Sabtu, 3 Ogos 2019

Kuih Apam Labu

Sedap juga dimakan begitu sahaja tanpa kelapa parut. Lembut dan gebu sekali!


Ada lebihan buah labu kuning hari ni. Lebihan dari buat lauk masak lemak putih bersama daun cekur manis tadi.Nak buang sayang. Jadi kenalah buat sesuatu.. 


  
Pikir punya pikir, keluarlah idea buat kuih apam labu ni. Berbanding apam nasi biasa tanpa perisa tu, apam  ni lebih sedap. 



RESEPI APAM LABU
Oleh Dapur Cempakasari
(menghasilkan 21 biji)

Bahan-bahan

1 cawan nasi
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1/2 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek
1 1/2 cawan air
3/4 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil yis segera
sedikit pewarna kuning 
kelapa parut secukupnya

Cara-cara membuatnya.

Jom..Jom kita mengapam hari ni..



Buah labu dibuang kulit, direbus sehingga empuk, ditoskan air dan dilenyek sikit. Tak nak lenyek pun tak per sebab kita nak kisar dia juga nanti.



Di dalam mesin pengisar, masukkan air, nasi, gula, garam sikit dan labu lenyek. Kisar sehingga hancur.



Kemudian masukkan tepung gandum dan tepung beras.Kisar lagi sehingga adunan bercampur sebati.




Apabila adunan sudah bercampur sebati, masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Alaaa..masukkan jer la dalam besen sederhana besar supaya senang nak kacau-mengacau nanti.



Masukkan yis segera dan beberapa titis pewarna kuning untuk mencantikkan kuih apam labu kita. Kacau sehingga sebati.



Lepas tu tutup adunan tadi dengan kain maslin. Amboiii! Mak Hencik guna tuala jer..Jangan kau bedal tuala muka tu ya.. Hahahahaha

Perap selama 30 minit hingga 1 jam.



Dah siap perap, masukkan dalam jug untuk memudahkan kita menuang ke dalam acuan. Mak Hencik guna acuan lompang. 

Sebelum tu acuan tersebut dioles dahulu dengan minyak untuk memudahkan proses mengeluarkannya nanti.



Selepas oles acuan dengan minyak, susun acuan di daalam pengukus elektrik dan tuangkan adunan apam tadi sehingga hampir penuh.



Balut tudung pengukus dengan kain dan tutup pengukus. Kukus selama 20 minit.



Ni kejadian selepas 10 minit. Dah naik dan kembang.



Apabila telah masak, tutup suis dan buka tudung pengukus. Hati-hati sebab banyak air terperangkap pada kain tu. Panas tau..


Keluarkan dari pengukus dan sejukkan.



Seterusnya kukus pula kelapa parut yang dicampur dengan sedikt garam. Kukus selama 5 ke 10 minit gitu supaya kelapa ni jadi lambat basi.



Sekarang kita bolehlah hidangkan untuk minum petang. Nak buat sarapan pun boleh juga.

Mari kawan-kawan kita makan. Jemput..jemput..

Bismillah..

Jumaat, 2 Ogos 2019

Cara buat water roux

Inginkan cara untuk melembutkan roti atau donat? Mari cuba bubuh water roux. Hasilnya memang mengujakan!




Mak Hencik dapati apabila dimasukkan water roux ni, tekstur donat menjadi lebih lembut walaupun tidak menggunakan bread softener.

Puasa hati? Ya. Memang puas hati.



WATER ROUX
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : FB

Bahan-bahan

50 gm tepung gandum
250 ml air

Cara-cara membuatnya.

Jom..



Di dalam kuali, masukkan air dan tepung gandum. Kacau sehingga sebati. Jangan sampai ada yang berketul tau.



Kemudian baharulah buka api dapur. Api perlahan sahaja. Kacau selalu.



Kacau sehingga pekat.



Sudah pekat, tutup api. Sejukkan sebentar.



Bila sudah sejuk, masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Simpan dalam peti sejuk.

Apabila nak guna, biarkan ia pada suhu bilik. Jangka hayatnya pendek, 3 hari sahaja. Kalau ada perubahan warna, maka jangan lagi guna..

Itu sahaja. Sekian terima kasih. 😀😀😀

Khamis, 1 Ogos 2019

Nasi Ala Kak Wok

Masakan pilihan dalam kesibukan bekerja. Masakan pilihan terbaik! 👍👍




Pelbagai resepi Nasi Ala Kak Wok terdapat di merata tempat. Walau rasa yang sedikit berbeza kerana air tangan tukang masak masing-masing atau penggunaan rempah gulai yang berbeza, Nasi Ala Kak Wok mempunyai persamaan dari segi kandungan hidangannya.



Hidangan nasi Ala Kak Wok biasanya terdiri dari nasi putih, gulai dalca, ayam goreng tempah yang dihiris kecil dan sambal lada.

