Sabtu, 28 Oktober 2023

Resepi Capati Gandum

Makan capati sebagai sarapan di pagi hari buat mengalas perut. Kandungan sihat dengan lemak yang minima sesuai untuk dinikmati oleh semua golongan.


Biasanya pagi-pagi kita makan nasi lemak kan, tapi hari ni kita tukar selera pula. Tambahan pula Pak Hencik tidak ada bersama pagi ni kerana malam tadi dah berangkat ke Beijing. 


RESEPI CAPATI GANDUM

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum

1 1/2 air panas mendidih

3 sudu besar marjerin

1 sudu besar garam


Cara-cara membuatnya

Jom.. jom kita ke dapur.


🟡Didihkan 1 1/2 cawan air.


🟡Dalam bekas hijau, masukkan 3 cawan tepung gandum, 3 sudu besar marjerin dan 1 sudu besar garam. (Mak Hencik guna marjerin ButterCup sebab tu jer yang ada)

🟡Gaul sehingga menjadi seperti serbuk roti.

🟡 Buatkan lubang di tengah.


🟡Tuang air panas mendidih di tengah-tengah.

🟡Kacau menggunakan sudip. Jangan guna tangan ya sebab sangat panas.


🟡Bila dah sejuk sikit, baharulah guna tangan dan uli sehingga menjadi doh yang lembut.

🟡 Rehatkan selama 15 minit.


🟡Bahagikan kepada 8-9 biji bebola.


🟡 Sediakan alas dan torak untuk mencanai. Canai sehingga nipis. Jika melekat, tabur sedikit tepung gandum.


🟡 Panaskan pan. Sapu sedikit minyak. (Mak Hencik guna Buttercup) Kemudian letak capati yang dicanai nipis tadi.


🟡 Tunggu sehingga menggelembung macam di atas.


🟡 Balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata.


🟡 Dah masak, bolehlah angkat.

🟡 Teruskan mencanai dan memasak atas api.


🟡Untuk menemani capati, kita masak kari ayam cincang untuk dicicah.

🟡 Jemput makan sahabat-sahabat.

🟡 Bismillah..



Sabtu, 21 Oktober 2023

Kuih Som Som Sagu Yang sangat sedap

 Ini namanya.. kuih Som Som Sagu yang super mudah untuk dibuat, enak pula rasanya.

Puas saya cari resepi kuih ni sebabnya saya tak tau nama dia apa. Dok Google kuih Sagu, pastu keluar kuih lain. Last-last tu baru keluar nama kuih ni.. Kuih Som-Som Sagu.. 


KUIH SOM-SOM SAGU GULA MERAH

Oleh Dapur Cempakasari


Bahan-bahan Som-som

1 cawan sagu merah

3 cawan air

1/4 cawan gula

Sedikit pewarna merah

2 helai daun pandan disimpul 


Bahan-bahan Santan

1 cawan santan pekat / 250 ml santan kotak

3 cawan air

1/2 cawan tepung beras

1/2 sudu kecil garam

2 helai daun pandan disimpul


Bahan-bahan Gula Merah

1 1/2 cawan air

4 kerek kecil manisan / 1 cawan gula merah

1/4 cawan gula

2 helai daun pandan disimpul


Cara-cara membuatnya

Jom..


1. Panaskan 3 cawan air bersama 1/4 gula dan daun pandan yang disimpul. Masak sehingga gula larut.


Ni adalah sagu yang telah dibasuh bersih. Kita boleh guna sagu putih, merah atau hijau. Mak Hencik guna sagu merah kerana sagu tu jer yang ada. Hihihi


2. Masukkan sedikit pewarna merah. (Kalau guna sagu hijau, masukkan warna hijau ya. Jika guna sagu putih, boleh pilih nak kaler apa pun)

3. Keluarkan daun pandan.

4. Masukkan biji sagu. Kacau sekali sekala sehingga meletup-letup dan masak. 

5. Dah masak, tutup api.


6. Sediakan bekas, dalam 10-11 bekas. Masukkan sagu yang telah masak tadi. Ketepikan.


Cara masak santan

7. Masukkan 1 cawan santan pekat ke dalam periuk. (Mak Hencik guna 1 kotak kecil 250ml santan) Tambah lagi 3 cawan air.

8. Masukkan 1/2 cawan tepung beras, 1/2 sudu kecil garam dan daun pandan yang disimpul. Kacau rata supaya tidak berketul.

