuah mendidih sekali lagi. 


Langkah 3
Biarkan kuah gulai mereneh sehingga isi ayam masak dan kuah pekat sedikit.


Langkah 4
Bila isi ayam sudah masak, rasa pun sudah sedap, bolehlah kita tutup api dan hidangkan.

Jom menghidang.


Hidangan hari ini seadanya. Alhamdulillah.

Jom kawan-kawan kita menjamu selera.

Bismillah..

🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️

Ahad, 17 Mac 2019

Kuih Koci Labu Leleh yang sedap

Koci Labu Leleh? Hurm.. 😋😋😋


Hari sebelumnya buat masak lemak labu, adalah lebihan sikit sebab buah labunya sederhana besar saiznya.

Kalau lama bermalam dalam peti sejuk, nanti rosak pula buah labunya. Jadi, hari ni kita buat kuih yang boleh bubuh buah labu..



KUIH KOCI LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Adunan koci

1 1/2 cawan labu yang telah direbus kemudian dilenyek
1 1/2 cawan tepung pulut
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula

Santan leleh

1 cawan santan pekat (Mak Hencik guna 1 kotak kecil santan kotak jenama Kara)
1 cawan air
3 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam

Inti Kelapa

1 biji kelapa parut
1/2 cawan gula
1/2 cawan gula merah
1 cawan air
1/2 sudu teh garam
2 helai daun pandan, disimpul
3 sudu besar tepung gandum

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Jom kita menguih.

Mula-mula kita buat inti kelapa dahulu.



1. Letak kuali atas dapur. Masukkan secawan air, gula, gula merah, sedikit garam dan daun pandan yang disimpul. Buka api. Kacau sehingga gula hancur.

2. Bila gula sudah hancur, masukkan kelapa parut putih dan kacau sehingga rata dan sebati. Biarkan sehingga air hampir jering sambil dikacau sekali sekala.

3. Bila air sudah hampir kering, taburkan tepung gandum secukupnya sambil dikacau. Tujuannya supaya air cepat jering dan memekatkan kelapa parut. Jadi sekejap jer dah masak.

4. Bila sudah masak dan pekat, tutup api dan sejukkan.

Kemudian kita sediakan santan leleh.



Di dalam kuali, kita masukkan semua bahan santan leleh seperti santan, air, tepung beras dan garam. Kacau sehingga rata dan buka api dapur.



Teruskan kacau sehingga pekat dan meletup-letup. Bila dah pekat elok, tutup api. Biarkan sebentar..

Sekarang, kita sediakan daun pandan untuk proses membungkus nanti.



Daun pisang dilayur di atas dapur gas dan dipotong mengikut saiz yang sesuai. Mak Hencik potong saiz 8"X6".

Seterusnya tibalah masanya kita buat adunan kuih koci.



Di dalam besen kecil warna merah cili padi, masukkan labu yang dilenyek, tepung beras pulut, sedikit garam dan sedikit gula. Uli menggunakan hujung jari sehingga membentuk adunan lembut.



Ni dia.. Ni dia adunan lembutnya. Huhu



Bulatkan membentuk bebola kecil, kalau rajin ler.. Kalau malas, cubit-cubit jer ler.. Bekas untuk letak bebola koci ni perlu ditabur dengan sedikit tepung supaya tak melekat pada bekas nanti.

Leperkan bebola dan masukkan inti kelapa. Tutup kembali dengan cermat. Buat sampai habis.

Sementara tu panaskan air dalam periuk sehingga mendidih.



Bila air sudah mendidih, masukkan bebola kuih koci tadi. Biarkan sehingga diorang semua terapung.



Bebola kuih koci yang terapung boleh diangkut dan ditoskan sebentar.



Kemudian masukkan ke dalam kuali yang mengandungi santan leleh tadi. Gaul sehingga santan menyaluti bebola kuih koci.

Mari kita membungkus pula.



Letakkan sebiji bebola koci beserta santan leleh. Lipat dengan kemas. Buatlah sehingga habis.



Inilah hasilnya.. Mudahkan.



Tibalah saatnya untuk merasa pula. Eh! Mudahnya masuk dalam mulut ni. Mudah ek? 😂😂😂

Jemput semua..

Bismillah..

🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