Sabtu, 13 April 2019

Puding Roti Warna Warni

Puding roti ni bukan nampak seksi, tapi nampak seksa!



Seksa wehhh. Seksa nampak bintit-bintit tu. Seksa menahan rasa nak merasa puding nih satu hal juga. Seksa weh!
😂😂😂

Seksi ke.. Seksa ke.. Pastikan rasanya sedap terutamanya bila masuk ke dalam mulut sejuk-sejuk. Hahaha
😆😆😀


PUDING ROTI WARNA WARNI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

20 g atau 1 bungkus agar-agar tali
5 cawan air
4 keping roti, dibuang tepi dan dicarik-carikkan
1 tin susu cair
2 sudu besar mentega
1/2 tin susu pekat manis
1/2 cawan gula
2 sudu besar tepung kastard
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna merah dan kuning
1 sudu besar serbuk coklat

Cara-cara membuatnya.

Sediakan bahan-bahan dahulu. Jom..


Antara bahan-bahan yang digunakan.


Agar-agar tali dibasuh dan ditoskan.

Cara-cara menyediakannya.


Agar-agar dimasak bersama 5 cawan air sehingga hancur.


Sementara menunggu agar-agar tali hancur, kita ambil pengisar. Masukkan susu cair, roti yang dicarik, susu pekat manis, tepung kastard, telur dan esen vanilla.


Kisar sehingga hancur.


Apabila agar-agar tali sudah hancur, masukkan gula. Kemudian, tuang bahan kisar tadi sambil dikacau sehingga sebati.


Lepas tu masukkan mentega. Kacau lagi supaya sebati.

Sediakan tiga bekas dan pewarna kegemaran. Mak Hencik pilih warna kuning, merah jambu dan coklat.


Tuangkan agar-agar ke dalam tiga bekas. Letaklah pewarna. Untuk warna coklat, bubuh serbuk koko atau coklat dan cepat-cepat kacau.

Sediakan acuan yang sesuai.


Tuang agar-agar merah, diikuti kuning dan coklat. Ulangi sehingga habis.


Biarkan suam sebentar kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Apabila agar-agar sudah mengeras dan dingin, bolehlah di keluarkan dari peti sejuk.


Nak terbalikkan dulu pun boleh sebelum dipotong.


Atau boleh jer terus potong dari dalam bekas.

Dah boleh makan.
Jom makan..

Bismillah..

💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙💚💙

Jumaat, 22 Mac 2019

Gulai Lemak Ayam yang Sedap

Untuk penggemar masak lemak, gulai lemak ayam ni.. Heaven! ❤️❤️❤️



Pagi tadi pergi kedai santan untuk beli santan segar. Santan segar akan menyebabkan gulai lemak kita bertambah sedap dan bertambah nasi nanti.. Lepas tu kalau dibuat selalu, mungkin akan bertambah berat badan juga. Huhuhu


GULAI LEMAK AYAM YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 ketul ayam
1 cawan santan pekat
2 cawan air
1 biji bawang merah besar saiz kecil
1 biji bawang putih
1 inci kunyit hidup
5 biji cili padi, boleh tambah atau kurangkan ikut kesukaan masing-masing
2 hiris lengkuas
1 keping asam gelugur
1 batang serai, diketuk
1 biji tomato, dipotong wedges
1 biji cili hijau, dipotong serong
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara membuatnya

Jom kita menggulai lemak hari ini..

Mula-mula kita sediakan bahan dahulu..


Ayam lima ketul dibasuh bersih dan ditoskan.


Santan pekat dan asam gelugur atau asam keping.


Serai diketuk manja.


Cili padi, bawang putih, bawang merah, lengkuas dan kunyit hidup. Semua bahan ni dikisar.


Ni dia bahan yang telah dikisar.


Tomato dipotong wedges.

Jom kita memasak pula..


Langkah 1
Di dalam periuk, masukkan santan, bahan kisar dan serai yang diketuk. Kacau sentiasa sehingga kuah mendidih.


Langkah 2
Bila kuah sudah mendidih, masukkan pula ayam dan tomato serta cili hijau. Masukkan juga garam dan gula, jika suka, secukup rasa. 

Kacau sekali-sekala sehingga kuah mendidih sekali lagi. 


Langkah 3
Biarkan kuah gulai mereneh sehingga isi ayam masak dan kuah pekat sedikit.


Langkah 4
Bila isi ayam sudah masak, rasa pun sudah sedap, bolehlah kita tutup api dan hidangkan.

Jom menghidang.


Hidangan hari ini seadanya. Alhamdulillah.

Jom kawan-kawan kita menjamu selera.

Bismillah..

🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️🏵️

Ahad, 17 Mac 2019

Kuih Koci Labu Leleh yang sedap

Koci Labu Leleh? Hurm.. 😋😋😋


Hari sebelumnya buat masak lemak labu, adalah lebihan sikit sebab buah labunya sederhana besar saiznya.

Kalau lama bermalam dalam peti sejuk, nanti rosak pula buah labunya. Jadi, hari ni kita buat kuih yang boleh bubuh buah labu..



KUIH KOCI LABU
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

Adunan koci

1 1/2 cawan labu yang telah direbus kemudian dilenyek
1 1/2 cawan tepung pulut
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula

Santan leleh

1 cawan santan pekat (Mak Hencik guna 1 kotak kecil santan kotak jenama Kara)
1 cawan air
3 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam

Inti Kelapa

1 biji kelapa parut
1/2 cawan gula
1/2 cawan gula merah
1 cawan air
1/2 sudu teh garam
2 helai daun pandan, disimpul
3 sudu besar tepung gandum

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Jom kita menguih.

Mula-mula kita buat inti kelapa dahulu.



1. Letak kuali atas dapur. Masukkan secawan air, gula, gula merah, sedikit garam dan daun pandan yang disimpul. Buka api. Kacau sehingga gula hancur.

2. Bila gula sudah hancur, masukkan kelapa parut putih dan kacau sehingga rata dan sebati. Biarkan sehingga air hampir jering sambil dikacau sekali sekala.

3. Bila air sudah hampir kering, taburkan tepung gandum secukupnya sambil dikacau. Tujuannya supaya air cepat jering dan memekatkan kelapa parut. Jadi sekejap jer dah masak.

4. Bila sudah masak dan pekat, tutup api dan sejukkan.

Kemudian kita sediakan santan leleh.



Di dalam kuali, kita masukkan semua bahan santan leleh seperti santan, air, tepung beras dan garam. Kacau sehingga rata dan buka api dapur.



Teruskan kacau sehingga pekat dan meletup-letup. Bila dah pekat elok, tutup api. Biarkan sebentar..

Sekarang, kita sediakan daun pandan untuk proses membungkus nanti.



Daun pisang dilayur di atas dapur gas dan dipotong mengikut saiz yang sesuai. Mak Hencik potong saiz 8"X6".

Seterusnya tibalah masanya kita buat adunan kuih koci.



Di dalam besen kecil warna merah cili padi, masukkan labu yang dilenyek, tepung beras pulut, sedikit garam dan sedikit gula. Uli menggunakan hujung jari sehingga membentuk adunan lembut.



Ni dia.. Ni dia adunan lembutnya. Huhu



Bulatkan membentuk bebola kecil, kalau rajin ler.. Kalau malas, cubit-cubit jer ler.. Bekas untuk letak bebola koci ni perlu ditabur dengan sedikit tepung supaya tak melekat pada bekas nanti.

Leperkan bebola dan masukkan inti kelapa. Tutup kembali dengan cermat. Buat sampai habis.

Sementara tu panaskan air dalam periuk sehingga mendidih.



Bila air sudah mendidih, masukkan bebola kuih koci tadi. Biarkan sehingga diorang semua terapung.



Bebola kuih koci yang terapung boleh diangkut dan ditoskan sebentar.



Kemudian masukkan ke dalam kuali yang mengandungi santan leleh tadi. Gaul sehingga santan menyaluti bebola kuih koci.

Mari kita membungkus pula.



Letakkan sebiji bebola koci beserta santan leleh. Lipat dengan kemas. Buatlah sehingga habis.



Inilah hasilnya.. Mudahkan.



Tibalah saatnya untuk merasa pula. Eh! Mudahnya masuk dalam mulut ni. Mudah ek? 😂😂😂

Jemput semua..

Bismillah..

🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀🥀

Ahad, 10 Mac 2019

Cara buat Ketuk ubi

Getuk ubi ke ketuk ubi? 😂😂😂

Apa-apa lah.. Yang penting sedap!


Cara membuatnya memang perlu diketuk. Ubi yang telah direbus di ketuk-ketuk atau ditumbuk sehingga hancur. Letak kelapa parut. Letak gula secukup rasa.



Kuih traditional ni sesuai dihidangkan bersama kopi pekat. Untuk sarapan pagi, minum petang atau makan sambil bersembang lewat malam.. Supper. Perghhh!!!



