Ahad, 11 Mac 2018

Kuih Butir Nangka Kuih Tradisional

Butir nangka ni adalah sejenis kuih tempatan yang terkenal di Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang. Senang sangat nak membuatnya dan tidak memerlukan kemahiran pun. Yang perlu ada ialah sedikit kerajinan.. 😂😂




Kalau tiba bulan puasa, mak selalu juga buat kuih butir nangka nih. Aku laa tukang gentel. 😂😂😂

Sekarang pula giliran anak-anak kita pula. Daripada asyik dok berkepit dengan gajet tu, lebih elok tolong menggetel kuih ni. Nanti bolehlah kita makan. Kenyang perut kita juga.. 🌈🌈🌈



RESEPI BUTIR NANGKA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

*2 cawan tepung beras pulut
*1 sudu besar tepung beras
*1 cawan air dicampur dengan sedikit pewarna hijau
*1 sudu besar air kapur
Bahan bertanda * dicampur dan diadun sehingga membentuk adunan.

2 cawan santan pekat
2 cawan air
1 sudu kecil halba
1/3 cawan gula
2 sudu besar tepung beras dicampur dengan 1/2 cawan air
Secubit garam
2 helai daun pandan

Cara-cara membuatnya



Langkah 1
Masukkan semua tepung ke dalam mangkuk adunan. Kemudian, masukkan air hijau dan air kapur sedikit demi sedikit sambil diuli dengan tangan.

Bila adunan sudah cukup lembut, jangan masukkan air lagi.



Langkah 2
Cubit sedikit adunan, bentukkan bulat dahulu kemudian buatkan leper memanjang seakan bentuk butir nangka.



Susun butir nangka di atas dulang yang ditabur sedikit tepung beras pulut. Apa-apa tepung pun boleh.. janji butir nangka palsu tu tak melekat pada dulang.



Langkah 4
Bolehlah kita panaskan air di dalam periuk dan dimasukkan daun pandan yang disimpul. Nak simpul reben ke, nak simpul mati ke, er terpulanglah ya.. Tunggu sampai mendidih. Sambil tu terus menggentel.



Langkah 5
Apabila air sudah mendidih, masukkan butir nangka tadi. Biarkan di dalam periuk sehingga ia timbul.



Langkah 6
Bila butir nangka sudah timbul, angkat dan toskan atau masukkan ke dalam bekas yang mengandungi air sejuk. Air sejuk biasa jer, bukan ais.



Kalau duduk berhimpit macam ni 👆👆 nanti dia melekat sesama sendiri.



Jadi masukkan dia ke dalam bekas yang ada air.



Halba dibasuh bersih dan ditoskan.



Langkah 7
Di dalam periuk, masukkan santan, daun pandan simpul, halba, gula dan secubit garam. Masak sampai mendidih.



Sementara itu sediakan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air.



Langkah 8
Apabila santan sudah mendidih, masukkan bancuhan tepung beras. Kuah akan jadi pekat.





Langkah 9
Toskan butir nangka di dalam air sejuk tadi dan perlahan-lahan tuang ke dalam periuk santan. Kacau sikit.






Langkah 10
Apabila butir nangka sudah timbul di permukaan, bolehlah kita tutup api.


Langkah 11
Tunggu dia sejuk sikit barulah kita cedokkan ke dalam mangkuk kecil. Mangkuk besar boleh? Tak boleh.. kenapa??!

Mangkuk besar tu untuk hidang.. mangkuk kecil tu pula untuk makan.. Oooooo



Jom makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 10 Mac 2018

Bubur Nasi Ayam cincang yang Sedap

Masak bubur nasi kegemaran anak-anak. Mereka kata teringat masa dok kat taska masa kecil-kecil dulu.. Macam laa korang dah besar sangat ya sekarang..😂😂

Teringat kat Cikgu Mas, Cikgu Ain, Cikgu Maria, Cikgu Ana, Cikgu Iza, Cikgu Ida.. dan lain-lain yang tidak disebutkan. Terima kasih cikgu-cikgu semua yang mengasuh anak-anakku. 💐💐💐



Banyak menu bubur nasi yang pernah kita makan. Ada letak santan, ada letak kiub ayam untuk rasa macam bubur mek donal, ada jenis yang letak ikan dan ada juga bubur nasi yang mana nasi lembik dihidang dengan kuah sup. Pendek kata, ada macam-macam jenis bubur nasi yang sedap-sedap belaka.



