Jumaat, 2 November 2018

Pulut Kuning Kukus dan Rendang Ayam yang Sedap

Pulut kukus ni istimewanya ia lembut, bukan lembik. Istimewanya juga bila ia diarung dengan santan. Rasa lemak dan lembut pulut dengan aroma daun pandan!



Pak Hencik kata dia tak berapa gemar makan pulut dengan rendang. Dia sangat suka makan pulut kuning dengan kuah nasi impit, iaitu kuah kacang.

Maaflah Yang. Saya dah kukus pulut kuning dan masak rendang ayam untuk hari ini. Nanti lain kali saya buat kuah kacang tu ya. Janji Mak Hencik pada Pak Hencik. Tapi entah bila laaa janji tu akan ditunaikan. 😂😂😂. Entah entah janji tinggal janji.. 😂😂😂



RESEPI PULUT KUNING DAN RENDANG AYAM YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Pulut Kukus

3 cawan pulut
1 cawan santan sederhana pekat
Sedikit garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Rendang Ayam

1 ekor ayam, dipotong sederhana besar
2 biji bawang merah besar
3 biji bawang putih
15 tangkai cili kering
5 biji cili padi
1 inci kunyit
1 hiris lengkuas
3 batang serai
3 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
5 cawan santan
1 helai daun kunyit
5 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Jom..jom.. memulut kita hari ni..



Langkah 1

a. Rendam beras pulut yang dibasuh bersih di dalam air yang dicampur dengan sedikit pewarna kuning dan sekeping asam gelugur atau asam keping. Rendam dalam 15-20 minit jer.

b. Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam pengukus.



Langkah 2
Kukus pulut, kurang lebih 40 minit.



Sesudah separuh masak, keluarkan dari pengukus dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Hati-hati, panas ni. Berasap.



Sediakan 1 cawan santan. Masukkan garam dan gula secukup rasa.



Langkah 3
Tuang santan sikit-sikit ke atas pulut sambil digaul menggunakan sudip kayu.



Gaul sehingga rata dan sebati.



Langkah 4
Masukkan semula pulut yang telah diarung santan tadi ke dalam pengukus.



Kukus lagi sekali lebih kurang 30 minit.



Langkah 5
Bila pulut sudah masak, bolehlah tutup api. Jadi sudah masaklah pulut kukus kita hari ini.

Jom masak rendang pula. Rendang yang paling mudah dan simple.



Ayam dibasuh bersih dan ditoskan airnya.



Bahan untuk dikisar iaitu bawang merah, bawang putih, cili kering, cili padi, serai hiris, kunyit dan lengkuas. Hujung serai tu diketuk sedikit.



Kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.



Langkah 1
Di dalam kuali atau periuk, masukkan ayam, santan dan bahan kisar. Masukkan juga lebihan hujung serai..



..dan asam keping. Buka api dan kacau sehingga rata.



Biarkan kuah rendang mendidih.



Langkah 2
Bila kuah sudah mendidih, masukkan daun kunyit yang disimpul, daun limau purut yang diramas sedikit,  garam, gula secukup rasa  dan kerisik.



Biarkan kuah mereneh sambil dikacau sekali-sekala. Tunggu sehingga kuah pekat.



Langkah 3
Bila kuah rendang sudah pekat, tutup api.
Masaklah rendang ayam kita..



Hidangan pulut kuning dan rendang ayam. Hmmm.. sedapnya. Rasa macam nak raya pula nih. ❤❤❤❤❤

Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Khamis, 1 November 2018

Donat Bavarian Inti Kastard yang Sedap

Sedap tau donat berinti kastard ni. Tak pernah buat pun sebelum ni sebab kurang rajin nak buat inti kastard. Tapi rupanya sangat senang pula. Tu lerrr.. lain kali jangan malas. 😂😂😂




Tak aci betul kan asyik tengok orang jer buat donat bavarian ni. Jadi, kita pun kenalah cuba juga. Kalau buat sekali tidak menjadi, kita buat lagi sekali. Kita buat sampai jadi. Yeahhhh! 💪💪💪💪

Tapi ni resepi donat jer pun.. semua orang boleh buat dan menjadi dengan jayanya. Kan?


RESEPI DONAT BAVARIAN
oleh Dapur Cempakasari
(Menghasilkan 15-16 biji donat)

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak jagung
1/2 sudu kecil bread softener
1/2 sudu kecil baking powder
1 biji kuning telur
*2 sudu besar gula
*1 sudu besar susu pekat manis
*1 sudu besar yis segera
*1/2 cawan air suam
Bahan bertanda * dicampur, dikacau dan dibiarkan sehingga yis berbuih.

Bahan inti kastard

2/3 cawan susu segar
2 sudu besar gula
2 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar mentega
Sedikit esen vanila

Hiasan
Gula aising atau snow powder


Cara-cara menyediakannya.

