Jumaat, 18 Oktober 2019

Masak Lemak Ikan Tilapia

Pebret! Pebret! Pebret! Siapakah penggemar masak lemak? Siapakah penggemar ikan talapia. Mari sini dekat-dekat.. Nah! Rasai kelazatannya..

Beberapa tahun lepas, ikan talapia ni adalah ikan yang murah sahaja. Lebih kurang RM5 sahaja sekilogram. Namun, selepas lebih 10 tahun, harganya telah meningkat lebih 50%. Harga ikan tu sekarang kalau yang besar saiznya boleh mencecah RM15 sekilogram. Kalau saiz biasa pun lebih kurang RM11 ke RM12 sekilogram.. Naik darjat kau ya, si ikan talapia. Dan aku pulak nih macam penganalisis harga ikan pulak dahhh..


Dah.. Dah.. Hentikan dulu buat analisis harga. Sekarang kita kena gi dapur. Apa lagi.. Marilah..


RESEPI MASAK LEMAK IKAN TILAPIA
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 ekor ikan tilapia - disiang dan dibasuh bersih

*1 biji bawang merah besar saiz sederhana
*1 biji bawang putih
*10 biji cili padi - tambah atau kurang ikut kepedasan masing-masing.
*1 inci kunyit hidup
*2 hiris lengkuas
Bahan bertanda * dikisar sehingga halus
1 cawan santan pekat
1 cawan air
7 biji belimbing buluh - dibelah dua (kalau tiada, gantikan dengan sekeping asam gelugur atau asam keping)
1 batang serai - diketuk
5 tangkai daun kesum
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Mari buat persiapan awal memasak dahulu. Ajommm...


Siang ikan, basuh bersih dan toskan.

Tips : basuh ikan dengan air basuh beras dan air asam jawa untuk hilangkan hanyir.


Belimbing buluh dipotong hujung ya atas dan bawah kemudian belah dua.


Bahan untuk dikisar seperti bawang putih, bawang merah, cili padi, kunyit dan lengkuas. Bahan lain ialah daun kesum dan serai yang diketuk sedikit.


Kisar bahan-bahan kisar sehingga hancur.

Jom kita menggulai pula..


Masukkan santan dan air ke dalam periuk yang sesuai. Masukkan bahan kisar, serai yang diketuk dan belimbing buluh. Buka api. 

Kacau selalu supaya santan tidak berketul dan tunggu sehingga kuah mendidih. 


Bila kuah sudah mendidih, bolehlah masukkan ikan. Masukkan garam gula sekali ikut citarasa.


Masukkan daun kesum. 

      

Gulai lemak sedang mendidih. Biarkan sehingga kuah pekat elok.


Rasa dulu sedap ke tidak. Tambah lah bahan perasa supaya sedap gulai masak lemak kita.


Dah masak bolehlah tutup api.


Masukkan ke dalam mangkuk. Bolehlah makan dengan nasi putih.

Jemput makan

Bismillah..

Selasa, 15 Oktober 2019

Popia Ringkas

Rangup di luar, lembut di dalam. Pekena pulak panas-panas waktu hujan renyai.. Fuhhh.. Meletop!


Tak cuba, tak tau.. Dah cuba dan rasa, barulah makan tak berhenti. 😁😁😁 Gurau jer..


Dah beberapa hari goreng karipap, hari ni kita goreng popia pula.

Dalam peti sejuk kita ni ada karot dan sengkuang sahaja. Kita guna bahan tu jer laa. Boleh kan.. Boleh kan.. Boleh kan.. 😝😝😝


Resepi popia mudah
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus kulit popia

2 biji bawang putih - dicincang
1/2 biji bawang merah besar - dicincang
1 batang karot - disagat
1/2 biji sengkuang - disagat
1 sudu besar serbuk ikan bilis tumix
1 sudu besar gula
Sedikit garam

Bahan pelekat
2 sudu besar tepung gandum dicampur dengan sedikit air

Cara-cara menyediakannya

Jom kita ke dapur.. Sediakan inti popia. Hari ni kita guna sengkuang dan karot sahaja. Sayur lain boleh juga. Ikut suka sendiri la ya.


Sagat karot dan sengkuang menggunakan penyagat.


Tumis bawang putih dan bawang merah besar yang telah dicincang.


