Sabtu, 9 Disember 2017

Ayam Phat Phet Thai yang Sedap

Cara masak yang mudah, cepat dan pastinya sedap sekali!

Thailand memang terkenal dengan aneka masakan  panas yang sedap. Pertama kali cuba masak resepi ini, terus jatuh hati.

Sebai sebai..
Chan rat ter..

Dua kerat senikata lagu popular Thai yang boleh diingat. Seni kata yang lain, ke laut.. hihi.. Lagu lama zaman Mak Hencik berada di bangku sekolah dulu. Entah apa la maksudnya. Mesti lagu cinta ni kan. Harap-harap begitulah.. jangan yang tak senon sudah..


RESEPI AYAM PHAT PHED THAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam - dipotong 8
*4 ulas bawang putih
*1 biji bawang merah besar
*1/2 inci kunyit
*3 batang serai
*10 tangkai cili padi
4 helai daun limau purut - dikisar kasar
Bahan bertanda * dikisar halus.

1 keping asam keping/ asam gelugur
1 biji bawang holand dipotong wedges
1 batang serai - diketuk

Sedikit minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa (optional) secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom kita ke dapur


Langkah 1
Bersihkan ayam dan toskan.



 Langkah 2
Kisar bawang merah besar, bawang putih, kunyit, serai dan cili padi hingga hancur. Bila sudah hancur, masukkan daun limau purut. Kisar kasar daun limau purut itu.

Masakan asal ayam phad phed memang pedas. Tapi Mak Hencik buat ni sederhana pedas, nak sesuaikan dengan anak tekak sendiri.. huhu. Korang sesuaikan ikut kepedasan masing-masing ya..


Langkah 3
Panaskan minyak masak dalam kuali.


Langkah 4
Masukkan bahan kisar tadi. Tumis sehingga pecah minyak. Kacau sekali-sekala ya.


Langkah 5
Bila bahan tumis sudah garing, masukkan ayam. Gaul seketika.


Langkah 6
Masukkan air, asam keping, serai yang diketuk, garam, gula dan serbuk perasa kalau suka. Kalau suami tak suka jangan dibubuh, kan bergaduh pulak suami-isteri. Pendek kata ikut selera masing-masinglah ya.


Langkah 7
Bila air sudah hampir kering, masukkan bawang holand yang dipotong wedges. Kacau lagi.


Langkah 8
Apabila bawang holand sudah layu, bolehlah rasa kesedapan masakan sendiri. Hihi.

Kalau kurang sedap tambahlah rasa yang kurang supaya jadi sedap. Huhu


Langkah 9
Bolehlah kita hidangkan masakan kita hari ini. Sedap dimakan dengan nasi putih. Mak Hencik rasa lauk ni sedap  juga dimakan dengan pulut kuning. Jemput makan semua..

Bismillah..

Resepi Chicken Chop Homemade yang Ringkas dan sedap.

Nak masak Chicken Chop yang mudah? Cuba cara yang ringkas ini..

Hari-hari makan nasi pasti rasa jemu juga kan. Sekali sekala kita makan makanan barat pula.

Makanan hidangan sepinggan lengkap cara barat ini memberikan kita semua nutrien yang diperlukan oleh badan.

Kenyang ke weh?
Kenyang sangat sebab rasanya sedap beb..


RESEPI CHICKEN CHOP HOMEMADE
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan A, B, C dan D

A : Ayam krispi

4 ketul dada ayam - potong nipis dapat 3 keping bagi seketul ayam.
*1 sudu besar lada hitam
*1 sudu besar lada sulah
Bahan bertanda* dilumur pada ayam dan perap sebentar
2 cawan serbuk roti
3 cawan minyak masak untuk menggoreng

Sedikit daun salad sebagai hiasan

B : Jagung manis

1/2 kg isi jagung
2 sudu besar mentega
2 sudu besar susu pekat manis - optional
1/2 cawan susu sejat / susu segar
1/2 sudu kecil garam

C : Kentang goreng

1/2 kg fun fries
Minyak untuk menggoreng

D : Sos lada hitam

2 sudu besar mentega
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 biji bawang besar Holland, dicincang halus
2 sudu besar tepung gandum
1 ketul kiub ayam
4 cawan air
1/2 cawan sos lada hitam
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu besar gula - optional
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis


Cara membuatnya

Jom jom jom


Langkah 1
Isi ayam yang dihiris nipis diketuk-ketuk sedikit menggunakan alat yang sesuai.