Jom jom jom

Cara buat inti kastard yang senang sangat. Cuma kalau ada penyakit rajin atau malas sahaja kita ni 😅😅😅


Dalam pan yang sesuai, masukkan susu segar, tepung kastard, gula dan esen vanila. Mentega ajer jangan masukkan. Kacau menggunakan whisk. Bila tepung dah sebati baharulah buka api perlahan. Kacau sehingga kuah kastard menjadi likat.

Bila kuah menjadi likat dan pekat yang dikehendaki, tutup api. Kemudian masukkan mentega dan kacau rata. Sejukkan.


Bila sudah sejuk, masukkan dalam piping bag. Biarkan dulu, nanti kita akan guna dia kemudian.

Jom kita buat adunan donat pula.


Langkah 1
Di dalam bekas yang sesuai, masukkan air suam, yis segera, gula dan susu pekat. Kacau sehingga sebati dan biarkan bancuhan yis ni sehingga kembang atau berbuih.


Langkah 2
Di dalam mangkuk adun atau bekas yang sesuai, masukkan tepung gandum, minyak, bread softener, baking powder dan kuning telur. Gaul menggunakan hujung jari sehingga menjadi serbuk roti.

Buatkan lubang di tengahnya. Lepas tu tuangkan larutan yis yang telah kembang dan gaul.


Gaul-gaul-gaul sebati sehingga membentuk satu adunan yang lembut.


Langkah 3
Tutup adunan dengan kain maslin. Tunggu sehingga ia kembang sekali ganda.


Haaaaa.. dah kembang pun dia.


Langkah 4
Kita tumbuk-tumbuk adunan untuk buang angin.


Langkah 5
Bentukkan bulat dan leperkan dia. Lepas tu biarkan sehingga kembang lagi sekali.


Langkah 6
Panaskan minyak dengan api sederhana dan goreng donat sehingga masak.


Langkah 7
Toskan minyak.


Langkah 8
Tebuk lubang pada donat menggunakan pisau yang hujungnya kecil.

Kemudian ambillah inti kastard dalam piping bag tadi. Lepas tu paipkan ke dalam lubang donat sehingga penuh. Lepas  dah bubuh inti kastard dalam donat, taburkan pula gula aising atau snow powder.


Okeyyy.. dah siap donat bavarian kita hari ini. Jemput makan semua..

Bismillah..

Rabu, 31 Oktober 2018

Char Kuey Teow Udang @ goreng basah Mudah dan Sedap

Kuey teow ni memang famous di mana-mana. Kalau ada tambahan kerang lagi terangkat! Ditambah pula dengan sambal kicap pedas.. terangkat-angkat! 👍👍



Mak Hencik pun bukan reti sangat buat benda alah ni. Tak terniat pun nak belajar buat char kuey teow goreng basah ni. Tapi itu lerrr.. ada kisah di sebaliknya.. 😃😃

Masa tu baru balik dari kerja. Tapi malas pula nak bermanja dengan periuk belanga nih. Jadinya Pak Hencik pun cadangkan beli jer laa kat tepi taman permainan dalam 50 meter dari rumah kami.

Lepas maghrib tu Mak Hencik pun pergilah. Jalan kaki sorang-sorang. Mak aihhhh..! Ramai bebenor pelanggannya. Congak punyak congak Mak Hencik ni orang keempat. Sorang-sorang order tiga empat bungkus. Mak Hencik sendiri empat bungkus. 😭😭😭

Lamer gilerrr babas menunggu giliran. Nak duduk tak ada kerusi. Nak cancel order, perut dah lapar. Anak-anak lagi nak makan. Anak mak mentua pun lapar jugak tu.. 😭😭😭

Dalam masa menunggu tu ler, Mak Hencik tengok cara tuan gerai memasak char kuey tiaw basah ni..


RESEPI CHAR KUEY TEOW GORENG BASAH
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus kuey tiaw, dibasuh bersih dan ditoskan airnya (untuk masak sepinggan, ambil segenggam jer)

1 biji bawang putih, diketuk

1 sudu besar cili kering kisar

1 biji lada hijau, dipotong serong

Segenggam tauge

Sedikit daun kucai, dipotong dua inci panjang ( Mak Hencik tak letak)

1 biji telur

1 1/2 senduk kuah kicap yang kita buat tu atau secukupnya sebab saiz senduk kita may be tak sama.
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan kuah kicap

5 cawan air
1 cawan kicap lemak manis Jalen
1/4 cawan sos cili
1/4 cawan sos tiram
1 ketul kiub ayam
1 sudu besar garam, atau secukupnya
3 1/2 sudu besar gula, atau secukupnya
1/2 sudu kecil serbuk perasa, atau secukupnya

Hiasan
Hirisan daun sup
Sambal kicap pedas

Cara-cara menyediakannya.

Jom.. jom.. jom..

Mula-mula kita buat kuah kicap dahulu


Di dalam periuk, masukkan air, kicap, sos cili, sos tiram, kiub ayam, garam, gula dan serbuk perasa. Kacau sikit dan biarkan ia mendidih.

