Rabu, 29 Ogos 2018

Sup kaki lembu raya korban

Padanlah harga semangkuk sup kaki lembu pun rm15 atau rm20 di gerai biasa..



Cara nak memprosesnya ambil sedikit masa. Kaki-kaki lembu itu perlu dibakar dahulu. Sesudah kaki berubah warna menjadi hitam, keluarkan dari api. Kikislah kulit kaki tu untuk membuang bulunya dan buang juga kukunya. Sudah selesai tu, bolehlah hiris nipis-nipis sebelum dimasak.


RESEPI SUP KAKI LEMBU RAYA KORBAN
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

2 batang kaki lembu - dibakar, dikikis kulit dan dihiris nipis
1500 ml air atau secukupnya
4 ulas bawang putih - diketuk
1 inci halia - diketuk
1 inci lengkuas - diketuk
1 biji tomato - dipotong empat
4 batang daun sup - dipotong seinci panjang
1 sup bunjut
3 biji cili padi - diketuk
1/2 Labu bawang besar - dipotong wedges
2 biji limau kasturi - ambil jusnya

1 biji bawang merah besar - dihiris nipis dan digoreng garing.
Garam, gula Dan serbuk perasa secukupnya

Hiasan
Bawang goreng
Daun sup dihiris halus

Cara-cara menyediakannya

Marilah mari.. Marilah mari..


Bahagian kaki yang telah menjalani proses pembakaran.

Semua tu bukan I yang buat.. Anak lelaki mak mentua I yang buat.. Hahaha.


Hiris bahagian kaki tadi nipis-nipis. Yang tulangnya tu biarkan jer ler.. Yang ni I yang buat. Hihihi


Tomato dan daun sup. Baru jer beli tadi nih.


Ketuk bawang putih dan halia.


Sediakan periuk, masukkan tulang kaki, bahagian kaki yang dihiris, tomato, halia ketuk, lengkuas ketuk, cili padi ketuk, bawang putih ketuk, daun sup hiris kasar, sup bunjut dan air secukupnya. Rebuslah sehingga mendidih.


Sementara itu sediakan limau nipis dan hiris halus bawang merah.


Tumis bawang merah sehingga garing. Bila sudah garing, angkat, toskan minyak dan tutup api.


Masukkan bawang goreng tadi. Masukkan juga garam, gula dan serbuk perasa. Perah jus limau me dalamnya. Biarkan dia terus menggelegak.


Potong wedges bawang besar Boland.


Masukkan dalam periuk sup. Biar dia lembut sedikit kemudian bolehlah tutup api.

Dah masak dahhh..


Cara Mak Hencik menghidang, Mak Hencik masukkan hirisan kaki, tabur tauge atasnya kemudian baru tuang kuah sup yang pan as Tadi.


Akhir sekali, hiaskan dengan daun sup yang dihiris dan bawang goreng.

Jemput makan kawan-kawan.

Bismillah..

Ahad, 26 Ogos 2018

Seri Muka Pandan yang Sedap

Pertama kali Mak Hencik cuba resepi ni, terus menjadi. Ya Allah.. Suka sangat rasanya bila kuih yang kita buat tu menjadi dengan elok. Rasanya pula.. Memang sedap macam kuih yang kita tempah tuh. Hahaha. Nampak benar kita selalu tempah kuih.



Bila dah jadi elok, rasa pun sedap, kerap jugalah Mak Hencik membuatnya. Lepas tu berenti tak buat-buat dah la pulak.. Mujur pula hari ini mood rajin datang bertandang. Bolehlah kita buat minum petang.



Resepi Seri Muka Pandan
Oleh Dapur Cempakasari
Terima kasih penyumbang resepi : semoga diberi ganjaran yang berterusan oleh Allah.

Bahan-bahannya

Lapisan bawah

2 1/2 cawan beras pulut - rendam 15 minit
2 1/2 cawan Santan cair
1 sudu kecil garam

Lapisan atas

2 cawan santan pekat
1 cawan air daun pandan
3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung kastard
1 biji telur
1 sudu kecil pewarna hijau
1 sudu kecil esen vanila
1 cawan gula
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara membuatnya.

Jom jom jom..