Cara penyediaan yang sangat mudah, ringkas dan memenuhi selera kita adalah sebab kenapa menu ini menjadi kegemaran ramai.



RESEPI NASI ALA KAK WOK
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Gulai Dalca Sayuran

Keropeh ayam ( kaki, leher, sayap ayam) dipotong kecil
2 ulas bawang putih, dihiris
1/2 biji bawang merah besar, dihiris
1/2 inci halia, dimayang
1 biji lada merah, dipotong serong
2 biji bendi, dipotong kecil
1 biji terung, dipotong kiub kecil
1/2 batang karot, dihiris bulat
1 biji kentang, dipotong dadu
2 urat kacang panjang, dipotong seinci panjang

3 sudu besar rempah kari daging di bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan santan
Air asam jawa secukupnya
Garam, gula secukupnya

Bahan-bahan Ayam Goreng Berempah

4 ketul ayam - dipotong kecil
*4 biji bawang putih
*1/2 biji bawang merah besar
*1/2 inci halia
*1 inci kunyit atau 1 sudu kecil serbuk kunyit
*1 sudu kecil jintan manis
*1 sudu kecil jintan putih
*1 sudu kecil ketumbar
Semua bahan bertanda * dikisar halus
3 sudu besar rempah kari daging
1 batang serai, diketuk
1 sudu besar tepung beras
1 sudu kecil Maggi secukup rasa
1 sudu kecil gula
1 sudu kecil garam atau secukupnya


Bahan-bahan Sambal Lada

3 biji lada merah, dipotong kecil
10 cili padi, dibuang tangkai
1 biji bawang putih, dibakar
1/4 bawang besar Holland, dibakar
1/2 inci belacan, dibakar
Sedikit cuka dan air
Sedikit garam dan gula
(semua bahan di atas dikisar sehingga halus)

Cara-cara membuatnya.

Mula-mula kita masak nasi putih. Kemudian kita menggulai dahulu.

Jom.. Kita sediakan bahan-bahan untuk buat dalca sayuran.



Keropeh ayam yang dipotong kecil. Bawang putih yang dihiris, bawang merah besar yang dihiris serta halia yang dihiris halus memanjang.



Antara sayuran yang digunakan ialah kentang, karot, kacang panjang dan bendi. Bendi dipotong apabila nak dimasukkan dalam gulai nanti untuk elakkan daripada berlendir.



Terung ungu. Yang bulat boleh, yang panjang pun boleh. Suka hati hangpa noooo. Lepas tu potong kecil, Ala-Ala kiub gitu..

Jom mulakan masakan kita.



Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga kekuningan. Lepas tu masukkan bancuhan rempah kari daging. Kacau seketika sehingga naik minyak.



Kemudian masukkan keropeh ayam atau tulang ayam yang dipotong kecil dan kentang. Kacau lagi sehingga rata.



Apabila isi ayam sudah separuh masak, masukkan pula terung. Kacau lagi sebentar.



Seterusnya masukkan santan sambil dikacau sekali-sekala sehingga kuah menggelegak.



Bila kuah sudah menggelegak, masukkan air asam jawa.



Masukkan juga karot, kacang panjang dan cili merah. Kacau perlahan-lahan. Jangan lupa bubuh garam dan gula (jika suka) secukupnya.



Biarkan supaya kuah pekat sedikit.



Bila sudah pekat elok kuah dalca, rasa pun sudah sedap, bolehlah tutup api. Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Siap!

Selesai menggulai dalca kita masak ayam goreng rempah pula.

Cara menyediakan ayam goreng berempah mabeles



Bahagian ayam dipotong kecil dan dibasuh bersih. Toskan.



Kisar bawang putih, bawang merah, halia, Kunyit hidup, jintan manis, jintan putih dan ketumbar sehingga halus.



Tuang bahan kisar ke dalam bekas yang mengandungi ayam tadi.



Masukkan garam gula sesedap rasa, serbuk Maggi secukup rasa, serbuk kunyit (kalau tak guna kunyit hidup) rempah kari dan sesudu besar tepung beras untuk bagi ayam goreng kita rangup.



Gaul rata. Perap seketika.



Untuk menggoreng, panaskan minyak yang agak banyak. Masukkan ayam apabila minyak sudah betul-betul panas. Balik-balikkan ayam supaya masak sekata.



Bila sudah keperangan, angkat dan toskan minyak. Masukkan ke dalam pinggan hidang. Siap!

Selesai memasak ayam goreng berempah, kita buat pula sambal lada.

Cara buat sambal lada paling mudah.



Sebiji bawang putih bakar, 1/4 biji bawang besar Holland bakar, belacan bakar, garam gula secukup rasa, sedikit cuka dan sedikit air di masukkan ke dalam pengisar dan kisar hancur. Seeloknya tak halus sangat.

Bawang yang dibakar tu Mak Hencik letak atas dapur gas jer. Biar kulit dia hangus sikit supaya ada aroma bawang bakar.