Masukkan karot dan sengkuang sagat.  Taburkan serbuk ikan bilis Tumix dan gula. Masukkan sedikit garam jika perlu. 

Gaul sehingga rata. Bila sayur sudah layu sedikit, tutup api.


Bila sudah masak, Angkat dan toskan air. Pastikan sayuran ni tidak basah untuk menjamin kerangupan kulit popia. 

Tips: kalau tak masak pun tak apa. Just campur dan gaul sayuran sagat dengan serbuk ikan bilis dan sedikit gula. Gaul sehingga rata. 


Bancuhan tepung gandum dan air sebagai pelekat.


Kulit popia

Jom kita lipat dan gulung


Hampar sehelai kulit popia. Letakkan sayuran di atasnya.


Gulung sedikit dan lipat bahagian kiri tengah dan lipat bahagian kanan ke tengah.


Sapu hujungnya dengan tepung pelekat dan gulung sampai habis.


Masukkan ke dalam bekas.


Untuk menggoreng, sediakan kuali dan panaskan minyak. Goreng popia sehingga keperangan.


Angkat dan toskan minyak.


Goreng jumlah bilangan yang hendak dimakan.

Bakinya digoreng sekejap dan masukkan dalam bekas bertutup lalu disimpan dalam peti sejuk.


Hidangan dengan sos pilihan sama ada sos cili, sos cili Thai atau sos pencicah keropok. Terpulanglah pada pilihan masing-masing.

Jemput makan semua..

Bismillah.. 😋😋😋

Jumaat, 11 Oktober 2019

Laksa Penang yang mudah dan sedap

Cara penyediaan yang mudah dan ringkas. Rasa yang semestinya sedap dan lazat! 😋😋😋


Betul ke ni laksa Penang? Ker laksa utara? 🤔🤔🤔

Sebenarnya Mak Hencik tak tau betui kaa laksa yang Mak Hencik masak ni laksa Penang. Laksa Kedah ada ke? tu yang mana pulak? Laksa Perglih?


Yang pasti depa semua tu laksa utagha.. Yang pasti depa semua tu sedap-sedap belaka.. Adoii merecik ayaq liuq oiii..! 😁😁😁

Atau kemungkinan juga laksa-laksa tu lebih kurang sama sahaja. Cuma ada beza sikit-sikit. Apa beza sikit-sikit tu ya? Pegawai penyiasat.. Tolong pi siasat sat. 😎😎😎


LAKSA PENANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 bungkus laksa kering - direndam dan direbus.
4 ekor ikan sardin saiz XL - direbus, diasingkan isi dan tulang.
1 liter air
1 liter air - untuk blend isi ikan dan bawang
2 biji bawang putih - dikisar
1 biji bawang merah besar - dikisar
10 tangkai cili kering - dikisar
1 inci belacan - dikisar (saya tak letak)
2 keping asam gelugur
10 batang daun kesum
1 kuntum bunga kantan - di belah enam
Garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa

Bahan-bahan ulaman

Timun - disagat
Daun salad - dihiris kasar
Daun salom - dihiris halus
Lada merah - dihiris serong
Cili padi - dihiris halus
Telur rebus - di belah dua
Limau kasturi - di belah dua

Cara-cara menyediakannya

Mohler kita ke dapur..


Langkah 1
Rendam laksa kering sehingga dia menjadi lembut sedikit.


Rebus laksa sehingga lembut dan masak.

Mak Hencik rebus laksa sekali dengan telur. Telur tu basuh bersih-bersih dahulu tau. Ini stail masakan rimba. Kihkihkih

Kalau geli kata kulit telur tu berkuman berbakteria bagai, rebus lah asing tapi jangan mengecam cara orang lain masak.  Okey?


Apabila laksa sudah masak, keluarkan dan toskan airnya.

Cara menyediakan kuah laksa



Ikan sardin direbus dengan garam dan asam gelugur atau asam keping secukup rasa.

Kalau nak guna ikan jenis lain pun boleh..

Ikan tu kita asingkan tulang dengan isinya. Isi tu kita kisar dengan air. Tulang ikan dan kepala ikan tu pun kita kisar juga dan tapis. Ambil airnya.


