Khamis, 1 Mac 2018

Resepi Roti Jala Kari Ayam Koboi yang sedap

Sesuai untuk dimakan waktu pagi dan petang atau malam. Sesuai juga sebagai menu sampingan atau menu jamuan untuk tetamu. Dan sangat sesuai untuk mengisi perut yang lapar...



RESEPI ROTI JALA YANG LEMBUT
Oleh Dapur Cempakasari
Resepi asal : Azie Kitchen

Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 biji telur
3 cawan air
1 sudu kecil esen vanilla - Mak Hencik tambah supaya bau wangi
sedikit pewarna kuning 
sedikit minyak  masak untuk melengser kuali leper

Bahan-bahan Kari Ayam Koboi 

1/2 ekor ayam - dipotong sederhana besar

1 biji bawang merah besar - dihiris
1 biji bawang putih - dihiris
1/2 inci halia - dihiris halus
3 biji lada hijau - dipotong serong

1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga

1/2 kg santan pekat - Mak Hencik tambah air agak-agak sahaja.
1/2 cawan serbuk kari daging - dibancuh dengan sedikit air
7 ketul ubi kentang - dipotong kiub
sedikit asam jawa, garam dan gula
sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuat roti jala

Jommmmmmm


Masukkan dalam bekas yang sesuai dan kisar dengan pengisar tangan. Atau masukkan dalam blender dan kisar sehingga tidak bergentel. Kalau bergentel nanti tersumbat pula pada lubang acuan roti jala.



Tuang adunan yang dikisar tadi ke dalam acuan roti jala.



Sedia untuk mengirai roti jala. Jadi, boleh letak kuali leper atau kuali non stick atas dapur dan buka api. Sapu sedikit minyak atas pan.



Mulakan mengirai. Apabila bahagian tepinya terangkat sikit, bolehlah diangkat.



Letak di atas tempat yang rata dan bolehlah mula menggulung.








Buatlah sampai habis. 💪💪



Ni diaaa.. siap sebekas hidangan. 😘😘

Cara buat kari ayam koboi pula..




Sebelah ayam dipotong sederhana besar, dibersihkan dan ditoskan.



Hiris bawang merah, bawang putih dan lada hijau.



Basuh bersih kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang.



Bancuhkan serbuk kari dan sedikit air. Jangan lupa santan juga ya.

Jom kita masak kari ayam



Langkah 1
Panaskan periuk, masukkan minyak. Tumis rempah 4 sekawan seperti kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pala.



Masukkan bahan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Kacau sebentar.



Terus masukkan lada hijau hiris. Kacau lagi.




Masukkan pula bancuhan serbuk kari. Kacau rata sehingga kering.


Kemudian masukkan ayam dan kentang yang dipotong kiub. Kacau seketika sehingga isi ayam dan kentang bergaul dengan rempah kari.



Selepas itu masukkan santan. Kacau sedikit.



Masukkan juga garam dan gula secukup rasa. Kalau masak biasa tak bubuh gula, jangan dibubuh. Nanti lain pula lidah kita merasanya. Biarkan sehingga mendidih. Kacaulah sekali-sekala..



Sambil itu, sediakan air asam jawa.



Masukkan air asam jawa ke dalam kuah kari.



Biarkan mereneh seketika kemudian bolehlah ditutup api. Siap.

Sekarang bolehlah kita hidangkan, roti jala dengan kuah kari. Jom makan kawan-kawan..


Bismillah..

Ikan Siakap Kukus Stail Rebus yang Mabeles.

Lembut jer rasa isi ikan ni. Cara menyediakannya sangatlah mudah dan bahan yang digunakan terlampaulah ringkas, namun rasanya sangat mabeles Aromanya pun sudah membuka selera.



