Cara buat pau cara mudah, guna sukatan cawan. Untuk makluman, walaupun pau ni masih lagi kategori pau kampung, tapi ia tetap gebu!
Bagi Mak Hencik, pau bandar tu dia berderai sikit apabila dimakan. Kalau korang ada resepi tu, mohon share ya.. Kitorang nak cuba.. 😁😁😁
Pau ni pula walaupun pau kampung, ia sangat lembut terutamanya semasa baru keluar dari kukusan. Boleh cuba resepi mudah ini, tak rugi.
RESEPI PAU KAMPUNG GEBU
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
(Menghasilkan 27 biji pau saiz besar)
5 cawan tepung gandum
5 sudu kecil shortening / minyak masak
1 sudu kecil bread softener
1 sudu kecil bread improver
1 sudu kecil double action baking powder
2 sudu besar gula
*1 1/4 cawan air suam
*2 sudu besar yis segera
*2 sudu besar susu pekat manis
*3 sudu besar gula
Bahan bertanda * dicampurkan an dibiarkan sehingga kembang dan berbuih
Cara-cara membuatnya.
Moh ler kita...
Sediakan inti dulu.. Hari ni kita buat inti Kentang perisa kari.
INTI KENTANG KARI
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
5 biji ubi kentang - dikupas dan dipotong dadu.
1 biji bawang putih - dihiris nipis
1 biji bawang merah besar - dihiris nipis
3 sudu besar atau secukupnya serbuk kari
1/2 - 1 cawan air
1 ketul kiub ayam
3 sudu besar atau secukupnya tepung gandum.
Garam dan gula sesedap rasa
Sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara
1. Kupas kentang, potong dadu dan basuh bersih. Rebus dengan sedikit air sehingga empuk. Toskan air.
2. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga kekuningan, kemudian masukkan rempah kari dan sedikit air. Kacau sehingga mendidih.
3. Lepas tu, masukkan kentang yang sudah direbus tadi.
4. Masukkan gula, sedikit garam dan kiub ayam. Gaul sehingga rata.
5. Untuk mempercepatkan inti menjadi kering, bubuh sedikit tepung gandum. Kacau sehingga sebati dan rata.
6. Dah masak, angkat dan sejukkan.
Jom buat adunan pau pula.
Mula-mula sekali kita ambil 1 1/4 cawan air Dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Pastikan bekas tu besar sikitlah ya. Masukkan 2 sudu besar yis segera, 2 sudu besar susu pekat Dan 3 sudu besar gula. Kacau sehingga rata. Kalau ada yis yang terapung-apung dalam air pun biarkan ajer..
Kemudian kita biarkan dulu yis ni sehingga berbuih macam kat atas tu.
Sementara menunggu yis berbuih, kita sediakan tepung pula.
Kita masukkan tepung gandum dalam bekas, masukkan 2 sudu besar gula, shortening (boleh ganti dengan minyak masak), bread softener, bread improver dan double action baking powder.
Ramas menggunakan jari sehingga ia bercampur sebati. Kemudian buat lubang di tengah-tengah.
Apabila yis kita tadi sudah berbuih, tuangkan ke dalam lubang.
Kita ulilah tepung kita sehingga membentuk adunan yang lembut.
Kalau lembik, tambah gandum sikit. Dan kalau keras pula, tambah air sikit. Kalau dah elok, jangan pi rajin duk tambah-menambah lagi wehhh.
Lebih kurang macam ☝☝ la jadinya adunan kita.
Kita tutup pula adunan tadi dengan kain maslin. Mak Hencik guna tuala 'good morning' jer..
Tunggu dia kembang, 30-40 minit kot.
Bila dah cukup tempoh, bukalah tudungnya itu. Taraaaaa.. Kembang sudah dia.. Hampir memenuhi bekas.
Dengan menggunakan tangan, tekan-tekan atau tumbuk-tumbuk dia untuk mengeluarkan angin. Biar dia jadi macam saiz yang kita buat mula-mula tadi.
Kemudian bolehlah kita bahagikan adunan mengikut saiz yang kita kehendaki. Untuk adunan nii, Mak Hencik dapat 27 doh kecil.
Ambil 1 doh kecil, leperkan dan masukkan inti kentang kari atau inti lain yang digemari seperti kaya, coklat, kacang, kelapa dan lain-lain. Alas dengan cup kertas.
Masukkan ke dalam loyang.
Tunggu dulu sehingga dia kembang, dalam 15 minit sebelum dikukus.
Bila pau sudah kembang, masukkan ke dalam pengukus dan tutup dengan aluminium foil. Kukus selama 10-15 minit.
Bila sudah masak, keluarkan dari pengukus Dan kukuslah yang lain-lain lagi tu sehingga masak..
Inilah hasil dari mood rajin pada hari ini.. Separuh Mak Hencik masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk untuk sarapan atau minum petang esok.
Jemput makan kawan-kawan.
Bismillah..