Isnin, 7 Oktober 2019

Pau Ayam Kentang Gebu

Gebu.. Gebu.. Gebu.. Menikmati pau  yang gebu adalah satu kepuasan.. !


Pau ayam ke.. Pau daging ke.. Kari, rendang, blackpepper adalah kegemaran ramai orang. Begitu jugalah keluarga Mak Hencik. Suka jugalah makan pau.

Kalau buat sekali mesti ada  lah lebihannya. Jadi kita simpan pula dalam peti sejuk.  Kita sejuk- bekukan. Nanti bila kita nak makan,kita masukkan sahaja ke dalam pengukus dan kukus semula dalam 5-10 minit. Selepas itu bolehlah kita menikmati pau hot-hot.



PAU AYAM KARI
Oleh Dapur Cempakasari
(menghasilkan 24 biji pau saiz besar)

Bahan-bahan Pau

5 cawan tepung gandum
2 sudu besar shortening
5 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil baking powder
1 sudu besar bread softener
1 sudu kecil bread improver
1 sudu besar cuka

Larutan Yis
2 sudu besar yis segera
2 sudu besar gula
1 1/4 cawan air suam
Semua bahan di atas dicampur dan dikacau kemudian dibiarkan sehingga kembang.

Bahan-bahan Inti Ayam Kentang Perisa Kari

5 biji ubi kentang saiz besar, dipotong dadu
2 biji bawang putih, dicincang
1 biji bawang merah besar, dicincang
5 sudu besar serbuk kari ayam
1 ketul kiub ayam
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
7 sudu besar gula atau secukup rasa
6 batang daun sup, dihiris kasar
Sedikit minyak untuk menumis


Cara-cara membuatnya


Moh ler kita ke dapur..

Mula-mula sekali kita sediakan inti pau dahulu. Hari ini kita buat inti ayam kentang perisa kari.



1. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan.

2. Masukkan kentang dan secawan air. Gaul sehingga rata.

3. Masukkan garam, gula dan kiub ayam. Gaul lagi sehingga rata.

4. Bila sudah hampir kering, masukkan daun sup dan gaul lagi sehingga rata.

5. Bila sudah kering elok, bolehlah tutup api. Sejukkan.

Tips: kalau nak cepat kering, masukkan sedikit tepung gandum.


Cara Buat Pau

Marila kita menguli.. Jom! 


Mak Hencik guna bahan di atas. Pau akan berwarna putih sedikit berbanding jika guna minyak. Tapi putih tu tidak lah seputih yang dijual di kedai. 😂😂😂



Langkah 1
Di dalam bekas yang sesuai, campurkan 1 1/4 cawan air, 2 sudu besar gula dan 2 sudu besar yis. Biarkan ia kembang dan berbuih. Ia akan mengambil masa 15-30 minit, terpulang kepada keaktifan yis.



Langkah 2
Di dalam bekas yang sesuai, masukkan  semua bahan pau kecuali cuka. Gaul sehingga rata guna jari. 




Langkah 3
Kemudian buatkan lubang di tengah ya dan tuang larutan yis. Masukkan cuka. Gaul dan ulilah sehingga rata dan adunan tidak melekat di tangan. 



Langkah 4
Tutup bekas yang mengandungi adunan pau tadi dengan kain yang sesuai. Biarkan ia kembang. Mungkin ambil masa paling cepat 30 minit.



Langkah 5
Bila adunan pau sudah kembang, buka kain penutup dan tumbukkan adunan biar dia keluar angin.



Langkah 6
Bentukkan bulat sebesar bola ping pong. Kalau rajin timang supaya dapat saiz yang sama.



Ambil sebiji adunan dan isikan dengan inti.



Tutup semula dengan kemas.



Alas bawah pau dengan kertas baking  yang dipotong kecil. Susun di dalam dulang.



Buat sampai habis.. Dan tunggu sehingga pau kembang sekali ganda sebelum kita kukus dia..



Langkah 7
Bila pau sudah kembang sekali ganda, masukkan ke dalam dulang. Susun biar ada jarak kerana pau akan mengembang lagi apabila dikukus.

Langkah 8
Masukkan ke dalam pengukus dan tutup pengukus dengan tudung yang dibalut dengan kain supaya air tidak menitis jatuh ke atas pau. Timer 15 minit sahaja.

Kalau nak frozen, Kukus 10 minit sahaja.



Langkah 9
Bila sudah masak, keluarkan dari pengukus. Tengoklah. Pau sudah mengembang dan bercantum sesama sendiri.



Sedia untuk dinikmati..

Jemput makan semua..

Bismillah..

Sabtu, 5 Oktober 2019

Resepi Steamboat yang sangat mudah

Kalau jemu makan nasi, inilah pilihan lain yang ada. Steamboat!


Kalau buat sendiri, kosnya sangat berbaloi. Dengan bahan yang dibeli tu boleh buat makan tiga empat kali. Sungguh jimat dengan hasil yang sangat memuaskan.


RESEPI KUAH STEAMBOAT
Dicuba oleh : Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Facebook

Bahan-bahan

3000 ml air
1 paket perencah asam pedas Adabi
2 paket perencah tom yam Adabi
1 kiub ayam
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula

Cara-cara menyediakannya

Moh ler kita ke dapur..


Perencah - perencah yang digunakan


Di dalam periuk, masukkan air, perencah asam pedas, perencah tom yam, kiub ayam, garam dan gula. Buka api dan biarkan sehingga mereneh.


Biarkan kuah mendidih seketika.


Bila kuah sudah pekat sedikit, boleh tutup api.


Sediakan harta karun yang disukai. Sediakan juga sayur-sayuran pilihan.


Sediakan maggi. Pilihan lain adalah mi kuning, bihun, kuew tiaw dan yang sama waktu dengan nya.


Mak Hencik sediakan buah sikit. Ini optional. 😝😝😝


Bila semua bahan sudah sedia. Kita angkut lah ke ruang yang sesuai.
Kami makan kat depan tangga atau anjung rumah ni jer.. 😝😝😝


Lepas tu bolehlah pasang dapur. Mak Hencik guna portable kitchen jer laa.

Kuah tadi dipanaskan sehingga mendidih. Lepas tu masukkan harta karun yang dikehendaki, sayur-sayuran pilihan dan maggi. Masukkan sikit-sikit setiap jenis. Tunggu sehingga masak.


Bila sudah masak, ambil senduk dan kaup serta ambik apa yang kita nak makan..

Haaaaa.. Apa lagi.. Jom laa..

Bismillah..

Jumaat, 27 September 2019

Tepung Pelita

Kalau makan kuih ni, perut kita akan bercahaya dan cerah! 😂😂😂




Pertama kali buat terus jadi! Resepi kuih tepung pelita ni menggunakan tepung gandum. Resepi ini juga sangat mudah untuk dibuat. Guna sukatan cawan jer..



TEPUNG PELITA
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : FB

Bahan-bahan

Gula secukupnya

Lapisan hijau/pandan
(Lapisan bawah)

1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air daun pandan - kisar 10 helai daun pandan dengan air dan tapis.
1 cawan tepung gandum
5 sudu besar gula
Pewarna hijau

Lapisan putih/santan
(Lapisan atas)

2 cawan santan pekat (kalau nak lebih lembut dan lemak tambah 1 cawan lagi)
2 cawan air
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita buat kuih tepung pelita hari ni. Senang sahaja caranya.



Sediakan bekas plastik dan daun pisang sebagai alas. Kalau tak nak alas pun tak per.

Lagi bagus kalau buat bekas guna daun pisang.



Selepas bekas dialas dengan daun pisang, masukkan 1 sudu besar gula. Mak Hencik guna sudu besar sukatan tu. Biarkan seketika.



Di dalam pengisar, masukkan santan, air daun pandan, tepung gandum, gula dan pewarna hijau. Kisar sehingga rata.



Tuang adunan hijau ke dalam bekas yang mengandungi gula tadi sebanyak 1/3 penuh. Kemudian susun di dalam pengukus.



Balut tudung pengukus dengan kain dan kukus selama 20 minit.

Sementara itu kita buat lapisan atas pula.



Di dalam pengisar, masukkan santan, air, tepung gandum dan garam. Kisar sehingga tidak berbintil.

Untuk menghasilkan permukaan yang licin, keluarkan buih santan dengan sudu.



Bila lapisan pandan sudah masak, tuang adunan putih ke atasnya dengan cermat.



Lepas tu kukus untuk kali kedua selama 20 minit.



Apabila cukup 15 minit, buka tudung pengukus dan bolehlah disejukkan sebelum dihidangkan.

Bolehlah dimakan sekarang..

Bismillah..

Isnin, 23 September 2019

Pulut Dakap Inti Serunding Daging

Wahai cermin ajaib, pulut apakah yang paling sedap?




Wahai manusia, pulut yang sedap ialah Pulut Dakap. Nak lagi sedap kau letak inti serunding di dalamnya. Tak kisahlah serunding daging ke ayam. Dua-dua sedap. Pastikan serunding tu jenis yang sedap. Kalau serunding tu jenis tak sedap, sia-sia sahaja pulut dakap kau tu. Ingat! Pulut Dakap yang sedap mestilah ada inti serunding yang sedap! Hahahahahahahahahaha..

Alamak! Ngerinya mimpi yang Mak Hencik alami.. Huhuhu..



RESEPI PULUT DAKAP INTI SERUNDING DAGING
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan beras pulut - dibasuh, dibilas dan direndam sejam atau dua jam.
1 cawan santan
1/2 cawan gula - boleh tambah atau kurang ikut rasa masing-masing
1 sudu kecil garam
1 cawan serunding daging

Daun pisang - dilayur
Tali rafia


Cara-cara menyediakannya


Jom.. Jom.. Kita memulut hari ni..



Beras pulut dibasuh bersih dan direndam dengan air sejam atau dua jam.

Buka api pengukus dapur gas. Biarkan air mendidih.



