Khamis, 10 Mei 2018

Mi Rebus yang Super Mudah dan Sedap

Kuah mi rebus versi Mak Hencik ni tidak cair dan tidak pula pekat. Pada Mak Hencik, kalau pekat sangat kuahnya, akan jadi muak pula. Jadi elok sederhana sahaja..


Mak Hencik ni suka memasak tetapi agak malas orangnya. Hehe. Jadi, bahan untuk masakan ini dimudahkan semudah-mudahnya.


RESEPI MI REBUS KELEDEK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

500 g mi kuning - dicelur dan toskan airnya
2 ketul isi ayam - dipotong kecil
2 biji bawang putih
1 biji bawang merah besar
1/2 cawan udang kering - ditumbuk atau kisar kering kasar
5 sudu besar cili kering kisar
6 cawan air
3 biji keledek - direbus dan dilenyek semasa masih panas atau dikisar halus.
1 ketul kiub ayam
Garam dan gula secukupnya

Bahan sayuran

Tauge - dicelur
Sawi - dicelur
Tauhu - digoreng dan dihiris nipis
Telur - direbus
Daun bawang dan sup - dihiris halus
Bawang goreng

Cara-cara menyediakannya

Jom masak mi rebus..


Bawang putih dan bawang merah dikisar halus.


Udang kering ditumbuk kasar.


Langkah 1
Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar dan cili kering kisar sehingga garing.
Masukkan udang kering dan kacau sehingga rata dan kering.


Langkah 2
Masukkan pula isi ayam. Kacau sehingga rata, sehingga air ayam kering.


Langkah 3
Masukkan air secukupnya. Masukkan juga garam, gula dan kiub ayam.

Masukkan juga keledek yang dikisar tadi. Kacau sehingga rata dan biarkan kuah mendidih.


Langkah 4
Bila kuah sudah sedap, pekat pun sudah elok, bolehlah tutup api. Senangkan.


Langkah 5
Mi kuning dicelur dan ditoskan.


Langkah 6
Bahan-bahan sampingan.


Sepinggan mi rebus super mudah yang akan dirasai kelazatannya sekejap lagi. Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Isnin, 7 Mei 2018

Ikan Cencaru Bakar Berempah

Kalau suami beli ikan cencaru, saya pening memikirkan masakan yang sesuai. Pikir punya pikir.. pikir punya pikir.. pikir punya pikir.. hoiii tak habis pikir lagi ke..? Huhu


Oleh kerana badan ikan cencaru ni agak besar juga saiznya, bolehlah kita masak bakar berempah. Elok sangat ni makan panas-panas.


RESEPI IKAN CENCARU BAKAR BEREMPAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan cencaru saiz besar
*2 biji bawang merah besar
*2 biji bawang putih
*2 batang serai
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil jintan manis
Bahan bertanda * dikisar halus

5 sudu besar cili kering kisar
3 helai daun limau purut
2 sudu besar gula atau secukupnya
3 sudu besar gula perang
1/2 sudu kecil garam
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom kita memasak!


Ikan cencaru dibelah belakang, dibasuh bersih dan ditoskan. Kemudian lumur dengan garam luar dan dalam. Alaa.. lumur macam kita nak goreng ikan tu, cuma tak letak kunyit jer.


Bawang putih, bawang merah, jintan putih, jintan manis dan serai dikisar halus.


Mula-mula sekali kita panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan 5 sudu besar cili kering kisar.


Kacau seketika sehingga bahan tumisan masak dan garing.


Masukkan air asam jawa.


Masukkan juga gula merah, gula dan sedikit garam. Rasa mesti ada manis sikit.


Kemudian masukkan daun limau purut yang diramas sedikit.


Dah siap, tutup api. Kalau rasa minyak terlebih banyak, buang ler. Ambil sikit jer. Kalau tak ambil langsung nanti kering pula ikan bakar kita nanti.


Ambil ikan cencaru yang sudah dibedah tadi dan masukkan bahan tumis tadi. Sapu kat dalam, sapu kat luar atas dan bawah ikan.


Pada mulanya Mak Hencik nak balut ikan tadi, tapi nampaknya hajat tak kesampaian. Aluminium foil yang satu tu dah habis, tak cukup. Ambil yang satu lagi tu pula macam rosak, warnanya sudah bertukar pudar. Takut pula nak guna. Daun pisang pun tarak ni..

Nak bagi sedap, balut ikan tadi dengan daun pisang dan aluminium foil. Nanti dia akan berair sikit bila masak. Isi ikan lembap, juicy rasa dia..


Oleh kerana tiada pilihan, Mak Hencik bakar togel gitu jer atas kuali tak ajaib. Api hendaklah perlahan sahaja.


Tutup dia dengan tudung periuk. Agak-agak ikan dah masak, buka tudung periuk dan balikkan ikan. Jangan ko balikkan kuali tu Cik adik oii. Lepas tu tutup semula. Tunggu ler sekejap sampai masak.