Dulu-dulu.. dulu-dulu.. Mak Hencik mula masak ikan kukus dengan sos yang dijual khusus untuk mengukus ikan. Itu pun kawan-kawan yang bagitau caranya. Mak Hencik beli sebotol dan menggunakan sedikit sahaja. Selebihnya Mak Hencik simpan dalam peti sejuk. Bila Mak Hencik nak memasak ikan kukus lagi, Mak Hencik dapati sos itu sudah luput tarikh.. bukan kerana apa, kerana terlampau 'kerap' Mak Hencik memasak ikan kukus. Kikiki

Langkah kedua pula, Mak Hencik ikut resepi yang sama macam dalam buku. Bermula dengan tumis bawang putih, masukkan air, bahan perasa, bla..bla..bla sehinggalah tuang kuah ke atas ikan dan kukus ikan menggunakan pengukus. Tapi masalah utama sebenarnya ialah nak keluarkan pengukus, membasuhnya dan mengemas semula ke tempat asal. Hadoiii..! 😅😅

Langkah terkini.. ia adalah hasil dari pengalaman lalu dan dibuat lebih ringkas tanpa menjejaskan rasa kukus yang osem (awesome) itu. Mak Hencik paling suka cara terkini kerana ia menjimatkan masa Mak Hencik. Tak perlu tengok ada stok sos kukus ke tidak.. tak perlu pastikan tarikh luput..Tak perlu cuci banyak kuali pengukus bagai.. dan yang paling penting rasa ikan kukus yang tetap mabeles.


RESEPI IKAN SIAKAP KUKUS STAIL REBUS YANG MABELES
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 ekor ikan siakap saiz kecil
*3 biji bawang putih - dihiris nipis
*1/2 inci halia - dihiris halus
*2 batang serai - dihiris halus
*sedikit garam, serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam
semua bahan bertanda * di atas dilumur dan ditabur pada ikan

Bahan kuah kukus

3 cawan air
1 1/2 sudu kecil garam atau secukupnya
1 1/2 sudu kecil gula atau secukupnya
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 sudu kecil serbuk lada hitam 
1/2 sudu kecil serbuk perasa
Sedikit jus lemon 🍋

Hiasan

Bawang goreng
Hirisan daun ketumbar  atau daun sup

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom.. 


Ikan dibersihkan, dikelar dan ditoskan. Aikk! Tak payah siang ke? Tak payahhh.. sebab dah beli tadi dah siap siang dahh..   😂😂



Serbuk lada hitam, serbuk lada sulah dan garam untuk disapu pada ikan.



Jadi, marilah kita lengserkan dulu ikan kita dengan sedikit garam, serbuk lada sulah, serbuk lada hitam di bahagian luar dan dalam ikan.




Bawang putih, halia dan serai yang dihiris halus digaul.


Sumbatkan bahagian perut ikan dengan sedikit bahan hiris tadi. Lebihan batang serai pun masukkan sekali.



Letakkan bahan hiris lagi di bahagian atas dan bawah ikan juga.



Masukkan ikan ke dalam kuali dan masukkan juga air, sos tiram, garam, gula, serbuk perasa, serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam. Buka api.



Biarkan ikan berenang di dalam kuah sehingga mendidih.




Boleh balikkan ikan dengan berhati-hati supaya kedua belah masak.

Kalau tak mahu balikkan ikan, boleh juga ditutup kuali tersebut dengan tudung periuk.


Apabila ikan sudah masak, perah sedikit lemon atau limau nipis ke dalam kuah. Kemudian boleh terus tutup api.



Akhir sekali, masukkan ikan beserta kuahnya ke dalam bekas hidangan. Taburkan daun ketumbar hiris dan bawang goreng sebagai hiasan. Adoyaiii.. sedapnya bau daun ketumbar dan daun sup ni.. Tak sabar rasa nak menjamu selera.. 

Jemput makan kenkawan semua..

Bismillah..

Rabu, 28 Februari 2018

Sotong Rebus Ketuk Serai Sepuluh Minit Siap

Saya ada pengalaman memakai cincin sotong semasa kecil dahulu. Saya makan perlahan-lahan sehingga semua orang beredar dari meja hidangan. Saya ada strategi sendiri.. 😀😀


Sotong tu sengaja disimpan khas untuk disarung ke jari. 😂😂  Bila abah, abang, kakak, adik dan mek sudah tiada di dapur, saya pun akan menyarungkan cincin sotong tersebut di semua jari kanan saya. Sambil itu mata saya mengerling kiri dan kanan untuk menastikan keadaan adalah dalam keadaan tenang dan selamat. Kalau adik-beradik nampak, mereka akan gelak dan menyindir. Nanti malu pula..