Ada orang Mak Hencik tengok guna alu lesung sahaja. Gunalah apa sahaja yang sesuai. Bontot botol ke.. bontot cawan ke.. Bagi Mak Hencik, beresss. Kita yang nak masak kan. Kita juga yang nak makan nanti.




Langkah 2
Lumurkan isi ayam dengan serbuk lada hitam dan serbuk lada putih. Bubuh dalam bekas, tutup dan biarkan sebentar.


Langkah 3
Sediakan bawang putih cincang dan tepung gandum.


Langkah 4
Panaskan kuali, masukkan mentega.


Langkah 5
Masukkan bawang putih dan bawang besar Holland yang dicincang. Kacau.


Langkah 6
Bila bawang putih dan bawang besar Holland sudah kekuningan, terus masukkan tepung gandum. Kacau  rata sehingga tepung berwarna kekuningan.


Langkah 7
Apabila tepung sudah kekuningan, masukkan air dan terus dikacau menggunakan whisk sehingga tidak berketul.


Langkah 8
Masukkan kiub ayam, gula, sos lada hitam, serbuk kasar lada hitam, serbuk lada putih, sos tiram dan kicap manis. Kacau lagi sehingga  sos lada hitam memekat. Kalau nak warna lebih gelap, boleh tambah kicap.


Langkah 9
Apabila sos sudah pekat seperti yang dikehendaki, boleh tutup api dan masukkan dalam mangkuk. Ketepikan.




Langkah 10
Sediakan jagung manis.

a. Basuh dan toskan jagung.
b. Masukkan jagung ke dalam periuk, masukkan air lebih sedikit dari aras jagung.
c. Rebus jagung.
d. Bila jagung sudah masak, toskan jagung dan masukkan ke dalam bekas.
e. Di dalam bekas jagung, masukkan susu pekat, susu sejat atau susu segar, sedikit garam dan mentega. Gaul rata hingga sebati. Ketepikan.




Langkah 11
Goreng fun fries di dalam minyak panas. Bila masak angkat dan toskan. Ketepikan.


Langkah 12
Semasa menggoreng kentang tadi, kita sediakan serbuk roti. Ayam perap dikeluarkan.


Langkah 13
Salut isi ayam dengan serbuk roti.
Apabila kentang goreng telah masak, kita goreng ayam pula.


Langkah 14
Bila ayam sudah masak, toskan minyak.

Goreng ayam krispi sehingga habis.


Langkah 15
Masa untuk menghidang.. Di dalam pinggan, masukkan seketul isi ayam krispi, sedikit kentang goreng dan jagung manis. Tuangkan sos lada hitam di atas ayam. Mmm... Sedapnya.. Jemput makan semua..

Bismillah..


Jumaat, 8 Disember 2017

Kupang masak pedas bertelur yang sedap

Kupang bersalut sos dan telur yang enak rasanya..

Wahai sang kupang.. biarpun namamu tidak sepopular rakan-rakan lautmu yang lain, kau tetap bertakhta gagah di dalam dada semua peminat setiamu.

Biarpun kulitmu agak keras, isi mu tetap lembut menyapa mulut. Rasa mu manis menyapa lidah. Ditemani dengan telur, rasamu bertambah sedap dan lazat..


KUPANG MASAK PEDAS BERTELUR
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan
600gm kupang
5 sudu besar cili kisar
5 ulas bawang putih
1/2 cawan sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 cawan air
1 biji telur
4 sudu besar minyak masak untuk menumis
Garam dan gula secukupnya

Cara-cara menyediakannya


Langkah 1
Kupang dimasukkan dalam besen kecil dan direndam dalam air sebentar untuk mengeluarkan kotoran di dalam kupang.

Bila direndam dalam air, Mak Hencik dapati kupang akan terbuka sedikit.


Langkah 2
Toskan kupang yang direndam tadi.


Langkah 3
Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih dan cili kisar. Kacau sekali sekala sehingga masak.


Langkah 4
Apabila bahan tumisan  sudah garing, masukkan sos tiram dan sos tomato. Kacau sehingga sebati.

Kemudian, masukkan secawan air.
Masukkan juga garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih.


Langkah 5
Sementara itu, pecahkan sebiji telur dan pukul sedikit. Mak Hencik pukul guna garpu jer.


Langkah 6
Apabila sudah mendidih, masukkan telur tadi. Terus kacau supaya bercampur sebati.


