Rabu, 1 April 2020

Roti Canai Homemade

Rindunya nak makan roti canai kat kedai makan atau gerai bawah pokok. Tapi semua tutup. Jadi apa perlu dibuat?




Jawabnya perlulah buat sendiri.. Nak jawab apa lagi. Musim #dudukdirumah ni sangat berisiko untuk keluar. Pergerakan dihadkan kepada membeli barang keperluan sahaja. Digalakkan juga membeli barang secara online.

Takut juga kalau order makanan di luar sebab kita tidak tahu siapa pembawa virus Corona ni. Jadi adalah lebih selamat jika kita duduk di rumah dan hasilkan sumber makanan dari dapur sendiri. Jadi, kita buat ajer laa roti canai sendiri. Kalau pertama kali gagal, cuba kali kedua pula. Kalau kali kedua gagal, kita cuba kali ketiga pula. Lama-lama nanti hasilnya akan menjadi juga.. Betul tak..?

Roti canai ni akan menjadi bila roti yang kita tebar tu nipis..Pastu renjis minyak sikit, Itu jer kot tipsnya.

Jom cuba..




ROTI CANAI BUATAN SENDIRI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

800 gm tepung andum
2 sudu makan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu makan membukit marjerin
1 biji telur
1 1/4 cawan air atau secukupnya.

1 sudu makan minyak sapi - untuk menyalut bebola
sedikit minyak masak - untuk direnjis pada roti canai 

Cara-cara membuatnya

Jangan tangguh lagi. Mari kita mulakan.. 



Dalam mangkuk yang sesuai untuk menguli, masukkan tepung gandum, telur, garam dan marjerin. Gaul dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.

Lepas tu masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga adunan tidak melekat di tangan. Ini penting ya. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.

Lepas tu bulat-bulatkan adunan berbentuk bebola, besar sikit kot dari bola ping pong.


Sediakan 1 sudu makan minyak sapi. 



Bebola tadi  disalut dengan minyak sapi. Bau minyak sapi akan menjadikan roti canai kita sedap sangat. 

Mak Hencik dapat 15 biji bebola yang akan menjadi 15 keping roti canai. Masukkan bebola adunan ke dalam bekas bertutup. Adunan ini perlu direhatkan. Maka kita simpan dia di dalam peti sejuk, ruangan biasa sahaja, bukan bahagian frozen. 

Esoknya, pagi-pagi lagi bila kita sudah celik mata, kita keluarkan dulu bekas yang mengandungi bebola roti canai tu.. Biar dia kembali ke suhu bilik.



Masa untuk menebar sudah tiba. 

Ambil sebiji bebola. leperkan dia dengan menyapu sedikit minyak di atasnya.



Mak hencik bukan kidal. Jadi tangan kanan Mak Hencik pegang sebelah kanan atas dan tangan kiri pegang sebelah kiri bawah. Tebarlah dia semahu-mahunya. Kihkihkih

Untuk roti canai yang lembut, pastikan lapisan yang kita tebar tu nipis. Lepas tu renjis sedikit minyak masak kat atasnya sebelum digulung seperti di bawah.



Dah siap  gulung, renjiskan lagi dengan sedikit minyak di atasnya sebelum direhatkan dalam 5-10 minit.

Buatlah sampai habis.



Lepas tu, bolehlah kita panaskan kuali leper dan sapu sedikit minyak masak. 

Kita ambil roti canai yang bergulung tadi dan kita tekan-tekan bagi nipis guna jari kita. Jangan nipis sangat, jangan tebal sangat. Sedang-sedang sahaja.

Apabila kuali leper sudah panas, letakkan roti canai. Renjiskan lagi dengan sedikit minyak, itu pun kalau nampak roti tu kering. Kalau dah nampak elok berminyak, tak payah dah renjis minyak ya.

Apabila sebelah roti canai sudah masak, balikkan supaya kedua-dua belah masak sekata. 

Bila kedua-dua belah sudah nampak keperangan, boleh diangkat roti canai tersebut.

Teruskan sahajalah mengulang proses yang sama sehingga kesemua 15 biji roti canai kita masak semua sekali. 



Dah masak, masukkan ke dalam pinggan. Boleh ditepuk macam kat kedai tu ya supaya roti canainya bertambah gebu.. Papppp!




Hidangkan bersama kuah kegemaran. Hari ini Mak Hencik cicah kuah kari ringkas giler. Anak-anak sangat menggemarinya. Sorang makan dua biji.

Jemput makan sahabat semua..

Bismillah

Isnin, 30 Mac 2020

Kuih Beronok Sagu

Ramai dah tak kenal kuih ni sekarang ni, apa lagi nak merasa kesedapannya. Awak pernah rasa?




