Ahad, 29 Mac 2020

Ayam Masak Ala Malbari

Rasanya memang sempurna sedap!



Asal resepi ni ialah daging, tetapi di rumah Mak Hencik tiada simpanan stok daging. Oleh itu, Mak Hencik tukarkan dengan ayam. Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan begini, apa yang ada untuk dimasak pun syukur alhamdulillah.

Kepada yang mampu, intai-intailah rumah jiran tetangga yang memerlukan. Berilah bantuan sekadar yang kita mampu.

Kepada yang memerlukan pula, jangan segan untuk bertanyakan ketua kampung atau pengerusi taman. InsyaaAllah akan ada insan berhati mulia yang sudi menghulurkan bantuan selain Pusat zakat dan agensi kerajaan berkaitan.

Jom memasak pula.


AYAM ALA MALBARI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 ekor ayam - di potong 10  bahagian

❤️5 ulas bawang putih
❤️1/2 biji bawang merah besar
❤️1/2 inci halia
❤️10 tangkai cili kering
❤️1 sudu kecil ketumbar
❤️1 sudu kecil jintan putih
❤️1 sudu kecil jintan manis
Semua bahan bertanda ❤️ di kisar hingga hancur

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

1/4 cawan kicap manis
1 biji tomato - di belah 4
2 batang serai - diketuk
1 cawan air
Sedikit minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Mari kita mulakan dengan penyediaan bahan.


Ayam di basuh bersih dan ditoskan.


Cili kering dipotong, dibuang biji dan direndam dalam air panas sekejap. Kalau takde air panas, air paip pun tak apa..


Bawang putih, halia dan bawang merah.


Serbuk ketumbar, jintan putih dan jintan manis


Kisar cili kering, bawang putih, bawang merah, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih dan halia sehingga hancur.  Ketepikan.

Cara memasak malbari yang asal : 
Cili kering, bawang putih, bawang merah dan rempah seperti jintan manis dan jintan putih digoreng tanpa minyak dahulu kemudian dikisar hingga halus.

Bahan-bahan ini semua diperap dengan ayam atau daging serta kicap manis.

Tadi Mak Hencik tak ingat, terus diblend macam biasa.


Rempah empat sekawan iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.


Tomato dipotong 4, serai diketuk.

Cara-cara menyediakannya.


Panaskan minyak. Tumis kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan bahan kisar sehingga naik bau dan garing.

Cara memasak daging atau ayam Malbari yang asal:
Masukkan sedikit minyak, tumiskan rempah empat sekawan kemudian masukkan ayam perap. Yang lain boleh follow step di bawah. Huhuhu


Masukkan ayam. Masukkan air asam jawa.  Kacau sedikit sehingga bahan tumis bersalut dengan ayam.


Masukkan air. Masukkan kicap manis. Kacau sehingga rata.


Masukkan serai yang diketuk dan tomato.


Ambil tudung periuk tutup kuali dan biarkan sehingga kuah mendidih dan pekat.



Agak-agak kuah dah pekat, buka tudung periuk Kacau sedikit. Rasakan keenakannya. Mmm.. Sedap.


Bolehlah tutup api.


Hidangkan dalam mangkuk hidang. Sedia untuk dinikmati.

Jemput makan..

Bismillah..

Sabtu, 28 Mac 2020

Capati

Sedap dimakan dengan kari kambing! Betul ke?


Ada yang suka makan dengan kari dhal, kari ayam, sambal tumis sardin, sambal bilis hatta dengan susu pekat sekali pun. Ikut suka laa. Terpulang pada cita rasa masing-masing..

Lain padang lain belalang.. Kita hormat minat dan kegemaran orang lain. Kita pun suka kan kalau orang lain hormati minat dan kegemaran kita..

Jom buat capati. Hari ni hari ke sepuluh Kawalan Pergerakan berikutan covid-19 di Malaysia. #StayAtHome



RESEPI CAPATI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung atta
2 sudu besar minyak sapi
1 cawan air suam
1 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya.

