Khamis, 5 September 2019

Nasi Dagang Terengganu

Makanan yang dicari apabila pergi ke Terengganu.. Nasi Dagang.. Gulai ikan tongkol.. Berair mulut terr...!



Apabila memasak nasi dagang, Mak Hencik akan masak gulai dahulu diikuti dengan memasak nasi dagang. Ada orang masak nasi dagang dulu. Eh suka hati kita lah nak buat yang mana dulu kan. 😆😆😆

Nasi dagang Terengganu ni kita gunakan beras wangi. Tak perlu campur dengan beras pulut.

Kalau kita guna beras pulut, kita mesti icampur dengan beras biasa, mesti dicampur dengan nisbah 1:3, iaitu 1 cawan beras pulut dicampur dengan 3 cawan beras biasa.

Terpulanglah kepada kita nak guna beras apa. Sebab yang nak makan tu kita. Hahahahaha.. 

NASI DAGANG TERENGGANU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

3 cawan beras wangi, dibasuh bersih dan direndam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik rendam semalaman.
1 cawan santan sederhana pekat
3 ulas bawang putih, dihiris nipis
1 biji bawang merah besar, dihiris nipis
4 hiris halia - dipotong halus memanjang
1 sudu besar halba
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya.



Basuh bersih beras wangi dan rendam sekurang-kurangnya 3 jam. Biasanya Mak Hencik akan rendam semalaman. Kalau esok nak masak nasi dagang, malam ni Mak Hencik akan rendam beras wangi.



Beras wangi ditos dan dimasukkan ke dalam loyang atau bekas yang sesuai dan tutup pengukus.



Kukus selama 40 minit.



Sementara itu, kita sediakan bawang putih hiris, bawang merah besar hiris, halia hiris halus memanjang dan halba. Campur dalam satu bekas dan gaul sebati. Bahagi pula kepada dua bahagian.

Satu bekas untuk digaul bersama nasi nanti dan satu bekas lagi untuk ditabur di atasnya.



Secawan santan sederhana pekat diperasakan dengan garam dan gula. Biar ada rasa masin dan sedikit manis.



Apabila sudah cukup 40 minit, tutup suis pengukus elektrik dan masukkan nasi yang separuh masak ke dalam mangkuk adunan.



Ambil santan yang telah diperasa tadi dan tuang sedikit demi sedikit ke dalam bekas adunan nasi diselang-seli dengan campuran bawang, halia dan halba.



Gaul sebati menggunakan sudip kayu. Gaul dengan hati-hati supaya biji nasi tidak patah.



Akhir sekali, masukkan semula nasi yang telah diarung dengan santan tadi ke dalam loyang. Tabur diatasnya dengan campuran hirisan bawang, halia dan halba.



Tutup pengukus dan kukus sehingga masak, lebih kurang 40 minit.

Lepas tu kita masak gulai pula. Jom masak gulai ikan tongkol.

GULAI IKAN TONGKOL
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

4 ketul ikan tongkol, direbus
2 biji bawang putih, dihiris halus
1 biji bawang merah besar, dihiris halus
1/2 inci halia, dimayang
1 sudu besar cili kering kisar
4 sudu besar rempah gulai nasi dagang, dicampur dengan sedikit air
1 sudu besar rempah gulai masak
1 cawan santan pekat
2 cawan air atau secukupnya
1 sudu kecil kerisik
Sedikit air asam jawa
Segenggam cili akar
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya



Ikan tongkol direbus bersama air, asam keping dan garam secukup rasa. Sesudah masak, toskan air rebusan.



Rempah gulai nasi dagang yang terkenal di Terengganu. Ada dua jenis iaitu rempah gulai dan rempah masak.



4 sudu besar rempah gulai dicampur dengan sedikit air.



Bawang putih, bawang merah dan halia yang dihiris untuk menumis serta cili akar untuk di masukkan di akhir masakan. 



Langkah 1
Panaskan minyak masak dan tumis bahan hiris sehingga kekuningan bersama 1 sudu besar cili kering kisar. 

Kacau rata sehingga cili kering masak dan bahan tumis layu. 



Langkah 2
Kemudian, masukkan bancuhan rempah gulai. Kacau sehingga rata dan naik minyak.