Cuci bersih beras pulut kemudian rendam dengan air dalam 15 minit. Ok.. Biarkan di situ sekejap.



Sediakan santan pekat 2 cawan dan santan cawan 2 1/2 cawan. Letak dalam bekas berasingan tau.. Nak guna santan kotak pun boleh.



Lima helai daun pandan dipotong kecil dan dikisar dengan secawan air. Tapiskan dan sukat air pandan sebanyak satu cawan.



Sediakan acuan. Selongkar kabinet dapur dan ambil loyang  saiz 10"X10", empat segi boleh, bulat pun boleh.

Sapu dulu bahagian dalamnya dengan minyak. Minyak masak ke.. Minyak jagung ke.. Minyak bunga matahari ke.. Mentega ke.. Marjerin ke.. Suka hati korang. Minyak urut, minyak cap kapak, minyak angin, minyak senyonyong Dan lain-lain minyak yang sama waktu dengannya tidak dibenarkan..

Pastu alas dengan plastik. Mak Hencik guna plastik saiz 12"X12". Nak guna plastik pasar malam atau orang Kelantan panggil supik gelenyar pun tiada masalah. Yang penting bersih,suci dan murni.. Kikiki



Langkah 1
Ambil acuan yang dialas plastik tadi, masukkan beras pulut yang ditoskan airnya. Masukkan santan cair dan garam. Kacau sedikit menggunakan sudu ke sudip ke. Kita akan dapati aras santan cair tu lebih sedikit daripada aras beras pulut.

Letak dalam pengukus dan kukus selama 25 minit  atau sehingga masak.



Langkah 2
Ambil bekas yang sesuai, masukkan santan pekat, air daun pandan, garam, telur, pewarna hijau, esen vanilla, tepung gandum dan tepung kastard. Kacau menggunakan whisk.

Tapiskan adunan ke dalam kuali atau pan yang sesuai. Mesti tapis tau..



Langkah 3
Masukkan gula. Buka api dan kacau menggunakan whisk sehingga naik wap. Sekejap ajer tau..Jangan sampai berketul. In case dah berketul sikit kat bawah tu, padam api terus.

Biarkan dulu.



Langkah 4
Pulut yang kita kukus tadi sudah masak. Keluarkan dari pengukus. Hati-hati adik-adik manis dan kakak-kakak gojes, panas tau..!



Tekan pulut tadi sehingga mampat. Tekan sama dia. Atas, bawah, kiri, kanan, tengah tepi, bucu, hujung.. Pendek kata semualah..



Langkah 5
Masukkan loyang pulut yang dimampatkan tadi ke dalam pengukus.

Tuanglah bancuhan pandan dari kuali yang kita buat tadi ke atas lapisan pulut.

Nak bagi cantik dan air tak meΓ±itik ke dalam kuih, Mak Hencik tutup dengan aluminium foil.


Langkah 6
Tutup pengukus dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak.



Langkah 7
Bila lapisan atas sudah masak, buka aluminium foil dan tudung pengukus. Kukus lagi 5-10 minit dengan keadaan terbuka dan tidak ditutup.

Tujuannya supaya lapisan pandan tu kering dan cantik. Satu lagi ia akan tahan lama dan lambat basi.


Langkah 8
Dah cukup masa dan siap, tutup suis dan sejukkan dahulu sebelum dipotong. Kalau nak cantik, tunggu dia betul-betul sejuk sebelum dipotong. Potong dengan pisau plastik. Mak Hencik guna pisau plastik yang potong kek tu jer..



Jari saper ler tu tercucuk pulak di saat nak tangkap gambar nih. Hihihi hahaha



Jom kawan-kawan kita menikmati hasilnya.

Bismillah..

Rabu, 22 Ogos 2018

Roti Cheese yang lembut dan mudah

Cara yang sangat mudah. Guna sukatan cawan sahaja. Guna tangan sahaja. Jadi!



Lembut juga tekstur roti ni. Rasanya pun lemak dan manis. Sedap dimakan sahaja. Sedap dicicah dengan sup berkrim. Cicah dengan teh o pun sedap!

Kalau rajin, boleh ajer buatnya selalu. Buat bun pun ok.



