Rabu, 21 November 2018

Udang Galah Masak Sambal Bertelur yang Sedap

Kita masak sambal, kita masukkan udang, kemudian kita pecahkan telur di dalamnya.. Apa rasanya ya? Hurm.. 😋😋😋



Bukan sahaja udang galah, masakan sambal letak telur ni juga sesuai untuk mana-mana jenis udang dan seafood yang lain.

Biasa kita makan di kedai Tom yam, hari ni kita cuba masak sendiri pula. Mana tau kot-kot lebih sedap dari yang kat kedai. 🤣🤣🤣


UDANG GALAH MASAK PEDAS BERTELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

7 ekor udang galah
*2 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah besar
Bahan bertanda * dikisar atau ditumbuk halus
3 sudu besar cili kisar
1/2 biji bawang besar Holland, dihiris
1 biji cili hijau, dipotong serong
1 biji telur, dipecahkan dan digodek sedikit
2 sudu besar sos cili
1 sudu kecil sos tiram
1/2 cawan air atau secukupnya
1/2 sudu kecil serbuk pati ikan bilis
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Jom kita memasak!


Udang galah, berehat-rehat di dalam bilik rehat tanpa perabut. 😉😉😉


Potong janggutnya yang panjang mengurai. Basuh bersih dan toskan airnya.


Antara bahan-bahan yang digunakan.


Bawang putih dan bawang merah besar yang ditumbuk, cili kisar dan sebiji telur.


Mula-mula panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga garing.


Masukkan udang.


Masukkan sos cili, sos tiram, garam, gula dan serbuk pati ikan bilis secukup rasa. Gaul sebati.


Masukkan sedikit air.


Tutup kuali dan biarkan sekejap supaya udang cepat  masak.


Sementara itu, pecahkan telur dan godek sedikit.


Buka penutup dan pastikan udang masak. Kalau belum masak, tunggu sampai masak. Kalau kering, tambah air secukupnya.


Bila udang sudah masak, tuang bancuhan telur sambil dikacau.


Gini rupanya.


Masukkan bawang besar Holland yang dihiris dan lada hijau hiris.


Gaul sehingga rata, sehingga kering sedikit.


Dah siap! Alamak comotnya kuali. 😂😂😂


Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Sedia untuk dijamu..

Jemput makan semua..

Bismillah..

Selasa, 20 November 2018

Kuih Cek Mek Molek

Bila digigit, keluar air guna di dalamnya.😂😂😂 Tapi bukan air liur tau..Hahahaha



Eh! Tak masak ke ni.. Keluar air ni..

Ish budak-budak nih. Itu air gula... Jangan komplen macam - macam pula. Makan jer anak-anakku. Nanti lain kali mak bubuh cheese pula dalam tu ya. 😂😂😂

Hari ni kita makan kuih Cek Mek molek yang pernah dibuat oleh nenek moyang kita dahulu. Kuih ini adalah sejenis kuih tradisional dari negeri Kelantan Darul Naim.

Sangat mudah untuk menyediakannya. Guna keledek dan tepung gandum jer. Gula sikit dan minyak untuk menggoreng. Oh! Satu lagi bahan utama iaitu R. R ialah rajin. 😁😁😁


KUIH CEK MEK MOLEK
Oleh Dapur Cempakasari
(menghasilkan 20 biji kuih)

Bahan-bahan

3 cawan keledek yang telah dilenyek
1 1/2 cawan tepung gandum
Sedikit gula untuk dibuat inti.
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Jom.. Jom.. Jom kita menguih hari ini.


Empat lima ketul keledek kita kupas dan basuh bersih. Lepas tu kita rebus keledek tersebut sehingga empuk. Sesudah empuk,  kita toskan airnya. Lepas tu kita lenyek keledek rebus tersebut. Er.. Er.. Berapa banyak lepas tu daaa..


Campurkan tepung gandum ke dalam keledek lenyek. Haa.. Lepas tu?


Lepas tu uli ler sehingga menjadi adunan yang lembut. Dia melekat kat tangan kita sikit - sikit, tapi tak apa. Kita sapu jer dengan tepung gandum sikit.

Dah siap uli, buatlah bulat-bulat sebesar bola ping pong.


Ambil sebiji bebola dan leperkan. Masukkan gula di tengahnya dan tutup semula.


Bentukkan leper dan runcingkan kedua-dua hujungnya. Buat sampai habis.

Pastikan Cek Mek ni dicantum dengan rapi untuk mengelakkan daripada bocor dan terkeluar air gula semasa menggoreng nanti.


Bila sudah siap membentuk kuih Cek  Mek, bolehlah kita panaskan minyak dan mula menggoreng.

Goreng sampai hangus.. Eh silap! 😂😂😂 Goreng sampai masak dan balikkan supaya masak dengan sekata.


Apabila badan cek mek berwarna perang keemasan, bolehlah diangkat dan ditoskan minyak.


Dah siap untuk dimakan! Mudah bukan nak buat kuih Cek Mek ni..

Jemput makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 17 November 2018

Resepi Cheezy Sauce

Sedap dicelup dengan wedges, kentang goreng atau nugget atau meatball.. Homemade cheezy sauce yang mudah di buat dan mudah habis!

