Memaparkan catatan dengan label Resepi laksa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi laksa. Papar semua catatan

Khamis, 23 Mei 2024

Resepi Laksa Siam yang mudah dan sedap

Nampak pelik?! Jangan buruk sangka. Cuba rasa dulu baharu tahu langit itu tinggi atau rendah! Enak atau sedap?



LAKSA LEMAK ALA THAI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg laksa Siam atau jika tiada 
1 paket laksa kering (jenis yang paling halus) 

1 kg ikan kembung / selayang - direbus dan dikisar dengan sedikit air

10 biji cili padi merah* jika suka pedas. Kalau tidak suka, 2 sudu besar cili kisar yang digunakan sudah memadai.
10 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
4 batang serai* (2 dikisar, 2 diketuk)
2 inci lengkuas*
2 inci halia*
2 inci kunyit*
Belacan*

Nota: Bahan bertanda * untuk dikisar. Belacan tu taknak bubuh pun takpe.

2 sudu besar cili kisar
2-3 tangkai daun pudina
2-3 helai daun limau purut
1 kotak santan 200ml)
Air secukupnya

Bahan Ulaman

Daun pudina
Daun salad
Taugeh
Daun samak /pucuk janggus (kalau ada)
Timun

CARA-CARA

Ini cara nak membuatnya, memang senang sangat.

Jom... Jom kita ke dapur dan mulakan operasi memasak.


1. Rebus Ikan

Mula-mula, rebuskan 1 kg isi ikan kembung atau selayang. Bila dah masak, biarkan sejuk sedikit dan asingkan isinya daripada tulang.

Kalau tak nak kuah berwarna gelap, jangan ambil air tulang ikan ya. Nanti jenuh nak tambah serbuk kunyit bagi kuahya kuning.


2. Kisar Bahan tumisan seperti bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, lengkuas dan serai.


3. Lepas itu boleh panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan tumisan yang dikisar tadi bersama 2 sudu besar cili kisar.

Kacau sampai naik bau. Pastikan cili kisar betul-betul masak


4. Bila bahan tumisan sudah betul-betul masak, masukkan isi ikan yang telah dikisar awal tadi. 

Jika kurang kuning, boleh tambah sedikit serbuk kunyit.


5. Masukkan asam keping, daun pudina, daun limau purut yang diramas sedikit dan serai yang diketuk.


6. Masukkan santan dan kacau sekejap. Lepas itu boleh masukkan air secukupnya. Agak-agaklah supaya kuah tak terlalu pekat atau terlalu cair.


7. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa, jika suka.

Masak sampai mendidih sambil dikacau. Ingat, kena kacau selalu supaya kuah tak berketul-ketul. 


8. Bila kuah sudah menggelegak, kepekatan kuah sudah menepati kehendak, rasa pun sudah menepati selera, boleh tutup api.

Kuah laksa siam sudah masak, sudah siap.


6. Lengkapkan hidangan dengan ulaman seperti kacang panjang, timun, tauge, bunga kantan, daun pudina dan daun salad.


7. Laksa siam yang siap dijual di pasar. Kepada yang tiada, boleh beli secara dalam talian atau boleh rebus laksa halus.

Sekilo laksa halus ni boleh dimakan oleh 10 orang.


8. Sudah boleh dihidangkan untuk menjamu selera.

Jom kawan-kawan.. bismillah..

Jumaat, 11 Oktober 2019

Laksa Penang yang mudah dan sedap

Cara penyediaan yang mudah dan ringkas. Rasa yang semestinya sedap dan lazat! 😋😋😋


Betul ke ni laksa Penang? Ker laksa utara? 🤔🤔🤔

Sebenarnya Mak Hencik tak tau betui kaa laksa yang Mak Hencik masak ni laksa Penang. Laksa Kedah ada ke? tu yang mana pulak? Laksa Perglih?


Yang pasti depa semua tu laksa utagha.. Yang pasti depa semua tu sedap-sedap belaka.. Adoii merecik ayaq liuq oiii..! 😁😁😁

Atau kemungkinan juga laksa-laksa tu lebih kurang sama sahaja. Cuma ada beza sikit-sikit. Apa beza sikit-sikit tu ya? Pegawai penyiasat.. Tolong pi siasat sat. 😎😎😎


LAKSA PENANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus laksa kering - direndam dan direbus.
4 ekor ikan sardin saiz XL - direbus, diasingkan isi dan tulang.
1 liter air
1 liter air - untuk blend isi ikan dan bawang
2 biji bawang putih - dikisar
1 biji bawang merah besar - dikisar
10 tangkai cili kering - dikisar
1 inci belacan - dikisar (saya tak letak)
2 keping asam gelugur
10 batang daun kesum
1 kuntum bunga kantan - di belah enam
Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa

Bahan-bahan ulaman

Timun - disagat
Daun salad - dihiris kasar
Daun salom - dihiris halus
Lada merah - dihiris serong
Cili padi - dihiris halus
Telur rebus - di belah dua
Limau kasturi - di belah dua

Cara-cara menyediakannya

Mohler kita ke dapur..


Langkah 1
Rendam laksa kering sehingga dia menjadi lembut sedikit.


Rebus laksa sehingga lembut dan masak.

Mak Hencik rebus laksa sekali dengan telur. Telur tu basuh bersih-bersih dahulu tau. Ini stail masakan rimba. Kihkihkih

Kalau geli kata kulit telur tu berkuman berbakteria bagai, rebus lah asing tapi jangan mengecam cara orang lain masak.  Okey?


Apabila laksa sudah masak, keluarkan dan toskan airnya.

Cara menyediakan kuah laksa



Ikan sardin direbus dengan garam dan asam gelugur atau asam keping secukup rasa.

Kalau nak guna ikan jenis lain pun boleh..

Ikan tu kita asingkan tulang dengan isinya. Isi tu kita kisar dengan air. Tulang ikan dan kepala ikan tu pun kita kisar juga dan tapis. Ambil airnya.


Bahan-bahan utama seperti bawang putih, bawang merah, cili kering, daun kesum dan bunga kantan.
Jangan lupa belacan ya!


Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering dan belacan sehingga hancur.

Okey.. Bila semua bahan kisar dah siap sedia, jom lah kita memasak.


Mula-mula kita masukkan 1 liter air dan asam keping ke dalam periuk. Lepas tu masukkan bawang kisar.


Masukkan pula isi ikan kisar dan air tulang ikan.


Masukkan juga bunga kantan dan daun kesum. Bubuhkan garam, gula dan serbuk perasa. Gula dan serbuk perasa tu tak bubuh pun tak apa.


Biarkan kuah mendidih. Sambil tu kacau sekali-sekala.


Bila rasa kuah sudah secukup rasa, bolehlah tutup api.


Untuk lebih sedap, biarkan kuah semalaman. Buat kuah pada malamnya dan esok baru makan.


Sediakan ulam-ulaman. Ulam untuk laksa Mak Hencik dapatkan segar dari peti sejuk. 
😜😜😜


Sekarang dah boleh hidangkan dalam mangkuk.

Mudik perahu menuju muara,
Untuk ke kedai membeli ragi;
Nampak laksa terus berselera,
Yang sudah kenyang pun nak makan lagi

Selamat menjamu selera semua..

Bismillah..

Jumaat, 23 Mac 2018

Laksa Kelantan yang Sedap

Sukar juga nak makan laksa Kelantan yang sedap kalau duduk di luar Kelantan melainkan satu sahaja. Melainkan apa? Melainkan kau buat sendiri. Kikiki

 

Untuk makan laksa kelantan, kita mesti ada laksa beras yang halus tu, kuah laksa yang ada santan tu, ulam-ulaman dan sambal lada untuk menambahkan rasa pedas kepada penggemar cili. Tapi ada satu lagi yang perlu ada. Apa yang perlu ada?

Seketul belacan dan sedikit garam halus. Secara tradisinya, orang Kelantan akan menghidangkan laksa seperti hidangan di atas bersama satu lagi piring. Piring itu mengandungi seketul belacan dan sedikit garam halus. Belacan? Garam?

Ya.. belacan dan garam. Jangan ingat belacan tu coklat pula. Hahaha


Kepada tetamu yang akan menikmati hidangan laksa kelantan ni, mereka akan mencubit sedikit belacan dan akan digaul bersama laksa dan kuahnya. Begitu juga dengan garam. Sekiranya kita ingin menambah sedikit rasa masin, al maklumlah mulut dan lidah orang tidak sama rasanya, maka kita boleh cubit sedikit garam tersebut dan dimasukkan ke dalam kuah laksa kita. Pernah rasa tak?


RESEPI LAKSA KELANTAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg laksa beras kelantan - readymade, beli jer

Bahan kuah laksa

7 ekor ikan selayang - direbus, diasingkan isi dan tulang kemudian dikisar
4 cawan santan atau secukupnya
*2 biji bawang merah besar
*3 biji bawang putih
*1/2 inci halia
Bahan bertanda * dikisar halus
2 keping asam gelugur
Garam dan gula secukupnya

Ulam-ulaman - boleh masukkan ulam yang kita suka

Daun kesum - dihiris halus
Daun serai kayu - dihiris halus
Timun - dihiris halus
Bunga kantan - dihiris halus
Tauge

Cara-cara menyediakannya

Meh ler kita buat projek masak kuah laksa kelantan.



Misi pertama ialah merebus ikan.
1. Ambil periuk, tabur sedikit garam dan letakkan asam keping.
2. Susun ikan selapis kemudian tabur sedikit garam di atasnya dan letak asam keping.
3. Susun lagi ikan dan tabur sedikit garam di atasnya.
4. Masukkan air separas ikan.
5. Letakkan di atas dapur dan tutup periuk dengan sedikit terbuka.
6. Buka api dan biarkan air hampir kering.
7. Tutup api dan sejukkan.





Bawang merah, bawang putih dan halia hendaklah dikisar halus.



Bahan kisar


Asingkan isi dan tulang ikan, kemudian kisar halus.


Isi ikan yang telah dikisar halus.


Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar, asam keping, garam dan gula secukupnya. Buka api.


Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih.


Apabila sudah mendidih, masukkan isi ikan kisar. Kacau lagi sehingga mendidih lagi sekali.


Bila sudah masak, tutup api.  Keluarkan asam keping.


Sediakan ulam-ulaman pilihan kita masing-masing. Ulam wajib biasanya daun kesum, timun, kacang panjang dan tauge.


Sambal Lada

7 tangkai cili kering - dipotong kecil, dibuang biji dan direbus sekejap
5 biji cili padi - Mak Hencik tambah sebab cili kering yang Mak Hencik gunakan tu kurang pedas.

Cara-cara:
Kisar halus cili kering dan cili padi bersama sedikit garam dan air. Dah siap, masukkan ke dalam mangkuk hidangan.


Inilah dia hidangan set laksa Kelantan kita pada hari ini. Ada laksa, kuah laksa, ulam-ulaman dan sambal lada.


Jom kawan-kawan kita menjamu selera.

Bismillah..

Jumaat, 22 Disember 2017

Laksa Penang Kuah Sardin Tin Rajinnya yang senang nak buat

Guna sardin di dalam tin, jalan pintas untuk buat kuah laksa penang. Rasanya pun sedap..  tahap gaban nih!



Tak kenal maka tak cinta. Begitulah diibaratkan kisah percintaanku dengan laksa Penang. Biasa makan laksa yang halus lembut tu, tetiba hari tu kena makan laksa besar dan licin pula tu. Adoiii apakah ini? Kupanggil dia laksa gemok sebab besar saiznya. Hehe


Sesudah beberapa kali makan laksa gemuk ni, ditambah pula dengan kuahnya yang sedap, maka tergeraklah hati nak membuatnya sendiri. Tapi lecehnya bab nak asingkan isi ikan dan tulangnya tu.


Terima kasih banyak-banyak kepada Huda yang ajarkan diriku buatkan kuah laksa Penang guna sardin tin ni. Kalau tetamu datang mengejut pun boleh masakkan sebab mudah dan cepat.



RESEPI LAKSA PENANG KUAH SARDIN TIN
oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

bahan laksa
2 keping laksa kering  - direndam, direbus dan ditoskan

Bahan kuah laksa 
1500 ml air
*2 ekor ikan - direbus. Mak Hencik guna ikan sardin atau selayang.
*1 tin  besar sardin - dibuang sosnya.
bahan bertanda * dikisar halus

**1 biji bawang merah besar
**2 ulas bawang putih
**7 tangkai cili kering
Bahan bertanda ** dikisar halus 

1 sudu besar otak udang
3 keping asam gelugur atau secukupnya
7 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan - dibelah 4
garam secukupnya

ulaman dan aksesori laksa
telur rebus secukupnya
sedikit timun jepun - disagat
sedikit bawang merah besar - dihiris halus
sedikit daun salad - dihiris kasar
sedikit cili padi - dihiris halus
sedikit limau kasturi - dibelah dua.

Cara-cara membuatnya

Jom jom jom kita ke dapur


Langkah 1
Rendam laksa kering di dalam air dan masukkan sekeping asam gelugur. Ini petua dari kawan Raza. Katanya untuk memutihkan laksa. Nanti cantik laksa kita. I follow. Seeloknya rendam semalaman, tetapi Mak Hencik rendam beberapa jam sahaja.



Lepas tu Mak Hencik rebus bersama telur. Sudah masak, toskan airnya.



Langkah 2
Sediakan bahan untuk memasak seperti bawang putih, bawang merah, cili kering, daun kesum dan bunga kantan. Asam keping dan otak udang tidak sempat berselfie.. huhu. Oh ya.. kalau suka boleh juga dimasukkan sedikit belacan.


Langkah 3
Bawang putih, bawang merah, cili kering dikisar halus. Kalau nak pedas, tambahlah cili kering tu ya. Cili padi ke, suka hati uols ya.


Langkah 4
Di dalam periuk, masukkan air, bahan kisar, daun kesum dan bunga kantan yang dibelah empat. Daun kesum tu boleh diceraikan daun dengan batangnya atau boleh jer kalau nak masukkan dengan tangkainya sekali. Kalau ada yang tegur atau marah,tanya kau naper buat gitu, naper buat gini, aku buat gitu.. aku buat gini..  kau hempuk kepala dia dengan senduk. Rasa-rasa dia diam tak?

Masukkan juga asam keping, garam dan serbuk perasa (optional). Lepas tu biar jer mereka berenang-renang dalam periuk sehingga mendidih. Mereka nak bermesra ke, nak berjimba ke, biarkan ajerrr..

  
Ni ikan yang telah direbus dengan sedikit garam, asam dan air. Mak Hencik nak buat ikan rebus goreng. Mak Hencik kipnap 2 ekor. Kalau tak ada tak apa.


Sardin dalam tin dibuang semua sosnya, dibersihkan. Ikan rebus tu pulak diasingkan isi dengan tulang. Ambil isi sahaja, tulang boleh bagi kucing meow makan.

Boleh buang tulang sardin tu kalau nak. Mak Hencik ni nak ringkas. Hahhh ringkas sungguh lerr Jah oii.

Langkah 5
Kisar sardin dan isi ikan dengan air sehingga hancur lumat. Sehingga tidak dapat membezakan antara isi dengan kulit. Inilah masanya nak jadi kejam. Huhu 


Langlah 6
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ikan kisar tadi. Kacau perlahan-lahan jangan sampai tumpah.


Langkah 7
Masukkan juga otak udang. Otak udang ni dibeli siap di kedai. Ada jual. Bagi duit kat tuan kedai, dapatlah benda tu.


Langkah 8
Biarkanlah sehingga mendidih sambil dikacau sekali-sekala. Boleh juga nak menyanyi-nyanyi terutamanya kepada anak-anak dara. Mana tau boleh dapat kahwin dengan datuk you...


Bila dah mendidih rasalah dulu.. kecuali puasa..


Langkah 9
Sementara menunggu kuah laksa mendidih,  kita boleh sediakan bahan aksesori laksa seperti telur rebus, bawang merah besar hiris, timun sagat, cili padi dan daun salad. Limau kasturi sekali kalau ada.


Tu diaaaa kuah laksa dah siap.


Masa untuk makan. Masukkan sedikit laksa dalam mangkuk.


Letakkan ulam-ulaman dan telur rebus.


Tuangkan kuah laksa ke dalamnya. Kalau suka kuah sikit, bubuhlah sikit sahaja. Kalau suka kuah banyak sebab suka hirup, bubuhlah banyak kuahnya. Ikut suka, ikut selera.


Langkah 10
Inilah hidangan kita hari ni. Kuah laksa penang ni sangat sedap sekali kalau kita biarkan semalaman sebelum makan. Nak makan esok, buatlah malam ni. Pagi esoknya panaskan dan boleh dimakan. Rasa asam garamnya sebati dan sedap jadinya.

Sila.. Sila.. Silakan makan kawan-kawan..

Bismillah..