Langkah 3
Masukkan pula santan pekat dan air secukupnya. Kacau lagi dan tunggu sehingga kuah mendidih.



Langkah 4
Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula air asam jawa.



Langkah 5
Masukkan ikan tongkol yang telah ditoskan airnya tadi. Perasakan dengan garam dan gula.



Langkah 6
Kacau lagi sehingga kuah mendidih dan masukkan satu sudu besar rempah masak tadi. 

Bila kuah sudah hampir pekat, masukkan 1 sudu kecil kerisik. 

Akhir sekali masukkan segenggam cili akar. Kacau sekali sekali dan biarkan kuah menjadi pekat.



Langkah 7
Bila kuah sudah pekat, rasa pun sudah sedap maka bolehlah tutup api.

Jadi, siaplah menu kita hari ini. Nasi dagang dan gulai ikan tongkol. Nak lagi terangkat, buatkan acar timun.

Pak Seman pergi berdagang,
Balik berdagang urat berketul;
Jom kita semua makan nasi dagang,
Dengan lauk gulai ikan tongkol.

😋😋😋😋😋

Bismillah..

Rabu, 4 September 2019

Mi Goreng Ringkas

Laparnya.. Sedap sungguh kalau pekena mi goreng. Ringkas-ringkas pun tak per, janji sedap!



Buka sahaja tudung, terus ke dapur menyelongkar peti ais. Mi Numee ada lagi. Lebihan masak mi udang semalam.


Keluarkan udang, sotong, tauge dan bebola sayuran. Rasanya dah cukup untuk masak mi goreng ringkas ni.

Nasi pun ada dalam periuk dengan gulai lemak daging. Tapi mulut ni gedik pula, mengidam mi goreng pula. 😂😂😂


MI GORENG RINGKAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250 gm mi kuning
1 biji bawang putih, diketuk
1 sudu besar cili kering kisar
4 ekor udang, dibuang kulit
3 ekor sotong, dibersihkan dan dipotong bulat
5 biji bebola sayuran, dipotong nipis
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
Segenggam tauge
Cili merah atau cili hijau, dihiris serong
2 sudu besar minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya

Jom kita masak. Satgi boleh makan cepat.


MI kuning untuk 2 orang makan. Kalau makan sikit-sikit sorang boleh makan empat orang.


Tauge, bawang putih yang diketuk, lada hijau dan merah dihiris menyerong, udang, sotong dan bebola sayuran yang dihiris nipis.


 Langkah 1
Panaskan kuali dan masukkan 2 sudu besar minyak masak. Tumis bawang putih dan cili kering kisar sehingga garing.


Langkah 2
Masukkan udang dan sotong. Kacau sehingga rata, sehingga udang dan sotong masak.


Langkah 3
Bila udang dan sotong sudah masak, masukkan pula hiris an bebola sayuran. Gaul lagi sehingga rata.


Langkah 4
Masukkan mi diikuti dengan kicap, sos cili dan sos tiram. 

                                    

Gaul lagi sehingga rata. Mak Hencik tak letak garam dan gula sebab perasa tu kita dapatkan dari sos-sos tu. 


Langkah 5
Akhir sekali masukkan tauge. Gaul lagi sehingga sebati.


Haaaaaa.. Dah siap dah mi goreng yang mudah ni.

Sedap tak? Sedap tak?


Mmmmm.. Sedapnya.. Sedapnya..
Ya Allah.. Perasannya..😂😂😂

Jom makan semua..

Askar memakai baju celoreng
Apa lagi.. Marila makan mi goreng..

Bismillah..

Isnin, 2 September 2019

Serawa Durian dan Pulut

Mmmmm.. Memang sedap! Memang lazat!




Banyak pula peniaga durian di pasar minggu hari ini. Lima enam tuan. Durian pula dah ada jual longgok. Selonggok rm20 sahaja. Ada laa dalam 4 ke 5 biji. Tak sempat kira betul-betul pulak musim durian dah nak habis.



Masa beli tadi penjual durian yang Ramai-ramai pagi tadi dah balik. Tinggal satu lori penjual durian jer. Beli lah juga dua longgok. Pastu dia bagi free satu longgok. Terima kasih daun keladi ya penjual durian.



