Khamis, 25 Oktober 2018

Udang Goreng Celup Tepung Bestari Kembung

Sedap sungguh udang goreng celup tepung dicicah dengan sos savouri. Adoiii ngences..!!


Kebelakangan ni, harga udang agak murah. Udang bersaiz besar pun harganya kurang RM30 sekilo. Jadi sangat berbaloi-baloi kalau kita cuba resepi ni.

Kebetulan pula anak-anak memang suka benor dengan undang goreng celup tepung nih. Kalau goreng benda alah ini, sekejap jer licin. Seronok pula tengok depa makan. Tapi tak bolehlah selalu.. RM30 ni kira mahal juga kalau selalu dibeli.. hahaha



Resepi Udang Goreng celup tepung bestari
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2 cawan tepung bestari asli
1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 cawan air atau secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom kita menggoreng hari ini..



Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung bestari, tepung gandum dan baking powder. Gaul hingga sebati.

Kemudian masukkan setengah cawan air, kacau. Lepas tu masukkan sedikit-sedikit air sambil dikacau rata.



Dapatkan adunan yang tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Agak-agak dapat menyalut udang kita yang macho itu..



Lepas tu kita tutup bekas adunan dengan kain maslin atau kain yang sesuai.. tudung periuk pun boleh.. tudung saji tak leh.
Kita biarkan dia sekejap.



Sementara itu kita proses udang kita yang macho kita. Sesudah dibasuh bersih, kita asingkan kulit dan janggutnya. Biar tinggal bahagian ekor jer.



Kita toskan dan lap badan udang dengan tisu dapur. Lap.. lap.. lap..

Lepas tu bolehlah kita panaskan minyak yang banyak. Agak-agak udang boleh tenggelam.



Bila minyak sudah panas, bolehlah kita celupkan udang ke dalam bancuhan tepung dan masukkan ke dalam minyak panas. Buat sekor-sekor tau.



Kita goreng sama dia..



Balikkan udang supaya masak dan garing sekata.



Bila sudah masak, angkat dan toskan minyak.
 Dan gorenglah lagi untuk pusingan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga habis.



Dah dapat sepinggan penuh. Hahhh! Tunggu apa lagi.. jom menyicah...

Jemput makan kawan-kawan

Bismillah..

Selasa, 23 Oktober 2018

Biskut Samperit Dahlia Tanpa Telur sukatan cawan

Selain Hari Raya, kita juga boleh buat biskut ni sebagai kudapan.. atau sebagai buah tangan untuk majlis kenduri-kendara.



Ada banyak resepi samperit nih. Samperit susu, samperit cheese, samperit pandan dan samperit klasik. Sukatan dan bahan-bahan yang digunakan juga ada sedikit perbezaan, tapi yang penting ia adalah SAMPERIT! 😂😂😂

Resepi ini pula Mak Hencik ambil dari blog Cik Matahari. Asalnya dari sukatan metrik, tapi oleh kerana Mak Hencik kurang rajin dalam timbang-menimbang, Mak Hencik tukar ke sukatan cawan.

Pada tekak Mak Hencik ni rasanya sedap dan berderai bila masuk dalam mulut. Entahlah kalau korang tak suka.. ✌✌


Biskut Samperit Dahlia Tanpa Telur
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

250g mentega
1 cawan gula kastor, kurangkan 1 sudu besar sebab rasa cam manis kalau setengah cawan penuh.
1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung
1 1/2 cawan tepung red rose, kalau xde boleh jer ganti dengan tepung gandum ,( kalau lembik tambah lagi 1/2 cawan)
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara membuatnya

Jom mengukis!


Di dalam bekas yang sesuai, masukkan gula kastor, mentega dan esen vanila.


Mula-mula gaul guna sudip dahulu. Bila sudah agak sebati, baharulah guna jari-jemari kita.


Ia akan jadi macam di atas 👆👆. Jangan risau, teruskan sahaja usaha menguli.


Akhirnya adunan akan menjadi seperti di atas. 👆👆


Sediakan senjatanya. 😂😂😂 Acuan pecah 6, pecah 7, 8 hingga ke 15. Pilihlah yang mana suka. Untuk hari ini, Mak Hencik pilih acuan paling murah seperti gambar di atas.


Walaupun guna acuan murah, tapi cantiklah juga samperit kita ni.. 😂😂😂


Bakar pada suhu 170° selama 15-20 minit, atau ikut ragam oven masing-masing.

Tips: kata orang yang biasa buat biskut ni, supaya kelopaknya tak jatuh kita kena biarkan dulu dalam 15 ke 30 minit sebelum dibakar.


Bila dah masak, keluarkan dari oven. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang kedap udara.


Yang 👆👆 nak bawa ke ofis. Pindahkan dari balang ke bekas cute nih. Berderai..

Jom menikmatinya..

Bismillah..

Ahad, 21 Oktober 2018

Tom Yam Kupang dan Seafood

Hari ini kita masak tom yam kupang. Pernah makan? Jom ler kita cuba..




Kupang tu Mak Hencik jumpa di pasar pagi Ahad, RM10 sekilo. Kata si penjual, kupang ni dia ambil dari Johor. Kami pun dah lama tak makan kupang, jadi kami pun beli sekilo.



Setengah kilo, sudah selamat dimasak sambal bertelur. Tinggal lagi setengah kilo tersimpan elok dalam peti ais. Nak masak apa ya? Pak Hencik minta buatkan tom yam. Syukur.. senang nak buat. Kalau cakap, suka hati awak laa. Haaa.. yang tu buat kutergaru-garu kepala yang tak gatal.



