Rabu, 7 Ogos 2019

Cara buat Pencicah Kicap Pedas

Sangat sedap dimakan bersama tauhu bergedil yang viral tu. Hmmm.. Memang sedap!


Sedap juga dimakan bersama jambu batu, mempelam putik, nenas, buah kedondong, epal dan pelbagai buah pilihan sebagai rojak buah. Tabur kacang tumbuk kat atasnya. Mabeles!



RESEPI KICAP PEDAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

35 biji cili padi, tambah kalau nak lebih pedas
5 biji bawang putih
1 cawan air
3/4 cawan gula merah
1/2 cawan gula
3/4 cawan kicap manis
2 sudu besar tepung jagung di bancuh dengan 1/2 cawan air
Sedikit minyak untuk menggoreng


Cara-cara membuatnya

Langkah 1
Satukan 3/4 cawan gula merah dan 1/2 cawan gula bersama secawan air ke dalam periuk dan panaskan di atas dapur sehingga hancur.



Cili padi dan bawang putih yang telah dibasuh bersih.



Langkah 2
Goreng sekejap cili padi dan bawang putih tadi dengan sedikit minyak. Angkat dan toskan.



Langkah 3
Kisar cili padi dan bawang putih yang telah digoreng dengan secawan air.



Langkah 4
Kembali ke periuk yang kita masak air gula tu tadi dan tuangkan bahan kisar.



Langkah 6
Masukkan juga kicap manis sambil dikacau sekali sekala sehingga menggelegak.



Langkah 7
Apabila sudah menggelegak, kita tuangkan pula bancuhan tepung jagung sambil dikacau sehingga sebati dan sederhana pekat. Eheheh. Maksudnya tak cair dan tak pekat.. Huhuhu

Apabila sudah sederhana pekat, bolehlah tutup api. Sejukkan.



Masukkan ke dalam bekas bertutup. Nak makan ambik. Dah habis makan, kalau ada lebihan kita boleh simpan dalam peti sejuk.

Untuk misi hari ini..



Bolehlah dihidangkan bersama tauhu bergedil..

Hmmm... Sedapnya.

Jemput makan.

Bismillah..

Selasa, 6 Ogos 2019

Burger Malaysia Sambal Sardin Bercheese

Burger Malaysia Sambal Sardin?! Ada salad? Ada cheese? Lebih meransangkan anak tekak! Sedapnya!!



Bila siap tadi, cuba rasa satu. Sedap! Tapi macam ada benda yang kurang. Bila di tambah sos cili.. Ohohoho.. Terangkan Sungguh rasanya!


Dari satu biji nak masuk dia biji.. Bila nak masuk tiga tu teringat pesan abah. Makan semasa lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jadinya tak jadilah masuk mulut yang ke tiga. 😁😁😁


BURGER MALAYSIA SAMBAL SARDIN BERCHEESE
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan sambal sardin

1 tin kecil sardin, dihancurkan
1 biji bawang putih, dicincang
1/4 biji bawang besar Holland, dicincang
3 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar mayonaise

Bahan-bahan roti burger Malaysia

4 cawan tepung gandum
*1 cawan air
*2 sudu besar yis segera
*2 sudu besar gula
*2 sudu besar susu pekat manis
Bahan yang bertanda * dicampur dan dibiarkan sehingga kembang
1 sudu kecil baking powder
2 sudu besar water roux
2 sudu besar mentega atau shortening
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng terendam

Bahan aksesori

Daun salad, dipotong kasar
Cheese keping, dipotong empat
Cili sos

Cara-cara menyediakannya.

Jom.. Jom kita ke dapur

Langkah pertama kita sediakan sambal sardin dahulu.


Sardin di dalam tin dikeluarkan. Buang sosnya dan hancurkan isi ikan. Biarkan sekejap.


Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih, bawang merah dan cili kering kisar sehingga kekuningan.


Masukkan sardin hancur tadi. Kacau rata sehingga kering.


Akhir sekali masukkan mayonnaise, gaul rata dan tutup api. Masukkan dalam bekas dan biarkan sejuk.

Mari kita buat roti burger Malaysia pula.

Jom..


Sediakan larutan yis. Air, yis, gula dan susu pekat manis di satukan dan di kacau hingga sebati. Biarkan larutan ini kembang seperti di atas. 👆👆


Keluarkan water roux dari peti sejuk dan biarkan pada suhu bilik.


Pecahkan telur dan godek sikit.


Di dalam bekas hijau, masukkan tepung gandum, baking powder dan sedikit garam. Gaul rata.


Masukkan telur yang telah digodek tadi.. Gaul rata guna jari


Buatkan lubang di tengah, tuang bancuhan yis yang kembang dan uli perlahan-lah an sehingga membentuk adunan


Lepas tu masukkan mentega atau marjeri atau shortening dan water roux.  Uli sehingga licin dan berkilat.


Haaa.. Ni dia. Licin dan berkilat tak? 😂😂😂


Seterusnya tutup bekas dengan kain masin.


Biarkan ia kembang 2 kali ganda seperti di atas. 👆👆


Tumbuk dia untuk keluarkan angin.


Bahagi Adunan mengikut saiz yang dikehendaki. Kalau rajin, boleh timbang 25gm atau 30gm.


Bulat-bulatkan dan susun di atas baking paper yang telah ditabur dengan tepung gandum.  Letak jarak-jarakkan sebab nanti ia akan kembang lagi.


Nak bagi cantik, Mak Hencik tekan kat atasnya dengan bekas yang rata.


Biarkan sehingga ia kembang lagi sekali.


Bila ia sudah kembang, sediakan kuali dan minyak untuk menggoreng.


Goreng dengan api yang sederhana.


Balikkan apabila sudah keperangan.


Angkat dan toskan apabila masak.


Gorenglah sampai habis.

Sekarang tibalah masanya untuk kita menghias badan burger Malaysia.


Kita perlukan sambal sardin, daun salad, cheese keping yang dipotong empat dan  sos cili.

Roti goreng tadi di belah dua tetapi tidak putus.


Sapu 1 sudu besar sambal sardin, letakkan daun salad, cheese dan picit sedikit cili sos.

Dah siap untuk dimakan. Jom..


Yang ni 👆👆pula kita simpan untuk sarapan esok.

Uda dan dara sehati sejiwa,
Sehati sejiwa hati ditambat;
Sungguh sedap memikat jiwa,
Rasa sekali terus terpikat.

❤️❤️❤️💞

Isnin, 5 Ogos 2019

Masak Lemak Sayur Cekur Manis dan Labu

Lauk kampung yang bahaya. Lebih-lebih lagi kalau diregukan dengan ikan masin dan sambal belacan. Sahhhhh...! Menambah nasi berpinggan-pinggan. 😂😂😂



Kalau tak nak makan bertambah, makanlah ramai-ramai. Misalnya makan dengan mak dan pak mentua. Ada ipar-duai sekali. Kalau tak tau malu, tak tahulah.. 😂😂😂


MASAK LEMAK PUTIH CEKUR MANIS DENGAN LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Daun cekur manis, diambil yang muda
1 biji bawang merah sederhana besar, ditumbuk atau dikisar halus
1 ekor ikan selar saiz kecil, dipanggang, diasingkan isi dan tulang dan ditumbuk atau dikisar halus
3 cawan santan
2 hiris labu kuning, dipotong dadu dan direbus
1 biji lada merah, dipotong serong


Cara-cara membuatnya

Jom menyayur hari ini..


Daun cekur manis,, ambil yang muda, dibasuh bersih dan ditoskan.


Labu kuning, dipotong dadu dan direbus separuh masak.


Tumbuk bawang merah diikuti dengan isi ikan sampai lumat.


Satukan santan, bahan yang ditumbuk tadi dan cili merah di dalam periuk. Buka api.


Kacau selalu sehingga kuah mendidih. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan daun Cekur manis.


Kacau selalu supaya santan tidak berketul. Apabila daun sudah layu sedikit, masukkan pula labu tadi. Perisakan dengan garam dan gula secukupnya.


Kacau sekali sekala sehingga buah labu masak sepenuhnya. Rasa kan kuahnya. Bila sudah sedap, bolehlah tutup api.


Hidangkan dalam mangkuk hidang. Siap!

Jemput makan semua..

Bismillah..

Ahad, 4 Ogos 2019

Koktel buah-Buahan yang sangat mudah

Segar dan menyejukkan tekak..

Hidangan pencuci mulut atau desert ni paling mudah disediakan. Paling sedap apabila dimakan setelah disejukkan dalam peti sejuk.


KOKTEL BUAH-BUAHAN
Oleh Dapur Cempakasari

1 tin buah-buahan campuran, asing kan air dan buahnya
1- 2 bungkus sumi jeli
1 cawan coco de nata
1 tin susu cair @ susu sejat
2 tin air, sukat guna tin susu cair tadi
7 sudu besar gula
1/2 cawan tepung kastard di campur dengan 1/2 cawan air
1 sudu kecil esen vanilla
Secubit garam

Cara-cara menyediakannya

Jom.. Jom.. Kita buat sekarang. Kita masak kuah dia dulu.


1. Satukan susu cair, air, gula, esen vanilla dan sedikit garam di dalam periuk. Buka api. Biarkan ia mendidih sambil dikacau sekali sekala.

2. Bancuh tepung kastard dan air. Apabila kuah sudah mendidih, tuang ke dalam periuk tadi sambil dikacau.

3. Kuah dah jadi pekat sedikit. Tutup api. Tuang ke dalam bekas hidang. Sejukkan.

4. Bila sudah sejuk, masukkan buah campuran, nata de coco dan sumi jeli. Bubuh ais.

5. Siap untuk dinikmati. Yum yum..