SERAWA DURIAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

15-20 biji durian
2 cawan santan pekat
3 cawan air
1 1/2 kerek (keping) manisan Kelantan saiz kecil
1/2 cawan gula, boleh kurangkan jika tidak suka manis
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya

Ajommmm...



Sediakan durian. Untuk buat serawa, durian yang masak ranum adalah sesuai. Pastikan durian tu manis, baharulah sedap serawa durian kita!



Santan, manisan Kelantan dan gula. Kalau tiada manisan, boleh ajer guna gula merah.



Langkah 1
Di dalam periuk, masukkan santan, air, gula, garam dan isi durian.



Langkah 2
Kacau sekali-sekala sehingga isi durian tertanggal dari bijinya.



Langkah 3.
Sudah masak tutup api. Siap!

Ajommmm kita menanak pulut pula. Kita tanak pulut guna dapur gas jer sebab sikit jer kita tanak.

Senang jer nak tanak pulut ni. Kalau selalu praktis, memang mudah..

PULUT TANAK

Bahan-bahan

2 cawan beras pulut
3 cawan air

Cara-cara menyediakannya.

Jommm..



Basuh 2 cawan beras pulut dengan air 3 kali. Kemudian masukkan air. Lebihkan air 2-3 inci dari aras pulut.

Letakkan atas api dan tunggu sehingga menggelegak. Selepas menggelegak 2-3minit, Baharu lah tutup api.



Angkat periuk dan tuang air dari periuk ke dalam sinki. Kalau ada air lebihan sikit-sikit tu OK jer.



Lepas tu letak semula periuk tadi di atas dapur dan tutup periuk. Bukalah api perlahan. Tunggu sehingga naik wap.



Bila dah naik wap, cuba lah buka tudung periuk tu. Dah masakkan?
😄😄😄

Bolehlah kita hidangan dengan serawa durian. Kalau malas nak masak pulut makan dengan roti pun best gak serawa durian ni..



Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Isnin, 26 Ogos 2019

Cara buat lemang

Juadah istimewa pada hari raya.. Lemang homemade yang sedap!


Pagi-pagi lagi pergi pasar basah. Cari gerai yang jual sayur-mayur kampung. Biasanya dekat-dekat raya ni, mereka ada jual buluh lemang. Daun palas dan daun kelapa muda untuk buat ketupat pun ada dijual.

Hari ni buluh lemang nampaknya kecil sedikit diameternya daripada biasa. Tapi tak apa lah. Beli ajer buluh yang ada. Harga Rm2. 50 satu batang.

Jom lah kita buat lemang hari ni.


LEMANG
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 kg beras pulut, basuh bersih dan rendam dalam 15 hingga 30 minit.
1/2 kg santan
Sedikit garam dan gula secukupnya

Cara-cara membuatnya


Mula-mula basuh bersih beras pulut. Kemudian rendam 15 ke 30 minit.


Selepas itu sediakan para untuk meletak batang lemang. Para tu adalah besi yang dibentuk macam palang tu. Hehe

Lepas tu hidupkan api. Buat la unggun api supaya nanti bila dah siap segala boleh terus bakar lemang tu.


Beras pulut yang direndam tadi ditoskan airnya.


Seterusnya kita kena bersihkan buluh lemang tu. Biar bersih batang buluh tu luar dan dalam. Sama seperti kita juga, kena bersih zahir dan batin..

Pak Hencik basuh dengan air batang buluh tu, luar dan dalam.

Kemudian bahagian dalam buluh tu hendaklah dialas dengan daun pisang.


Sesudah itu, ambil beras pulut yang ditoskan airnya. Lepas tu ambil batang buluh yang dialas dengan daun pisang tadi.

Masukkan beras pulut ke dalam batang lemang sehingga 3 hingga 4 inci hampir penuh.


Sediakan santan. Jangan pekat sangat. Jangan cair sangat. Perasakan dengan garam dan gula supaya ada rasa masin dan manis sikit-sikit. Kalau nak letak garam sahaja pun boleh juga. 


