Sabtu, 10 November 2018

Kek Mentega Pelangi

Kek dulu-dulu. Tak lekang dek panas. Tak lapuk dek hujan. Segar sepanjang zaman. Rasa kek homemade memang ummphhh sebab tak ada pengawet!



Lama sungguh tak buat kek. Kalau buat pun asyik buat kat kedai sahaja. 😁😁😁

Kebetulan malam ni pula perlu buat operasi. Operasi lipat kain. Kain yang tidak berlipat sudah hampir mencecah siling rumah dah.. 😂😂😂



Inilah kesan pergi bercuti sempena Deepavali. Balik ke rumah bawa balik kenangan.. beserta satu beg penuh pakaian yang belum dicuci. Yang dah sedia ada di rumah pun sudah sebakul. Hurmmm.. Berbakul - bakullah jadinya.

Senyum sahajalah.. Tak perlu kata apa-apa.



Jadi, sebelum operasi melipat, kita buat kek dahulu. Sambil menunggu kek masak, kita pun melipat kain. Nanti kek kita masak, kain pun sudah siap berlipat. 💐💐💐

Resepi ni telah dikongsi dengan kawan setempat kerja, Nor Azyyati bt Che Aladin. Sedapppp kek dia. Dia memang terrer membaking nih. Kek dia buat sedap woii.. 



Resepi telah disalin oleh anak bongsuku pada tahun lepas lagi. Masa tu umurnya 9 tahun sebab dia yang nak buat kek ni. Oleh kerana hasil kejadiannya elok dan rasa dia pun sedap, berderai dan kering sedikit, maka kita abadikan resepinya di sini.

RESEPI KEK MENTEGA PELANGI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan - bahan

1 cawan marjerin (Mak Hencik guna 1 ketul butter jenama Anchor)
1 cawan gula kastor
2 sudu besar susu pekat manis
4 biji telur saiz A
*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan bertanda * diayak
(sekiranya menggunakan tepung naik sendiri menggantikan tepung gandum, tak perlu masukkan baking powder)
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil pewarna merah dan hijau atau mana-mana warna pilihan.

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita mengekek ..



Langkah 1
Putar mentega dan gula sehingga kembang.



Langkah 2
Masukkan susu pekat, esen vanilla dan telur sebiji demi sebiji sambil diputar sehingga kembang.



Langkah 3
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar sehingga rata.



Langkah 4
Adunan kek dibahagi kepada 3 bahagian dan diwarnakan mengikut warna pilihan. Mak Hencik pilih warna asal, merah jambu dan hijau.



Langkah 5
Oles acuan 8 inci dengan mentega atau minyak dan alas dengan kertas minyak.



Langkah 6
Masukkan satu senduk warna asal..


Letakkan satu senduk warna hijau di atas warna asal tadi.



Ambil satu senduk warna merah jambu dan letakkan atas warna hijau tadi.



Ulangi langkah 6 sehingga adunan habis.



Langkah 7
Bakar selama 25-30 minit pada suhu 170°C atau ikut oven masing-masing.



Selepas 15 minit.



Selepas 25minit.



Langkah 7
Cucuk bahagian tengah kek dengan lidi satay. Bila tiada tepung yang melekat, maka masaklah kek tersebut dan bolehlah kita keluarkan dari oven.



Biarkan seketika sebelum kita keluarkan dari acuan.



Bila sudah sejuk, bolehlah dipotong.



Jemput menikmati hidangan minum petang hari ini, kek pelangi dan teh 0 panas.

Jemput semua..

Bismillah..

Jumaat, 2 November 2018

Pulut Kuning Kukus dan Rendang Ayam yang Sedap

Pulut kukus ni istimewanya ia lembut, bukan lembik. Istimewanya juga bila ia diarung dengan santan. Rasa lemak dan lembut pulut dengan aroma daun pandan!



Pak Hencik kata dia tak berapa gemar makan pulut dengan rendang. Dia sangat suka makan pulut kuning dengan kuah nasi impit, iaitu kuah kacang.

Maaflah Yang. Saya dah kukus pulut kuning dan masak rendang ayam untuk hari ini. Nanti lain kali saya buat kuah kacang tu ya. Janji Mak Hencik pada Pak Hencik. Tapi entah bila laaa janji tu akan ditunaikan. 😂😂😂. Entah entah janji tinggal janji.. 😂😂😂



RESEPI PULUT KUNING DAN RENDANG AYAM YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Pulut Kukus

3 cawan pulut
1 cawan santan sederhana pekat
Sedikit garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Rendang Ayam

1 ekor ayam, dipotong sederhana besar
2 biji bawang merah besar
3 biji bawang putih
15 tangkai cili kering
5 biji cili padi
1 inci kunyit
1 hiris lengkuas
3 batang serai
3 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
5 cawan santan
1 helai daun kunyit
5 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Jom..jom.. memulut kita hari ni..



Langkah 1

a. Rendam beras pulut yang dibasuh bersih di dalam air yang dicampur dengan sedikit pewarna kuning dan sekeping asam gelugur atau asam keping. Rendam dalam 15-20 minit jer.

b. Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam pengukus.



Langkah 2
Kukus pulut, kurang lebih 40 minit.



Sesudah separuh masak, keluarkan dari pengukus dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Hati-hati, panas ni. Berasap.



Sediakan 1 cawan santan. Masukkan garam dan gula secukup rasa.



