Isnin, 4 Disember 2017

Lempeng Gulung Cheese yang Sedap

Badanmu digulung manja, dihiasi parutan cheese di dalamnya.. Rasamu enak sekali!


Sekali-sekala kita ubah resepi mengikut selera kita, terutamanya anak-anak. Gabungan tradisional dan moden ini mempunyai rasa yang memikat selera anak-anak kita. Habis satu hendak dua. Habis dua berebut-rebut pula mereka semua. Kita yang dewasa tersenyum sahaja melihat gelagat mereka.. Teringat zaman kita kecil-kecil dahulu.. Peel dan perangai lebih kurang juga..



Dengan melihat kepada bentuk badanmu wahai lempeng pun sudah menggoda rasa. Juraian keju yang diparut halus mengurai menambahkan keinginan untuk menikmati kelazatan badanmu itu. Oh lempeng gulung cheese ku.. Kau sungguh ayu mempersona, memikat seleraku!


RESEPI LEMPENG GULUNG CHEESE
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila - tak letak pun tak apa
1/2 sudu kecil garam

gula untuk ditabur secukupnya
parutan mozarella cheese untuk ditabur secukupnya
sedikit minyak untuk melengser kuali

Cara-cara menyediakannya

Marilah kita ke dapur..

Langkah 1
Di dalam mangkuk adunan, masukkan tepung gandum, air, telur dan garam. Mak Hencik kacau menggunakan whisk sahaja. Kacau sehingga tidak berketul.

Kalau nak  gunakan mesin pengisar pun boleh juga. Kisar sampai hancur dan sebati.

Langkah 2
Panaskan kuali. Lengserkan sedikit minyak supaya lempeng kita tidak melekat pada kuali.

Langkah 3
Ambil satu senduk adunan dan tuang ke dalam kuali.



Langkah 4
Tutup kuali dengan tudung periuk. 

Pastikan tudung periuk ni tidak pandai menari. Kalau tidak nanti penat pula kita nak tunggu lempeng masak sebab dok asyik menari. Hihi

Langkah 5
Setelah beberapa minit, agak-agak lempeng dah berwarna kuning keperangan, balikkan lempeng tersebut.

Buruk sangat nampak lempeng Mak Hencik ni. Puncanya apa? Saiz kuali tu terlalu besar, jadi lempeng tidak membentuk bulat. Kuali Mak Hencik banyak dah dieksport ke rumah baru. Mak Hencik guna periuk belanga yang mana ada sahaja. Jadi korang semua boleh gunakan kuali yang sesuai, okey!

                            
Langkah 6
Selepas kita balikkan lempeng tadi, bolehlah kita taburkan cheese dan sedikit gula. Nanti ada rasa lemak-lemak manis. Selepas itu, tutup dengan tudung periuk. Tudung periuk yang tidak pandai menari ya..Hihi

Langkah 7
Selepas beberapa minit, buka tudung periuk. Kita dapati parutan cheese dan gula mencair.

Langkah 8
Sekarang boleh angkat lempeng dan masukkan ke dalam pinggan. Lempeng sedia untuk digulung.




Langkah 9
Gulung lempeng kemas-kemas supaya tidak terbuka.

Ulangi langkah membuat lempeng tadi sehingga adunan habis.

Langkah 10 
Itu dia antara lempeng-lempeng yang sudah digulung manja. 


Langkah 11
Hiaskan dengan parutan cheese. Sedia untuk dinikmati. Jemput makan semua..

Bismillah..

Nasi lemak Sambal ikan bilis yang sedap

Nasi Lemak Daun pisang yang pasti menambat rasa dengan Sambal Ikan Bilis yang ooooo sedap!


Nasi lemak yang Mak Hencik masak hari ini adalah nasi lemak yang ringkas. Sesuai dengan gaya hidup moden kita pada zaman ini. Semua orang boleh menyediakannya. Tambahan pula kita menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah kita. Gunakan bahan yang mana ada sahaja. Boleh tak? Boleh tak?

Semua benda, semua perkara, semua urusan kalau boleh hendak diselesaikan dalam masa yang cepat dan singkat. Masa kita sangat berharga. Masa orang lain pun sangat berharga. Masa itu emas.


Nasi lemak buah bidara,
Daun selasih saya lurutkan;
Masak nasi lemak guna bahan yang mana ada,
Kerana nak makan, saya buatkan.


