Memaparkan catatan dengan label resepi roti dan pau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resepi roti dan pau. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Oktober 2023

Resepi Capati Gandum

Makan capati sebagai sarapan di pagi hari buat mengalas perut. Kandungan sihat dengan lemak yang minima sesuai untuk dinikmati oleh semua golongan.


Biasanya pagi-pagi kita makan nasi lemak kan, tapi hari ni kita tukar selera pula. Tambahan pula Pak Hencik tidak ada bersama pagi ni kerana malam tadi dah berangkat ke Beijing. 


RESEPI CAPATI GANDUM

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum

1 1/2 air panas mendidih

3 sudu besar marjerin

1 sudu besar garam


Cara-cara membuatnya

Jom.. jom kita ke dapur.


🟡Didihkan 1 1/2 cawan air.


🟡Dalam bekas hijau, masukkan 3 cawan tepung gandum, 3 sudu besar marjerin dan 1 sudu besar garam. (Mak Hencik guna marjerin ButterCup sebab tu jer yang ada)

🟡Gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.

🟡 Buatkan lubang di tengah.


🟡Tuang air panas mendidih di tengah-tengah.

🟡Kacau menggunakan sudip. Jangan guna tangan ya sebab sangat panas.


🟡Bila dah sejuk sikit, baharulah guna tangan dan uli sehingga menjadi doh yang lembut.

🟡 Rehatkan selama 15 minit.


🟡Bahagikan kepada 8-9 biji bebola.


🟡 Sediakan alas dan torak untuk mencanai. Canai sehingga nipis. Jika melekat, tabur sedikit tepung gandum.


🟡 Panaskan pan. Sapu sedikit minyak. (Mak Hencik guna Buttercup) Kemudian letak capati yang dicanai nipis tadi.


🟡 Tunggu sehingga menggelembung macam di atas.


🟡 Balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata.


🟡 Dah masak, bolehlah angkat.

🟡 Teruskan mencanai dan memasak atas api.


🟡Untuk menemani capati, kita masak kari ayam cincang untuk dicicah.

🟡 Jemput makan sahabat-sahabat.

🟡 Bismillah..



Selasa, 10 Ogos 2021

Chicken Wrapped ala Subway

Pasti sedap! Rasa macam nak menangis bila makan!


Nampak macam sikit, kecik jer tapi percayalah.. sangat kenyang bila dah habis makan sebiji. 

Yang bagusnya untuk kita mak-mak yang tak ada vitamin 'R' ni ialah mudah. Ya! sangatlah mudah nak membuatnya. Anak-anak pun sangat suka. Jadi, jomlah kita raikan anak-anak kita hari ni. Hati ibu mana yang tak bahagia melihat anak-anak gembira.



RESEPI CHICKEN WRAPPED
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 keping roti tortilla
2 keping ayam gunting
5 keping cheese keping
5 keping chicken slice, dipanggang
4 helai daun salad, dipotong kasar
Sos cili, mayonnaise dan cheese

Cara-cara membuatnya

Jom..jom kita ke dapur.


🌿🌿Mak Hencik guna ayam gunting. Ayam ni lebihan kami buat Chicken chopped. 

🌿🌿Cara buat ayam gunting
1. Isi ayam dipotong nipis. 
2. Perap dengan bancuhan tepung goreng ayam apa-apa jenama. (Tepung goreng ayam + sedikit air)
3. Salutkan ayam dengan campuran tepung goreng ayam + breadcrumbs. Kalau tak nak campurkan dengan breadcrumbs pun takpe.
4. Goreng dengan minyak yang banyak.
5. Bila masak, angkat dan toskan.

🌿🌿Nampak macam malas nak buat ayam gunting tu, boleh jer gantikan dengan naget ke, meatball ke.. guntngkan atau hiris nipis, sedap juga rasanya.


🌿🌿Ayam gunting tadi dipotong kecil. Mak Hencik potong bentuk jejari. Kalau nak potong dadu ke, tiga segi ke,  terpulang lah yea..


🌿🌿Pilihlah sos yang kita sukai. Mak Hencik guna sos cheese, mayonnaise dan sos cili.


🌿🌿 Chicken slice. Panggang sekejap atas kuali, bila dah ada rupa hangus-hangus sikit, balikkan. Bila dah masak, angkat dan ketepikan.


🌿🌿Daun salad dipotong kasar.


🌿🌿 Cheese keping


🌿🌿Roti tortilla. Belilah apa-apa jenama.

Jom kita buat lipat melipat pula..


🌿🌿Roti tortilla dipotong separuh macam kat atas 


🌿Bahagikan Kepada 4 bahagian. Letak cheese keping, salad, ayam gunting Dan chicken slice.