Bahan-bahan utama seperti bawang putih, bawang merah, cili kering, daun kesum dan bunga kantan.
Jangan lupa belacan ya!


Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering dan belacan sehingga hancur.

Okey.. Bila semua bahan kisar dah siap sedia, jom lah kita memasak.


Mula-mula kita masukkan 1 liter air dan asam keping ke dalam periuk. Lepas tu masukkan bawang kisar.


Masukkan pula isi ikan kisar dan air tulang ikan.


Masukkan juga bunga kantan dan daun kesum. Bubuhkan garam, gula dan serbuk perasa. Gula dan serbuk perasa tu tak bubuh pun tak apa.


Biarkan kuah mendidih. Sambil tu kacau sekali-sekala.


Bila rasa kuah sudah secukup rasa, bolehlah tutup api.


Untuk lebih sedap, biarkan kuah semalaman. Buat kuah pada malamnya dan esok baru makan.


Sediakan ulam-ulaman. Ulam untuk laksa Mak Hencik dapatkan segar dari peti sejuk. 
😜😜😜


Sekarang dah boleh hidangkan dalam mangkuk.

Mudik perahu menuju muara,
Untuk ke kedai membeli ragi;
Nampak laksa terus berselera,
Yang sudah kenyang pun nak makan lagi

Selamat menjamu selera semua..

Bismillah..

Khamis, 10 Oktober 2019

Pop Corn Caramel guna kuali biasa jer

Mudahnya buat pop corn sendiri di rumah. Tak menyesal langsung! Bangga ada lah.. 😝😝😝


Mana lahh anak mak tak bangga kalau sekali buat jer terus jadik! 
😜😜😜

Rasa pop corn homemade tentunya lebih sedap sebab segar dari dapur. Ditambah dengan rasa manis lemak dari gula dan mentega.

Krup krap Krup krap .. Licin sebalang.


RESEPI POP CORN HOMEMADE
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : RASA

Bahan-bahan

1/3 cawan biji jagung
1 sudu besar mentega
2 1/2 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan Karamel

1/3 cawan gula
1 sudu besar mentega

Cara-cara membuatnya

Marilah kita ke dapur.. Jom!


Sediakan biji jagung.


Langkah 1
Cairkan mentega dan minyak masak.


Langkah 2
Bila mentega sudah hampir cair, masukkan sebiji biji popcorn.


Tutup kuali dengan tudung periuk. Tunggu sehingga ada bunyi pop. Bunyi pop itu menandakan biji popcorn tadi sudah masak.


Langkah 3
Sebaik sahaja terdengar bunyi pop, buka tudung periuk dan masukkan 1/3 cawan pop corn. Kacau sedikit supaya semua popcorn terkena minyak panas.


Langkah 4
Tutup kuali dengan tudung periuk dan tunggu sehingga bunyi pop. Biarkan bunyi pop seketika.

Jangan buka tudung periuk tu ya semasa bunyi pop tu kerana dikhuatiri popcorn tu akan menyembur keluar melompat ke seantero dapur kita. 😁😁😁


Bila bunyi pop sudah berhenti, baharulah tutup api dapur dan buka tudung. Nah! Penuh satu kuali dengan pop corn.


Oleh kerana Mak Hencik buat satu cawan biji popcorn, maka Mak Hencik mengalami proses di atas sebanyak 2 kali.

Hasilnya menakjubkan! Dapat hampir penuh dua bekas besar.


Lepas tu kita buat karamelnya pula.


Oleh kerana Mak Hencik buat 1 cawan biji pop corn, Mak Hencik gandakan sukatannya.

1 cawan gula
3 sudu besar mentega

Jom


1. Dalam kuali yang bersih, masukkan gula. Api kecil sahaja.


2. Kacau sekali sekala sehingga gula cair dan berwarna keperangan.

3. Bila gula sudah sepenuhnya cair, masukkan mentega.


4. Kacau sehingga sebati dan mentega cair.


5. Bila mentega sudah cair sepenuhnya, tutup api.


6. Curahkan karamel tadi ke dalam bekas yang berisi popcorn.


7. Gaul sehingga rata dan sebati.


8. Bila sudah sebati, masukkan ke dalam balang dan tutup rapat supaya tidak masuk angin.

Bila nak makan, buka penutup balang dan makan...

Bismillah.. ☺️☺️☺️