NASI LEMAK SAMBAL IKAN BILIS YANG SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan untuk nasi lemak

3 cawan beras basmathi
3 1/2 cawan santan
sedikit garam
3 helai daun pandan


Bahan-bahan Sambal Ikan Bilis

1/2 cawan ikan bilis
2 biji bawang putih
1 biji bawang merah besar
15 tangkai cili kering
1 biji lada hijau
1 biji lada merah
1/2 biji bawang holand
1/3 cawan gula merah

1 cawan air
sedikit air asam jawa
sedikit minyak masak
garam, gula, dan serbuk perasa ( kalau suka)

Cara-cara menyediakan nasi lemak sambal bilis ringkas.

Langkah 1
Basuh bersih beras basmathi. Kalau boleh rendam sekejap dalam 15 minit. 
Kemudian toskan air dan masukkan ke dalam rice cooker. 
Masukkan santan. Mak Hencik guna 1 kotak kecil santan kotak dicampur dengan 2 1/2 cawan air. 
Masukkan sedikit garam dan daun pandan yang disimpul. Nak ikat guna simpulan buku sila yang kita belajar dalam pengakap dan pandu puteri pun boleh. Tak ada halnya. Hihi

Tutup periuk nasi elektrik dan pasang suis ya. Jangan terlupa pula.

Langkah 2
Sementara itu, kisar cili kering, bawang putih dan bawang merah sehingga hancur

Tips: Boleh masukkan buah keras kalau ada, kisar sekali dengan cili kering, bawang dan lada. Kalau tiada, tidak mengapa..


Langkah 3
Panaskan kuali. Masukkan sedikit minyak.



Langkah 4
Tumis bahan kisar sambil dikacau sekali-sekala. Tunggu sampai bahan kisar masak.


Langkah 5
Sementara itu buang perut ikan bilis dan basuh bersih. Toskan airnya.


Langkah 6
Apabila bahan tumis sudah hampir garing, masukkan air asam jawa secukup rasa.


Langkah 7
Masukkan ikan bilis dan 1 cawan air. Kacau rata.


Langkah 8
Kemudian masukkan gula merah, sedikit gula dan garam serta serbuk perasa kalau suka. Gula merah tu akan mencantikkan warna sambal kita.

Langkah 9
Sediakan bawang holand yang dihiris, lada hijau dan lada merah yang dipotong serong.

Langkah 10
Masukkan bawang holand dan lada ke dalam kuali. Kacau lagi sehingga sebati. Kacau sekali sekala sehingga kuah sambal pekat. 

Mak Hencik cuba rasa sikit. Oooo sedapnya.. (perasan!)
Kalau ada rasa yang kurang, bolehlah tambah yang mana berkaitan okey. Untuk sambal yang sedap mesti ada rasa pedas-pedas manis. Ada masin dan masam sikit sahaja. Korang punya taste macammana? Ikut selera sendirilah ya..

Langkah 11
Bila sambal sudah pekat, boleh matikan api.
Mmmm.. cepatnya. Dah masak dah sambal kita.
Mari kita tengok nasi lemak kita pula. 


Langkah 12
Mmmm.. dah masak juga nasi lemak kita. Keluarkan daun pandan tu ya. Bolehlah kita menghidang nasi lemak sambal bilis kita.

Sekejap, sekejap. Mak Hencik nak goreng telur dadar nipis dulu. Telur ni lauk utama nasi lemak kita.

Sekejap, sekejap. Mak Hencik nak pergi ambil daun pisang di belakang rumah. Aduhhh.. berpeluh-peluh Mak Hencik.



Langkah 13
Beginilah hasil Nasi Lemak Sambal Ikan Bilis ringkas Mak Hencik. Apa yang ringkas? Apa yang ringkas? Ikan bilis goreng tiada, kacang tanah goreng pun tiada. Apa lagi yang tiada? Timun pun tiada uols! Memang betul-betul ringkas... Hihihi

Jemput makan semua..

Bismillah..

Ahad, 3 Disember 2017

Apam nasi yang gebu dan sedap

Jangan bazirkan nasi lebih! Mari buat kuih apam nasi yang gebu ini.