🌿🌿Paipkan dengan sos yang kita gemari.


🌿🌿Lipat ke atas.


🌿🌿Lipat ke kanan.


🌿🌿Lipat ke bawah. Siap!


🌿🌿Buat sampai habis.


🌿🌿 Pandangan atas.


🌿🌿Mak Hencik suka sos lebih. Jadi Mak Hencik paipkan lagi sos.. 😁😁😁

🌿🌿Jemput makan kawan-kawan. Bismillah..

Rabu, 15 April 2020

Resepi Roti Paratha yang Sangat Mudah

Biasa kita beli sahaja roti paratha ni. Tapi hari ini syukurrr ke hadrat Allah kita telah belajar membuatnya sendiri. Yesss!



Bukan susah pun sebenarnya nak buat roti paratha ni. Cuma perlukan ketajinan sahaja. Ni kalau bukan kerana perintah kawalan pergerakan nih, Mak Hencik rasa Mak Hencik lebih suka makan pagi di luar bersama keluarga. Dah jadi satu rutin dah buat kami sekeluarga makan di luar pada hari minggu. Dapatlah meluangkan masa bersama keluarga setelah lima- enam hari kita bekerja.

Berbalik kepada menu hari ini, ini adalah hasil tak boleh bergerak ke mana-mana di luar rumah. Boleh bergerak ke La Dapuria, ke El Jambano, ke Las Bilika Tiduriya dan sewaktu dengannya sahaja. 

Mahu tak mahu kenalah buat sarapan sendiri. Tapi hasilnya tidak mengecewakan. Kita boleh belajar makan dan buat sesuatu yang baru.


RESEPI ROTI PARATHA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak sapi
1 cawan air panas - Mak hencik guna air panas yang ditapis sahaja. Resepi asal letak air panas mendidih.
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
sedikit minyak untuk dilengser pada kuali semasa membakar

Cara-cara membuatnya

Jom..jom..Jom  kita ke dapur.



Dalam sebuah bekas yang sesuai, masukkan 2 tepung gandum, 1 sudu kecil garam, 1 sudu besar gula dan 2 sudu besar minyak sapi. Gaul menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.


Buatkan lubang di tengah-tengah kemudian tuang air panas mendidih. Kacau menggunakan sudip. Awas! Jangan guna jari sebab sangat panas.


Bila sudah sejuk sedikit, baharulah kita boleh gunakan tangan untuk menguli sehingga menjadi adunan yang lembut seperti di atas.


Perap dulu sekejap dalam 30 minit.


Lepas tu bulatkan sebesar yang kita nak. Kalu besar bebola tu maka besarlah roti paratha kita nanti.

Lepas tu kita ambil sebijik bola tu dan canai bagi dia nipis. Kalau doh melekat pada penorak tu boleh lah taburkan sedikit tepung ya.

Sambil tu boleh letak kuali leper atas dapur dan lengserkan sedikit minyak masak.


Ambil roti yang dicanai nipis tadi dan letakkan dalam kuali leper.

Tunggu biar dia gelembung, baharulah boleh dibalikkan.


Gelembung macam gitu ler gayanya ya. 😁😁


Bila kedua-dua belah dah masak, bolehlah diangkat dan dimasukkan ke dalam pinggan.

Ulangi proses seterusnya sehingga selesai


Masukkan ke dalam pinggan hidang.

Cara masak Kari Jimat Cermat


KARI JIMAT-CERMAT

Bahan-bahan

1 biji kentang - dipotong dadu
1 biji bawang putijh - ditumbuk
2 biji bawang merah kecil - ditumbuk
1 biji cili hijau - dipotong serong
1 biji tomato, dibelah 6
1 tangkai daun kari, jika ada. 
3 sudu besar serbuk rempah kari daging - dibancuh dengan 1 cawan air
3 cawan air
1 sudu kecil serbuk cukup rasa Maggi
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara membuatnya

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak, tumis bahan tumbuk sehingga berbau wangi.
2. Bila bahan tumis sudah kekuningan, masukkan bancuhan rempah kari. Kacau sehingga rata dan tunggu sehingga kkering.
3. Bila sudah kering, masukkan kentang yang dipotong dadu. Masukkan juga air asam jawa. dan daun kari,jika ada. Kacau sehingga rata.
4. Kemudian masukkan 3 cawan air dan tomato. Biarkan sehingga mendidih.
5. Sambil itu, masukkan bahan perasa seperti garam, gula dan serbuk peraa maggi.
6. Biarkan kuah mendidih dan pekat sebelum ditutup api.
7. Hidangkan.