Roti Cheese
Oleh Dapur Cempakasari

Bahan-bahan

5 cawan tepung gandum
5 sudu besar gula ( 3 sudu masukkan dalam bancuhan yis, 2 susu lagi masukkan dalam adunan tepung gandum)
2 sudu besar susu pekat manis
5 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil bread softener
1 sudu kecil bread improver
1 sudu kecil double action baking powder (kalau tak ada, guna baking powder pun boleh)
1 1/4 cawan air suam
2 sudu besar yis segera

Hiasan
Mozzarella cheese parut secukupnya
2 sudu besar susu pekat manis dibancuh dengan 2 sudu besar air
Sedikit gula - jika suka manis

Cara-cara menyediakannya

Jom kita buat..



Langkah 1
Mula-mula kita masukkan secawan air ke dalam bekas. Kemudian masukkan 2 sudu besar gula, 1 sudu besar yis dan dua susu besar susu pekat manis. Kita kacau sedikit, agak-agak susu pekat hancur dan sebati dengan air tu. Lepas tu kita biarkan sehingga berbuih seperti di atas. Tapi yang kat atas tu macam dah melampau sangatlah pulak. Huhuhu



Langkah 2
Di dalam bekas adunan, masukkan tepung gandum, minyak, bread softener, bread improver, gula dan double action baking powder.

Ramas menggunakan hujung jari, sehingga semuanya sebati.



Langkah 3
Buat lubang di tengah-tengah, kemudian tuang campuran yis yang berbuih itu. Gaullah sehingga sebati dan membentuk adunan.



Langkah 4
Ulilah adunan sehingga tidak melekat di tangan. Kalau adunan seperi lembik sedikit, tambahlah tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga membentuk adunan yang dikehendaki.



Langkah 5
Seterusnya tutup bekas adunan dengan kain maslim. Mak Hencik tutup dengan tuala 'good morning' jer. Hahaha.

Biarkan dia di situ. Kita tak perlu tunggu, sebab pastilah dia tak bergerak ke mana-mana. Jadi, apa perlu kita buat ya? Nampaknya ada bukit kain yang menimbun tu... Huhuhu



Langkah 6
Selepas sejam, adunannya sudah mengembang elok.



Langkah 7
Tumbuklah adunan tadi untuk mengeluarkan angin. Biar dia kempis semula.



Langkah 8
Kemudian bahagikan kepada adunan kecil-kecil. Kalau nak cantik, timbang setiap adunan 30g atau 40g atau ikut saiz yang disukai.



Langkah 9
Bulatkan. Untuk makluman, Mak Hencik tidak timbang pun... Main agak-agak sahaja. Hihihi.



Langkah 10
Sekarang bolehlah dibentuk bentuk yang disukai. Mak Hencik nak buat bentuk panjang macam kat atas.



Buatlah sampai habis.

Langkah 11
Parut mozzarella cheese. Kalau dah beli yang siap parut, untung ler..



Langkah 12
Bancuhkan sedikit susu pekat manis dengan sedikiiiit air. Kalau tak suka, boleh juga pukul sedikit kuning telur. Tujuannya ialah sebagai pelekat..



Ni rupa sebelum kembang.



Yang ni pulak, dah kembang sikit.

Langkah 13
Sapukan bancuhan susu pekat di atas setiap roti dan taburkan parutan mozzarella cheese di atasnya. Kalau nak manis, boleh taburkan gula.

Tunggu roti kembang sedikit, dalam 15 minit jer kot.

Masa ni bolehlah panaskan oven 180°C selama 10 minit.



Langkah 14
Masukkan roti kita dalam ketuhar 160°C selama 15 minit, atau ikut ragam oven masing-masing.

Intai-intailah ya di balik jendela oven, cuma jangan dibuka pintu ovennya.



Langkah 15
Bila sudah masak, keluarkan dari oven dan kalau nak effect berkilat, bolehlah disapukan butter di atasnya.

Ku tak sapu pun.. Tak sempat dah.. Nak mandi dan bersiap untuk pergi bekerja.



Inilah hasilnya. Lembut. Gebu.. Ada rasa manis-manis lemak.

Sedap nih cicah sup cendawan berkrim. Tak pun cicah air teh atau kopi. Jom kawan-kawan.

Bismillah..