Apabila nasi di dalam pinggan sudah habis, saya akan hirup kuahnya dengan pinggan. Enaknya rasa kuah sotong segar. Lepas tu saya akan makan cincin-cincin tersebut satu persatu. Perasaan berbaur pula masa itu.. nak makan ke.. atau nak pakai.. 😂😂


SOTONG REBUS KETUK SERAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

7 ekor sotong saiz sedang - dipotong 3 atau 4
1/2 biji bawang merah besar - dihiris nipis
1/2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
1 batang serai  diketuk
3 cawan air
1 keping asam gelugur
1 1/2 sudu kecil garam atau secukupnya
1 1/2 sudu kecil gula atau secukupnya
1/2 sudu kecil serbuk perasa - jika suka

Cara-cara membuatnya

Jomler



Tumbuk lada hitam sehingga lumat


Ambil periuk, masukkan air, bawang merah hiris, serai, lada hitam tumbuk dan asam gelugur. Buka api.

Masukkan semua bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk perasa. Biarkan sehingga mendidih.


Apabila sudah mendidih, masukkan sotong. Kacau seketika.


Biarkan sotong mereneh seketika. Masa ni bolehlah rasa asam garamnya.


Kalau dah cukup masam, boleh keluarkan asam gelugur. Kalau terlebih masam tak sedap pula. Tapi kalau masamnya biasa-biasa sahaja, boleh biarkan jer dia bermastautin dalam periuk tu. 👌👌

Apabila sudah sedap rasanya, bolehlah tutup api.


Mana mangkuk hidangan? Hihi sudah boleh masukkan ke dalam mangkuk hidangan sekarang dan tangkap gambar. Kahkahkah.

Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Isnin, 26 Februari 2018

Bubur Jagung Manis yang Sedap

Tak ada cara lain dah nak masak bubur nih. Begitulah caranya dari dulu, kini dan selama-lamanya. Ewahhh confident nampak. Ha ah! Awak rasa? 😉😉



Semasa menghadiri kursus anjuran Maktab Koperasi Malaysia beberapa hari yang lalu Mak Hencik telah membeli jagung ni. Sangat berpatutan harganya rm10 dapat 8 batang. Jagung ni pula baru dipetik, jadi rasanya manis dan lembut.


RESEPI BUBUR JAGUNG MANIS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

7 batang jagung saiz besar
1 cawan santan pekat
1 cawan susu sejat
3 cawan air atau secukupnya
1 kerek manisan
1/2 cawan gula atau secukupnya
1/3 cawan sagu kecil
2 helai daun pandan - disimpul
Secubit garam

Cara-cara membuatnya


Kulit jagung dikoyak dan diceraikan dari jagung. Terus nampak barisan isinya. Geram pula tengok jagung yang besar dan  penuh isinya ni. Kalau jagung yang Mak Hencik tanam, isinya rongak sana-sini. Isinya boleh dibilang dengan jari. 😂😂 


Hiris jagung halus-halus. Buat sampai habis. Kalau lenguh berhenti rehat dulu. Kalau mengantuk pun pergi tidur dulu. Bukan apa.. takut berlaku kemalangan.. terhiris jari nanti.. 😨😨


Akhirnya siap dikerjakan dengan penuh kasih sayang.


Mula-mula ambil periuk, masukkan jagung hiris, daun pandan dan air lebih sedikit dari aras jagung. Rebus jagung sehingga lembut.


Apabila isi jagung sudah masak, air pun hampir kering, masukkan santan pekat dan tambah air secukupnya. Kacau rata.


Manisan kerek


Masukkan manisan, gula dan sedikit garam. Biarkan ia mendidih. Sambil tu kacau sekali-sekala.


Untuk menambah kelazatan, tuang susu sejat. Kacau lagi.


Sediakan sagu halus. Basuh bersih dan toskan. Nak guna sagu putih boleh atau sagu merah pun boleh. Mak Hencik guna kaler hijau.


Masukkan ke dalam bubur. Biarkan mereneh seketika sehingga sagu masak.


Sudah masak, sudah cukup manis, sudah cukup lemak, bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk kecil dan sedia untuk dingappp! Kikiki. Macam makan apa la pulak. Selamat menjamu selera ya kawan-kawan.

Bismillah..