Toskan dan masukkan ke dalam kukusan yang telebih dahulu dialas dengan daun pisang.



Letakkan di atas pengukus dan tutup dengan tudung pengukus.



Kukus selama 40 minit.



Sediakan gula.

Santan di masukkan sedikit garam.

Bila pulut sudah separuh masak tutup api dan keluarkan dari pengukus.



Masukkan pulut ke dalam besen yang sesuai. Arung pulut dengan santan sedikit demi sedikit diselang-seli dengan gula. Gaul hingga rata dan sebati.

Pastikan pulut tu ada rasa manis yang over sikit kalau nak rasa pulut yang manis.



Ambil daun pisang yang telah dilayur dengan api dan bentangkan.

Ambil 2 sudu besar pulut dan ratakan di atas daun pisang. Kemudian letakkan pula serunding daging.



Gulung daun pisang dan lipat dengan kemas. Buat sampai habis.



Kemudian ambil dua bungkusan pulut dan Dakap kan mereka. Ikat dengan tali rafia supaya tidak bercerai. Buatlah sampai habis.



Akhirnya masukkan semua pulut yang telah didakap ke dalam periuk dan isikan dengan air sama aras dengan pulut.

Rebus sehingga air hampir kering. Bil air sudah kering tutup api dan keluarkan pulut. Toskan.



Bila sudah sejuk sedikit bolehlah dirasa..

Jemput rasa kawan-kawan semua..

Bismillah..

Ahad, 22 September 2019

Kek Minyak

Lembut, gebu, lembab dan sedap!


Tertawan hati melihat wajahnya. Badan pun nampak gebu di sebalik make up warna-warni bak pelangi. Aduhhh! Tak keruan bila dia lalu-lalang di depan mata. 😍😍😍



Banyak kali tengok kawan Facebook, Siti Fatimah post kek minyak untuk tempahan. Rasa sangat nak tempah dan memberi sokongan kepada perniagaannya, tetapi apakan daya dia duduk jauh sangat kat utara tanah air. Hu hu hu

Bila dah teliur tengok kek minyak Timah ni, maka Mak Hencik pun carilah resepinya di internet. Terima kasih Timah.. Jadi sumber isnpirasi untuk masak kek ni. Dan inilah hasilnya hari ini.



KEK MINYAK
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Kemma81 di MyResepi

Bahan-bahan

*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan beranda * diayak
(Mak Hencik guna tepung naik sendiri dan tak perlu campur serta ayak dengan baking powder)

5 biji telur gred B
3/4 cawan gula halus
1 cawan susu pekat manis, boleh kurang kan sikit kalau tak suka manis.
1 cawan minyak
1 sudu besar ovallete
1 sudu kecil esen vanilla
Beberapa titis perisa pisang
Beberapa pewarna pilihan

Cara-cara menyediakannya.

Jom kita membuat kek hari ni..



Sediakan acuan pilihan saiz 8"X8". Oleskan dasar dan tepi loyang dengan minyak.
Alaskan dasarnya dengan baking paper.



Di dalam mangkuk adunan, putar gula, ovallete dan telur sehingga kembang dan gebu.



Masukkan susu pekat manis dan esen vanilla. Putar sehingga sebati.



Masukkan minyak masak dan beberapa titis esen pisang. Putar lagi sehingga sebati.



Masukkan tepung gandum yang telah diayak atau tepung naik sendiri sedikit demi sedikit dan dikaup-balik menggunakan sudip kayu.



Kaup-balik sehingga sebati.



Bahagian adunan tepung kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut warna pilihan.

Masa ni dah boleh panaskan oven pada suhu 180°C selama 15 minit.



Ambil loyang yang telah dialas dengan baking paper tadi dan tuangkan adunan tepung berwarna sesenduk demi sesenduk.

Contohnya masukkan satu senduk warna pink di tengah loyang. Tuangkan satu senduk warna biru di atas warna pink. Ambil warna lain pula dan tuang tindan ke atas warna biru. Ulang langkah tersebut sehingga semua adunan habis.



Lorekkan adunan dalam loyang. Kalau tak lorek pun tak apa. Ikut suka lah..



Akhir sekali bakar dalam oven yang terlebih dahulu telah di panaskan tadi pada suhu 180C selama 1 jam.

Tips: sekiranya kek belum masak tetapi bahagian atasnya kelihatan hangus, letakkan atas kek sekeping aluminium foil dan terus bakar dalam oven.



Apabila kek sudah masak, keluarkan dari oven dan cucuk di tengah kek dengan lidi. Apabila lidi licin, tandanya kek sudah masak.

Sekiranya lidi masih diselaputi oleh adunan tepung, masukkan semula kek ke dalam oven dan tambah masa membakar.



Kek yang telah masak dikeluarkan dari loyang dan disejukkan sebentar di atas redai sebelum dipindahkan ke dalam pinggan.



Potong sekeping. Hurm.. Nampak elok dan gebu.

Jom rasa kawan-kawan..

Bismillah..