Jom kita ke dapur.



Dalam sebuah bekas cantik, masukkan tepung atta, garam dan minyak sapi.  Gaul semua sekali sehingga menjadi seperti serbuk roti.



Buatkan lubang di tengahnya dan tuang secawan air.



Gaul dan uli sehingga sebati serta menjadi doh seperti di atas. ☝️☝️



Kemudian ambil kain, tutup bekas cantik yang mengandungi adunan tadi. Biarkan selama lebih kurang 30 ke 40 minit giteww.

Semasa menunggu ni, kita boleh buatkan kuah kari. Resepi kat bawah ya.



Selepas 30-40 minit berlalu, buka kain penutup tadi dan keluarkan adunan.

Bulat-bulatkan adunan sebesar bola ping pong



Ambil sebiji adunan bebola ping pong dan canaikan nipis menggunakan penorak.



Panaskan pan yang dilengser dengan sedikit minyak masak.

Masukkan capati dan tunggu sehingga ia menggelembung sedikit.



Bila sudah menggelembung, balikkan capati supaya ia masak sekata.



Apabila kedua belah sudah masak, bolehlah diangkat dan dimasukkan ke dalam pinggan hidang.

Buatlah capati sampai habis dari canai kemudian bakar atas kuali..

Resepi Kuah Kari Ringkas giler
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 biji bawang putih - ditumbuk
2 biji bawang merah - ditumbuk
1/2 inci halia - ditumbuk
1 tangkai lada hijau - di potong serong
3 sudu besar serbuk kari
2 cawan air
1 ketul kentang - di potong dadu
1 sudu kecil serbuk Maggi cukup rasa
1 tangkai daun kari
Garam dan gula secukup rasa
3 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya

Jom teruskan.



1. Panaskan 3 sudu besar mintak masak.
2. Tumiskan bahan tumbuk beserta lada hijau yang dipotong serong sehingga layu.
3. Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau selalu sehingga ia kering.
4. Bila sudah kering, masukkan kentang yang dipotong dadu. Kacau seketika.
5. Masukkan air. Masukkan juga air asam Jawa.
6. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk Maggi secukup rasa. (Rahsia nak bagi rasa yang sedap hihihi)
7.Tunggu sehingga kuah mendidih dan pekat.
8. Apabila sudah masak, tutup api dan boleh dihidangkan.



Untuk sarapan hari ini, jom pekena capati dan kuah kari ringkas giler..

Sekarang ni kan musim perintah kawalan pergerakan, ayam tu ada tapi simpan untuk buat lauk. Huhuhu

Walau bagaimana pun kari kosong ni tetap sedap. Kari kambing? Hahahaha

Jom makan.

Bismillah..

Khamis, 26 Mac 2020

Colek Malas Kelantan

Nama si cucur ni ialah colek malas. Malas?



Malas?
Ya malas. Apa maasalahnya ya? Ada apa-apa masalah? Nama dia malas. Tiada masalah apa pun. Yang jadi masalahnya ialah bila kita ni yang selalu jadi malas. Nak buat apa pun tak Jadi kerja bila malas nih.. 😂😂😂

Adapun si colek malas ni adalah makanan orang marhain sahaja. Ia bukan makanan orang kaya.. Atau orang berada.. Atau orang ada-ada.. Atau golongan beruang.. Huhuhu


RESEPI COLEK MALAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
1 1/4 cawan air
1 sudu besar yis segera
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
4 batang kangkung - dihiris kasar
Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya

Jom kita ke dapur.


Dalam sebuah bekas, masukkan semua bahan kecuali kang kung hiris.

Kacau dengan sudip kayu atau spatula sehingga rata dan sebati. Adunannya jadi macam kenyal-kenyal sikit.


