Sabtu, 14 April 2018

Daging Tumis Kicap Berkuah yang Sedap

Lauk masak kicap nih anak-anaklah yang paling suka. Kalau biasa makan nasi dua kali sehari, pasti akan bertambah menjadi empat atau lima kali. Sedap sangat ya anak-anak..


Sebelum pergi bekerja, satu atau dua lauk sahaja yang sempat disediakan. Letak elok-elok di atas meja makan. Kemudian tutup elok-elok dengan saji. Balik sekolah nanti, kalau lapar bolehlah terus makan.


Bila pulang dari kerja, hari pun hampir senja. Mujurlah tiada jem, cepatlah juga sampai di rumah. Teruslah letak beg tangan dan komputer riba di meja kerja. Kemudian buka tudung, pergi bersihkan diri pula. Lepas tu barulah masuk dapur kita tu..

Buka sahaja saji, nampak daging tumis kicap tinggal tiga ketul sahaja dengan tiga-empat sudu kuah. 😂😂😂

Nasi dalam rice cooker pun nampaknya dah ditanak baru. Hihihi. Inilah penangan daging tumis kicap nih. Hambikkk ko Tijah oiii!!


RESEPI DAGING TUMIS KICAP YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 kg daging lembu - dihiris nipis
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji bawang merah besar - dihiris nipis
3 sudu besar cili kering kisar
2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 biji tomato - dibelah 4
1 biji bawang besar Holand saiz kecil - dipotong bulat
1 biji lada hijau - dipotong serong
3 tangkai daun sup - dipotong kasar
2 sudu besar sos tiram
1/4 cawan kicap lemak manis atau secukupnya
3 cawan air
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jomler ke dapur.


Daging dihiris nipis, dibasuh bersih dan direbus. Rebus guna pressure cooker lagi cepat empuk. Jimat masa kita.

Basuh bersih daging tu tak perlu pakai Brizz ke Dinamo ke atau Fat ya..😂😂😂


Rempah 4 sekawan seperti kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.


Langkah 1
Panaskan minyak, masukkan rempah empat sekawan, bawang merah hiris, bawang putih hiris dan cili kering kisar.


Kacau seketika sehingga bawang layu dan cili kering masak.


Langkah 2
Apabila bahan tumisan sudah hampir garing, masukkan daging rebus beserta dengan air rebusan. Masukkan juga kicap lemak manis. Biarkan sehingga kuah menggelegak.


Sementara menunggu kuah mendidih, potong kasar daun sup, potong empat tomato dan potong bulat bawang besar Holand.


Dah mendidih ke ni..?


Langkah 3
Bila sudah mendidih, masukkan semua bahan hiris tadi.


Kacau seketika sehingga bawang besar layu.


Kalau nak bawang besar tu rangup, sekejap jer kacau lepas tu bolehlah tutup api.


Langkah 4
Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Siap untuk dinikmati bersama keluarga tercinta..

Jemput makan semua..


Bismillah..

Jumaat, 13 April 2018

Ikan Siakap Masak Tiga Rasa paling mudah

Nangis tukang masak di kedai tom yam kalau tengok daku masak ikan ni. Pakai bahan serba simple. Ketung ketang.. ketung ketang.. tetiba siap! 😂😂😂


Pagi tadi sebelum ke sekolah, anak-anak dah tanya nak masak apa hari ni.. nasi ayam ke..

Untuk makluman anak-anakku sayang.. ayam dah habis, stok ayam dalam peti sejuk dah kosong. Al maklum lah.. banyak hari dah kita makan ayam. Hari ni kita makan lauk lain la pulak ya.

Jadi hari ni kita masak ikan. Ikan ni pun sodap rasanya..


RESEPI IKAN SIAKAP MASAK TIGA RASA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ekor ikan siakap saiz sedang - dilumur garam dan serbuk kunyit dan digoreng.

2 biji bawang putih - diketuk
2 sudu besar cili kering kisar
1/4 cawan sos cili
2 sudu besar sos cili bawang putih
2 sudu besar sos tiram
1 cawan air
2 hiris karot - dipotong dadu
1 biji tomato - dipotong enam
1 biji lada hijau - dipotong serong
1 biji bawang besar Holand - saiz kecil, potong bulat
2 sudu besar gula
Secubit garam
Minyak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

Cara-cara

Jom.. jom.. jom..


Ikan siakap disiang, dibasuh bersih dan ditoskan.


Lumurkan garam dan kunyit pada ikan. Panaskan minyak dan goreng ikan.


Ikan yang digoreng sudah masak, angkat dan toskan minyak. Letak atas pinggan hidangan. Ketepikan dulu..


Ketuk bawang putih.


Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan cili kering kisar.


Kacau seketika sehingga cili kering masak. Kemudian masukkan sos cili, sos cili bawang putih dan sos tiram. Kacau seketika.


Masukkan pula air. Masukkan juga gula dan secubit garam. Biarkan sehingga kuah mendidih.


Sementara tu kita main potong-potong. Karot, tomato dan lada hijau.


Bila kuah dah mendidih, masukkan semua bahan hiris. Biarkan sehingga kuah pekat sedikit.