Beronok sagu adalah sejenis kuih tradisi dari negeri Kelantan Darul Naim. Cara buat kuih tradisi ni sangat mudah. Bahan yang digunakan pun sangat sedikit iaitu biji sagu, santan, halba dan gula. Itu jer.

Cuma rasanya ada juha orang Kelantan panggil kuih ni kuih selipar jepun. Ada juga yang panggilnya sebagai kuih sanggupal, cuma yang ni versi tiada inti. Sanggupal ke asam gumpal? Entahlah.. harap-harap tak ada yang bergaduh sebab panggil nama kuih berbeza-beza. Hahahaha

Jom try..



RESEPI BERONOK SAGU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan sagu

1 cawan biji sagu kecil kaler hijau
2 cawan air

Bahan-bahan kuah

1 cawan santan kotak
3 cawan air
1/2 cawan gula - boleh tambah atau kurangkan ikut manis masing-masing
1 sudu besar halba
1/2 sudu kecil garam
1 sudu makan tepung beras dicampur dengan 1/2 cawan air - bancuhan tepung beras
2 helai daun pandan disimpul

Cara-cara memasak

Jom kita ke dapur..



🌷Sagu direndam dalam 10 minit, dibasuh bersih dan ditoskan.



🌷Sediakan satu sudu besar halba.

🌷Sediakan juga bancuhan tepung beras.

Mari kita buat..



🌷Panaskan air dalam pan non stick.



🌷Bila sudah mendidih, masukkan sagu.



🌷Kacau rata menggunakan whisk



🌷Kacau sehingga meletup-letup.



🌷Bila biji sagu pun sudah tidak kelihatan warna putih, bolehlah tutup api.



🌷Terus tuang ke dalam bekas yang sesuai. Biarkan sejuk.



🌷Sementara menunggu sejuk, kita masak kuahnya pula.

🌷Masukkan santan pekat ke dalam periuk, air, halba, gula secukup manis dan sedikit garam. Masukkan juga daun pandan simpul.

🌷Kacau selalu supaya kuah tidak berketul.



🌷Apabila kuah sudah mendidih, tuangkan pula air bancuhan tepung beras.



🌷Teruskan kacau sehingga kuah menjadi pekat sedikit.

🌷Bila kuah sudah pekat elok, manis pun dah elok rasanya, bolehlah tutup api.

🌷Biarkan sejuk



🌷Bila kuah sudah sejuk, bolehlah kita masukkan sagu tadi ke dalamnya



🌷Sagu tu boleh dipotong atau boleh juga disudukan sebelum dimasukkan ke dalam kuah.



🌷Dah siap semua, bolehlah digaul supaya sagu dan kuah mesra dan sebati.

🌷Masukkan ke dalam mangkuk hidang.



🌷Ambil mangkuk makan, hidangkan.



🌷Oleh kerana rasa kuih beronok sagu ni manis, minum dengan air masak sudah la yea.. Kan terlebih manis bahaya pula. Hihihi

🌷Jemput menjamu selera. 

🌷Bismillah.. 

Ahad, 29 Mac 2020

Ayam Masak Ala Malbari

Rasanya memang sempurna sedap!



Asal resepi ni ialah daging, tetapi di rumah Mak Hencik tiada simpanan stok daging. Oleh itu, Mak Hencik tukarkan dengan ayam. Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan begini, apa yang ada untuk dimasak pun syukur alhamdulillah.

Kepada yang mampu, intai-intailah rumah jiran tetangga yang memerlukan. Berilah bantuan sekadar yang kita mampu.

Kepada yang memerlukan pula, jangan segan untuk bertanyakan ketua kampung atau pengerusi taman. InsyaaAllah akan ada insan berhati mulia yang sudi menghulurkan bantuan selain Pusat zakat dan agensi kerajaan berkaitan.

Jom memasak pula.


AYAM ALA MALBARI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam - di potong 10  bahagian

❤️5 ulas bawang putih
❤️1/2 biji bawang merah besar
❤️1/2 inci halia
❤️10 tangkai cili kering
❤️1 sudu kecil ketumbar
❤️1 sudu kecil jintan putih
❤️1 sudu kecil jintan manis
Semua bahan bertanda ❤️ di kisar hingga hancur

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

1/4 cawan kicap manis
1 biji tomato - di belah 4
2 batang serai - diketuk
1 cawan air
Sedikit minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Mari kita mulakan dengan penyediaan bahan.


Ayam di basuh bersih dan ditoskan.


Cili kering dipotong, dibuang biji dan direndam dalam air panas sekejap. Kalau takde air panas, air paip pun tak apa..


Bawang putih, halia dan bawang merah.


Serbuk ketumbar, jintan putih dan jintan manis


Kisar cili kering, bawang putih, bawang merah, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih dan halia sehingga hancur.  Ketepikan.

