Selasa, 23 Januari 2018

Resepi Solok Lada Bambam yang Sedap

Solok lada sangat sedap apabila kita menggunakan isi ikan segar yang banyak dicampur dengan kelapa parut yang muda. Gabungan isi ikan dan kelapa parut menghasilkan satu rasa yang tersendiri. Rasa yang enak. Rasa yang lazat. Kita pun tidak dapat melupakan keenakkannya. Kita pun tidak dapat melupakan kelazatannya..

 


Mak Hencik ni sudah agak lama juga teringin nak makan solok lada, tetapi tidak dapat menyediakannya kerana tidak berhasil menemukan lada hijau yang khusus untuk solok lada. Warna lada itu ialah hijau muda. Oleh kerana tidak berjumpa dengan lada hijau muda itu, Mak Hencik pun membuatnya menggunakan lada hijau biasa sahaja.

Cuma Mak Hencik cari lada yang gemuk di bahagian tangkainya. Kalau bahagian tangkainya kurus, susah pula nanti kita nak menyumbatnya dengan adunan solok. Kebetulan pula, pagi Ahad yang lalu Mak Hencik singgah di pasar. Mak Hencik nampak lada hijau yang gemuk-gemuk tetapi pendek yang Mak Hencik rasa sangat sesuai untuk dibuat solok lada. Jadi, apa lagi.. Mak hencik pun terus sahaja membelinya. Orang kata, kalau tiada gading, tanduk pun berguna juga.. kannn..



RESEPI SOLOK LADA MEK YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 ekor ikan sardin saiz besar - disiang, dibersihkan dan diasingkan isi dengan tulangnya, dan dikisar.
9 biji lada hijau - dibelah tengah dan dibuang biji.
2 biji bawang merah
1 cawan kelapa parut
garam dan gula secukupnya
2 cawan santan - untuk merebus

Cara-cara membuatnya

Maghi kita masuk ke dapur



Lada dibelah tengah, dibuang biji dan direndam di dalam air. Biarkan seketika.


Ikan sardin, disiang dan dibersihkan.


Isi ikan yang telah diasingkan dengan tulang. Ambil isi ikan sahaja dan kisar dengan pengisar kering.

Tulang ikan boleh disedekahkan kepada encik Meow.


Di dalam bekas, masukkan isi ikan kisar, kelapa parut dan bahan yang ditumbuk.
 Kelapa parut tu kena guna yang muda. Kalau guna yang tua nanti berhampas rasanya. Solok akan jadi kurang sedap. Yang muda tu macam yang kita nak buat kuih tu. Bukan yang isinya berhingus macam air kelapa muda tu ya.


Tumbuk bawang merah, garam dan gula secukupnya.


Gaul rata dan sebati. Masa ni boleh rasa. Masin ke tak, manis ke tak. Tambahlah yang mana kurang. Kalau dah sedap, teruskan ke langkah seterusnya.


Bulat-bulatkan untuk dimasukkan ke dalam lada hijau tadi. Saiz lebih kurang sebesar bola ping pong.


Haa.. apa lagi. Ambil sebiji bebola tadi.


Sumbatlah ke dalam lada hijau tu. Biar ia memenuhi ruang kosong di dalam lada.
Bentukkan cantik-cantik. 

Lada tu toskan dulu ya. Yang di atas tu nak tunjukkan ruang dalam lada yang perlu disumbat dengan adunan solok tadi. Takleh ambil gambar dah sebab dua-dua tangan sedang digunapakai.Hehehe


Dah siap, masukkan terus ke dalam periuk.


Buatlah sampai habis. Eh eh habis pula lada. Adunan solok ada lagi ni.. Tak per tak per.. Kita bulat-bulatkan jer. Pastu masukkan sekali dalam periuk.

Kadang-kadang kalau lada tu pedas, anak-anak akan ambil yang bebola tu..Hihi


Kemudian, tuang santan ke dalam periuk tadi.


Tenggekkan periuk tadi di atas dapur, tutup dengan tudung periuk dan buka api.
Rebuslah solok lada kita tu sehingga kering santannya.


Selalu-selalu lah check santan tu. Mymom pesan kalau dengar sampai ada bunyi tap tap tap, baru boleh tutup api. Jangan sampai kering hangus sudahlah ya.