Siaplah hidangan sarapan kita pada hari ini. Roti paratha biasa cicah kuah kari jimat-cermat. Ada sedikit pencuci mulut iaitu wadai kipeng. Air pula teh o sahaja.

Jadi, tunggu apa lagi. Jemput makan semua

Bismillah..

Rabu, 1 April 2020

Roti Canai Homemade

Rindunya nak makan roti canai kat kedai makan atau gerai bawah pokok. Tapi semua tutup. Jadi apa perlu dibuat?




Jawabnya perlulah buat sendiri.. Nak jawab apa lagi. Musim #dudukdirumah ni sangat berisiko untuk keluar. Pergerakan dihadkan kepada membeli barang keperluan sahaja. Digalakkan juga membeli barang secara online.

Takut juga kalau order makanan di luar sebab kita tidak tahu siapa pembawa virus Corona ni. Jadi adalah lebih selamat jika kita duduk di rumah dan hasilkan sumber makanan dari dapur sendiri. Jadi, kita buat ajer laa roti canai sendiri. Kalau pertama kali gagal, cuba kali kedua pula. Kalau kali kedua gagal, kita cuba kali ketiga pula. Lama-lama nanti hasilnya akan menjadi juga.. Betul tak..?

Roti canai ni akan menjadi bila roti yang kita tebar tu nipis..Pastu renjis minyak sikit, Itu jer kot tipsnya.

Jom cuba..




ROTI CANAI BUATAN SENDIRI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

800 gm tepung andum
2 sudu makan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu makan membukit marjerin
1 biji telur
1 1/4 cawan air atau secukupnya.

1 sudu makan minyak sapi - untuk menyalut bebola
sedikit minyak masak - untuk direnjis pada roti canai 

Cara-cara membuatnya

Jangan tangguh lagi. Mari kita mulakan.. 



Dalam mangkuk yang sesuai untuk menguli, masukkan tepung gandum, telur, garam dan marjerin. Gaul dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.

Lepas tu masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan. Ini penting ya. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.

Lepas tu bulat-bulatkan adunan berbentuk bebola, besar sikit kot dari bola ping pong.


Sediakan 1 sudu makan minyak sapi. 



Bebola tadi  disalut dengan minyak sapi. Bau minyak sapi akan menjadikan roti canai kita sedap sangat. 

Mak Hencik dapat 15 biji bebola yang akan menjadi 15 keping roti canai. Masukkan bebola adunan ke dalam bekas bertutup. Adunan ini perlu direhatkan. Maka kita simpan dia di dalam peti sejuk, ruangan biasa sahaja, bukan bahagian frozen. 

Esoknya, pagi-pagi lagi bila kita sudah celik mata, kita keluarkan dulu bekas yang mengandungi bebola roti canai tu.. Biar dia kembali ke suhu bilik.



Masa untuk menebar sudah tiba. 

Ambil sebiji bebola. leperkan dia dengan menyapu sedikit minyak di atasnya.



Mak hencik bukan kidal. Jadi tangan kanan Mak Hencik pegang sebelah kanan atas dan tangan kiri pegang sebelah kiri bawah. Tebarlah dia semahu-mahunya. Kihkihkih

Untuk roti canai yang lembut, pastikan lapisan yang kita tebar tu nipis. Lepas tu renjis sedikit minyak masak kat atasnya sebelum digulung seperti di bawah.



Dah siap  gulung, renjiskan lagi dengan sedikit minyak di atasnya sebelum direhatkan dalam 5-10 minit.

Buatlah sampai habis.



Lepas tu, bolehlah kita panaskan kuali leper dan sapu sedikit minyak masak. 

Kita ambil roti canai yang bergulung tadi dan kita tekan-tekan bagi nipis guna jari kita. Jangan nipis sangat, jangan tebal sangat. Sedang-sedang sahaja.

Apabila kuali leper sudah panas, letakkan roti canai. Renjiskan lagi dengan sedikit minyak, itu pun kalau nampak roti tu kering. Kalau dah nampak elok berminyak, tak payah dah renjis minyak ya.

Apabila sebelah roti canai sudah masak, balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata. 

Bila kedua-dua belah sudah nampak keperangan, boleh diangkat roti canai tersebut.

Teruskan sahajalah mengulang proses yang sama sehingga kesemua 15 biji roti canai kita masak semua sekali. 



Dah masak, masukkan ke dalam pinggan. Boleh ditepuk macam kat kedai tu ya supaya roti canainya bertambah gebu.. Papppp!




Hidangkan bersama kuah kegemaran. Hari ini Mak Hencik cicah kuah kari ringkas giler. Anak-anak sangat menggemarinya. Sorang makan dua biji.

Jemput makan sahabat semua..

Bismillah