Bila kuah sudah pekat, masukkan bawang besar Holand.


Kacau seketika sehingga bawang besar layu. Kemudian bolehlah tutup api.


Selepas itu, tuang kuah tiga rasa tadi ke atas ikan goreng.


Hiaslah dengan daun sup dan bawang goreng. Biar nampak menarik sikit.. hihi


Ok, hidangan dah siap. Jemput makan.

Bismillah..

Khamis, 12 April 2018

Gulai Lemak Pucuk Paku dengan Udang

Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Udang bukan sebarang udang,
Gulai dengan pucuk paku enak sekali.

Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Gulai pucuk paku dengan udang,
Makan dengan sambal belacan, maunya tambah berkali-kali.


Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Sama-sama saling pandang-memandang,
Tengok nasi di pinggan licin lagi.

Udang sama udang,
Masak gulai dalam kuali;
Kalau suka makan udang,
Gulai dengan pucuk paku mudah sekali.


RESEPI GULAI LEMAK PUCUK PAKU DENGAN UDANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ikat pucuk paku - dipotong, dibersihkan dan ditos
5 ekor udang saiz besar

*1 ulas bawang putih
*2 biji bawang merah
*2 tangkai cili kering
*1 biji cili padi - kalau nak pedas, tambah lagi cili.
*1 hiris lengkuas
Bahan yang bertanda * dikisar sehingga halus

1 sudu kecil kunyit serbuk - kalau ada kunyit hidup lagi sedap
3 cawan santan
2 hiris karot - dipotong memanjang
1 keping asam gelugur
2 sudu kecil garam atau secukupnya
2 sudu kecil gula atau secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom.. jom.. jom..


Antara bahan-bahan untuk memasak pada hari ini ialah pucuk paku, udang, lada hijau, bawang putih, bawang merah, cili kering dan cili padi.


Hiris serong lada hijau. Yang hitam tu asam gelugur.


Mula-mula masukkan santan dalam kuali. Masukkan bahan kisar, asam gelugur, lada hijau, garam dan gula. Buka api tuuu.


Kacau selalu supaya kuah tidak berketul. Kacau perlahan-lahan sehingga kuah mendidih.


Apabila kuah sudah menggelegak, masukkan udang.


Hiris karot. Jika tak bubuh pun tak apa. Mak Hencik bubuh ni sebab nak bagi pelbagai warna.


Kacau lagi perlahan-lahan sehingga udang masak.


 Akhir sekali masukkan pucuk paku. Kacau sehingga sebati dan pucuk paku layu.


Bila sudah masak, tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk hidangan.


Jom menikmati hidangan serba sederhana ini. Gulai lemak pucuk paku dengan udang, ayam goreng kunyit sos black pepper, ikan tenggiri goreng kunyit, telur itik asin dan sambal without belacan. Sila..sila..

Bismillah..

Rabu, 11 April 2018

Tom Yam Cendawan Enoki yang Sedap

Senangnya masak tom yam zaman ini. Beli jer tom yam paste yang siap dijual dalam tin atau botol. Pilihlah jenama yang mana suka, sesuai dengan selera, antara deretan tersusun di rak pasaraya. Kemudian olahlah rasanya mengikut selera kita. Oh sedapnya!


RESEPI TOM YAM CENDAWAN ENOKI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ketul ayam - dipotong kecil
5 ekor udang saiz besar
1-2 paket cendawan enoki
2 biji bawang putih - diketuk
3 biji cili padi - diketuk
4 batang serai - diketuk
4 helai daun limau purut
1/4 biji bawang besar Holand - dihiris
1 biji tomato 🍅 - dibelah 4
5 cawan air
3 sudu besar paste tom yam
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.

Jom kita ke dapur


Antara bahan yang diperlukan. Ada yang tak sempat nak bergambar. Contohnya daun limau purut. Masa ni masih dok kat pokok..

Jus limau Mak Hencik tak masukkan sebab paste ni rasanya dah cukup masam. Uols tambahlah ya ikut selera..


Tom yam paste yang digunakan


Ayam yang dipotong kecil. Mak Hencik ambil bahagian yang ada tulang termasuk kaki ayam.


Udang dibuang misai dan muncungnya, kemudian dibersihkan.


Cendawan enoki dipotong ekornya.

Jom masak!


Panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga kekuningan.


Masukkan ayam. Kacau seketika sehingga isi ayam separuh masak.


Masukkan air secukupnya. Terus masukkan pula serai,  cili padi, karot, garam, gula dan serbuk perasa.


Masukkan juga tom yam paste dan daun limau purut yang diramas manja.


Bila ayam sudah masak, masukkan pula udang dan cendawan enoki. Masukkan juga bawang besar Holand yang telah dihiris.


Gaul manja dan biarkan sehingga udang masak serta cendawan layu. Tutup api. Eh! Dah siap? Cepatnya. 👍👍


Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Taburkan daun sup dan bawang goreng. Kalau ada daun ketumbar laagi power.


Hidangan untuk hari ini sudah siap. Tom yam cendawan enoki dengan ayam dan udang, telur bistik, sambal without belacan dan ulam petai serta timun. Alhamdulillah..

Jemput makan sahabat semua..

Bismillah..