Solok lada yang sudah siap.. Bolehlah dihidangkan untuk dimakan dengan nasi. Sangat sedap dimakan dengan nasi kerabu. Jemput makan semua..

Bismillah..

Resepi Spaghetti Bolognese Ayam yang Sedap

Untuk rasa kuah spaghetti bolognese yang sedap, kita gunakan isi ayam segar yang dikisar. Letak sedikit garam dan lada sulah. Rasa asin-asin sikit apabila menggigit ayam. Rasa nak kunyah lagi. Lagi dan lagi. Sungguh sedap!



Antara hidangan yang menjadi pilihan tetamu untuk jamuan atau rumah terbuka ialah spaghetti 🍝. Anak-anaklah yang paling menggemarinya. Hidangan itulah yang akan dihadapnya terlebih dahulu. Dua tiga kali diulang makan makanan yang sama.


Anak-anak nih boleh pulak makan benda alah ni dari pagi sampai ke malam kalau kita masak di rumah. Pastu bertambah-tambah pula. Kalau masak nasi, boleh pula ditanya, ada lauk lain tak? Kalau boleh tengahari nak lauk lain. Malam pulak nak lauk lain. Hadoiii


RESEPI SPAGHETTI BOLOGNESE AYAM YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 paket spaghetti - dicelur dan toskan.

2 keping isi dada ayam - dikisar dengan sedikit garam dan lada sulah
2 sudu besar mentega
3 sudu besar tepung gandum
1 biji bawang putih - dicincang
1 biji bawang holand sederhana besar - dicincang
1500 ml air
1 tin cendawan butang - dipotong nipis - Mak Hencik guna 7 biji cendawan butang segar
1/2 biji lada benggala ( capsicum) - dipotong dadu
1 tin besar tomato puri
1/2 cawan sos cili 
1/2 cawan whipping cream
2 keping keju slice
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1/2 sudu kecil serbuk oregano
1/2 sudu kecil serbuk parsley
Garam dan gula secukupnya 

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom.. Jom ke dapur




Langkah 1
Rebus spaghetti hingga lembut. Semasa merebus, masukkan dua sudu besar minyak zaitun. Rebus sehingga lembut. 



Bila sudah masak, toskan airnya. Renjis sedikit minyak zaitun supaya ia tidak melekat antara satu dengan yang lain.



Langkah 2
Cincang bawang putih dan bawang holand. Ketepikan.



Langkah 3
Masukkan isi ayam yang dipotong dadu ke dalam pengisar. Masukkan sedikit garam dan lada sulah. Kisar sehingga lumat. Masukkan dalam mangkuk kecil. Ketepikan.

Isi ayam kisar ni kita boleh tukar dengan daging atau ayam kisar yang boleh dibeli di kedai atau pasaraya. Kadang-kadang Mak Hencik gunakan juga daging burger atau daging ayam burger. Hancurkan jer. 




Rupa isi ayam yang dikisar halus.




Langkah 4
Panaskan kuali. Masukkan mentega.Bila cair sedikit, terus masukkan bawang putih dan bawang besar Holand. Kacau sehingga layu.



Langkah 5
Masukkan tepung gandum. Terus dikacau menggunakan whisk. Kacau sehingga tepung bertukar ke warna keperangan.




Langkah 6
Bila tepung sudah keperangan, masukkan isi ayam kisar tadi. Kacau rata sehingga isi ayam masak.



Langkah 7
Kemudian, masukkan tomato puri. Kacau lagi sehingga rata.




Langkah 8
Kemudian masukkan air secukupnya. Kacau lagi. Sambil sambil itu boleh masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian boleh biarkan seketika.



Sementara itu, hiris cendawan butang dan capsicum.



Langkah 9
Masukkan capsicum dan cendawan butang yang dihiris tadi. Kacau rata.




Sediakan serbuk oregano dan serbuk parsley.


Sediakan whipping cream.


Langkah 10
Masukkan serbuk oregano, parsley dan whipping cream. Oh jangan lupa pada cheese keping. Carik-carikkan cheese dan masukkan sekali ke dalam kuah. Kacau lagi biar semua bahan bergaul dan bermesraan sesama sendiri.