Cara memasak malbari yang asal : 
Cili kering, bawang putih, bawang merah dan rempah seperti jintan manis dan jintan putih digoreng tanpa minyak dahulu kemudian dikisar hingga halus.

Bahan-bahan ini semua diperap dengan ayam atau daging serta kicap manis.

Tadi Mak Hencik tak ingat, terus diblend macam biasa.


Rempah empat sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.


Tomato dipotong 4, serai diketuk.

Cara-cara menyediakannya.


Panaskan minyak. Tumis kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan bahan kisar sehingga naik bau dan garing.

Cara memasak daging atau ayam Malbari yang asal:
Masukkan sedikit minyak, tumiskan rempah empat sekawan kemudian masukkan ayam perap. Yang lain boleh follow step di bawah. Huhuhu


Masukkan ayam. Masukkan air asam jawa.  Kacau sedikit sehingga bahan tumis bersalut dengan ayam.


Masukkan air. Masukkan kicap manis. Kacau sehingga rata.


Masukkan serai yang diketuk dan tomato.


Ambil tudung periuk tutup kuali dan biarkan sehingga kuah mendidih dan pekat.



Agak-agak kuah dah pekat, buka tudung periuk Kacau sedikit. Rasakan keenakannya. Mmm.. Sedap.


Bolehlah tutup api.


Hidangkan dalam mangkuk hidang. Sedia untuk dinikmati.

Jemput makan..

Bismillah..

Sabtu, 28 Mac 2020

Capati

Sedap dimakan dengan kari kambing! Betul ke?


Ada yang suka makan dengan kari dhal, kari ayam, sambal tumis sardin, sambal bilis hatta dengan susu pekat sekali pun. Ikut suka laa. Terpulang pada cita rasa masing-masing..

Lain padang lain belalang.. Kita hormat minat dan kegemaran orang lain. Kita pun suka kan kalau orang lain hormati minat dan kegemaran kita..

Jom buat capati. Hari ni hari ke sepuluh Kawalan Pergerakan berikutan covid-19 di Malaysia. #StayAtHome



RESEPI CAPATI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung atta
2 sudu besar minyak sapi
1 cawan air suam
1 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya.

Jom kita ke dapur.



Dalam sebuah bekas cantik, masukkan tepung atta, garam dan minyak sapi.  Gaul semua sekali sehingga menjadi seperti serbuk roti.



Buatkan lubang di tengahnya dan tuang secawan air.



Gaul dan uli sehingga sebati serta menjadi doh seperti di atas. ☝️☝️



Kemudian ambil kain, tutup bekas cantik yang mengandungi adunan tadi. Biarkan selama lebih kurang 30 ke 40 minit giteww.

Semasa menunggu ni, kita boleh buatkan kuah kari. Resepi kat bawah ya.



Selepas 30-40 minit berlalu, buka kain penutup tadi dan keluarkan adunan.

Bulat-bulatkan adunan sebesar bola ping pong



Ambil sebiji adunan bebola ping pong dan canaikan nipis menggunakan penorak.



Panaskan pan yang dilengser dengan sedikit minyak masak.

Masukkan capati dan tunggu sehingga ia menggelembung sedikit.



Bila sudah menggelembung, balikkan capati supaya ia masak sekata.



Apabila kedua belah sudah masak, bolehlah diangkat dan dimasukkan ke dalam pinggan hidang.

Buatlah capati sampai habis dari canai kemudian bakar atas kuali..

Resepi Kuah Kari Ringkas giler
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji bawang putih - ditumbuk
2 biji bawang merah - ditumbuk
1/2 inci halia - ditumbuk
1 tangkai lada hijau - di potong serong
3 sudu besar serbuk kari
2 cawan air
1 ketul kentang - di potong dadu
1 sudu kecil serbuk Maggi cukup rasa
1 tangkai daun kari
Garam dan gula secukup rasa
3 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya

Jom teruskan.



1. Panaskan 3 sudu besar mintak masak.
2. Tumiskan bahan tumbuk beserta lada hijau yang dipotong serong sehingga layu.
3. Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau selalu sehingga ia kering.
4. Bila sudah kering, masukkan kentang yang dipotong dadu. Kacau seketika.
5. Masukkan air. Masukkan juga air asam Jawa.
6. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk Maggi secukup rasa. (Rahsia nak bagi rasa yang sedap hihihi)
7.Tunggu sehingga kuah mendidih dan pekat.
8. Apabila sudah masak, tutup api dan boleh dihidangkan.



Untuk sarapan hari ini, jom pekena capati dan kuah kari ringkas giler..

Sekarang ni kan musim perintah kawalan pergerakan, ayam tu ada tapi simpan untuk buat lauk. Huhuhu

Walau bagaimana pun kari kosong ni tetap sedap. Kari kambing? Hahahaha

Jom makan.

Bismillah..