Selalunya Mak Hencik beli cheese powder yang siap dijual di kedai bakeri untuk buat cheezy sauce. Tapi bila tengok di FB ramai juga kawan-kawan yang try buat sendiri cheezy sauce ni. Mereka gunakan resepi Nazrin Zahrin ni. So.. Mak Hencik pun nak cuba juga. Jom kita cuba!


RESEPI CHEEZY SAUCE
Oleh Dapur Cempakasari
Resepi asal : Nazrin Zahrin

Bahan-bahan

1 tin susu cair@sejat
1/2 tin air, guna tin susu cair, resepi asal tak bubuh
250g mentega
12 keping cheese keping
1 ketul kiub ayam
2 sudu besar serbuk lada hitam kasar
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara menyediakannya..

Jom.. Jom.. Mengesos kita hari ni.



Antara bahan-bahan yang digunakan.



Mula-mula cairkan mentega di dalam pan. Masukkan susu cair. Tunggu sehingga mendidih sambil dikacau.



Masukkan cheese keping satu demi satu. Biarkan dia cair.



Kemudian masukkan kiub ayam. Mmm.. Berbayang - bayang gambarnya. Guna tepon murah, buat projek pulak tengah malam.. 😁😁😁



Lepas tu masukkan pula serbuk lada hitam kasar. Boleh kurangkan kalau tak suka sangat rasa lada hitam tu ya.



Masukkan pula beberapa titis pewarna oren untuk mencantikkan rupanya. Kacau sehingga rata.



Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung sambil dikacau sehingga pekat.



Sudah dapat kepekatan yang dikehendaki, bolehlah tutup api.
Siappp! Tunggu sejuk sekejap, pastu kita masukkan dalam bekas. Tak habis makan kita simpan dalam peti sejuk.



Sedia.. Satu.. Dua..



Haaaa.. Tunggu apa lagi.. Jom celup-celup dengan kentang goreng.

Bismillah..

Sabtu, 10 November 2018

Kek Mentega Pelangi

Kek dulu-dulu. Tak lekang dek panas. Tak lapuk dek hujan. Segar sepanjang zaman. Rasa kek homemade memang ummphhh sebab tak ada pengawet!



Lama sungguh tak buat kek. Kalau buat pun asyik buat kat kedai sahaja. 😁😁😁

Kebetulan malam ni pula perlu buat operasi. Operasi lipat kain. Kain yang tidak berlipat sudah hampir mencecah siling rumah dah.. 😂😂😂



Inilah kesan pergi bercuti sempena Deepavali. Balik ke rumah bawa balik kenangan.. beserta satu beg penuh pakaian yang belum dicuci. Yang dah sedia ada di rumah pun sudah sebakul. Hurmmm.. Berbakul - bakullah jadinya.

Senyum sahajalah.. Tak perlu kata apa-apa.



Jadi, sebelum operasi melipat, kita buat kek dahulu. Sambil menunggu kek masak, kita pun melipat kain. Nanti kek kita masak, kain pun sudah siap berlipat. 💐💐💐

Resepi ni telah dikongsi dengan kawan setempat kerja, Nor Azyyati bt Che Aladin. Sedapppp kek dia. Dia memang terrer membaking nih. Kek dia buat sedap woii.. 



Resepi telah disalin oleh anak bongsuku pada tahun lepas lagi. Masa tu umurnya 9 tahun sebab dia yang nak buat kek ni. Oleh kerana hasil kejadiannya elok dan rasa dia pun sedap, berderai dan kering sedikit, maka kita abadikan resepinya di sini.

RESEPI KEK MENTEGA PELANGI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan - bahan

1 cawan marjerin (Mak Hencik guna 1 ketul butter jenama Anchor)
1 cawan gula kastor
2 sudu besar susu pekat manis
4 biji telur saiz A
*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan bertanda * diayak
(sekiranya menggunakan tepung naik sendiri menggantikan tepung gandum, tak perlu masukkan baking powder)
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil pewarna merah dan hijau atau mana-mana warna pilihan.

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita mengekek ..



Langkah 1
Putar mentega dan gula sehingga kembang.



Langkah 2
Masukkan susu pekat, esen vanilla dan telur sebiji demi sebiji sambil diputar sehingga kembang.



Langkah 3
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar sehingga rata.



Langkah 4
Adunan kek dibahagi kepada 3 bahagian dan diwarnakan mengikut warna pilihan. Mak Hencik pilih warna asal, merah jambu dan hijau.



Langkah 5
Oles acuan 8 inci dengan mentega atau minyak dan alas dengan kertas minyak.



Langkah 6
Masukkan satu senduk warna asal..


Letakkan satu senduk warna hijau di atas warna asal tadi.



Ambil satu senduk warna merah jambu dan letakkan atas warna hijau tadi.



Ulangi langkah 6 sehingga adunan habis.



Langkah 7
Bakar selama 25-30 minit pada suhu 170°C atau ikut oven masing-masing.



Selepas 15 minit.



Selepas 25minit.



Langkah 7
Cucuk bahagian tengah kek dengan lidi satay. Bila tiada tepung yang melekat, maka masaklah kek tersebut dan bolehlah kita keluarkan dari oven.



Biarkan seketika sebelum kita keluarkan dari acuan.



Bila sudah sejuk, bolehlah dipotong.



Jemput menikmati hidangan minum petang hari ini, kek pelangi dan teh 0 panas.

Jemput semua..

Bismillah..