Selepas tu, bolehlah rasa kesedapan masakan sendiri.. huhu



Pasangan spaghetti dua sejoli,
Duduk bersanding di atas singgahsana;
Sudah siap hidangan kita hari ini,
Jemputlah makan, rasai kesedapannya..



Jemput makan semua kenkawan..

Bismillah

Rabu, 17 Januari 2018

Kerang rebus ketuk serai masakan sempoi

Sedapnya kerang ni. Dikopek dan dicicah dengan sos cili Thai atau sambal kicap pedas.



Masa aku mula-mula berkahwin dulu, harga sekilo kerang ialah rm2.50 sahaja. Kalau beli sekilo tak habis dimakan, jadi selalunya beli setengah kilo sahaja. 

Setelah usia perkahwinan meningkat, harga kerang pun turut sama meningkat. Dari rm2.50 naik ke harga rm4. Naik ke harga rm6, rm8 dan rm10. Yang terbaru harganya dah rm12 sekg. Begitulah berharganya kerang dewasa ini.

 
KERANG REBUS KETUK SERAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg kerang
1 biji bawang merah
1 sudu kecil lada hitam
1 batang serai - diketuk
1 liter air atau secukupnya
Garam secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom jom kita ke dapur




Langkah 1
Bersihkan kerang, toskan airnya.



Bawang merah, serai dan lada hitam



Langkah 2
Tumbuk lada hitam. Bila sudah lumat, masukkan bawang merah. Tumbuk sampai lumat. Ketepikan.


Langkah 3
Di dalam periuk masukkan air, bahan tumbuk dan serai yang diketuk. Masukkan juga garam secukup rasa.

Buka api dan biarkan mendidih.


Langkah 4
Bila air sudah mendidih, masukkan kerang. Kacau rata. Kemudian tunggu air mendidih lagi sekali atau sehingga sebiji dua kerang terbuka. Bolehlah tutup api.


Beginilah rupa kerang rebus kita hari ini. Mak Hencik ambil sebiji dan cuba buka kulitnya. Yaaa.. terus terkopek bila dibuka dengan jari.

Jom bubuh dalam mangkuk. Jom ambil kicap pedas. Jom kopek. Jom makan. Jom.

Bismillah..

Ahad, 14 Januari 2018

Nasi Ayam Ringkas Sesangat yang sedap

Buat nasi ayam ni sangat mudah. Lagi-lagi kalau kita gunakan bahan yang sudah siap di pasaran. Hihihi. Menderhaka resepi jer aku nih.


Semalam sudah berjanji dengan anak-anak nak buat nasi ayam. Kalau hari Jumaat menunya memang nasi ayam. Kebetulan pula buka-buka telefon dimaklumkan ada mesyuarat adhoc pula. Haaa.. apalagi tak semena-mena jadi lipas kudunglah hari ini. Tak mengapalah anak-anak. Ibu ni kadang-kadang jadi singa, jadi harimau, jadi kucing, jadi hantu supaya kamu menjadi anak-anak yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Setakat jadi lipas kudung tu, apa lah sangat.. Huhuhu


NASI AYAM RINGKAS SESANGAT YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahannya

NASI
3 cawan beras basmathi - direndam sebentar, dalam 15 minit
3 3/4 cawan air rebusan ayam
3 tangkai daun sup
1 sudu besar serbuk pati ayam
1 sudu besar mentega
3 tangkai daun sup
sedikit pewarna kuning 
sedikit garam

AYAM
*10 ketul ayam
*3 ulas bawang putih - diketuk
*1 inci halia - diketuk
*1500 ml air
Bahan bertanda * direbus sehingga ayam masak

Bahan perap ayam
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
2 hiris halia - ditumbuk kasar
1/2 cawan kicap manis
2 sudu besar sos tiram
1/4 cawan madu
Ayam yang sudah direbus tadi diperap dengan semua bahan di atas. Ketepikan.

Minyak untuk menggoreng secukupnya

SUP NASI AYAM
1 liter air rebusan ayam
garam dan serbuk perasa secukupnya
sedikit daun sup - dihiris halus
sedikit bawang goreng

SOS CILI BAWANG PUTIH
1/2 cawan sos cili bawang putih (beli kat tesco ada jual)
2 sudu besar sos cili Thai
1/2 cawan air atau secukupnya 
semua bahan di atas dimasak di atas api sehingga pekat. 