Kuih tradisional kini sudah pun mendapat tempat di hati kita semua. Rasanya juga sedap dan enak dimakan tanpa mengira waktu dan ketika. Hidangan ini boleh diletakkan di meja utama sebagai pencuci mulut di jamuan dan kenduri-kendara. Maklumlah selera kita ni sentiasa berubah-ubah dan berbeza-beza.. Sekejap hendakkan yang moden, sekejap hendakkan yang lama.. Jadi, bila dah ada yang baru, yang lama jangan dilupa..



Begitulah juga dengan kuih apam nasi yang disajikan hari ini. Lebihan nasi semalam kita boleh gunakan untuk membuat kuih ini. Kemudian boleh pula kita kongsikan dengan jiran tetangga. Sama-sama merasa.. Silap-silap haribulan mereka minta resepi dengan kita. Hahhh apa lagi. Berikan sahaja. Supaya semua gembira belaka..


KUIH APAM NASI YANG GEBU 
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan
(menghasilkan 32 biji)

2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
3 cawan air
1 sudu besar yis segera

sedikit pewarna hijau dan merah jika suka
kelapa parut  dan sedikit garam
sedikit minyak untuk disapu pada acuan

Cara-cara membuatnya

Maila kita ke dapur..


Langkah 1
Masukkan nasi, air, gula, sedikit garam, tepung gandum, tepung beras dan yis segera ke dalam mangkuk adunan. Kacau menggunakan whisk.


Langkah 2
Kisar bahan-bahan yang ada di dalam mangkuk adunan sehingga hancur.

Tips : Kalau nak senang, campurkan semua bahan di dalam mesin pengisar dan kisar hingga hancur. Kisar sampai hancur tau..


Langkah 3
Ini dia rupa adunan yang telah hancur. Nampak licin sahaja. Flawless giteww..


Langkah 4
Ambil penutup dan tutup mangkuk adunan yang berisi adunan kita tadi. Biarkan 2-3 jam sehingga adunan naik berbuih.

Mak Hencik pula, selepas tutup adunan terus bersiap untuk keluar jalan-jalan.


Langkah 5
Sampai-sampai di rumah, Mak Hencik pun buka penutup. Beginilah rupa adunan yang kita tinggalkan tadi. 

Mak Hencik bahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian dibiarkan tanpa warna untuk dapatkan warna putih. Satu bahagian diwarnakan merah dan satu bahagian lagi diwarnakan hijau. Terpulanglah pada korang nak letakkan warna apa.


Langkah 6 
Sementara itu, acuan lompang kita sapukan dulu dengan sedikit minyak supaya nanti kuih apam nasi kita mudah dikeluarkan.

Korang boleh guna acuan yang korang suka ya.. bentuk bulat ke, lonjong ke, empat segi ke, bentuk love ke..


Langkah 7
Bolehlah kita menuangkan adunan ke dalam acuan. Mak Hencik rasa bubuh penuh lagi cantik apam nasi kita.

Kalau guna pengukus atas dapur, dah bolehlah panaskan pengukus tu sementara kita tuang-menuang ke dalam acuan. Mak Hencik guna pengukus elektrik, jadi tak payahlah nak panaskan dulu pengukus. Sebab dia terus panas nanti. Baik korang beli satu, senang tau nak mengukus. Chewahhh! mengempen pula Mak Hencik nih. Hihihi. Tapi betul senang tau guna pengukus elektrik ni.



Langkah 8
Letakkan di atas pengukus. Balut penutup dengan kain supaya air tidak menitis ke atas kuih apam nasi kita.

Mak Hencik letak timer 25 minit.
 

Langkah 9
Ini rupa kuih semasa Mak Hencik kenyit-kenyit biji mata nak tengok pada minit ke 15. Nampak macam nak jadi kuih kita ni. 




Langkah 10
Ting!!! Cepat-cepat Mak Hencik ke dapur menjenguk apam nasi kita. Nampaknya apam nasi kita sudah pun masak.


Langkah 11
Kita keluarkan apam nasi dan masukkan ke dalam bekas yang sesuai. 

Apam nasi ni sangat sedap dimakan dengan kelapa parut. Jadi kena la sediakan kelapa parut.


Langkah 12 
Kelapa parut tu kita campurkan dengan sedikit garam. Gaul rata. 
Nak bagi kelapa parut tahan lama, kita kukus 5 -10 minit.


Langkah 13
Hidangan apam nasi dengan kelapa parut sudah siap disediakan. Sedap dimakan dengan kopi O sebagai menu sarapan pagi atau minum petang. Jemput makan..