Langkah 3
Tuang santan sikit-sikit ke atas pulut sambil digaul menggunakan sudip kayu.



Gaul sehingga rata dan sebati.



Langkah 4
Masukkan semula pulut yang telah diarung santan tadi ke dalam pengukus.



Kukus lagi sekali lebih kurang 30 minit.



Langkah 5
Bila pulut sudah masak, bolehlah tutup api. Jadi sudah masaklah pulut kukus kita hari ini.

Jom masak rendang pula. Rendang yang paling mudah dan simple.



Ayam dibasuh bersih dan ditoskan airnya.



Bahan untuk dikisar iaitu bawang merah, bawang putih, cili kering, cili padi, serai hiris, kunyit dan lengkuas. Hujung serai tu diketuk sedikit.



Kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.



Langkah 1
Di dalam kuali atau periuk, masukkan ayam, santan dan bahan kisar. Masukkan juga lebihan hujung serai..



..dan asam keping. Buka api dan kacau sehingga rata.



Biarkan kuah rendang mendidih.



Langkah 2
Bila kuah sudah mendidih, masukkan daun kunyit yang disimpul, daun limau purut yang diramas sedikit,  garam, gula secukup rasa  dan kerisik.



Biarkan kuah mereneh sambil dikacau sekali-sekala. Tunggu sehingga kuah pekat.



Langkah 3
Bila kuah rendang sudah pekat, tutup api.
Masaklah rendang ayam kita..



Hidangan pulut kuning dan rendang ayam. Hmmm.. sedapnya. Rasa macam nak raya pula nih. ❤❤❤❤❤

Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Khamis, 1 November 2018

Donat Bavarian Inti Kastard yang Sedap

Sedap tau donat berinti kastard ni. Tak pernah buat pun sebelum ni sebab kurang rajin nak buat inti kastard. Tapi rupanya sangat senang pula. Tu lerrr.. lain kali jangan malas. 😂😂😂




Tak aci betul kan asyik tengok orang jer buat donat bavarian ni. Jadi, kita pun kenalah cuba juga. Kalau buat sekali tidak menjadi, kita buat lagi sekali. Kita buat sampai jadi. Yeahhhh! 💪💪💪💪

Tapi ni resepi donat jer pun.. semua orang boleh buat dan menjadi dengan jayanya. Kan?


RESEPI DONAT BAVARIAN
oleh Dapur Cempakasari
(Menghasilkan 15-16 biji donat)

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak jagung
1/2 sudu kecil bread softener
1/2 sudu kecil baking powder
1 biji kuning telur
*2 sudu besar gula
*1 sudu besar susu pekat manis
*1 sudu besar yis segera
*1/2 cawan air suam
Bahan bertanda * dicampur, dikacau dan dibiarkan sehingga yis berbuih.

Bahan inti kastard

2/3 cawan susu segar
2 sudu besar gula
2 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar mentega
Sedikit esen vanila

Hiasan
Gula aising atau snow powder


Cara-cara menyediakannya.

Jom jom jom

Cara buat inti kastard yang senang sangat. Cuma kalau ada penyakit rajin atau malas sahaja kita ni 😅😅😅


Dalam pan yang sesuai, masukkan susu segar, tepung kastard, gula dan esen vanila. Mentega ajer jangan masukkan. Kacau menggunakan whisk. Bila tepung dah sebati baharulah buka api perlahan. Kacau sehingga kuah kastard menjadi likat.

Bila kuah menjadi likat dan pekat yang dikehendaki, tutup api. Kemudian masukkan mentega dan kacau rata. Sejukkan.


Bila sudah sejuk, masukkan dalam piping bag. Biarkan dulu, nanti kita akan guna dia kemudian.

Jom kita buat adunan donat pula.


Langkah 1
Di dalam bekas yang sesuai, masukkan air suam, yis segera, gula dan susu pekat. Kacau sehingga sebati dan biarkan bancuhan yis ni sehingga kembang atau berbuih.


Langkah 2
Di dalam mangkuk adun atau bekas yang sesuai, masukkan tepung gandum, minyak, bread softener, baking powder dan kuning telur. Gaul menggunakan hujung jari sehingga menjadi serbuk roti.

Buatkan lubang di tengahnya. Lepas tu tuangkan larutan yis yang telah kembang dan gaul.


Gaul-gaul-gaul sebati sehingga membentuk satu adunan yang lembut.


Langkah 3
Tutup adunan dengan kain maslin. Tunggu sehingga ia kembang sekali ganda.


Haaaaa.. dah kembang pun dia.


Langkah 4
Kita tumbuk-tumbuk adunan untuk buang angin.


Langkah 5
Bentukkan bulat dan leperkan dia. Lepas tu biarkan sehingga kembang lagi sekali.


Langkah 6
Panaskan minyak dengan api sederhana dan goreng donat sehingga masak.


Langkah 7
Toskan minyak.


Langkah 8
Tebuk lubang pada donat menggunakan pisau yang hujungnya kecil.

Kemudian ambillah inti kastard dalam piping bag tadi. Lepas tu paipkan ke dalam lubang donat sehingga penuh. Lepas  dah bubuh inti kastard dalam donat, taburkan pula gula aising atau snow powder.


Okeyyy.. dah siap donat bavarian kita hari ini. Jemput makan semua..

Bismillah..