SOS KICAP
*Kicap lebihan perapan ayam
*1/2 cawan air atau secukupnya
*2-3 sudu besar kicap manis 
1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
Bahan bertanda * dididihkan di dalam kuali,  kemudian dituang bancuhan tepung jagung. Bila sudah pekat tutup api.


Cara-cara membuatnya

Jom ler kita ke dapur



Langkah 1
Basuh bersih beras dan rendam selama 15 minit. Biarkan jer dulu.



Langkah 2
Potong ayam dengan potongan yang dikehendaki. Macam Mak Hencik, Mak Hencik potong 12. Bersihkan ayam dan toskan airnya.



Langkah 3
Rebus ayam di dalam periuk bersama dengan bawang putih dan halia yang ditumbuk. Mak Hencik rebus ayam sampai masak betul. Hahaha. suka suka sendiri jer aku nih!



Langkah 4
Bila ayam sudah masak, angkat dan toskan airnya.


Langkah 5
Sementara itu, mari kita masak nasi ayam kita. 

Mula-mula kita masukkan beras yang direndam tadi ke dalam rice cooker. Airnya kita buang tau. Kita guna air rebusan ayam. Jadi kita sukat 3 3/4cawan air rebusan ayam tadi. Atau air tu bergantung kepada beras masing-masing.  

Masukkan serbuk pati ayam, satu sudu besar mentega, sedikit pewarna kuning dan sedikit garam. Agak-agak sedapla nasi kita nanti. Haha. Akhirnya masukkan dua tiga helai daun sup yang dihiris panjang-panjang. 

Selepas itu, tekan lah butang on rice cooker kita. Biar sajalah sehingga dia masak.



Langkah 6
Seterusnya kita tumbuk kasar bawang putih dan halia. Masukkan ke dalam bekas yang berisi ayam yang telah direbus tadi.


Langkah 7
Masukkan juga kicap manis, sos tiram dan madu. Gaul sebati dan perap seketika. Jadi, biarkan jer dulu.



Langkah 8
Sementara tu kita buat sup ringkas-ringkas sahaja. Air rebusan ayam dididihkan. Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya, masukkan juga daun sup yang dipotong panjang 2 inci. Dah mendidih, tutup api.



Langkah 8
Masukkan sup ke dalam mangkuk hidangan dan taburkan daun sup serta bawang goreng. Mmm.. baunya semerbak.. membuka selera nih.



Langkah 9
Kita sudah boleh goreng ayam. Jadi, panaskan minyak dalam kuali dan goreng ayam. Goreng sekejap sahaja sebab ayam sudah pun masak. Goreng ayam sampai habis. Lebihan kicap perapan ayam disimpan untuk dibuat sos kicap. Jangan buang tau.



Langkah 10
Sudah masak ayam goreng, toskan minyak dan hidangkan dalam pinggan hidangan.



Langkah 11
Sekarang kita buat sos cili pula. Mak Hencik nak cepat ni. Hihihi. 

Jadi Mak Hencik panaskan kuali dengan 1/2 cawan air dan 1/2 cawan sos cili bawang putih tesco. Agak-agaklah ya. Kalau cair tambah sos, kalau pekat tambah sos cili bawang putih pula. Eh! Tambah air. Pastu Mak Hencik masukkan 2 sudu besar sos cili Thai. 

Bila sudah mendidih dan pekat elok, tutup api dan masukkan ke dalam mangkuk.


Langkah 12
Kita buat sos kicap pula. 

Dalam kuali bekas sos cili bawang putih tadi, masukkan kicap yang kita guna perap ayam tadi, masukkan sedikit air dan buka api. Kalau nak banyak, tambahlah kicap lagi. 

Bila sudah mendidih, masukkan bancuhan tepung jagung. Bila sudah pekat elok, tutup api. Masukkan ke dalam mangkuk hidangan.



Langkah 13
Hiris tomato dan timun. Salad ke kalau suka. Hidangkan. Eh eh mana nasi nih. Ooo masih dalam periuk. Baru sahaja masak tu. Jom makan sesama kawan-kawan.

Bismillah..