Lepas tu tutup bekas adunan dengan kain yang sesuai. Biarkan sehingga adunan kembang, dalam 30-40 minit.


Sambil menunggu adunan kembang, kita hiris kasar 4-5 batang kang kung.


Apabila adunan sudah kembang, baharulah kita masukkan kang kung yang dihiris kasar tadi.


Kacau hingga rata dan sebati.

Sekarang bolehlah kita panaskan minyak untuk menggoreng.


Kita kena gunakan satu senduk bulat bersaiz sedang. Rendam senduk tu ke dalam air.


Bila minyak sudah panas, ambil senduk dan cedokkan adunan. Dengan cermat masukkan ke dalam minyak panas.

Biarkan sehingga kulit cucur malas tu keperangan.


Senduk tadi rendam ke dalam bekas yang mengandungi air.


Bila cucur malas dah keperangan, balikkan ia supaya kedua-dua belah masak sekata.


Dah masak, angkat dan toskan minyak.

Gorenglah sampai habiiiiiissss.. Hi3


Dapatlah dalam 9 biji cucur malas sebesar penumbuk.

Cara menghidang pula..


Oleh kerana colek malas ni saiznya besar, maka kita wajib potong-potong dia..


Kita potong lah dia agak-agak saiz yang boleh masuk ke dalam mulut manis kita ni.. 😂 😂 😂

Cucur malas ni dimakan dengan sos pencicah yang rasanya manis, masam dan sedikit pedas. Tang pedas tu bolehlah tambah ikut citarasa sendiri.. Nama sos tu ialah colek!

Jom buat sos colek malas pula..

Resepi Sos Colek Malas
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 cawan air
1 keping nisan kerek Kelantan saiz kecil
2 sudu besar gula
1/8 cawan cuka
1 sudu besar cili kering kisar
Sedikit garam

1 sudu kecil tepung jagung dibancuh dengan sedikit air - bancuhan tepung jagung

Sedikit kacang tanah tumbuk untuk menambah kesedapan sos.

Cara-cara membuatnya


Di atas dapur, letakkan periuk kecil. Masukkan 1 cawan air, 2 sudu besar gula, 1 keping nisan kerek kecil, sedikit garam dan 1 sudu besar cili kering kisar.

Didihkan sehingga nisan kerek hancur. Sambil tu kacau sekali-sekala.


Apabila kuah sudah mendidih, masukkan bancuhkan tepung jagung sambil dikacau sehingga sebati dan kuah menjadi pekat sedikit.


Apabila rasa sudah sempurna, kepekatan sederhana, bolehlah tutup api.


Masukkan sos colek ke dalam mangkuk kecil dan taburkan dengan kacang tanah hancur.


Dah siap hidang dah ni.. dan sudah boleh dinikmati..

Jom sahabat semua..

Bismillah..

Rabu, 25 Mac 2020

Kuih Cara.

Ermm.. Rasa tak boleh berhenti pulak makan. Lepas satu.. Satu.. masuk dalam mulut. 😋😋😋

Petang semalam Pak Hencik telah membersihkan halaman tepi dapur rumah. Dia telah memangkas beberapa rumpun pokok pandan sebagai langkah keselamatan. Maklumlah pokok pandan ni sangat subur pula dan telah membiak dengan banyak juga. Jadi, sebahagian pokoknya terpaksa dikorbankan.



Daripada banyak-banyak pokok tu, Mak Hencik ambillah sepohon, simpan dalam rumah untuk dibuat masak-masak. Kebetulan petang ni tak ada buat kuih apa, jadi buat kuih cara pun ok juga. Sebelum ni tak berkesempatan, maka hari ni mesti jadi!


Sesudah buat kuih, dok berehat dengan Pak Hencik di beranda rumah. Hari ni adalah hari keenam dah Perintah Kawalan Pergerakan atau Lock Down di Malaysia. Hari ni baharu nampak beberapa buah  motor lalu lintas di jalan raya menuju ke kampung sebelah. Melepaskan bosan agaknya.