Bismillah..

Sabtu, 2 Disember 2017

Singgang Daging yang Mudah dan Sedap.

Sungguh mudah. Rebus dan biarkan.. Rasa singgang daging yang memang aummm!


Rasa tak tahu nak cakap apa bila mengingatkan peristiwa tengahari itu. Bakal mak mentua tiba-tiba bergurau manja agar aku masakkan satu jenis masakan nih.. Tu ler.. pasai apa hang dok pi jatuh hati kat anak teruna dia..?! Kan dah terkena...

Mak mentua kata, anak teruna dia si Mamat ni memang suka dengan masakan ni. Kalau tak ada lauk ni mahu tak makan la si Mamat ni.. Jadi dia nak pastikan aku tau menyediakan lauk ni. Tu diaa. Tertelan air liur aku dekat 18 kali mendengarnya.. Tu ler.. pasai apa hang dok pi jatuh hati kat anak teruna dia..?! Kan dah terkena...

Ish Ish Ish.. haru sungguh! Nak belajar kat mana.. Nak belajar dengan sapo.. baik aku lari jer laaa..Huhu. Tiba-tiba belepukkk rasa macam jatuh katil. Ohhh mimpi di siang hari rupanya..

                             

RESEPI DAGING SINGGANG YANG MUDAH DAN SEDAP
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 cawan daging lembu - dipotong nipis
4 cawan air
1 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas - dihiris nipis
2 biji lada hijau dipotong serong
1 keping asam keping
1 sb ketumbar - ditumbuk kasar
garam dan serbuk perasa secukup rasa 

Cara-cara memasak

Mari kita ke dapur...

Langkah 1
Daging dihiris nipis, dibasuh bersih dan toskan airnya.
 
Langkah 2
Masukkan daging ke dalam periuk dan masukkan air. Masukkan air ikut banyak kuah yang dikehendaki. Buka api dan rebus daging tersebut.
 
Langkah 3
Sediakan asam keping atau asam gelugur, bawang putih hiris, bawang merah hiris, lengkuas hiris dan lada hijau yang dipotong serong.

Mak Hencik guna cili padi. Boleh tukar dengan lada merah atau ada juga kawan-kawan Mak Hencik yang guna cili kering. Basuh bersih cili kering kemudian potong empat atau lima. Kita boleh ambil mana yang sesuai dengan selera kita atau dengan bahan yang sedia ada di dapur kita.  Setiap orang ada cara masing-masing kan..

Langkah 4
Masukkan semua bahan yang dihiris tadi ke dalam periuk rebusan daging.
Masukkan juga garam dan serbuk perasa kalau suka. Kalau tak suka serbuk perasa, tak payah guna. Dan mohon jangan kecam orang yang guna. Dan mohon juga jangan rasa kita lebih pandai atau lebih baik bila tak guna.. Kita ni semua sama sahaja.. ada lebih dan ada  kurang.. Eh eh macam berceramah pula. Haha. Peace!!

Okay, kita rebus dia sampai mendidih.. sampai daging kita empuk. Kalau tak empuk, pandai-pandailah korang tambah air ya.. atau ikut petua petui yang ada.  Ada kata bubuh daun nangka, ada kata bubuh biji kurma. Entahlah. Korang buat macammana?

Langkah 5
Semasa kita mereneh daging tu, kita boleh tumbuk kasar 1 sudu besar biji ketumbar. Guna tenaga sikit-sikit ajer. 

Langkah 6
Masukkan biji ketumbar tadi ke dalam periuk. Biarkan mendidih.

Langkah 7 
Bila daging dah empuk, rasa pun dah cukup masin dan masamnya, bolehlah dimatikan api.
 
                              
Langkah 8
Beginilah rupa singgang daging kita hari ini. Bolehlah ambil pinggan berisi nasi putih dan menikmati hidangan kita hari ini. Paling ngam makan dengan ikan rebus goreng. Sungguh aummmmm.. Jemput semua..

Bismillah..

Tips :
Kalau ada periuk serbaguna atau periuk ajaib tu lagi mudah dan cepat tau.
Masukkan semua benda alah kita tu dalam periuk tu termasuk daging, air, garam, perasa, bawang, lada, asam dan segala.
Tekan butang daging.
Tunggu sampai masak. Terus boleh hidang dan makan.