RESEPI BUBUR NASI AYAM CINCANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

1 1/2 cawan beras 
5 cawan air atau secukupnya
1 cawan isi ayam - dicincang halus atau dikisar
5 biji bawang putih - dihiris 
1 biji bawang merah besar - dihiris 
1/2 biji bawang besar Holand - dihiris
1 ketul kiub ayam
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
1/2 cawan daun sup - dihiris
1/2 cawan daun bawang - dihiris
1/2 cawan bawang goreng

Hiasan tambahan jika suka
Daun sup dan daun bawang hiris
Bawang goreng
Sambal kicap pedas
Ikan bilis goreng 

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom masuk dapur kita yang lawa iteww.. 😀😀



Langkah 1
Basuh bersih beras, masukkan dalam periuk nasi elektrik dan air secukupnya. Buka suis tu, jangan terlupa pula. Nanti kalau nasi kita masih berbiji-biji boleh jer kita tambah air. Kalau nasi kita terlebih air pulak, apa nak buat? Haa.. on jer laa rice cooker kita tu selama-lamanya ya. 😂😂😂



Langkah 2
Kita sediakan ayam kita. Biasa kita ambil bahagian dada dan potong kecil-kecil. Kita cincang isi ayam tu. Kalau tak nak cincang kita kisar jer dengan pengisar kering. Habis cerita.



Untuk menambahkan perisa pada isi ayam cincang, masukkan sedikit serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah. Gaul-rata dan ketepikan.



Langkah 3
Hiris bawang putih, bawang merah dan bawang besar.


Langkah 4
Panaskan minyak dan tumiskan bahan hiris sehingga layu.
Kemudian masukkan isi ayam cincang tadi.




Goreng sehingga isi ayam masak.



Langkah 5
Masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk nasi isi elektrik. Kacau sedikit, biar dia bergaul sebati dengan nasi. Kalau nasi sudah kering, tambah sedikit air dan biar dia mereneh.

Masukkan juga garam, gula dan kiub ayam. Kacau sehingga rata.


Langkah 6
Hiris daun bawang dan daun sup. Sediakan bawang goreng. Kalau tak suka atau tak makan bawang goreng siap, kena rajinkan diri goreng bawang. Baunya kompom (confirm) lebih wangi dan menaikkan aroma bubur nasi kita.



Langkah 7
Bila bubur nasi kita sudah cukup rasa dengan kepekatan yang kita sukai, bolehlah tutup suis periuk nasi. Masukkan daun bawang hiris, daun sup hiris dan daun bawang.



Gaul sehingga sebati. Baunya.. mmm.. wangi.



Langkah 8
Boleh dihidangkan dengan sambal kicap pedas dan ikan bilis goreng.



Menikmati bubur nasi 🍚 dengan segelas air sirap bandung 🍷 kegemaranku.. 

Bismillah..

Jumaat, 9 Mac 2018

Kari Daging Paling Mudah

Dapp.... Makan dengan nasi putih atau nasi minyak atau nasi beryani panaih-panaih... cicah dengan roti pun dapp.... 😄😄

Makan pula di tepi sawah atau bendang.. tepi bukit bawah pokok getah ke.. hadoiii menggamit kenangan di desa pula..


RESEPI KARI DAGING PALING MUDAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

1/2 kg daging lembu
4 sudu makan menimbun rempah kari - dibancuh dengan sedikit air
1 biji bawang merah besar - dihiris
1 biji bawang putih - dihiris
1/2 inci halia - dihiris halus
1 cawan santan pekat
3 cawan air
2 biji lada hijau
2 biji kentang - dipotong sederhana besar
2 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu besar asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Mula-mula sediakan bahan-bahannya


Daging lembu dipotong, dibasuh bersih dan ditoskan.


Kentang dipotong sederhana besar


Santan, bawang merah hiris, bawang putih hiris, halia hiris halus, rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air dan rempah 3 sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.


Air asam jawa secukupnya.


Langkah 1
Tumis rempah 3 sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang. Haa.. campak jer dalam kuali.


Langkah 2
Masukkan bahan hiris seperti bawang putih, bawang merah dan halia. Kacau sehingga layu.


Langkah 3
Masukkan pula bancuhan serbuk kari. Kacau seketika. Biar air bancuhan tu kering.


Langkah 4
Masukkan pula daging. Kacau lagi sedikit biar daging bersalut rempah kari.


Langkah 5
Masukkan pula kentang dan air asam jawa serta secawan air. Kacau lagi seketika.



Langkah 6
Tutup periuk dengan tudung periuk sehingga air tadi hampir kering.



Langkah 7
Buka tudung periuk, masukkan santan dan air. Masukkan garam dan gula. Masukkan juga lada hijau. Biarkan kuah sehingga mendidih dan mereneh seketika.



Langkah 8
Bila sudah elok kepekatannya, daging pun sudah empuk, rasa pun sudah sedap, maka dengan ini dimaklumkan bolehlah tutup api sekarang. 😂😂😂


Masukkan dalam mangkuk hidangan dan diletakkan di tempat hidangan. Atas meja makan kayu ke, kaca ke, marmar ke.. yang mana ada ler..

Jom makan..

Bismillah..