Rabu, 3 Januari 2018

Udang goreng sayuran yang sedap

Udang goreng ringkas macam ni pun mudah.  Yang penting  sedap. 😋😋



Masyarakat Melayu bijak membaca apa yang terdapat di sekeliling mereka. Banyak nama diambil daripada alam sekitar. Sotong katak, pokok periuk kera, ubi badak, ubi itik dan banyak lagi.


Hari ini pula kita masak udang harimau. Sebab badan udang tu ada belang-belang kuning, macam harimau kot. Makanya dinamakan udang harimau..


UDANG GORENG RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

*20 ekor udang saiz sederhana - dibuang janggut dan dibersihkan
*1/2 sudu kecil garam
*1/2 sudu teh serbuk kunyit
Bahan bertanda * digaul sebati dan ketepikan

1 biji bawang merah besar - dimayang
1 biji bawang putih - dimayang
1 sudu besar sos tiram
1 biji lada hijau atau lada merah - dipotong serong
1 biji bawang holand - dihiris bulat
Sedikit bunga kobis - dipotong kecil
Sedikit brokoli - dipotong kecil
Sedikit karot - dipotong halus memanjang
Serbuk pati ikan bilis
Sedikit gula (optional)

Cara-cara menyediakannya

Jom jom jom




Udang harimau yang dipotong sedikit muncung dan janggut misainya dibersihkan, ditos dan digaul dengan kunyit serta garam secukupnya. Ketepikan.


Bunga kobis, brokoli, karot, lada merah dan bawang besar. Mak Hencik bubuh sayur yang mana ada dalam peti sejuk jer. Korang boleh bubuh sayur ikut kegemaran masing-masing. Tak nak bubuh sayur pun tak per jer.


Bawang putih dan bawang merah


Bawang putih dan bawang merah dihiris nipis


Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan. Kacau rata supaya tidak hangus.


Kemudian masukkan udang. Kacau lagi. Badan udang akan bertukar ke warna merah.


Bila udang sudah separuh masak, masukkan sedikit gula (optional) dan serbuk pati ikan bilis atau yang sama waktu dengannya. Masukkan juga bawang besar dan sos tiram. Kacau sikit.


Masukkan pula sayur-sayuran yang ada.


 Tutup sekejap dengan tudung periuk. Atau mana-mana tudung yang sesuai kecuali tudung saji atau tudung bawal dan yang seangkatan dengannya.


Buka tudung periuk dan kacau seketika. Kemudian bolehlah tutup api. Tengok tu.. Udang sedang berehat-rehat di dalam kuali.


Masukkan ke dalam pinggan hidangan. Kita sudah boleh menikmati juadah hari ini. Silakan makan semua.. Sila.. Sila..

Bismillah.

Selasa, 2 Januari 2018

Sambal Kicap Pedas Mudah dan Sedap

Sedap dicicah dengan pisang goreng, sedap dimakan bersama soto, bihun sup, mee sup, kue tiew sup, mee kuah, kuetiew goreng.. Ish semualah.. sedap belaka..



Sambal Kicap Pedas Yang Menambah selera
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

25 biji cili akar
1 biji bawang putih - diketuk sedikit
1/2 cawan kicap manis
1 sudu besar gula (kalau suka manis)
3 sudu besar untuk menumis

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom


Langkah 1
Sediakan bahan-bahan seperti cili akar dan bawang putih. Cili akar boleh ganti dengan cili padi.


Langkah 2
Panaskan minyak.


Langkah 3
Tumiskan sekejap bawang putih dan cili padi. Bila bawang putih sudah kekuningan terus matikan api.


Langkah 4
Angkat bahan dari kuali. Minyak bekas kita goreng tadi tidak diambil.


Langkah 5
Masukkan dalam pengisar dan kisar bersama kicap dan gula sehingga halus.

Kalau tak nak bubuh gula pun orait juga especially pada yang tak suka manis. Tapi Mak Hencik suka yang letak sedikit gula. Manis-manis pedas.. sedap!


Langkah 6
Bila sudah dikisar, tuang ke dalam bekas. Boleh terus dimakan atau disimpan dalam bekas. Bekas tu pula disimpan di dalam peti ais. Nak makan boleh ambil dan makan. Senang. Boleh jadi penambah selera kepada pelbagai makanan. Cubala..

Isnin, 1 Januari 2018

Asam Pedas Rebus Ikan Siakap yang Sempoi tapi Sedap

Sempoi bahannya, sempoi caranya, sedap hirup kuahnya.. lain orang lain pula nama panggilannya. Masakan ni awak panggil apa?



Subuh subuh tadi si Mamat sudah beritahu si Minah, isterinya yang dia nak makan gulai masin pedas. Ternganga mulut Minah. Mamat ni orang pantai timur, Minah pula orang pantai Barat. Tak pernah didengar nama masakan gitu.

Mimpi apalah si Mamat malam tadi. Biasa nak makan telur mata kerbau goreng kicap jer. Maka, bergegaslah Minah menelefon mak mentua di kampung. Mujurlah Mak Mentuanya sporting dan memberi kerjasama.. ala-ala wonderpet gitu. Apa yang penting? Kerjasama..


ASAM REBUS IKAN SIAKAP YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 keping ikan siakap
3 cawan air
3 tangkai cili kering
1/2 biji bawang merah sederhana besar
1 biji bawang putih
5 hiris lengkuas
1 keping asam gelugur
1/2 inci kunyit - Mak Hencik kehabisan stok, Mak Hencik gantikan dengan 1/2 sudu teh serbuk kunyit.
6 biji bendi
Sedikit daun kesum
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-cara membuatnya

Jom masuk dapur



Antara bahan-bahan yang digunakan. Tiada bergambar bersama ialah asam keping dan cili kering. Hehe

Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering, lengkuas dan kunyit kalau bubuh kumyit hidup. Kisar sampai hancur lumat.



Di dalam periuk, masukkan kepingan ikan siakap, tuangkan bahan kisar, serbuk kunyit, asam keping dan air. Buka api.

Ikan tu hangpa boleh tukar ikut selera tau. Ikan kembung, selar, keli, sembilang, kerisi, ikan merah, jenahak, tongkol dan lain-lain yang sesuai. Terpulanglah ya..



Masak sampai mendidih. Boleh masukkan bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk perasa.



Masukkan tomato dan daun kesum. Mmm.. wangi daun kesum menusuk hidung.



Masak sampai mendidih.



Sambil itu, kita potong bendi. Buang kepala ke ekor ke, potong dua ke.. sukahati hangpa ler..hihi.

Selepas potong tu masukkan dalam air supaya tidak berlendir.



Bila kuah sudah mendidih, masukkan bendi tadi. Kacau-kacau sikit.

Bila bendi sudah masak, rasala dulu kuahnya dah cukup asam garamnya. Mmm.. sedapnya.



Asam pedas rebus kita sudah masak. Rasa pun sudah sedap. Jadi boleh tutup api.



Mana nasi ni.. mana ikan masin goreng ni.. mana sambal belacan ni..
Jom jom kita menjamu selera. Jemput makan kawan-kawan..

Bismillah..

Ahad, 31 Disember 2017

Kuih Buah Melaka Pandan yang Sedap

Kuih tradisi yang kekal evergreen sepanjang zaman. Mudah, cepat dan sedap.



Si dia memanggil nama kuih ni dengan nama kuih Kekoh Cha. Maksudnya apabila digigit kuih ni, ia akan pecah dan meletus gula merah cair di dalam mulut. Hihihi. Ada juga nama cam gitu ya. Hihihi


Ada juga yang memanggilnya onde-onde


Ada pula kawan akan bergegas pulang ke rumah semasa bulan Ramadhan semata-mata nak buat buah melaka sebagai juadah berbuka puasa. Kegemaran suami katanya. Hampir setiap hari dia akan menyediakan kuih buah melaka. Sedar tak sedar, buah melaka menjadi pengikat kemesraan dan cinta-kasih suami isteri. Hurm... Hebat penangan buah Melaka ni.


KUIH BUAH MELAKA YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung beras pulut
2 sudu besar tepung gandum
1 cawan air daun pandan
Sedikit pewarna hijau
Gula melaka secukupnya - diricih

1 biji kelapa parut - dicampur dengan sedikit garam

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom


Daun pandan 

Manisan, boleh ganti dengan gula kabung atau gula merah

2 cawan tepung beras pulut dicampur dengan 2 sudu besar tepung gandum

Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung beras pulut, tepung gandum, air daun pandan dan pewarna hijau. Kacau sehingga sebati menggunakan tangan. Uli sehingga membentuk adunan yang lembut.

Sekiranya adunan tepung lembik sedikit, tambahlah sikit tepung beras pulut.


Ambil secubit adunan. Bulatkan sikit.


Penyekkan adunan untuk dimasukkan gula melaka yang diricih tadi


Letak gula melaka yang diricih di tengah-tengah

  
Tutup semula adunan tepung


Gentel bulat seperti bebola


Masukkan dalam bekas yang ditabur tepung beras pulut


Langkah 2
Buat sampai habis.


Langkah 3
Didihkan air dalam periuk. Masukkan daun pandan. Bila dah mendidih, keluarkan daun pandan dan masukkan buah melaka.

Tunggu sehingga buah melaka timbul, barulah diangkat dan ditoskan airnya.

Masukkan buah melaka yang lain pula


Langkah 4
Sediakan satu bekas kelapa parut yang dicampur dengan sedikit garam. Tekan sikit kelapa parut tersebut. Nanti dia akan mudah melekat pada buah melaka.


Langkah 5
Masukkan buah melaka yang ditoskan ke dalam bekas kelapa parut.


Angkat bekas kelapa parut dan gelek-gelekkan bekas tu. Bukan punggung kita yang gelek yea.. hihi


Buah melaka yang sudah disalut kelapa parut.



Masukkan ke dalam mangkuk hidangan dan bolehlah dihidangkan. Jemput makan kenkawan semua..

Bismillah...