9. Buka api, kacau perlahan-lahan sehingga santan menjadi pekat


10. Bila dah pekat macam ni, bolehlah tutup api.


11. Kemudian sendukkan ke dalam bekas yang beisi sagu merah tadi.


Ginilah rupa dia guys, dah jadi 2 lapis.

12. Ketepikan


Cara masak gula merah

13. Dalam periuk, masukkan 1 cawan setengah air, 1/4 cawan gula, 4 keping manisan, daun pandan dan sedikit garam.

14. Buka api dan masak sehingga gula merah hancur. Bila dah hancur segala, tutuplah api. 


15. Sejukkan sebentar.


16. Sendukkan ke dalam bekas yang berisi sagu merah dan santan tadi.

17. Dah boleh dimakan..

Bismillah...

Ahad, 8 Oktober 2023

Resepi Tepung Kapur yang sangat mudah

Tepung Kapur ialah sejenis kuih tradisi yang sangat mudah untuk dibuat. Rasanya pula sedap. Tidak rugi untuk mencuba membuatnya.


Apa beza antara kuih Tepung Kapur Dan Kuih Kaswi? Ada beza ke tidak? 

Ada beza  Kuih Kaswi dibuat dari tepung gandum dan tepung ubi kayu. Manakala Tepung kapur pula diperbuat dari tepung gandum sahaja.  

Ada lagi perbezaan lain?

Tiada. Tiada lagi perbezaan lain. Selain dari tepung yang digunakan, bahan-bahan yang lain adalah sama.

Jadi, jika nak buat kuih kaswi, tiba-tiba baru perasan tepung ubi dah habis, maka buatlah kuih Tepung Kapur. (Macam saya hari ni lerrr.. hihihi)

Lagi satu, jika suka rasa yang lembut, pilihlah kuih Tepung Kapur. Sebaliknya jika suka kuih yang kenyal-kenyal sikit, pilihlah Kuih Kaswi.

Jom kita ke dapur.


RESEPI KUIH TEPUNG KAPUR

Bahan-bahan

Bahan A

1 cawan gula
1 cawan gula merah
2 cawan air
1 helai daun pandan, disimpul

Semua bahan dimasak sehingga gula hancur. Tapis dan sejukkan.

Bahan B

3 cawan tepung gandum
3 cawan air
2 sudu besar kicap 
2 sudu besar air kapur

Semua bahan B dicampur sehingga sebati. Ketepikan.

Bahan C

1 cawan kelapa parut putih
Sedikit garam

Bahan di atas dicampur dan dikukus sebentar. Ketepikan

Cara-cara membuatnya 


1. Masak bahan A iaitu 2 cawan air, 1 cawan gula, satu cawan gula merah dan daun pandan yang disimpul sehingga hancur. Sejukkan.


