Selasa, 12 Jun 2018

Kuih Bingka Labu @ kuih Kemboja Labu

Sedap! Rasa lemak santan dan susu sejat, rasa manis secukupnya dan lembut teksturnya. 🎃🎃🎃

Lebihan labu yang dibuat masak sayur lemak sebelum ni masih ada lagi separuh.
Jadi, bolehlah kita buat kuih. Ada banyak pilihan kuih, tapi aku pilih yang paling mudah, iaitu bingka labu.

Mmm.. sedap tak bingka labu?


RESEPI BINGKA KEMBOJA LABU
Oleh Dapur Cempakasari
Resepi asal : FB

Bahan-bahan

200g labu - dibuang kulit, basuh bersih dan rebus sehingga lembut, kemudian lenyek. (Kuguna 1  1/2 cawan, malas timbang)
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat
3/4 cawan gula - kalau nak manis letak 1 cawan
3 biji telur
1 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanila

Untuk hiasan
Sedikit bijan putih atau hitam

Cara-cara membuatnya..

Jom.. jom kita ke dapur.

Langkah 1
Kupas kulit labu, potong kiub, basuh bersih dan rebus bersama air sehingga lembut.
Bila dah lembut, toskan air, lenyek dengan sudu jer dan biarkan sejuk.


Langkah 2
Ambil acuan kuih kemboja dan tuang dua sudu besar minyak masak ke dalam setiap acuan. Sapu dengan cermat ke seluruh bahagian dalam acuan. Cukup 3 acuan kemboja sahaja untuk bancuhan ini.

Masukkan acuan-acuan ini ke dalam oven selama 10 minit pada suhu 200°C. Atau ikut ragam oven masing-masing.


Langkah 3
Di dalam bekas, masukkan semua bahan. Santan, susu sejat, gula, tepung gandum, labu lenyek, garam, minyak sapi dan minyak masak.

Resepi asalnya letak 2 sudu besar minyak dalam acuan tapi entah kenapalah tersilap baca dan telah.. telah kumasukkan ke dalam adunan ni. Hihihi. Tapi rasanya sedap tau!

Atau masukkan semuanya dalam mesin pengisar dan kisar sehingga sebati.


Langkah 4
Kisar sehingga sebati. Biar semua bahan bergaul mesra..


Langkah 5
Keluarkan acuan dari oven yang dipanaskan tadi. Tuang bancuhan yang dikisar sebati tadi ke dalam setiap acuan. Kemudian taburkan bijan. Tak kisahlah bijan hitam ke.. putih ke..


Langkah 6
Bakar dalam oven selama 40 minit pada suhu 200°C. Atau ikut ragam oven masing-masing. Kalau nak garing tambah lagi masa ya.

Resepi asal 150°C selama 40 minit.


Langkah 7
Bila sudah masak, keluarkan dari oven. Sejukkan dulu sebelum dipotong.

Kuih untuk berbuka sudah sedia,
Jom cuba, mudah sahaja.

🌼TerimakasihAllah
🌼KauMahaPengasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan