Ahad, 28 Oktober 2018

Sagu Gula Melaka Susu Cair

Tengahari yang panas ni memang sedap makan kuih berkuah yang sejuk. Haa.. sagu gula melaka adalah pilihan untuk hari ini.



Sagu ni adalah sumber tempatan orang Melayu. Asal sagu adalah dari pokok rumbia yang hidup di kawasan berair seperti di tepi sungai.

Agak sukar juga untuk menghasilkan sagu ni. Pokok rumbia tu ditebang batangnya, dibuang kulitnya, isinya diparut sebelum diproses menjadi biji sagu.

Hurmmm.. jangan tak tahu kalau lalu ikut kawasan kilang sagu mesti kita nak tutup hidung. Kenapa ya nak kena tutup hidung..? Sebab ada bau masam sikit terhasil dari kilang memproses sagu. 

Tapi sekarang kilang tu dah lama tutup. Katanya tuan punya dah meninggal dan tidak minat disambung oleh anak-anak beliau. Tambahan pula sukar untuk mendapatkan stok batang rumbia.

Apa nak buat.. hilanglah sumber rezeki bagi beberapa orang penduduk kampung. Apa nak buat..

Apa nak buat.. apa nak buat.. pergilah buat sagu gula melaka tuuu... 😆😆😆


RESEPI SAGU GULA MELAKA 
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 cawan sagu, direndam sekejap, dibasuh dan ditoskan air.
3 cawan air
3 sudu besar gula
1 sudu kecil pewarna hijau, atau mana-mana warna pilihan

Bahan kuah 

1 tin susu cair
1 tin air, guna tin susu cair tu jer
2 sudu besar tepung jagung, dicampur dengan 1/2 cawan air
Sedikit garam

Bahan Air Gula Melaka

1 cawan air
1 cawan gula merah
1/2 cawan gula, boleh kurang atau tambah ikut manis kegemaran
2 helai daun pandan disimpul

Cara-cara membuatnya

Jom kita menyediakannya..


Biji sagu dibasuh bersih, direndam sekejap kemudian ditoskan airnya.


Mula-mula kita masukkan 2 cawan air, 3 sudu besar gula dan pewarna hijau ke dalam kuali. Kalau guna kuali non stick lebih baik. Biarkan air mendidih. Oh ya..1 cawan air lagi, standby dekat kuali.


Bila air sudah mendidih, masukkan biji sagu yang ditoskan tadi.


Kacau menggunakan whisk.


Bila air dah kering, masukkan sedikit air sehingga habis satu cawan sambil dikacau sehingga rata.


Ok nampaknya masak sudah sagu kita. Dari kuali bolehlah dituangkan ke dalam bekas yang besar. Sejukkan.

Sebenarnya banyak cara nak memasak sagu nih. Ada yang dikukus juga. Korang boleh pilih nak buat ikut kesukaan korang. 

Sekarang kita masak kuah susu cair pula. Jom


Dalam kuali,masukkan setin susu cair, sedikit garam dan secawan air. Kacau sedikit sehingga kuah mendidih. 

Mak Hencik suka kuah yang pekat sedikit, jadi Mak Hencik masukkan bancuhan tepung jagung dan air. Jika ada yang suka kuah cair, langkah ni langkaulah ya.


Bila mendapat kepekatan yang dikehendaki, boleh tutup api. Sejukkan dahulu. Bila sudah sejuk boleh masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk.

Jom masak air gula melaka pula

Dalam pan dalam atau periuk yang sesuai saiznya, masukkan secawan air, secawan gula merah, 1/2 cawan gula dan daun pandan simpul. Masak sehingga gula dan gula merah hancur. Bila sudah elok pekat, bolehlah tutup api. 

Biarkan sejuk dahulu kemudian baharulah masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk.

Jom menghidang..

  
Dalam bekas berkaki.. atau..


Masukkkan dalam bekas tiada kaki..


Jom menikmatinya.

Bismillah..

Khamis, 25 Oktober 2018

Udang Goreng Celup Tepung Bestari Kembung

Sedap sungguh udang goreng celup tepung dicicah dengan sos savouri. Adoiii ngences..!!


