Rindunya nak makan roti canai kat kedai makan atau gerai bawah pokok. Tapi semua tutup. Jadi apa perlu dibuat?
Jawabnya perlulah buat sendiri.. Nak jawab apa lagi. Musim #dudukdirumah ni sangat berisiko untuk keluar. Pergerakan dihadkan kepada membeli barang keperluan sahaja. Digalakkan juga membeli barang secara online.
Takut juga kalau order makanan di luar sebab kita tidak tahu siapa pembawa virus Corona ni. Jadi adalah lebih selamat jika kita duduk di rumah dan hasilkan sumber makanan dari dapur sendiri. Jadi, kita buat ajer laa roti canai sendiri. Kalau pertama kali gagal, cuba kali kedua pula. Kalau kali kedua gagal, kita cuba kali ketiga pula. Lama-lama nanti hasilnya akan menjadi juga.. Betul tak..?
Roti canai ni akan menjadi bila roti yang kita tebar tu nipis..Pastu renjis minyak sikit, Itu jer kot tipsnya.
Jom cuba..
ROTI CANAI BUATAN SENDIRI
Oleh Dapur Cempakasari
Bahan-bahan
800 gm tepung andum
2 sudu makan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu makan membukit marjerin
1 biji telur
1 1/4 cawan air atau secukupnya.
1 sudu makan minyak sapi - untuk menyalut bebola
sedikit minyak masak - untuk direnjis pada roti canai
Cara-cara membuatnya
Jangan tangguh lagi. Mari kita mulakan..
Dalam mangkuk yang sesuai untuk menguli, masukkan tepung gandum, telur, garam dan marjerin. Gaul dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.
Lepas tu masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan. Ini penting ya. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
Lepas tu bulat-bulatkan adunan berbentuk bebola, besar sikit kot dari bola ping pong.
Sediakan 1 sudu makan minyak sapi.
Bebola tadi disalut dengan minyak sapi. Bau minyak sapi akan menjadikan roti canai kita sedap sangat.
Mak Hencik dapat 15 biji bebola yang akan menjadi 15 keping roti canai. Masukkan bebola adunan ke dalam bekas bertutup. Adunan ini perlu direhatkan. Maka kita simpan dia di dalam peti sejuk, ruangan biasa sahaja, bukan bahagian frozen.
Esoknya, pagi-pagi lagi bila kita sudah celik mata, kita keluarkan dulu bekas yang mengandungi bebola roti canai tu.. Biar dia kembali ke suhu bilik.
Masa untuk menebar sudah tiba.
Ambil sebiji bebola. leperkan dia dengan menyapu sedikit minyak di atasnya.
Mak hencik bukan kidal. Jadi tangan kanan Mak Hencik pegang sebelah kanan atas dan tangan kiri pegang sebelah kiri bawah. Tebarlah dia semahu-mahunya. Kihkihkih
Untuk roti canai yang lembut, pastikan lapisan yang kita tebar tu nipis. Lepas tu renjis sedikit minyak masak kat atasnya sebelum digulung seperti di bawah.
Dah siap gulung, renjiskan lagi dengan sedikit minyak di atasnya sebelum direhatkan dalam 5-10 minit.
Buatlah sampai habis.
Lepas tu, bolehlah kita panaskan kuali leper dan sapu sedikit minyak masak.
Kita ambil roti canai yang bergulung tadi dan kita tekan-tekan bagi nipis guna jari kita. Jangan nipis sangat, jangan tebal sangat. Sedang-sedang sahaja.
Apabila kuali leper sudah panas, letakkan roti canai. Renjiskan lagi dengan sedikit minyak, itu pun kalau nampak roti tu kering. Kalau dah nampak elok berminyak, tak payah dah renjis minyak ya.
Apabila sebelah roti canai sudah masak, balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata.
Bila kedua-dua belah sudah nampak keperangan, boleh diangkat roti canai tersebut.
Teruskan sahajalah mengulang proses yang sama sehingga kesemua 15 biji roti canai kita masak semua sekali.
Dah masak, masukkan ke dalam pinggan. Boleh ditepuk macam kat kedai tu ya supaya roti canainya bertambah gebu.. Papppp!
Hidangkan bersama kuah kegemaran. Hari ini Mak Hencik cicah kuah kari ringkas giler. Anak-anak sangat menggemarinya. Sorang makan dua biji.
Jemput makan sahabat semua..
Bismillah