Ambil santan yang diperasa garam dan gula tu. Masukkan ke dalam batang lemang tadi, lebih sikit dari aras beras pulut.


Akhirnya, panggang lemang menggunakan api yang telah dihidupkan tadi.

Tunggu dan tengok api. Taknaklah besar sangat nanti hangus pula. Kalau api kecil sangat, lambat pula nak masak. Jadi, seeloknya sedang-sedang sahaja.

Batang lemang juga perlu dibalik - balikkan supaya masak sekata.


Bila sudah masak, kita akan nampak pulut lemang naik ke atas. Biji beras pulut nampak cerah jer.. Boleh lah angkat. Sejukkan sedikit untuk mudahkan memotong.


Buat lemang untuk raya,
Belum lagi raya dah habisss.. Tak sempat pula nak tangkap gambar. Tadi ada yang elok masak. Ada juga yang hangus tepi dia. 

InsyaaAllah, next time harap sempat ambil gambar 🙏🙏🙏


Jumaat, 9 Ogos 2019

Talam Gula Merah

Lembut dan lemak!


Antara kuih yang mudah di sediakan ialah kuih talam. Untuk talam gula merah, ada satu langkah tambahan iaitu masak air gula merah. Tapi jangan risau.. Ia ambil sedikit sahaja masa.



Langkah yang lain adalah sama sahaja. Yang penting ada pengukus!



TALAM GULA MERAH
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Lapisan bawah (Lapisan gula merah)

2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu besar membukit tepung ubi
2 cawan santan
Sedikit garam

*1 cawan gula merah
*1/2 cawan gula
*3 cawan air
Bahan bertanda * di masak menjadi air gula dan sejukkan.


Lapisan atas (Lapisan santan)

1 cawan tepung beras
2 sudu besar membukit tepung ubi
3 cawan santan pekat
1/2 sudu kecil atau secukupnya garam

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita menalam.



Mula-mula satukan air, gula merah dan gula di dalam periuk. Panaskan sehingga gula dan gula merah hancur. Sejukkan.

Lepas tu sediakan pengukus. Mak Hencik guna pengukus elektrik.



Ambil loyang 10"X 10", oles dengan minyak dan alas dengan plastik. Letakkan dalam pengukus. Biarkan dahulu. Suis jangan on dulu ya.



Apabila air gula telah sejuk, tuang ke dalam bekas biru. Kemudian masukkan tepung gandum, tepung ubi dan santan. Kacau sehingga rata menggunakan whisk. Tapis.



Masukkan ke dalam kuali atau periuk yang sesuai, panaskan sehingga naik wap sambil dikacau.



Bila sudah naik wap, tutup api dan terus tuangkan adunan ke dalam loyang yang telah tersedia di dalam pengukus tadi.



Tutup pengukus dengan penutup yang dibalut kain supaya air tidak menitis ke dalam adunan.  Atau boleh juga tutup loyang dengan aluminium foil. Kukus selama 25 minit.

Sementara itu kita buat lapisan atas pula.



Di dalam bekas, kita masukkan santan, tepung gandum, tepung ubi dan sedikit garam. Kacau sehingga rata dan tidak berbintil.

Lepas tu kita tapis dan masukkan ke dalam kuali atau periuk yang sesuai. Panaskan sambil dikacau sehingga naik wap. Bila sudah naik wap, terus tutup api. Biarkan dulu.

Sesudah 25 minit, kita kembali ke pengukus. Buka penutup kukusan.



Lapisan bawah sudah masak. Ambil garpu dan gores bahagian atas lapisan gula merah. Tujuannya supaya lapisan bawan akan melekat dengan lapisan atas nanti.



Selepas selesai menggores, ambil adunan santan tadi dan tuang ke atasnya.



Kukus lagi sekali selama 25.minit.



Sesudah 25 minit, lapisan atas sudah pun masak. Tapi kita kukus lagi 5 minit tanpa penutup supaya kuih talam lambat basi.



Selepas itu, keluarkan dari pengukus dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan dari loyang. 


Pastikan kuih talam betul-betul sejuk sebelum dipotong dengan pisau plastik. Biasanya dalam 3 jam baru ia betul-betul sejuk.

Jemput makan kenkawan semua..

Bismillah..