Dah nampak beberapa orang tu terasa pula nak bertegur sapa dan bertanya khabar.Sambil tu nak ajak mereka makan kuih yang Mak Hencik buatkan ni sekali.Tapi mana boleh..Kena ikut peraturan.. Dok dalam rumah diam-diam!!




KUIH CARA MANIS

Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Badariah Abd Rahman via FB Kongsi Resepi Masakan

Bahan-bahan


2 1/2 cawan tepung gandum

1/2 santan kotak
2 1/2 cawan air daun pandan
1 biji telur
1 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil pewarna hijau
sedikit garam

Gula - untuk inti

Sedikit minyak untuk dilengser pada acuan

Cara-cara menyediakannya.


Mula-mula kita sediakan bahan-bahannya dahulu


Jom..




Sediakan gula dan sudu yang sesuai saiznya. Mak Hencik guna sudu teh supaya senang nak ceduk gula dan tuang ke dalam kuih nanti.




2 1/2 cawan air daun pandan. Cara buatnya ialah dengan mengisar  lima ke enam  helai daun pandan yang dipotong kasar dengan air. Sesudah kisar, tapis dan sukat airnya.




Sedikit minyak masak dan berus untuk disapu pada pan nanti. Pan apa pulakkk.. acuan la. Hahaha


Cara membuatnya. Jom.. jom..





Cara membuatnya mudah sahaja.

Di dalam sebuah mangkuk adunan, masukkan semua bahan. Masukkan tepung gandum, air daun pandan, santan, telur dan garam. Nak bagi cantik sikit, masukkan satu sudu kecil pewarna hijau, kacau sehingga sebati. Jangan ada yang berbintil sikit pun.




Letakkan acuan kuih cara di atas dapur dan hidupkan api. Abaikan kaler yang terdapat pada acuan. Kaler tu  tak tanggal apabila disental selepas beberapa kali masuk dalam oven sebab buat kuih bahulu. Ampunnnn!

Bila acuan dah panas, sapukan sedikit minyak masak menggunakan berus tadi.




Nak bagi cepat habis buat kerjaan ni, kita guna dua acuan, Tapi yang ni corak bunga pula. Corak bunga pun bunga lah. Janji kerja kita cepat siap dan cepat pula boleh dihidangkan..

Sama juga lah. Letak dulu acuan atas api dapur kemudian sapu dengan minyak menggunakan berus.




Bila acuan tu sudah panas, bolehlah kita tuang adunan kuih cara ke dalam acuan. Mak Hencik tuang penuh bekas tu.




Lepas tu cedukkan gula dan masukkan ke atas kuih cara tadi. Gula tu akan tenggelam. Dan kita tengok serta biarkan ajer. 




Lepas tu kita ambil tudung periuk dan tutup acuan kuih cara tadi. Kita tunggu sampai masak.




Tanda kuih cara tu dah masak ialah warna hijaunya sekata, macam kat atas tuuu. Tak payah balik-balikkan dah..



Kalau tak tahan panas, bolehlah tutup api sekejap. Pastu cungkil sikit guna sudu, biar kuih terpele'ot sikit dari acuan. Hehehe. Pastu senanglah kita ambik guna sudu atau penyepit untuk angkat dan masukkan ke dalam pinggan.

Ulangilah proses membakar atas api dapur sampai habis ya..



Lepas tu bolehlah tangkupkan kuih cara atas dan bawah. Dah masak ni bolehlah dimakan ya, tapi awas. Jangan makan time panas-panas takut melecur mulut.

Bila dah sejuk sikit bolehlah kita hidangkan untuk makan-makan di waktu petang atau sarapan pagi. Hari ini Mak Hencik buatkan sebagai hidangan minum petang.

Jemput semua sahabat-sahabat..

Bismillah..