Dah siap kisar, rasalah dulu kejadiannya. Nak tambah sikit lagi garam ke.. Gula ke.. Cuka ke.. Tambahlah sesedap rasa mulut. 😂😂😂😂😂



Inilah lauk untuk hidangan nasi Ala Kak Wok. Dalca sayuran, ayam potong kecil goreng tempah dan sambal lada. Dalam piring kecil tu ikan masin dan telur masin lauk semalam. Hihihi

Jom makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Rabu, 31 Julai 2019

Talam Pandan yang Sedap dan Mudah

Guna daun pandan supaya rasa dan aroma kuih talam pandan seperti rasa asli kuih tempatan tradisi Melayu zaman-berzaman. Wow! Tentunya enak terkenang-kenang.. ❤️



Walaupun nampak banyak langkah untuk menyediakan kuih talam ni, hakikatnya ia bukanlah susah mana pun. Kalau tak percaya, cubalah...


TALAM PANDAN
Oleh Dapur Cempakasari
Sumber resepi : Lina Sahedin via FB Aneka Resepi Kuih Muih

Bahan-bahan lapisan bawah (pandan hijau)

1 cawan air daun pandan (10 helai daun pandan dikisar dengan 1 cawan air dikisar, kemudian ditapis)
1 cawan gula
3 cawan santan (1 cawan santan kotak + 2 cawan air)
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar membukit tepung ubi
1 sudu kecil pewarna hijau
Secubit garam

Bahan-bahan lapisan atas (santan putih)

1 cawan tepung beras
2 sudu membukit tepung gandum
3 cawan santan (1 cawan santan kotak + 2 cawan air)
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara menyediakannya

Jom mulakan.


Langkah 1
Sediakan loyang 10"X10". Segi empat ke.. Bulat ke.. Tak kisah Apa-apa bentuk pun. Sapu minyak di dasar loyang dan alaskan dengan plastik. Letakkan dalam pengukus elektrik. Biarkan dulu. Suis tu jangan on dulu ya..


Langkah 2
Dalam bekas hijau, masukkan air daun pandan, santan, tepung gandum, tepung ubi dan sedikit garam. Kacau dengan menggunakan whisk sehingga sebati.


Tapis terus ke dalam kuali yang terletak di atas dapur.


Langkah 3
Di dalam kuali, masukkan pula gula. Kemudian buka api kecil. Kacau selalu sehingga gula hancur. Lepas tu terus tutup api.

Proses kacau atas api ni ambil masa sekejap sahaja. Apabila ada wap kecil tu dah boleh tutup api dah.


Langkah 4
Perlahan-lahan tuang bancuhan pandan ni ke dalam loyang yang tersedia di dalam pengukus tadi.


Langkah 5
Tutup pengukus dengan tudung yang di balut dengan kain. Letak masa 20 minit.

Kalau tak balut dengan kain, tutup loyang dengan aluminium foil supaya air tak menitis ke dalam kuih talam.

Sementara itu kita sediakan lapisan atas pula.


Langkah 6
Dalam bekas hijau, masukkan santan, tepung beras, tepung gandum dan 1 sudu kecil garam.


Kacau adunan sehingga sebati. Tapis. 


Langkah 7
Masukkan adunan santan ke dalam kuali dan letakkan di atas dapur. Buka api sambil dikacau selalu. Bila sahaja naik wap, terus tutup api.  Biarkan dulu kat situ.

Proses atas api ni ambil masa yang sekejap sahaja. Adunan tu masih cair lagi tau.


Langkah 8
Kita kembali kepada lapisan pandan tadi. Buka tutup pengukus dan ambil sebatang garpu.


Seluruh bahagian pandan hijau tu kita gores sedikit guna garpu tadi. Tujuannya supaya lapisan putih santan yang akan kita tuang nanti akan melekat pada lapisan bawah.


Langkah 9
Sekarang kita tuang adunan santan ke atas lapisan pandan tadi dengan cermat.


Langkah 10
Kita kukus selama 20 minit.


Langkah 11
Apabila sudah berbunyi 'ting', cepat-cepatlah kita buka tudung kukusan. Lepas tu kita sambung mengukus selama 5 minit tanpa menutup pengukus. Tujuannya supaya lambat basi.

Setelah cukup 5 minit, tutup suis pengukus elektrik. Kemudian keluarkan dari pengukus dan sejuk kan di bawah saji.


Kuih talam ni boleh dipotong apabila  ia betul-betul sejuk, paling kurang 3 jam. Seeloknya semalaman orang kata.. Huhuhu


Untuk potongan yang cantik, gunalah pisau plastik.


Boleh juga beli pembaris talam di kedai bakeri atau online. Kalau tak ada, potong jer la macam Mak Hencik.. Ikut gerak hati.. 😂😂😂


Lepas potong, letak dalam pinggan. Hmmmm.. Apa lagi. Jemput.makan kawan-kawan..

Bismillah..