Bila sudah mendidih, rasalah dulu. Tambah apa yang kurang supaya sedap kebabom char kuey tiaw kita nanti. 😂😂😂

Sudah masak, tutup api dan biarkan sejuk.

Untuk memasaknya, kita perlu memasak sepinggan-sepinggan, barulah sama macam yang dibeli kat kedai. 😂😂😂


Sediakan kuey tiaw yang sudah dibasuh bersih dan ditoskan.


Cili kering kisar, ambil satu sudu besar jer untuk sekali masak.


Bawang putih ketuk, lada hijau potong serong, udang tiga ekor dan tauge sikit. Kalau suka daun kucai tu bubuhlah ya.


Sebiji telur. Pecah siap-siap dalam bekas. Al maklumlah daku tak expert ni. 😅😅😅


Langkah 1
Panaskan sedikit minyak, masukkan udang. Godek-godek sikit sehingga separuh masak dan letak tepi kuali.


Langkah 2
Tumiskan sebiji bawang putih yang diketuk dan sesudu besar cili kering kisar. Kacau sehingga cili dan bawang garing.


Langkah 3
Masukkan pula segenggam kuey teow untuk satu pinggan hidangan. Terus dikacau sehingga rata. Masa ni besarkan api sikit.


Kuey tiaw yang sudah digaul rata.. Letak tepi sikit ya.

Tambah sedikit minyak, dalam satu sudu besar jer


Langkah 4
Masukkan tauge, letak ajer atas kuey tiaw tu. Lepas tu cepat-cepat masukkan telur.


Langkah 5
Lepas tu cepat-cepat pula masukkan satu senduk setengah kuah kicap. Dan cepat-cepat juga dikacau sehingga rata. Lepas tu terus tutup api.


Langkah 6
Siap sudah char kuey tiaw kita hari ni. Mudahkan. Haaaaa.. inilah hasil Mak Hencik menunggu lenguh kaki bagai nak rak! Ilmu memasak dari pemerhatian.. hihihi


Hiaskan dengan daun sup hiris.

Jemput makan semua..

Bismillah..

Selasa, 30 Oktober 2018

Ikan Cencaru Goreng Sumbat Sambal

Pening nak masak ikan cencaru? Mari masak yang mudah-mudah sahaja. Goreng dan sumbat sambal yang pedas dan sedikit manis. Sedap tau !


Ikan cencaru ni ada beberapa nama panggilan manja. Kat asrama dulu, kami panggil ikan jaket sebab kulitnya tebal dan boleh disiat kalau kita nak makan dia.. hihihi.  Ada juga yang panggil ikan kerongan. 😂😂😂

Korang panggil apa?


IKAN CENCARU GORENG SUMBAT SAMBAL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan cencaru, disiang dan belah belakang, dibersihkan serta ditoskan.
Sedikit garam dan kunyit, dilumur pada ikan.
Minyak secukupnya untuk menggoreng ikan

3 biji bawang putih, ditumbuk
1 biji bawang merah besar, ditumbuk
5 sudu besar cili kering kisar
1/2 biji bawang besar Holand, dipotong
1 biji lada hijau, dipotong serong
1/2 atau secukupnya air
Garam dan gula secukupnya
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom..jom.. memasak..


Ikan dibelah belakang, dibasuh bersih dan ditoskan.


Lumur ikan dengan sedikit garam dan kunyit sebelum digoreng hingga masak.


Ikan goreng yang sudah siap dimasak. Biarkan sekejap.

Sediakan bahan untuk menumis iaitu cili kering kisar dan bawang putih serta bawang merah yang ditumbuk.


Cili kering kisar.


Bahan yang  ditumbuk iaitu bawang putih dan bawang merah.


Untuk menumis sambal, kita panaskan sedikit minyak. Bila sudah panas, masukkan bahan tumbuk dan cili kering kisar. Kacau sehingga bahan tumisan masak. Jangan sampai hangus ya..


Kemudian masukkan air asam jawa dan sedikit air. Bolehlah juga masukkan secubit garam dan gula secukupnya.


Bila sudah mendidih, masukkan pula bawang besar Holand hiris dan lada hijau.
Kacau sedikit sehingga bahan tumis betul-betul.pekat.

Kemudian bolehlah tutup api.


Sumbatlah sambal tumis tadi tu ke dalam perut ikan dan sapu badan ikan sekali sehingga rata. Lepas tu bolehlah hidangkan dalam pinggan. Hurm... ekor ikan pun dah tercerai.. 😅😅😅

Hari ini ada meeting, jadi Mak Hencik kena masuk kerja awal. Sebab tu ler Mak Hencik masak lintang-pukang macam Charlie Chaplin ni.. 😂😂😂


Inilah hidangan hari ni. Ikan cencaru goreng sumbat sambal, ayam masak kari palembang dan telur masin. Yang dalam mangkuk kecil tu pula sambal tumis lebihan sapu pada ikan. 😆😆😆

Jemput makan semua.. seadanya..

Bismillah.