Langkah 7
Agak-agak telur di dalam sos tadi sudah masak, bolehlah dimasukkan kupang. Kacau sebati.


Langkah 8
Sediakan bawang holand yang dipotong wedges dan cili padi kalau suka pedas.

Kalau tak suka pedas, tak payah bubuh cili padi, boleh bubuh lada hijau atau lada merah. Ataupun kalau kat dapur kita tak ada sebiji lada pun, tak payah bubuh pun tak apa. Cili kisar pun sudah ada rasa pedas.


Langkah 9
Masukkan ke dalam kuali. Kalau rasa sos bertelur tu pekat sangat, masukkan sikit air. Kalau elok pekatnya, tak payah dah.


Langkah 10
Tutup kuali dengan tudung periuk. Tudung periuk yang tak pandai menari tau..


Langkah 11
Selepas beberapa minit, buka tudung periuk yang tak pandai menari dan kacau kupang dan sos bertelur. Kacau sehingga bergaul mesra.

Lepas tu bolehlah rasa masin manisnya. Rasa isi kupang sekali.. mmm... Sedapnya..


Langkah 12
Masukkan ke dalam mangkuk bergaya atau tak bergaya. Taburkan dengan hirisan daun sup. Kemudian tangkap gambar. Huhu

Hidangan sudah siap. Jemput makan semua..

Bismillah..

Isnin, 4 Disember 2017

Kupang Masak Lemak Putih yang Sedap dan mudah dimasak

Rupamu tidak menarik, tapi rasamu lazat yakmat!


Suatu ketika dulu Mak Hencik pernah membeli kupang di sebuah pasaraya. Isi kupang sebenarnya. Kupang yang telah dikopek isinya. Ingatkan dalam nasi goreng ada macam-macam binatang, rupa-rupanya nasi dan minyak semata-mata. Rasanya mengecewakan dan liat pula. Kecewa rasa tau...

Hari ini keadaannya berbeza. Mysayang beli kupang ni di kawasan Muar kalau tidak silap. Kupang segar namanya. Beli dengan peniaga yang menjual di tepi-tepi jalan. Harganya pula berpatutan.


 Apa yang membuatkan Mak Hencik berubah pandangan? Tak lain dan tak bukan kerana rasanya yang sedap. Sedap rupanya ya kupang ni.. Oleh kerana ianya segar, ada rasa manis seafood begitu dan lembut pula isinya. 



RESEPI KUPANG MASAK LEMAK PUTIH
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan kupang
1/2 biji bawang merah besar
1/2 sudu kecil lada hitam
4 cawan santan
garam secukupnya

Cara-cara memasak

Marilah kita ke dapur..

Langkah 1
Rendam kupang di dalam air sebentar untuk mengeluarkan kotoran di dalamnya.
 
Langkah 2
Toskan airnya. Biarkan sahaja dulu dikau di sini ya sang kupang.

Langkah 3
Sediakan bawang merah dan lada hitam.
 
 Langkah 4
Tumbuk lada hitam dahulu. Bila dah lumat, masukkan bawang dan tumbukkan bawang pula.
 
Langkah 5
Sediakan periuk. Masukkan santan dan bahan yang ditumbuk. Buka api.
 
Langkah 6
Kacau santan dan bahan tumbuk hingga sebati. Sentiasa kacau supaya santan tidak berketul. Kalau berketul nanti tidak cantik dan rasa pun kurang sedap. Kacau sehingga mendidih.
 
 Langkah 7 
Apabila sudah mendidih, masukkan kupang. Masukkan juga garam secukup rasa. Kacau hingga sebati.
Langkah 8
Apabila santan santan sudah mendidih lagi sekali dan kupang pun dah masak. Kupang dah masak? Bagaimana nak tahu?
 
Langkah 9
Mak Hencik pun tak tahu bila dan macammana rupa kupang tu bila masak. Terngangakah kulitnya? Tidakkkk.. Kulitnya tak terbuka pun. Jadi, Mak Hencik ambil seketul kupang dan buka untuk tengok isinya. Mak Hencik rasa isinya tu. Mmm memang dah masak sebab isinya dah lembut. Rasa pun sudah sedap. Rasa lemak santan dan manis isi kupang.
 
Langkah 10 
Masukkan ke dalam mangkuk hidangan. Taburkan sedikit daun bawang untuk diambil gambar. Huhuhu
 
                            
Langkah 11
Beginilah rupa isi kupang ni. Ohhh sedapnya meratah kupang ni. Jemput makan semua..

Bismillah..