2. Sediakan bekas. Masukkan 3 cawan tepung gandum.


3. Tapiskan bahan A yang telah sejuk tadi.


4. Masukkan 3 cawan air, 2 sudu besar air kapur dan 2 sudu besar kicap.

5. Gaul sehingga rata.

6. Ambil acuan yang sesuai. Mak Hencik guna loyang 10"x3"x3". Sapu dengan minyak masak kemudian alas dengan plastik.
(Cadangan lain saiz loyang ialah 10"x10")


7. Tuang dalam loyang.


8. Kukus selama 40 minit. 

9. Bila sudah masak, sejukkan dahulu.

10. Kukus kelapa parut putih yang telah dicampur dengan sedikit garam selamat 5 minit.


11. Bila kuih sudah sejuk,  keluarkan dari loyang.

12. Potong ikut suka kita. Kikiki

13. Salut dengan kelapa parut putih yang telah dikukus tadi.


14. Siap untuk dimakan. Sebelah tu tangkap gambar dulu. Hihihi

15. Jemput makan sahabat semua. Bismillah..

Sabtu, 26 Ogos 2023

Kuih Kaswi Yang sedap dan mudah

 Bancuh-bancuh, tapis, kukus dan tinggal 30 minit.. Dah siap!

Masa makan semasa jamuan hari tu, rasa sedap sangat kuih ni. Betullah kata orang, benda yang percuma.. ada orang tolong buatkan.. memang sedap! Hihihi.

Bila dah lapang hari ni, gigihla Mak Hencik mencari resepi. Ternyata resepi mudah dibuat. Sekali buat, terus jadi. Cumanya resepi asal Che Nim takde kicap, tapi resepi ni Mak Hencik tambah kicap untuk menggelapkan warna dan menaikka  rasa lemak kottt. Hihihi


RESEPI KUIH KASWI YANG SEDAP

Oleh Dapur Cempakasari 


Bahan-bahan

Bahan A

2 cawan air

1 cawan gula merah

1 cawan gula

1 helai daun pandan - dicarik dan disimpul


Bahan B

2 cawan tepung gandum

1 cawan tepung ubi

3 cawan air

2 sudu besar air kapur

2 sudu besar kicap manis

Sedikit garam


Bahan C 

Kelapa parut putih 

Sedikit garam

- Gaul rata 


Cara-cara membuatnya

Jom.. jom kita mulakan..



,🍰 Kesemua bahan A iaitu air, gula merah dan gula dimasak sehingga gula hancur. Jangan lupa masukkan daun pandan supaya kuih berbau wangi.

🍰 Dah hancur segala, sejukkan kemudian tapis ke dalam sebuah bekas.


🍰 Masukkan semua bahan B iaitu tepung gandum, tepung ubi, air, kicap, air kapur dan garam. 


🍰 Kacau sehingga rata dan tidak berbintil.


🍰 Tapiskan adunan.


🍰 Sediakan loyang. Sapu dengan sedikit minyak.

🍰 Tuang adunan ke dalam loyang.

🍰 Cadangan saiz  loyang ialah 8'X8' atau 9'X9'


🍰 Kukus selama 30 ke 40 minit, atau sehingga kuih masak.

🍰 Boleh cucuk bahagian tengah kuih dengan lidi atau pencucuk kek tu (entah apa laa orang panggil benda alah tu). Kalau dah licin tu maksudnya dah masak. Kalau belum masak, jawabnya kena sambung kukus semula.


🍰 Bila dah masak, keluarkan dari loyang. Wajib sejukkan dahulu sebelum dipotong.

🍰Kalau nak makan pagi sebagai sarapan, malam dah boleh buat. Pastu sejukkan.


🍰Lepas tu kukus pula kelapa parut putih yang dicampur dengan sedikit garam. Kukus dalam 10 minit supaya kelapa tahan lama dan lambat basi.


🍰Ni kuih yang dah sejuk. Bolehlah potong ikut citarasa masing-masing.


🍰 Lepas tu, salutlah dengan kelapa parut tadi.


🍰Hidangkan dan bolehlah dimakan.

🍰 Mmm.. sedapnya. Jemput makan sahabat semua..

🍰 Bismillah..

Isnin, 14 Ogos 2023

Petua Telur Rebus Kulit Licin

Petua nak telur rebus cantik.

Sumber: Facebook Berkongsi Kuih Muih dan Masakan


Cara-cara:

Masukkan 1/2 sudu besar garam halus dalam air rebusan.

