Ahad, 21 Oktober 2018

Tom Yam Kupang dan Seafood

Hari ini kita masak tom yam kupang. Pernah makan? Jom ler kita cuba..




Kupang tu Mak Hencik jumpa di pasar pagi Ahad, RM10 sekilo. Kata si penjual, kupang ni dia ambil dari Johor. Kami pun dah lama tak makan kupang, jadi kami pun beli sekilo.



Setengah kilo, sudah selamat dimasak sambal bertelur. Tinggal lagi setengah kilo tersimpan elok dalam peti ais. Nak masak apa ya? Pak Hencik minta buatkan tom yam. Syukur.. senang nak buat. Kalau cakap, suka hati awak laa. Haaa.. yang tu buat kutergaru-garu kepala yang tak gatal.



Resepi Tom Yam Kupang dan Seafood
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2kg kupang, direndam air, dibasuh bersih dan ditoskan airnya.
4 ulas bawang putih, diketuk
5 biji cili padi, atau secukupnya, diketuk
2 batang serai, diketuk
5 cawan air atau secukupnya
1 biji tomato, dibelah empat
5 batang daun ketumbar dipotong kasar. (Ku tak ada, jadi ku tukar dengan daun sup)
1 sudu besar jus limau nipis
2 sudu besar paste tom yam
1 biji bawang besar Holand, dipotong wedges
1/2 - 1 sudu kecil serbuk cili, untuk beri warna merah sedikit.
5 helai daun limau purut, diramas sedikit.
Sedikit minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Hiasan
Bawang goreng
Hirisan daun sup

Cara-cara membuatnya

Jom jom.. jom memasak



Kupang direndam dalam air dahulu supaya bendasing yang ada di dalamnya keluar. Lepas tu kita basuh bersih dan toskan airnya.



Seafood pilihan hari ini, yang mana ada dalam peti sejuk. Ada udang dan sotong sahaja. Ketam tiada. Kalau ada boleh masukkan sekali, lebih sedap!



Bawang putih, cili padi secukup pedas yang disukai, serai, daun limau purut, tomato dan bawang besar Holand.



Langkah 1
Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang putih yang diketuk. Masukkan sekali cili padi yang juga diketuk.



Langkah 2
Bila bawang putih sudah keperangan, tuang air perlahan-lahan. Hati-hati ya.



Langkah 3
Kemudian masukkan paste tom yam, tomato dan serai.



Daun ketumbar dipotong kasar. Tapi Mak Hencik guna daun sup jer.. Lebih 'kick' kalau guna daun ketumbar tau..



Langkah 4
Bila sudah mendidih, masukkan daun ketumbar diikuti oleh kupang. Biarkan kuah terus mendidih sehingga kupang terbuka sedikit.



Langkah 5
Kemudian, masukkan udang dan sotong. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa serta sedikit jus limau nipis dan daun limau purut

Nampak pucat pula tom yam kita hari ini, jadi  Mak Hencik masukkan 1 sudu kecil serbuk cili.



Langkah 6
Biarkan sehingga kuah mendidih buat seketika. Akhir sekali masukkan bawang besar Holand. Kemudian bolehlah tutup api. Siap!



Langkah 8
Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Taburkan daun sup dan bawang goreng. Wahhhh... tak sabar nak menjamu selera.



Hidangan kita hari ini. Tom yam kupang, ayam sos black pepper, pucuk paku goreng udang kering, ikan rebus goreng, petai celur dan sambal lada tiada belacan.

 Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan