Rabu, 25 Mac 2020

Kuih Cara.

Ermm.. Rasa tak boleh berhenti pulak makan. Lepas satu.. Satu.. masuk dalam mulut. 😋😋😋

Petang semalam Pak Hencik telah membersihkan halaman tepi dapur rumah. Dia telah memangkas beberapa rumpun pokok pandan sebagai langkah keselamatan. Maklumlah pokok pandan ni sangat subur pula dan telah membiak dengan banyak juga. Jadi, sebahagian pokoknya terpaksa dikorbankan.



Daripada banyak-banyak pokok tu, Mak Hencik ambillah sepohon, simpan dalam rumah untuk dibuat masak-masak. Kebetulan petang ni tak ada buat kuih apa, jadi buat kuih cara pun ok juga. Sebelum ni tak berkesempatan, maka hari ni mesti jadi!


Sesudah buat kuih, dok berehat dengan Pak Hencik di beranda rumah. Hari ni adalah hari keenam dah Perintah Kawalan Pergerakan atau Lock Down di Malaysia. Hari ni baharu nampak beberapa buah  motor lalu lintas di jalan raya menuju ke kampung sebelah. Melepaskan bosan agaknya.


Dah nampak beberapa orang tu terasa pula nak bertegur sapa dan bertanya khabar.Sambil tu nak ajak mereka makan kuih yang Mak Hencik buatkan ni sekali.Tapi mana boleh..Kena ikut peraturan.. Dok dalam rumah diam-diam!!




KUIH CARA MANIS

Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Badariah Abd Rahman via FB Kongsi Resepi Masakan

Bahan-bahan


2 1/2 cawan tepung gandum

1/2 santan kotak
2 1/2 cawan air daun pandan
1 biji telur
1 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil pewarna hijau
sedikit garam

Gula - untuk inti

Sedikit minyak untuk dilengser pada acuan

Cara-cara menyediakannya.


Mula-mula kita sediakan bahan-bahannya dahulu


Jom..




Sediakan gula dan sudu yang sesuai saiznya. Mak Hencik guna sudu teh supaya senang nak ceduk gula dan tuang ke dalam kuih nanti.




2 1/2 cawan air daun pandan. Cara buatnya ialah dengan mengisar  lima ke enam  helai daun pandan yang dipotong kasar dengan air. Sesudah kisar, tapis dan sukat airnya.




Sedikit minyak masak dan berus untuk disapu pada pan nanti. Pan apa pulakkk.. acuan la. Hahaha


Cara membuatnya. Jom.. jom..





Cara membuatnya mudah sahaja.

Di dalam sebuah mangkuk adunan, masukkan semua bahan. Masukkan tepung gandum, air daun pandan, santan, telur dan garam. Nak bagi cantik sikit, masukkan satu sudu kecil pewarna hijau, kacau sehingga sebati. Jangan ada yang berbintil sikit pun.




Letakkan acuan kuih cara di atas dapur dan hidupkan api. Abaikan kaler yang terdapat pada acuan. Kaler tu  tak tanggal apabila disental selepas beberapa kali masuk dalam oven sebab buat kuih bahulu. Ampunnnn!

Bila acuan dah panas, sapukan sedikit minyak masak menggunakan berus tadi.




Nak bagi cepat habis buat kerjaan ni, kita guna dua acuan, Tapi yang ni corak bunga pula. Corak bunga pun bunga lah. Janji kerja kita cepat siap dan cepat pula boleh dihidangkan..

Sama juga lah. Letak dulu acuan atas api dapur kemudian sapu dengan minyak menggunakan berus.




Bila acuan tu sudah panas, bolehlah kita tuang adunan kuih cara ke dalam acuan. Mak Hencik tuang penuh bekas tu.




Lepas tu cedukkan gula dan masukkan ke atas kuih cara tadi. Gula tu akan tenggelam. Dan kita tengok serta biarkan ajer. 




Lepas tu kita ambil tudung periuk dan tutup acuan kuih cara tadi. Kita tunggu sampai masak.




Tanda kuih cara tu dah masak ialah warna hijaunya sekata, macam kat atas tuuu. Tak payah balik-balikkan dah..



Kalau tak tahan panas, bolehlah tutup api sekejap. Pastu cungkil sikit guna sudu, biar kuih terpele'ot sikit dari acuan. Hehehe. Pastu senanglah kita ambik guna sudu atau penyepit untuk angkat dan masukkan ke dalam pinggan.

Ulangilah proses membakar atas api dapur sampai habis ya..



Lepas tu bolehlah tangkupkan kuih cara atas dan bawah. Dah masak ni bolehlah dimakan ya, tapi awas. Jangan makan time panas-panas takut melecur mulut.

Bila dah sejuk sikit bolehlah kita hidangkan untuk makan-makan di waktu petang atau sarapan pagi. Hari ini Mak Hencik buatkan sebagai hidangan minum petang.

Jemput semua sahabat-sahabat..

Bismillah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan