Sabtu, 17 November 2018

Resepi Cheezy Sauce

Sedap dicelup dengan wedges, kentang goreng atau nugget atau meatball.. Homemade cheezy sauce yang mudah di buat dan mudah habis!

Selalunya Mak Hencik beli cheese powder yang siap dijual di kedai bakeri untuk buat cheezy sauce. Tapi bila tengok di FB ramai juga kawan-kawan yang try buat sendiri cheezy sauce ni. Mereka gunakan resepi Nazrin Zahrin ni. So.. Mak Hencik pun nak cuba juga. Jom kita cuba!


RESEPI CHEEZY SAUCE
Oleh Dapur Cempakasari
Resepi asal : Nazrin Zahrin

Bahan-bahan

1 tin susu cair@sejat
1/2 tin air, guna tin susu cair, resepi asal tak bubuh
250g mentega
12 keping cheese keping
1 ketul kiub ayam
2 sudu besar serbuk lada hitam kasar
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara menyediakannya..

Jom.. Jom.. Mengesos kita hari ni.



Antara bahan-bahan yang digunakan.



Mula-mula cairkan mentega di dalam pan. Masukkan susu cair. Tunggu sehingga mendidih sambil dikacau.



Masukkan cheese keping satu demi satu. Biarkan dia cair.



Kemudian masukkan kiub ayam. Mmm.. Berbayang - bayang gambarnya. Guna tepon murah, buat projek pulak tengah malam.. 😁😁😁



Lepas tu masukkan pula serbuk lada hitam kasar. Boleh kurangkan kalau tak suka sangat rasa lada hitam tu ya.



Masukkan pula beberapa titis pewarna oren untuk mencantikkan rupanya. Kacau sehingga rata.



Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung sambil dikacau sehingga pekat.



Sudah dapat kepekatan yang dikehendaki, bolehlah tutup api.
Siappp! Tunggu sejuk sekejap, pastu kita masukkan dalam bekas. Tak habis makan kita simpan dalam peti sejuk.



Sedia.. Satu.. Dua..



Haaaa.. Tunggu apa lagi.. Jom celup-celup dengan kentang goreng.

Bismillah..

Sabtu, 10 November 2018

Kek Mentega Pelangi

Kek dulu-dulu. Tak lekang dek panas. Tak lapuk dek hujan. Segar sepanjang zaman. Rasa kek homemade memang ummphhh sebab tak ada pengawet!



Lama sungguh tak buat kek. Kalau buat pun asyik buat kat kedai sahaja. 😁😁😁

Kebetulan malam ni pula perlu buat operasi. Operasi lipat kain. Kain yang tidak berlipat sudah hampir mencecah siling rumah dah.. 😂😂😂



Inilah kesan pergi bercuti sempena Deepavali. Balik ke rumah bawa balik kenangan.. beserta satu beg penuh pakaian yang belum dicuci. Yang dah sedia ada di rumah pun sudah sebakul. Hurmmm.. Berbakul - bakullah jadinya.

Senyum sahajalah.. Tak perlu kata apa-apa.



Jadi, sebelum operasi melipat, kita buat kek dahulu. Sambil menunggu kek masak, kita pun melipat kain. Nanti kek kita masak, kain pun sudah siap berlipat. 💐💐💐

Resepi ni telah dikongsi dengan kawan setempat kerja, Nor Azyyati bt Che Aladin. Sedapppp kek dia. Dia memang terrer membaking nih. Kek dia buat sedap woii.. 



Resepi telah disalin oleh anak bongsuku pada tahun lepas lagi. Masa tu umurnya 9 tahun sebab dia yang nak buat kek ni. Oleh kerana hasil kejadiannya elok dan rasa dia pun sedap, berderai dan kering sedikit, maka kita abadikan resepinya di sini.

RESEPI KEK MENTEGA PELANGI
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan - bahan

1 cawan marjerin (Mak Hencik guna 1 ketul butter jenama Anchor)
1 cawan gula kastor
2 sudu besar susu pekat manis
4 biji telur saiz A
*2 cawan tepung gandum
*1 sudu kecil baking powder
Bahan bertanda * diayak
(sekiranya menggunakan tepung naik sendiri menggantikan tepung gandum, tak perlu masukkan baking powder)
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil pewarna merah dan hijau atau mana-mana warna pilihan.

Cara-cara membuatnya

Jom.. Jom kita mengekek ..



Langkah 1
Putar mentega dan gula sehingga kembang.



Langkah 2
Masukkan susu pekat, esen vanilla dan telur sebiji demi sebiji sambil diputar sehingga kembang.



Langkah 3
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar sehingga rata.



Langkah 4
Adunan kek dibahagi kepada 3 bahagian dan diwarnakan mengikut warna pilihan. Mak Hencik pilih warna asal, merah jambu dan hijau.



Langkah 5
Oles acuan 8 inci dengan mentega atau minyak dan alas dengan kertas minyak.



Langkah 6
Masukkan satu senduk warna asal..


Letakkan satu senduk warna hijau di atas warna asal tadi.



Ambil satu senduk warna merah jambu dan letakkan atas warna hijau tadi.



Ulangi langkah 6 sehingga adunan habis.



Langkah 7
Bakar selama 25-30 minit pada suhu 170°C atau ikut oven masing-masing.



Selepas 15 minit.



Selepas 25minit.



Langkah 7
Cucuk bahagian tengah kek dengan lidi satay. Bila tiada tepung yang melekat, maka masaklah kek tersebut dan bolehlah kita keluarkan dari oven.



Biarkan seketika sebelum kita keluarkan dari acuan.



Bila sudah sejuk, bolehlah dipotong.



Jemput menikmati hidangan minum petang hari ini, kek pelangi dan teh 0 panas.

Jemput semua..

Bismillah..

Jumaat, 2 November 2018

Pulut Kuning Kukus dan Rendang Ayam yang Sedap

Pulut kukus ni istimewanya ia lembut, bukan lembik. Istimewanya juga bila ia diarung dengan santan. Rasa lemak dan lembut pulut dengan aroma daun pandan!



Pak Hencik kata dia tak berapa gemar makan pulut dengan rendang. Dia sangat suka makan pulut kuning dengan kuah nasi impit, iaitu kuah kacang.

Maaflah Yang. Saya dah kukus pulut kuning dan masak rendang ayam untuk hari ini. Nanti lain kali saya buat kuah kacang tu ya. Janji Mak Hencik pada Pak Hencik. Tapi entah bila laaa janji tu akan ditunaikan. 😂😂😂. Entah entah janji tinggal janji.. 😂😂😂



RESEPI PULUT KUNING DAN RENDANG AYAM YANG SEDAP
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan Pulut Kukus

3 cawan pulut
1 cawan santan sederhana pekat
Sedikit garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Rendang Ayam

1 ekor ayam, dipotong sederhana besar
2 biji bawang merah besar
3 biji bawang putih
15 tangkai cili kering
5 biji cili padi
1 inci kunyit
1 hiris lengkuas
3 batang serai
3 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
5 cawan santan
1 helai daun kunyit
5 helai daun limau purut
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara menyediakannya

Jom..jom.. memulut kita hari ni..



Langkah 1

a. Rendam beras pulut yang dibasuh bersih di dalam air yang dicampur dengan sedikit pewarna kuning dan sekeping asam gelugur atau asam keping. Rendam dalam 15-20 minit jer.

b. Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam pengukus.



Langkah 2
Kukus pulut, kurang lebih 40 minit.



Sesudah separuh masak, keluarkan dari pengukus dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Hati-hati, panas ni. Berasap.



Sediakan 1 cawan santan. Masukkan garam dan gula secukup rasa.



Langkah 3
Tuang santan sikit-sikit ke atas pulut sambil digaul menggunakan sudip kayu.



Gaul sehingga rata dan sebati.



Langkah 4
Masukkan semula pulut yang telah diarung santan tadi ke dalam pengukus.



Kukus lagi sekali lebih kurang 30 minit.



Langkah 5
Bila pulut sudah masak, bolehlah tutup api. Jadi sudah masaklah pulut kukus kita hari ini.

Jom masak rendang pula. Rendang yang paling mudah dan simple.



Ayam dibasuh bersih dan ditoskan airnya.



Bahan untuk dikisar iaitu bawang merah, bawang putih, cili kering, cili padi, serai hiris, kunyit dan lengkuas. Hujung serai tu diketuk sedikit.



Kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.



Langkah 1
Di dalam kuali atau periuk, masukkan ayam, santan dan bahan kisar. Masukkan juga lebihan hujung serai..



..dan asam keping. Buka api dan kacau sehingga rata.



Biarkan kuah rendang mendidih.



Langkah 2
Bila kuah sudah mendidih, masukkan daun kunyit yang disimpul, daun limau purut yang diramas sedikit,  garam, gula secukup rasa  dan kerisik.



Biarkan kuah mereneh sambil dikacau sekali-sekala. Tunggu sehingga kuah pekat.



Langkah 3
Bila kuah rendang sudah pekat, tutup api.
Masaklah rendang ayam kita..



Hidangan pulut kuning dan rendang ayam. Hmmm.. sedapnya. Rasa macam nak raya pula nih. ❤❤❤❤❤

Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..