Api sederhana kecil. Selepas air mendidih baru masukkan telur ya. 

Hasilnya kulit telur tidak retak dan nak kupas pun senang.

Cubalah.



Petua ini, penulis asal dapat lama dah dari Makcik yang berniaga di kedai makan. Terima kasih ya Makcik.

Sabtu, 29 April 2023

Petua defrost Daging dengan cepat.

 ALAMAK TETAMU DATANG MENGEJUT!


Daging pula masih beku, macam mana ni??

Saya cuma nak bagi tip..harap dapat membantu semua.

Masa raya ni kadang ada tetamu yang datang mengejut. Nak masak.. daging masih keras dalam freezer..nak defrost ambil masa jugak kan? Di sini saya bagi tip macam mana nak defrost dengan kadar segera.

Letakkan daging tu di atas dulang besi (jangan buang plastiknya) tindih dengan periuk yang berisi air biasa(jgn isi air panas). InshaAllah..dalam masa tak sampai setengah jam daging tu akan lembut balik. Cubalah..

.

Kredit: Sharifah Nor Hj Abdullah

Ahad, 9 April 2023

Kuih Siput Empat Langkah yang mudah

 Makan satu nak lagi. Makan sebalang nak lagi sebalang!

Kuih siput ni mempunyai peminat tersendiri, iaitu kaki suka mengunyah. Jadi, sangat sesuaila dibuat mengunyah semasa tengok tv, semasa bersembang bersama keluarga dan termasuklah juga dihidangkan  semasa perayaan.


RESEPI KUIH SIPUT YANG MUDAH
Sumber resepi: Suisan Aliezsha via FB

Bahan-bahan

1 kg tepung gandum
1 cawan marjerin
1/2 cawan gula
1 sudu kecik garam
1 sudu besar serbuk perasa maggi
1 biji telur
1 1/2 cawan santan - kalau tak cukup tambah air sikit-sikit
3 sudu besar serbuk kari daging
1 sudu besar jintan manis - ditumbuk halus
1 sudu besar jintan putih - ditumbuk halus
Sedikit daun kari dihiris halus, jika suka

Daun kari secukupnya untuk menggoreng
Minyak masak secukupnya 


Cara-cara menyediakannya.

Jom..


Langkah 1

🎁Dalam sebuah bekas, masukkan tepung gandum, marjerin, telur, serbuk kari, gula, garam, serbuk perasa Maggi, jintan putih dan jintan manis yang ditumbuk serta air 

🎁Gaul sehingga rata. Jika santan tidak mencukupi, tambahlah air sedikit demi sedikit.


Langkah 2

🎁Uli sehingga membentuk adunan yang tidak melekat di tangan.


🎁Sediakan acuan kuih siput dan satu dulang. 

🎁Tabur dulang dengan sedikit tepung gandum supaya kuih siput tidak melekat di bekas.


Langkah 3

🎁Mulakan membentuk kuih siput. Time ni, ya Allah.. rasa macam bercinta😂😂😂













🎁 Selepas selesai satu lapisan kuih siput, tabur pula sedikit tepung gandum. Tujuannya supaya nak elakkan melekat antara satu sama lain.


🎁Teruskan membentuk kuih siput sehingga habis adunan.

🎁Tapi jangan lupa, selepas habis satu lapisan kuih siput, tabur dengan sedikit tepung gandum.


Langkah 4

🎁Panaskan minyak yang banyak, masukkan kuih siput dan sedikit daun kari.

🎁Kacau sekali-sekala


🎁Bila sudah kekuningan, angkat dan toskan minyak.


🎁Nak bagi cepat sejuk, tabur atas dulang pula.


🎁Ulangi sampai habis.


🎁Beginilah hasilnya. Dah sejuk sedikit bolehlah kita simpan di dalam balang kedap udara.

🎁Pastu bolehlah makan. 😊😊😊