Resepi Tom Yam Kupang dan Seafood
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

1/2kg kupang, direndam air, dibasuh bersih dan ditoskan airnya.
4 ulas bawang putih, diketuk
5 biji cili padi, atau secukupnya, diketuk
2 batang serai, diketuk
5 cawan air atau secukupnya
1 biji tomato, dibelah empat
5 batang daun ketumbar dipotong kasar. (Ku tak ada, jadi ku tukar dengan daun sup)
1 sudu besar jus limau nipis
2 sudu besar paste tom yam
1 biji bawang besar Holand, dipotong wedges
1/2 - 1 sudu kecil serbuk cili, untuk beri warna merah sedikit.
5 helai daun limau purut, diramas sedikit.
Sedikit minyak untuk menumis
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Hiasan
Bawang goreng
Hirisan daun sup

Cara-cara membuatnya

Jom jom.. jom memasak



Kupang direndam dalam air dahulu supaya bendasing yang ada di dalamnya keluar. Lepas tu kita basuh bersih dan toskan airnya.



Seafood pilihan hari ini, yang mana ada dalam peti sejuk. Ada udang dan sotong sahaja. Ketam tiada. Kalau ada boleh masukkan sekali, lebih sedap!



Bawang putih, cili padi secukup pedas yang disukai, serai, daun limau purut, tomato dan bawang besar Holand.



Langkah 1
Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang putih yang diketuk. Masukkan sekali cili padi yang juga diketuk.



Langkah 2
Bila bawang putih sudah keperangan, tuang air perlahan-lahan. Hati-hati ya.



Langkah 3
Kemudian masukkan paste tom yam, tomato dan serai.



Daun ketumbar dipotong kasar. Tapi Mak Hencik guna daun sup jer.. Lebih 'kick' kalau guna daun ketumbar tau..



Langkah 4
Bila sudah mendidih, masukkan daun ketumbar diikuti oleh kupang. Biarkan kuah terus mendidih sehingga kupang terbuka sedikit.



Langkah 5
Kemudian, masukkan udang dan sotong. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa serta sedikit jus limau nipis dan daun limau purut

Nampak pucat pula tom yam kita hari ini, jadi  Mak Hencik masukkan 1 sudu kecil serbuk cili.



Langkah 6
Biarkan sehingga kuah mendidih buat seketika. Akhir sekali masukkan bawang besar Holand. Kemudian bolehlah tutup api. Siap!



Langkah 8
Masukkan ke dalam mangkuk hidang. Taburkan daun sup dan bawang goreng. Wahhhh... tak sabar nak menjamu selera.



Hidangan kita hari ini. Tom yam kupang, ayam sos black pepper, pucuk paku goreng udang kering, ikan rebus goreng, petai celur dan sambal lada tiada belacan.

 Jemput makan kawan-kawan semua..

Bismillah..

Isnin, 15 Oktober 2018

Kari Ikan Merah yang Sedap

Lama tak mengari.. terutamanya kepala ikan. Rasa kari ni memang sedap sangat, cara buat pula sangat ringkas. Sesuai ler dengan den yang agak 'rajin' ni. 😂😂😂



Balik kerja petang semalam sempat singgah sekejap di kedai Acheh. Ambil ikan kembung tiga ekor untuk digoreng nanti. Harga sekila rm16. Tiga ekor harganya rm8.

Nampak ikan jenahak dan ikan merah, segar lagi. Ikan jenahak rm36 sekilo, manakala ikan merah rm32 sekilo. Mak Hencik pun ambil ikan merah seekor sebab ikan jenahak tu besar sikit, takut tak habis pula. Harga rm23 seekor. 🐳 tapi berbaloi.. sedappp..



Resepi Kari Ikan Merah yang Sedap
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 keping ikan merah
1 biji bawang merah besar saiz sedang, dihiris
1 biji bawang putih, dihiris
2 hiris halia, dimayang
3 sudu besar membukit serbuk kari ikan, dicampur dengan sedikit air
4 cawan santan
1 biji tomato, dibelah empat
5 biji bendi
1 tangkai lada hijau
Sedikit daun kari
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak masak untuk menumis

Cara-cara menyediakannya

Jom.. jom.. mengari kita hari ini..



Serbuk kari dibancuh dengan sedikit air.



Bendi dipotong kepala dan ekor.



Bahan-bahan hiris, lada hijau, tomato dan daun kari.



Langkah 1
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris. Kacau seketika sehingga keperangan.



Langkah 2
Masukkan bancuhan serbuk kari. Kacau sehingga kering.



Langkah 3
Masukkan kepingan ikan merah. Kacau lagi.



Langkah 4
Masukkan santan. Kacau seketika. Biarkan sehingga kuah mendidih.



Langkah 5
Bila kuah sudah mendidih, masukkan air asam jawa. Masukkan juga garam dan gula secukup rasa.



Langkah 6
Semasa kuah tengah menggelegak itu juga kita masukkan bendi, tomato, daun kari dan lada hijau. Biarkan ia terus menggelegak sehingga bendi masak dan kuah pekat sedikit.



Langkah 7
Bila kari kita sudah masak, rasanya pun boleh tahan aummm sedapnya, boleh matikan api dapur.



Langkah 8
Hidangkan dalam mangkuk. Wahhh! Banyaknya kuah.. tenggelam ghaib si ikan merah.. 😂😂 Den ler dalam keluarga penggemar makan nasi berkuah banjir..😂😂😂

Jemput makan..

Bismillah..