Kebelakangan ni, harga udang agak murah. Udang bersaiz besar pun harganya kurang RM30 sekilo. Jadi sangat berbaloi-baloi kalau kita cuba resepi ni.

Kebetulan pula anak-anak memang suka benor dengan undang goreng celup tepung nih. Kalau goreng benda alah ini, sekejap jer licin. Seronok pula tengok depa makan. Tapi tak bolehlah selalu.. RM30 ni kira mahal juga kalau selalu dibeli.. hahaha



Resepi Udang Goreng celup tepung bestari
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 cawan tepung bestari asli
1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 cawan air atau secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom kita menggoreng hari ini..



Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung bestari, tepung gandum dan baking powder. Gaul hingga sebati.

Kemudian masukkan setengah cawan air, kacau. Lepas tu masukkan sedikit-sedikit air sambil dikacau rata.



Dapatkan adunan yang tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Agak-agak dapat menyalut udang kita yang macho itu..



Lepas tu kita tutup bekas adunan dengan kain maslin atau kain yang sesuai.. tudung periuk pun boleh.. tudung saji tak leh.
Kita biarkan dia sekejap.



Sementara itu kita proses udang kita yang macho kita. Sesudah dibasuh bersih, kita asingkan kulit dan janggutnya. Biar tinggal bahagian ekor jer.



Kita toskan dan lap badan udang dengan tisu dapur. Lap.. lap.. lap..

Lepas tu bolehlah kita panaskan minyak yang banyak. Agak-agak udang boleh tenggelam.



Bila minyak sudah panas, bolehlah kita celupkan udang ke dalam bancuhan tepung dan masukkan ke dalam minyak panas. Buat sekor-sekor tau.



Kita goreng sama dia..



Balikkan udang supaya masak dan garing sekata.



Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak.
 Dan gorenglah lagi untuk pusingan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga habis.



Dah dapat sepinggan penuh. Hahhh! Tunggu apa lagi.. jom menyicah...

Jemput makan kawan-kawan

Bismillah..

Selasa, 23 Oktober 2018

Biskut Samperit Dahlia Tanpa Telur sukatan cawan

Selain Hari Raya, kita juga boleh buat biskut ni sebagai kudapan.. atau sebagai buah tangan untuk majlis kenduri-kendara.



Ada banyak resepi samperit nih. Samperit susu, samperit cheese, samperit pandan dan samperit klasik. Sukatan dan bahan-bahan yang digunakan juga ada sedikit perbezaan, tapi yang penting ia adalah SAMPERIT! 😂😂😂

Resepi ini pula Mak Hencik ambil dari blog Cik Matahari. Asalnya dari sukatan metrik, tapi oleh kerana Mak Hencik kurang rajin dalam timbang-menimbang, Mak Hencik tukar ke sukatan cawan.

Pada tekak Mak Hencik ni rasanya sedap dan berderai bila masuk dalam mulut. Entahlah kalau korang tak suka.. ✌✌


Biskut Samperit Dahlia Tanpa Telur
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250g mentega
1 cawan gula kastor, kurangkan 1 sudu besar sebab rasa cam manis kalau setengah cawan penuh.
1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung
1 1/2 cawan tepung red rose, kalau xde boleh jer ganti dengan tepung gandum ,( kalau lembik tambah lagi 1/2 cawan)
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara membuatnya

Jom mengukis!


Di dalam bekas yang sesuai, masukkan gula kastor, mentega dan esen vanila.


Mula-mula gaul guna sudip dahulu. Bila sudah agak sebati, baharulah guna jari-jemari kita.


Ia akan jadi macam di atas 👆👆. Jangan risau, teruskan sahaja usaha menguli.


Akhirnya adunan akan menjadi seperti di atas. 👆👆


Sediakan senjatanya. 😂😂😂 Acuan pecah 6, pecah 7, 8 hingga ke 15. Pilihlah yang mana suka. Untuk hari ini, Mak Hencik pilih acuan paling murah seperti gambar di atas.


Walaupun guna acuan murah, tapi cantiklah juga samperit kita ni.. 😂😂😂


Bakar pada suhu 170° selama 15-20 minit, atau ikut ragam oven masing-masing.

Tips: kata orang yang biasa buat biskut ni, supaya kelopaknya tak jatuh kita kena biarkan dulu dalam 15 ke 30 minit sebelum dibakar.


Bila dah masak, keluarkan dari oven. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang kedap udara.


Yang 👆👆 nak bawa ke ofis. Pindahkan dari balang ke bekas cute nih. Berderai..

Jom menikmatinya..

Bismillah..

Ahad, 21 Oktober 2018

Tom Yam Kupang dan Seafood

Hari ini kita masak tom yam kupang. Pernah makan? Jom ler kita cuba..




Kupang tu Mak Hencik jumpa di pasar pagi Ahad, RM10 sekilo. Kata si penjual, kupang ni dia ambil dari Johor. Kami pun dah lama tak makan kupang, jadi kami pun beli sekilo.



Setengah kilo, sudah selamat dimasak sambal bertelur. Tinggal lagi setengah kilo tersimpan elok dalam peti ais. Nak masak apa ya? Pak Hencik minta buatkan tom yam. Syukur.. senang nak buat. Kalau cakap, suka hati awak laa. Haaa.. yang tu buat kutergaru-garu kepala yang tak gatal.



Resepi Tom Yam Kupang dan Seafood
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2kg kupang, direndam air, dibasuh bersih dan ditoskan airnya.
4 ulas bawang putih, diketuk
5 biji cili padi, atau secukupnya, diketuk
2 batang serai, diketuk
5 cawan air atau secukupnya
1 biji tomato, dibelah empat
5 batang daun ketumbar dipotong kasar. (Ku tak ada, jadi ku tukar dengan daun sup)
1 sudu besar jus limau nipis
2 sudu besar paste tom yam
1 biji bawang besar Holand, dipotong wedges
1/2 - 1 sudu kecil serbuk cili, untuk beri warna merah sedikit.
5 helai daun limau purut, diramas sedikit.
Sedikit minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Hiasan
Bawang goreng
Hirisan daun sup

Cara-cara membuatnya

Jom jom.. jom memasak



Kupang direndam dalam air dahulu supaya bendasing yang ada di dalamnya keluar. Lepas tu kita basuh bersih dan toskan airnya.



Seafood pilihan hari ini, yang mana ada dalam peti sejuk. Ada udang dan sotong sahaja. Ketam tiada. Kalau ada boleh masukkan sekali, lebih sedap!



Bawang putih, cili padi secukup pedas yang disukai, serai, daun limau purut, tomato dan bawang besar Holand.



Langkah 1
Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang putih yang diketuk. Masukkan sekali cili padi yang juga diketuk.



Langkah 2
Bila bawang putih sudah keperangan, tuang air perlahan-lahan. Hati-hati ya.



Langkah 3
Kemudian masukkan paste tom yam, tomato dan serai.



Daun ketumbar dipotong kasar. Tapi Mak Hencik guna daun sup jer.. Lebih 'kick' kalau guna daun ketumbar tau..



Langkah 4
Bila sudah mendidih, masukkan daun ketumbar diikuti oleh kupang. Biarkan kuah terus mendidih sehingga kupang terbuka sedikit.



Langkah 5
Kemudian, masukkan udang dan sotong. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa serta sedikit jus limau nipis dan daun limau purut

Nampak pucat pula tom yam kita hari ini, jadi  Mak Hencik masukkan 1 sudu kecil serbuk cili.



Langkah 6
Biarkan sehingga kuah mendidih buat seketika. Akhir sekali masukkan bawang besar Holand. Kemudian bolehlah tutup api. Siap!



Langkah 8
Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Taburkan daun sup dan bawang goreng. Wahhhh... tak sabar nak menjamu selera.



Hidangan kita hari ini. Tom yam kupang, ayam sos black pepper, pucuk paku goreng udang kering, ikan rebus goreng, petai celur dan sambal lada tiada belacan.

 Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..