RESEPI KETUK UBI @ GETUK UBI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan bebola ubi kayu

1 biji ubi kayu, lebih kurang 1/2 kg, dibuang kulit dan direbus sehingga empuk.
1/2 biji kelapa parut putih
4 sudu besar gula

Bahan untuk menyadur
(macam goreng pisang)

1/2 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/2 sudu kecil garam

Minyak masak secukupnya untuk menggoreng.

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom.. Jom..



Ubi kayu. Beli di pasar malam rm3. Bawa balik ke rumah dan kupas kulitnya. Lepas tu rebus sehingga empuk.



Ubi kayu yang sudah direbus, toskan air dan sejukkan. Kemudian buang empulur ubi tu.



Tumbuk ubi sehingga lumat. Kalau tak lumat sikit-sikit tu adalah dimaafkan.



Di dalam besen hijau aku punya, masukkan ubi yang ditumbuk, kelapa parut putih dan gula secukup rasa.



Gaul sehingga sebati.



Lepas tu bulat-bulatkan. Kepal-kepal sikit dengan tangan. Biarkan seketika.

Jom buat bater untuk menyadur bebola ubi pula.



Di dalam besen hijau aku yang punya, masukkan tepung beras, sedikit tepung pulut, sedikit garam dan tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga menjadi adunan dengan kepekatan yang sesuai.



Sekarang boleh panaskan minyak untuk menggoreng. Goreng menggunakan kaedah menggoreng dalam atau guna minyak yang banyak.

Masukkan bebola ubi yang dibulatkan tadi. Sadur dengan adunan tepung beras sehingga semua bahagian bersalut.



Apabila minyak sudah panas, perlahan-lahan masukkan bebola yang sudah disadur.



Goreng sehingga keperangan dan balikkan supaya kedua belah masak sekata.



Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak. Bolehlah dihidangkan..

Jom menikmatinya..

Bismillah..

🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄🍄

Jumaat, 1 Mac 2019

Kuih Gegetas

Kuih yang liat-liat lembut dan manis disalut gula sira. Sedap juga rasanya. Pernah rasa?


Kuih ni kuih tradisional, kuih orang lama, kuih orang Melayu. Paling sedap makan masa hari hujan lebat.. Sebab masa tu perut lapar.. 😁😁😁

Kuih tradisional ni bahan asasnya adalah sedikit sahaja. Ia sangat mudah dan tidak rumit. Untuk rasa yang sedap, guna kelapa parut putih yang kulitnya masih hijau. Itu pun kalau kita duduk kat kampung...kalau duduk di bandar, kita beli dan dapat yang mana ada ajer.. Apa-apa pun syukur selalu..



KUIH GEGETAS
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1 1/2 cawan kelapa parut putih (seeloknya pilih yang muda)
2 cawan tepung beras pulut
1 cawan tepung gandum
1 cawan air, atau secukupnya
1/2 sudu teh garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan untuk sira

1/3 cawan gula
1/8 cawan air
(sukatan air adalah separuh dari sukatan gula)

Cara-cara membuatnya

Jom kita menguih..



Dalam bekas yang cantik, masukkan tepung beras pulut, tepung gandum, kelapa parut dan garam. Gaul sehingga sebati.



Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga membentuk adunan yang lembut. 


Haaa! Macam ni lah. 👆👆



Lepas tu, bentukkan bulat-bulat dan leperkan. Kalau uols rajin, buat bentuk empat segi ke.. tiga segi ke.. Suka hati uols la yea..



Lepas tu, panaskan minyak masak secukupnya dan goreng.



Balikkan biar dia masak sekata.



Lepas dah masak, angkat dan toskan minyak. Goreng lah yang lain-lain tu sampai habis..

Dah habis goreng, biarkan sebentar.

Jom menyira pula..



Letakkan kuali yang bersih dan bebas minyak. Pastikan sudip untuk mengacau juga bebas minyak.

Masukkan gula dan air. Biarkan dia berbuih sambil dikacau sekali-sekala.



Bila dah berbuih gitu, air gula pun dah melekit-lekit.. Jadi, bolehlah masukkan gegetas yang telah disejukkan tadi.



Kacaulah dengan sabar sehingga air gula melekat di kuih dan membentuk bunga gula.

Bila dah kering, bunga gula akan terbentuk pada kuih gegetas nih. Jadi manis lah kuih ni.. Macam kita juga.. 😂😂😂

Dah boleh hidang dah.. Selamat menjamu mulut..

Bismillah