Sudah masak, masukkan ke dalam pinggan. Bolehlah dihidangkan untuk hidangan makan tengahari kita. Cicah pula dengan sambal kicap pedas. Mmm.. Meleleh .. 

Jemput makan semua..

Bismillah..

Eh eh tadi kan dua ekor ikan? Apa pasal seekor jer ni..? Mana lagi seekor?


Lagi seekor ni, Mak Hencik masukkan dalam bekas tipuware kedai dua hengget.


Tutup dan masukkan ke dalam peti sejuk. Nanti kalau nak makan, bakarkan dia.. okbye!


Sabtu, 5 Mei 2018

Lontong Kuah Lodeh yang Aummm Sedapnya

Hidangan ni adalah untuk sarapan pagi dan makan tengahari kami sekeluarga. Suami dan anak-anak menggemarinya. Saya pun juga makan lontong ni, dulu tak makan. Hehe


Dulunya pelik bila orang makan nasi impit dengan gulai lemak kuning ni. Memang tak leh pergi, orang kata. Tapi suami suka, jadi kenala buat juga. Bila dah ada anak, mereka pun suka. Lama-lama sedap lah pula.


RESEPI KUAH MASAK LODEH YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 biji kobis sederhana besar - dipotong kecil
1/2 cawan udang kecil - ditumbuk kasar
2 biji bawang putih - dimayang
1 biji bawang merah besar - dimayang
1 sudu kecil kunyit
4 cawan santan
1 biji karot
1 pek tempe - digoreng kemudian dihiris nipis
1 biji tauhu - digoreng dan dipotong kiub
1 biji lada hijau atau merah - dipotong serong
1 bungkus kecil fucuk dan suun
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya


Nasi impit ni dah direbus malam tadi. Lontong yang sebenar setahu saya ialah nasi impit berbentuk silinder dibalut daun pisang.


Antara bahan-bahan yang digunakan.

 
Tempe dan tauhu yang digoreng dan dipotong.


Langkah 1
Panaskan minyak. Tumis bawang dan bawang merah sehingga kekuningan.


Langkah 2
Masukkan udang kering yang ditumbuk kasar. Kacau seketika.


Langkah 3
Masukkan santan. Lepas tu masukkan kunyit serbuk, garam dan gula secukupnya. Kacau selalu dan tunggu sehingga kuah mendidih.


Langkah 4
Bila sudah mendidih masukkan kobis, karot dan lada hijau.


Biarkan sehingga mendidih.


Langkah 5
Akhir sekali masukkan fucuk yang diramas sikit dan suun.


Langkah 6
Bila fucuk dan suun sudah layu, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidang.


Hidangan yang disediakan. Nasi impit, kuah kacang, sambal tumis ikan bilis dan kuah lodeh. Jom menjamu selera..

Eh mana telur rebus ni? Hihi. Kitaorang tak makan.. Makan yang ni jer..


Bismillah..

Jumaat, 4 Mei 2018

Sotong Masak Lemak Cili Padi

Pada minggu yang lalu, kami pergi mencandat sotong. Nasib kami baik pula, murah rezeki kata orang. Masakan tidak. Sotong tak lari pun bila kami cuba menangkapnya.


Yang paling menyeronokkan ialah ia sungguh jinak. Kami berjaya mengaupnya  dengan tangan dan terus masukkan ke dalam plastik. Nak tahu apa rahsianya? Mestilah kami gunakan umpan..


Umpan jenis apa? Umpan ni tak ada jenis tapi ada pelbagai warna. Warna hijau, biru merah dan kalau ada yang warna ungu berkeping-keping, maunya rasa macam orang kaya.. 😂😂😂


RESEPI SOTONG MASAK LEMAK CILI PADI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

6 ekor sotong saiz besar
3 cawan santan sederhana pekat
1 batang serai - diketuk
7 tangkai cili padi - kalau nak lagi pedas, tambah lagi cili padi
1 keping asam keping
1/2 inci kunyit
Garam secukup rasa.
Gula jika uols suka, jika tidak tak perlu

Cara-cara menyediakannya

Jommmmmm..


Sotong diasingkan kepala dan buangkan kantung hitam serta biji di kepalanya tu.
Basuh bersih dan potong ikut suka masing-masing.


Guna 3 bahan ni jer. Kunyit dan cili padi ditumbuk atau kisar hingga lumat. Serai diketuk.


Di atas dapur, letak periuk. Masukkan santan, asam keping, serai dan bahan tumbuk atau kisar tadi. Buka api.


Masukkan juga garam secukupnya. Biarkan sehingga ia menggelegak.


Bila sudah menggelegak, masukkan sotong dan kepala sotong tadi. Biarkan sehingga sotong tu masak.


Rasa dulu sedap ke tak. Kecuali bulan puasa atau tak puasa..hehe.

Dah masak,dah sedap, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Sedia untuk menjamu selera..

Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..